PENDIDIKAN
Skim Bantuan
Awal IPTA/IPTS, Skim Khairat Kematian 2025:
Bukti Iltizam Berterusan
YWP Santuni Masyarakat WP
DALAM ucapannya
semasa menyempurnakan Penyampaian Cek Skim Bantuan Awal IPTA & IPTS, dan
Skim Khairat Kematian YWP 2025 pada 20 Ogos lalu, YBrs Dr Abdul Basir V
Kunhimohamed, menegaskan majlis berkenaan melambangkan iltizam berterusan YWP
bersama-sama DBKL menyantuni masyarakat Wilayah Persekutuan (WP) menerusi bantuan
pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan komuniti.
Selari
dengan visi dan misi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), tambah beliau, usaha
ini mencerminkan komitmen YWP menjana, mengurus dan mengagihkan dana secara
telus, serta saksama, demi manfaat golongan yang benar-benar memerlukan.
“Kali
ini, jumlah keseluruhan RM70,300 telah diperuntukkan untuk Skim Bantuan Awal
IPTA & IPTS, serta Skim Khairat Kematian,” jelas Dr Abdul Basir, Ketua
Pegawai Eksekutif YWP dalam majlis yang berlangsung di Dewan Masjid Jamek,
Kampung Baru, Kuala Lumpur itu.
YBrs Dr Abdul Basir V Kunhimohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan.
====
Majlis
anjuran YWP bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tersebut turut
disempurnakan oleh YBrs Puan Nur Jalilah Md Joha, Pengurus Kawasan Pejabat
Cawangan Titiwangsa selaku wakil Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Puan
Nur turut menyampaikan sumbangan kepada para penerima bersama-sama Abdul Basir
dalam majlis tersebut.
Penganjurannya
bertujuan membantu meringankan beban kewangan masyarakat Wilayah Persekutuan,
khususnya pelajar berpendapatan rendah yang melanjutkan pengajian ke universiti,
serta keluarga yang mendepani ujian kematian.
“Melalui
jumlah tersebut, RM55,300 adalah di bawah Skim Bantuan Awal IPTA & IPTS
untuk disalurkan kepada 79 pelajar IPT, dengan setiap seorang menerima RM700
secara one-off bagi menampung perbelanjaan
awal kemasukan ke universiti,” jelas Abdul Basir.
YBrs Puan Nur Jalilah Md Joha, Pengurus Kawasan Pejabat Cawangan Titiwangsa selaku wakil Datuk Bandar Kuala Lumpur turut menyampaikan sumbangan kepada para penerima.
****
Sejak
skim ini diperkenalkan, tambah beliau, YWP telah menyalurkan lebih RM3.4 juta
kepada seramai 5,291 pelajar.
“Inisiatif
ini adalah bukti komitmen berterusan YWP untuk memperkasakan pendidikan anak
kelahiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” tegas beliau
sambil menggalakkan mereka terus berusaha menuntut ilmu, dan membina kehidupan
yang lebih berkualiti demi diri, keluarga dan masyarakat...
Dalam
majlis berkenaan, YWP turut menyampaikan bantuan Skim Khairat Kematian kepada
seramai 15 penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak RM15,000, sebagai usaha menyantuni
mereka yang mendepani cabaran hidup mendesak, dan memerlukan bantuan segera.
“Saya
yakin kedua-dua skim ini dapat meringankan beban kewangan penerima, dan memberi
semangat baharu untuk mereka berusaha mencapai kejayaan dalam bidang
masing-masing,” ujar Basir, sambil mengucapkan tahniah kepada semua penerima
bantuan, dan berharap ia digunakan dengan sebaik mungkin.
YBrs Dr Abdul Basir V Kunhimohamed (enam dari kanan), dan YBrs Puan Nur Jalilah Md Joha (empat dari kiri) bersama-sama para penerima bantuan dalam majlis penyampaian Cek Skim Bantuan Awal IPTA & IPTS, dan Skim Khairat Kematian YWP 2025 pada 20 Ogos.
####
YWP, tambah beliau, amat menghargai sokongan padu DBKL terutamanya, serta badan-badan korporat, NGO dan individu penyumbang. Kerjasama sebegini, ujar beliau lagi, membuktikan bahawa kesejahteraan masyarakat dapat dicapai melalui usaha kolektif yang menyeluruh.
Meskipun
barangkali bantuan yang diberikan tidak besar, namun Basir percaya ia mampu
memberi impak dan sinar harapan, serta peluang untuk para penerima membina masa
depan yang lebih baik.
“Saya
juga ingin menyeru lebih ramai pihak, terutamanya sektor korporat dan swasta,
agar terus bersama-sama YWP dalam menjayakan pelbagai inisiatif kebajikan,”
ujarnya dan berharap kerjasama membangunkan masyarakat yang inklusif, sejahtera
dan berdaya saing dapat berterusan.
++++
Skim
Bantuan Awal IPTA & IPTS diwujudkan sejak 2014 sebagai sokongan awal
kewangan berbentuk one-off sebanyak
RM700 untuk setiap pelajar. Sehingga kini, lebih RM3.4 juta telah disalurkan
kepada 5,291 pelajar dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Skim
Khairat Kematian pula bertujuan menyantuni keluarga yang kehilangan ahli
tersayang dengan sumbangan tunai segera bagi membantu mengurangkan beban
kewangan asas.
-
disesuaikan untuk
siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN
No comments: