PENTAS
Amir U.K's dengan lagu 'Bila Disayangi'.
'Jula Juli Bintang Tujuh'.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya, Mohamad Azlan Abdul Majid.
AHMAD NAWAB DI ISTANA BUDAYA TAHUN INI
SEBANYAK 12 program
telah dirancang dan disusun untuk pengisian program Istana Budaya 2022, dengan
lima daripadanya merupakan terbitan Istana Budaya (IB) sendiri. Tujuh buah lagi
yang telah diluluskan setakat ini ialah dari pihak luar.
Lima
penerbitan IB itu termasuklah ‘Konsert Lagu Rakyat’ dalam kategori muzik, pada
25 dan 26 Mac, ‘Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Peter & The Wolf dan
The Carnival of the Animals’ (muzik/3 dan 4 Jun), ‘Tari Sulur & Nakasari’
(tari/22 dan 23 Julai), ‘Ratu Kuning Langkasuka’ (teater/23-25 September), dan ‘Teater
Muzikal Jula Juli Bintang Tujuh’ (teater
muzikal/18-22 November).
Persembahan-persembahan
bukan produksi IB pula ialah ‘Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun’ (muzik/17-18
Jun), ‘Konsert Seniman Negara Dato’ Seri Ahmad Nawab’ (muzik/1-3 Julai), 5th
Malaysia Golden Global Awards (MGGA)’ (anugerah/16 Julai), ‘Thunder –
Kaleidoscope VI Drumming Festival 2022’ (muzik/7-9 Oktober), serta ‘Teater
Muzikal Moyang Salleh’ (teater/26-31 Ogos), Tanjong (teater/9-11 September),
dan Antara Tiga (teater/8-10
Disember).
Kesemua
persembahan tersebut akan dipentaskan di Panggung Sari bermula jam 8.30 malam,
dengan ‘Antara Tiga’ turut dipersembah bermula jam 3 petang.
Pada
15 Mac lalu, IB telah mengadakan majlis pelancaran Program Istana Budaya 2022 di
premisnya, Lambang Sari. Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri
Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Nancy Shukri.
Dalam
ucapan pelancaran beliau, Dato’ Sri Nancy turut mengumumkan insentif
pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus ke atas pendapatan berkanun
yang diberikan kepada syarikat yang menganjurkan kegiatan kesenian, dan
kebudayaan, yang diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia
(MOTAC) bermula dari 2022 hingga 2025.
Intensif
cukai tersebut, jelas Nancy, terbuka kepada semua penganjur berkelayakan
merangkumi kategori persembahan pentas kesenian dan kebudayaan, termasuk seni
muzik, tari, lakon, seni mempertahan diri, adat budaya, kesusasteraan dan audio
visual, termasuk media interaktif.
“Saya
harap agar insentif ini dapat membantu melonjakkan semula industri seni
persembahan pentas, dan memberi dorongan kepada penggiat seni untuk terus
aktif,” tambah Nancy.
Daripada
11 pementasan pada 2021, IB telah menerima hampir 6,000 penonton dalam tempoh
lima bulan yang dibenarkan beroperasi. Hasil pendapatan jualan tiket pula
sebanyak RM130,000.
Kedua-dua
jumlah ini dijangka meningkat pada 2022 yang termasuk hasil sewaan ruang sejajar
dengan kenaikan penerimaan persembahan dari syarikat produksi tempatan, dan
agensi kerjaan yang lain.
Sehingga
kini, IB masih menerima permohonan untuk penyewaan ruang Panggung Sari bagi
2022 dan 2023 mengikut keseusaian program, serta tarikh yang akan dipohon oleh
penganjur.
Turut
menghadiri majlis pelancaran tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha
(Kebudayaan) MOTAC, Datuk Saraya Arbi; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) IB,
Mohamad Azlan Abdul Majid, dan Timbalan Ketua Pengarah (Artistik) IB, Zaifri Husin.
Dalam
ucapan beliau, Nancy juga menyentuh soal Dasar Kebudayaan Negara 2021 (DAKEN)
yang telah dilancarkan pada 26 Oktober 2021. DAKEN ialah dasar yang menjadi
entiti utama dalam konsep Keluarga Malaysia yang mengutamakan nilai-nilai
keterangkuman, kebersamaan, semangat kebanggaan, keterbukaan dan menyeluruh.
