BUDAYA/PELANCONGAN

 

Menghimbau 40 Tahun Dasar Pandang ke Timur

FESTIVAL MALAYSIA-JEPUN 2022   

 

TAHUN ini, Dasar Pandang ke Timur (LEP) sudah empat dekad. Dasar ekonomi idea Perdana Menteri keempat, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) ini dilancarkan oleh beliau sendiri pada 8 Februari 1982, semasa Persidangan Tahunan Kerjasama MAJECA/JAMECA Kelima di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Ia juga sebagai reaksi kepada dasar ‘Buy British Last’ (yang juga diumumkan oleh Mahathir pada Oktober 1981).

 

LEP bermaksud pihak kerajaan Malaysia, serta pihak swasta menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai negara contoh etika bekerja. Lebih 15,000 rakyat Malaysia telah memperoleh manfaat menerusi dasar ini.

 

Walaupun Malaysia merupakan bekas jajahan British, tetapi kepentingan ekonomi Jepun telah menyumbang kepada perubahan dasar luar negara, iaitu dari Dasar Pro-Barat semasa zaman penjajahan, dan pascapenjajahan menjadi LEP semasa pentadbiran Mahathir.

 

Baru-baru ini Jepun berminat untuk terus mengukuhkan hubungan dengan Malaysia, sebagaimana yang dinyatakan oleh Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun di Malaysia, Araki Kaname. Jelas Araki, Jepun akan bekerjasama dengan Malaysia bersempena merayakan pencapaian hubungan dua hala sejak 40 tahun lalu.

 

Tumpuan juga, katanya lagi semasa berucap di Festival Filem Jepun 2021, akan diberikan dalam mengeratkan lagi hubungan dua hala untuk tempoh 40 tahun akan datang.

  


Persembahan pembukaan acara perasmian Festival Malaysia-Jepun 2022 di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia pada 2 Jun 2022 lalu.



Replika kurung Johor melur yang diperbuat daripada kaca turut dipamerkan bersempena dengan Festival Malaysia-Jepun 2022 dari 2 hingga 5 Jun 2022 di Pusat Pelancongan Malaysia.




                          Kimono berwarna merah ini sesuai dipakai untuk menghadiri festival.



Dato' Sahariman Hamdan (empat dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Dr Tan Awang Besar (empat dari kiri) selepas perasmian Festival Malaysia-Jepun di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia pada 2 Jun 2022 lalu.




Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dr Tan Awang Besar.


Dato' Sahariman Hamdan yakin penganjuran Festival Malaysia-Jepun 2022 akan memperkukuh lagi kerjasama, dan membina hubungan baharu yang lebih erat antara Malaysia dengan Jepun,



Antara produk makanan dari Malaysia yang menyertai Festival Malaysia-Jepun 2022 di Pusat Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur.


                                            Duta Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi.




Pameran yang diadakan di Ruang Kreatif, Pusat Pelancongan Malaysia bersempena dengan Festival Malaysia-Jepun 2022.


Persembahan pembukaan acara perasmian Festival Malaysia-Jepun 2022 di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia pada 2 Jun 2022 lalu.



Antara yang menyertai Festival Malaysia-Jepun 2022 di Pusat Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur.



Dato' Sahariman Hamdan (dua dari kanan) menyampikan cenderhati kepada Katsuhiko Takahashi (dua dari kiri).




Pameran yang diadakan di Ruang Kreatif, Pusat Pelancongan Malaysia bersempena dengan Festival Malaysia-Jepun 2022.



             Antara peserta Festival Malaysia-Jepun 2022 yang berminat mencuba pemakaian kimono.


Mahathir sendiri menganggap LEP telah berjaya, serta harus kekal sebagai asas kepada strategi dan program pembangunan Malaysia. Katanya, dasar berkenaan memainkan peranan penting dalam perindustrian Malaysia, dan memberi sumbangan yang ketara kepada pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.

 

Justeru, Mahathir berharap akan wujud pendekatan yang lebih menyeluruh terhadap pendidikan di bawah LEP, dan meneliti sistem pendidikan Jepun dari peringkat pratadika hingga ke universiti.

 

Ketika berucap dalam Forum Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) bersempena dengan memperingat ulang tahun ke-40 LEP baru-baru ini, Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi memberitahu ketika menjadi Perdana Menteri kali kedua, antara agenda utama beliau ialah memastikan pemulihan Dasar Pandang ke Timur 2.0 (LEP 2.0).

 

Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan beliau, kata Mahathir, bersetuju bahawa skop Rangka Kerja LEP 2.0 perlu diperluas dan diperhalus menerusi kerjasama untuk memastikan trend baharu dalam kerjasama dua hala, agar ia kekal relevan.





        Antara peserta Festival Malaysia-Jepun 2022 yang berminat mencuba pemakaian kimono.


Untuk tidak mensia-siakan harapan Mahathir dan Shinzo itu, Alumni Program Rakan Abad ke-21 ASEAN-Jepun, Malaysia (PAMAJA) mengambil inisiatif menganjurkan Festival Malaysia-Jepun 2022 yang berlangsung pada 2 hingga 5 Jun 2022 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC).

 

Antara objektif Festival Malaysia-Jepun 2022 termasuklah mempromosikan pelancongan, kesenian, serta kebudayaan Malaysia dan Jepun; menimbulkan kesedaran terhadap ulang tahun LEP yang ke-40; memberikan pengalaman pelancongan, kesenian, dan kebudayaan kepada para pengunjung; memperkuat motivasi pembelajaran menerusi interaksi dan jaringan; memperkukuh hubungan antara pertubuhan; dan membantu industri pelancongan inap desa kerana 65 peratus daripada tetamu ialah warganegara Jepun.

 

Festival Malaysia-Jepun 2022 menampilkan pelbagai aktiviti seperti pameran reruai produk pelancongan, promosi latihan dan pembelajaran vokasional teknikal (TVET), serta pameran LEP  yang memaparkan sejarah panjang hubungan dan kejayaan Malaysia-Jepun.

 

Diadakan juga demonstrasi makanan/kulinari seperti rendang, laksa, kari India, mi Cina dari Malaysia; sushi, sashimi, onigiri, ramen, halus mitai  (watamae), daging wagyu dari Jepun; persembahan kebudayaan, tarian, serta muzik tradisional Malaysia dan Jepun (bertukar topeng Cina, tarian klasik.

 

Selain itu, ada seni mempertahan diri silambam, persembahan silat, persembahan okarina, perarakan matsuri, ikebana dan origami), kelas bahasa Jepun, kaligrafi Jepun, kaligrafi khat, mencanting batik, mengukir kayu, kelas melukis (seni, animasi, kartun), program pertukaran hibrid, dan seminar.

 

Terdapat juga pertandingan kostum dari Malaysia dan Jepun seperti baju kurung, ceongsam, baju Melayu, sari, kimono, dan yukata.

 



Penganjuran Festival Malaysia-Jepun 2022 juga mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Pelancongan Malaysia, Kedutaan Jepun, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun, MaTiC, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Angkatan Pelukis seMalaysia, Pertubuhan Pelancongan Nasional Jepun, Persatuan Hotel Bisnes & Bajet Malaysia, Yayasan Jepun, Kolej Komuniti Selangor dan Pahang, Biro Pelancongan Jepun, Kraftangan Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia, Balai Seni Negara, Persatuan Penulis Pelancongan; Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, dan semua agensi berkaitan.

 

Perasmian Festival Malaysia-Jepun 2022 telah disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, MOTAC, Dr Tan Awang Besar di Auditorium Tunku Abdul Rahman, MaTiC pada 2 Jun 2022 yang lalu.

 

Turut hadir Presiden PAMAJA & Persatuan Inap Desa Malaysia, Dato’ Sahariman Hamdan yang juga Pengerusi festival tersebut; Duta Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi; dan Pengarah Perkhidmatan Maklumat Jepun/Setiausaha Utama, Kedutaan Jepun, Nagai Tomoko.

 

Dalam ucapan alu-aluannya, Dato’ Sahariman menegaskan bahawa selama empat dekad, LEP telah menjadi penyumbang utama terhadap jalinan perhubungan antara Malaysia dengan Jepun. Hasilnya, dalam hubungan dua hala ini, kolaborasi ekonomi kedua-dua negara berkembang pesat.

 

Baru-baru ini, Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob melawat Jepun untuk mengukuhkan LEP. Hasilnya, Malaysia dan Jepun mengambil keputusan untuk mengukuhkan lagi hubungan sambil meneruskan LEP menerusi ruang-ruang baharu seperti tenaga, kota raya pintar, alam sekitar, dan perubahan iklim,” tambah Sahariman mengenai kewajaran menganjurkan Festival Malaysia-Jepun 2022.

 

Mengakui ini kali pertama menganjurkan festival besar, Sahariman walau bagaimanapun menyatakan pihaknya telah berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kejayaan. Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang terlibat, dan berharap dapat lagi bekerjasama pada masa akan datang.

 

“Semoga orang ramai akan bersama-sama memeriahkan Festival Malaysia-Jepun 2022 ini. Saya yakin penganjurannya pasti akan memperkukuh lagi kerjasama, dan membina hubungan baharu yang lebih erat antara Malaysia dengan Jepun,” tambah Sahariman.

 

Sementara itu, Katsuhiko Takahashi dalam ucapannya memuji usaha PAMAJA dan Persatuan Inap Desa Malaysia yang begitu giat mengadakan pelbagai acara, bagi mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia dengan rakyat Jepun.

 

“Sejak LEP dilaksanakan di Malaysia, ribuan rakyat negara ini mengunjungi Jepun sama ada untuk belajar, bekerja, atau melancong. Ini membantu memperkukuh lagi hubungan Malaysia-Jepun,” kata Katsuhiko.

 

Melalui Festival Malaysia-Jepun 2022 ini, Katsuhiko berharap selain menyambut ulang tahun ke-40 LEP, Malaysia dan Jepun akan merangka kerjasama, dan merancang lebih banyak program bagi mengeratkan lagi persaudaraan kedua-dua negara.

 

Dalam ucapan perasmiannya, Dr Tan Awang memuji penganjuran Festival Malaysia-Jepun 2022 dan berharap ia akan menjadi acara tahunan. Sememangnya festival ini merupakan peluang besar bagi rakyat Malaysia lebih mengenali kebudayaan, kesenian, bahasa dan pelancongan Jepun.


Mengakui ini kali pertama menganjurkan festival besar, Dato' Sahariman Hamdan walau bagaimanapun menyatakan pihaknya telah berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kejayaan.


No comments:

Powered by Blogger.