====

                                       

YBrs Encik Nasrul Hakim Md Noh (enam dari kiri), YBrs Encik Mohammad Yusari Ameer Mohd Yusof (dua dari kanan), dan YBrs Encik Rulhaizal Abd Rahman (empat dari kiri) bersama-sama Penerbit/Pengarah, para pelakon dan tenaga produksi telemovie Skuad Apartmen Putra – ‘Misi Cinta Merdeka’.

                                                                            ====


HiburanTV

 

Telemovie Skuad Apartmen Putra: ‘Misi Cinta Merdeka’ 25 Ogos Ini

 

DRAMA rantaian komedi situasi Apartmen Putra (AP) telah melalui tujuh musim tayangan di TV2 Televisyen Malaysia (RTM).

 

Berita gembira untuk para pengikut dan peminatnya, AP akan ke udara dalam slot Panggung RTM Khas bersempena dengan Merdeka 2025 pula. Berdurasi 90 minit, ia membawakan komedi kekeluargaan, misi penyiasatan, cinta, dan makna kemerdekaan.

 

Diterbitkan dan diarahkan oleh Rohayu Abdul Wahab, adaptasi AP yang diberi judul Skuad Apartmen Putra: ‘Misi Cinta Merdeka’ ini akan ditayangkan di TV2/RTMKlik pada 25 Ogos 2025, jam 9 malam.

 

YBrs Encik Rulhaizal Abd Rahman, Penolong Pengarah Unit Drama TV RTM bertindak sebagai Penerbit Eksekutif. Encik Mohd Erfan Zainialdin pula sebagai Penerbit Penyelaras, sementara Siti Norbaya Mohd Appandi dan Adibah Nazihah Abdul Malek sebagai Penolong Pengarah. Mohd Farid Ahmad pula menjadi Pengurus Produksi, dan Suhaida Mohamed Sukarno Pembantu Artis.

 

Pada 18 Ogos lalu, telah diadakan majlis Pratonton dan Sidang Media Panggung RTM Khas Hari Kebangsaan 2025 Skuad Apartmen Putra – ‘Misi Cinta Merdeka’ (SAP-MCM) di Theatrette, Tingkat 1, Wisma TV, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur.

 

Turut hadir YBrs Encik Nasrul Hakim Md Noh, Timbalan Pengarah Seksyen Produksi TV; YBrs Encik Mohammad Yusari Ameer Mohd Yusof, Timbalan Pengarah Seksyen Saluran TV; wakil-wakil yang berkenaan; sebahagian daripada pelakon seperti Elly Arifin, Atu Zero, Mamak, Dewa Sapri, Zulin Aziz, dan Noorkhiriah; penyampai Nazrie Fahmi dan Dyya Nawal, serta beberapa orang tenaga produksi.

 

Semasa sesi soaljawab sidang media, Rohayu yang pernah mengarahkan beberapa episod AP memberitahu beliau bersyukur berjaya menghasilkan SAP-MCM, tanpa sebarang tekanan.

                                        

Rohayu Abdul Wahab selaku Penerbit dan Pengarah Skuad Apartmen Putra – ‘Misi Cinta Merdeka’ memperkatakan sesuatu semasa sidang media telemovie itu.

                                                                                ++++

 “Kerjasama, kemampuan dan pengalaman para pelakon yang terbabit memudahkan tugas saya,” ujar Rohayu yang tiada masalah menerima segala teguran, dan kritikan terhadap pengarahannya.

 

Sementara itu, dalam ucapannya, Rulhaizal mengucapkan tahniah kepada Rohayu, para pelakon dan tenaga produksi atas kejayaan menghasilkan SAP-MCM.

 

Sambil menyatakan beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki, beliau berharap Rohayu dapat diberi peluang lagi mengarahkan telemovie.

                                        

YBrs Encik Rulhaizal Abd Rahman, Penerbit Eksekutif telemovie Skuad Apartmen Putra – ‘Misi Cinta Merdeka’.

                                                                                ####

“Oleh sebab slot untuk menghasilkan telemovie bersempena dengan kemerdekaan ke-68 tahun ini masih ada, saya mengambil peluang menerbitkan SAP-MCM bersama-sama Rohayu,” jelas Rulhaizal apabila ditanya mengenai rasional penerbitan telemovie.

 

Para pelakon yang hadir, termasuk penyiar Nazrie Fahmie dan Dyya Nawal turut menyatakan kegembiraan mereka membintangi SAP-MCM, dan berharap dapat beraksi lagi untuk projek akan datang.

 

Dalam memuji persembahan SAP-MCM, Encik Nasrul Hakim dan Encik Mohammad Yusari Ameer turut menegur, dan memberikan pandangan mengenai beberapa perkara yang dapat membantu telemovie ini tampil lebih memikat.

 

Bergenre komedi ringan/drama, SAP-MCM mengisahkan Jaafar (lakonan Jiggy Masin), penyelia bangunan di Apartmen Putra, yang berhajat melamar kekasihnya, Elly (Elly).

 

Walau bagaimanapun, keadaan bertukar duka apabila ayah Jaafar, Uncle Joe (Dewa) yang menentang hasrat tersebut, tiba-tiba menghilangkan diri.

 

Dalam cemas dan kebingungan itu, Jaafar bersama-sama Skuad Apartmen Putra paling kecoh, iaitu Ba (Atu); Subadron (Mamak), Kak Nor (Noorkhiriah), Julia (Zulin), dan Elly sendiri, memulakan ‘Misi Cinta Merdeka’, satu pencarian penuh penyamaran, komedi, dan momen menyentuh hati.

 

Jaafar berusia 30-an, kekasih Elly, manja dan kuat merajuk, mahu mencari ayah dan ibu kandungnya, serta berkahwin dengan Elly.

 

Ba pula rakan serumah Jaafar, propman syarikat produksi, berusia 30-an dari Kudat, bercita-cita menjadi pengarah filem, spontan, sedikit cuai, dan selalu kehilangan barang; dan Elly (Barista) juga berusia 30-an, bijak, cantik dan bercita-cita tinggi; mahu menyambung pelajaran hingga peringkat Master @ berkahwin dengan Jaafar?

 

Subadron, juga 30-an, pencari kerja, juga rakan serumah Jaafar, seorang yang terlebih keyakinan, suka mengusik Elly dan Julia; dan mahu menjadi ketua pegawai eksekutif; Uncle Joe, pemain game profesional, berusia 60-an, tenang tetapi kadang kala tegas, dan suka memberi bagi nasihat dengan misinya menyatukan keluarga; dan Julia peniaga kedai serbaneka, berusia 30-an, bimbo, suka bersolek dan live TikTok, serta mahu mencari jodoh dengan lelaki antarabangsa.

 

Sementara itu, Puan Mala (Kenchana Devi), Pengerusi Persatuan Penduduk AP, berusia 40-an, berjiwa patriotik, selalu mementingkan kesejahteraan penghuni AP walaupun suka membebel, tetapi mahu AP memenangi anugerah Apartmen Terbaik!; dan Kak Nor, pengawal keselamatan, berusia 40-an, kuat patriotik, berjiwa muda, suka papan seluncur, kecoh tetapi dalam hati ada taman, dengan misinya menjadi pengawal keselamatan wanita di bangunan pencakar langit.

 

Dengan panduan semangat kemerdekaan daripada Puan Mala, mereka menyusun strategi operasi dengan bantuan penyampai Radio 3 Suara NASIONALfm, iaitu penyiar Nazrie, Dyya, dan Sonic yang bukan sahaja menyebarkan misi secara langsung, malah menyusup masuk ke resort sebagai watak misteri.

                                    

Para pelakon Skuad Apartmen Putra – ‘Misi Cinta Merdeka’; dua dari kiri; penyiar Nazrie Fahmie, Mamak, Atu Zero, Dewa Sapri, Elly Arifin, Zulin Aziz, dan Noorkhiriah, bersama-sama Rohayu Abdul Wahab (enam dari kiri), Penerbit dan Pengarah.

                                                                            ****

Namun demikian, kemampuan mereka diuji dalam sesi pemanas badan oleh Kapten Zam (Faha Azhar). Tanpa disangka, dalam pencarian itu, Jaafar menemui sesuatu yang jauh lebih besar daripada kehilangan, iaitu kebenaran tentang ibunya, Maria (Angeline Tan) yang selama ini dicari.

 

Secara keseluruhannya, SAP-MCM menampilkan persoalan cinta, keluarga, impian dan kemerdekaan hati yang mengajar kita bahawa merdeka bukan sekadar Jalur Gemilang, tetapi keberanian untuk memaafkan, dan memilih untuk pulang.


 -         disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

No comments:

Powered by Blogger.