Penggubalan
DAKEN juga bertujuan memartabatkan kebudayaan secara menyeluruh menerusi
peranan dalam memperkasakan program dan aktiviti seni, budaya serta warisan
bagi mencapai aspirasi ‘Negara Maju, Rakyat Berbudaya’.
Oleh
itu, tambah Nancy, IB yang berfungsi sebagai pusat kecemerlangan seni di negara
ini perlu melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang seni persembahan
pentas, dan pada masa yang sama, menjadi pusat rujukan dan penyelidikan dalam
menghasilkan karya kreatif, inovatif, berkualiti, dan berprestij.
Menurut
beliau lagi, IB juga perlu terlibat dengan penghasilan karya seni budaya
bermutu dan mempunyai nilai estetika tinggi untuk produk teater, muzik, dan
tari yang mempu memberi tafsiran positif terhadap keunikan budaya tempatan.
“Saya
juga berharap pembukaan semula sempadan pada 1 April ini akan turut membuka
persembahan-persembahan dari luar negara juga,” ujar Nancy.
Sementara
itu, dalam ucapan alu-aluan beliau, Mohamad Azlan memberitahu kesemua
pementasan bermula dari Mac hingga penghujung 2022 menyasarkan demografik
penonton berbilang bangsa, berlainan generasi, dan kecenderungan minat mengikut
genre dan aspek tradisional, moden mahupun kontemporari.
“Tarikan
utama yang IB mahu tonjokkan pada tahun ini ialah penghasilan pelbagai karya
seni yang dapat dipersembah kepada para penonton mengenai kehebatan seni budaya
warisan, dan kepakaran yang ada dalam industri seni persembahan pentas di
negara ini,” kata Azlan.
Penutupan
ruang IB dalam tempoh masa agak panjang sebelum ini, tambah beliau, turut
membakar semangat warga agensi berkenaan untuk melaksanakan beberapa program
seni dan budaya dalam tempoh suku keempat 2021 secara fizikal kerana seni
persembahan perlu disokong oleh kehadiran di depan mata, dan tepukan yang
bergema di dalam panggung.
“Bukan
tidak bimbang dengan penularan COVID-19 jika ramai yang berkumpul di sini
nanti. Namun demikian, kami di IB sentiasa menjaga dan mewajibkan para
pengunjung mematuhi prosedur operasi standard demi memastikan agar Panggung
Sari dan Lambang Sari tidak lagi sepi, dan dapat terus digunakan,” tegas Azlan.
Apa
yang IB akan terus laksanakan, tambah beliau, ialah berdiri teguh menjadi
sebuah jabatan yang menyokong dasar-dasar kerajaan, dan pada masa yang sama
menjadi salah sebuah pusat kecemerlangan seni, budaya dan warisan untuk negara
ini.
Sambil
mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Menteri MOTAC dan Timbalan
Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC kerana sentiasa memberi sokongan padu
terhadap semua usaha, dan program yang dilaksanakan oleh IB, Azlan dan seluruh
warga IB amat berharap segala perancangan untuk 2022 berjalan lancar, dan
berjaya.
“Semoga
semua perancangan dapat dilaksanakan dengan baik dan setiap persembahan yang
dipentaskan disokong oleh semua pihak, termasuk rakan-rakan media yang selama
ini tidak jemu-jemu memberi publisiti kepada kami,” ujar Azlan.
Bersempena
dengan majlis Pelancaran Program Istana Budaya 2022 tersebut, turut diadakan lima
persembahan khas (fragmen) untuk para hadirin, iaitu ‘Peter & The Wolf and
The Carnival of The Animals oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan’, ‘Thunder: Kaleidoscope
VI Drumming Festival 2022’, ‘Jula Juli Bintang Tujuh’, ‘Konsert U.K’s Reunion
25’ Tahun menampilkan Amir U.K’s, dan, ‘Konsert Lagu Rakyat oleh Orkestra
Tradisional Malaysia’.
No comments: