PELANCONGAN

 

MOTAC Lancar Pelan Pemulihan Pelancongan 2022, Lagu Cuti-Cuti Malaysia Versi Kedua 

 

BERTEMPAT di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya pada 17 Mei 2022 lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Tourism Malaysia melancarkan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PPP2022), seiring peralihan ke fasa endemik.

 

Dalam usaha menyemarakkan pelancongan domestik negara itu, lagu Cuti-Cuti Malaysia versi kedua turut dilancarkan.

 

Pelancaran kedua-duanya disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

 

Dalam ucapannya, Dato’ Sri Nancy memberitahu, PPP2022 yang merupakan kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi ialah antara inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Industri Pelancongan melibatkan penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri (enam dari kiri) bersama-sama Datuk Seri Dr Santhara J.P (kiri beliau) dan tetamu kehormat lain selepas sesi pelancaran.


Penyanyi terkenal tanah air, Aina Abdul mendendangkan lagu tema Cuti-Cuti Malaysia versi ke-2, Menemui Semula.


Pelancaran Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 pada 17 Mei 2022 yang lalu.



Persembahan menggesek biola sambil menari daripada Mohamad Aqmal Daniel Hashim membawakan lagu
Ayam Den Lopeh dan Satu Hari di Hari Raya.






Sesi sidang media pelancaran Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 dan lagu kempen Cuti-Cuti Malaysia versi ke-2, Menemui Semula.



                    Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri menyempurnakan pelancaran Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 dan lagu kempen Cuti-Cuti Malaysia, Menemui Semula.

 

“Pemberian diskaun, baucar dan rebat yang bermula pada 29 April 2022 lalu melibatkan dua kluster, iaitu Kluster Pengangkutan Darat dan Kluster Persatuan Pelancongan,” kata beliau.

 

Inisiatif ini, tambah Nancy, bakal diperluas secara berperingkat, melibatkan Kluster Pengangkutan Udara, dan Kluster Penginapan, selain Kluster Pelancongan Minat Khas, merangkumi segmen selam skuba, inap desa, beli-belah dan taman tema.

 

Menurut Nancy lagi, pelancaran PPP2022 bertujuan menarik minat orang ramai untuk terus membuat tempahan tiket pengangkutan, atau pakej pelancongan pada harga diskaun istimewa.

 

“Langkah ini seterusnya mampu merangsang permintaan industri pelancongan untuk menyokong mereka yang terjejas agar kekal berdaya saing,” kata beliau.

 

Di bawah Kluster Pengangkutan Darat, Tourism Malaysia telah menjalinkan kerjasama strategik bersama-sama perkhidmatan KLIA Ekspres dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam penawaran diskaun tambang antara RM10 sehingga RM15 yang bakal memanfaatkan 64,675 pengguna.

 

“Pembelian tiket boleh dibuat sama ada menerusi aplikasi KLIA dengan KTM Mobile, secara dalam talian, atau mesin tiket,” tambah Nancy.

 

Sementara itu, di bawah Kluster Persatuan Pelancongan pula, Tourism Malaysia sekali lagi bekerjasama dengan Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA), Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA), Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan India Malaysia (MITTA), dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) dalam penawaran pelbagai pakej destinasi pelancongan domestik oleh ejen pelancongan berdaftar menerusi aplikasi e-marketplace Shopee.

 

“Rakyat Malaysia boleh mendapatkan diskaun sebanyak RM100 untuk satu transaksi pembelian pakej pelancongan bernilai RM200 ke atas bermula pada 29 April sehingga 31 Oktober 2022 bagi tempoh perjalanan sehingga 31 Disember 2022,” jelas Nancy lagi.

 

Setiap pengguna atau pemegang MyKad, tambah beliau, layak untuk menebus sekali sahaja diskaun ini, dan pembelian perlu dibuat melalui Shopee Pay. Dianggarkan 14,925 rakyat Malaysia bakal menerima manfaat ini dengan sasaran penjualan pakej percutian keseluruhan bernilai RM2,985,000.

 

“Pelancaran lagu Kempen Cuti-Cuti Malaysia versi kedua berjudul Menemui Semula selari dengan fokus kerajaan untuk memperkasakan pelancongan domestik. Lagu nyanyian Aina Abdul ini bergenrekan pop etnik dengan kombinasi aliran world music, hip hop dan electronic dance music (EDM),” jelas Nancy.

 

Seperti yang dijadualkan, Aina muncul mendendangkan lagu ciptaan Ananth Kumar (melodi) dan James Boyle (lirik) ini secara langsung di hadapan penonton, dan mendapat tepukan bergemuruh.

 

Lagu Menemui Semula yang juga menggabungkan alunan muzik tradisional seperti seruling, gamelan, erhu, kompang dan gendang, antara lain menyelitkan mesej penerokaan pengalaman melancong dalam negara bagi menikmati khazanah alam semula jadi bersama-sama keluarga tersayang.

 

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Dr Santhara J.P, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Mohd Zamri Mat Zain, wakil-wakil rakan kerjasama pelancongan, dan tetamu kehormat lain.

 

Selain Pelancaran Pelan Pemulihan Pelancongan dan lagu Menemui Semula, turut diadakan sesi minum petang dan sambutan Aidilfitri 1443 Hijrah (kerana Syawal 1443 Hijrah masih ada). Hadirin dihiburkan oleh persembahan menggesek biola sambil menari daripada Mohamad Aqmal Daniel Hashim, 22, dan sekali lagi Aina.   

 

Sementara itu, video Menemui Semula boleh dilayari di laman Youtube Malaysia Truly Asia di https://www.youtube/com/watch?v=tYQ6CJAvKDA.

    

No comments:

Powered by Blogger.