Penyambung Program yang Terhenti Selepas 2019

FESTIVAL PERMAINAN MALAYSIA @ KL 2022

 

SERAMAI 1,368 peserta terdiri daripada badan beruniform, dan sektor korporat akan terlibat dalam Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2022 (FPM@KL) pada 23, 24 dan 25 September ini di Dataran Merdeka Kuala Lumpur.

 

FPM@KL 2022 merupakan salah sebuah program di bawah Kalendar Pelancongan Budaya pada setiap tahun untuk menampilkan keunikan seni budaya negeri.

 

Sehubungan itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menerusi JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKNWPKL) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha mengangkat permainan Malaysia sebagai teras program ini, dan disokong oleh pengisian-pengisian lain untuk membabitkan masyarakat.

 

FPM@KL pada tahun ini merupakan FPM@KL yang ketujuh. Ia berkonsepkan festival yang merangkumi pelbagai aktiviti, dan pengisian seperti pertandingan permainan tradisional, permainan interaktif, pameran, demonstrasi, persembahan serta jualan.

 

Walaupun perkataan ‘permainan Malaysia’ itu bererti umum, tetapi pengisian utama FPM@KL2022 ialah pertandingan permainan tradisional antara badan beruniform, dan juga sektor korporat yang akan dikelolakan oleh Kelab Sukan Tradisional Harmoni.

 

FPM@KL2022 mengutamakan permainan tradisional sebagai memenuhi dan mendukung hasrat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob agar seni budaya tradisi ini diangkat, serta dipertahan.

 

Seramai 760 orang mewakili badan beruniform dan 608 sektor korporat terlibat dalam pertandingan 10 permainan tradisional, iaitu tarik tali tradisional, galah panjang, congkak, batu seremban, sepak raga ratus, bola sepak kain pelikat, dam aji, terompah gergasi, menyumpit, dan memanah tradisional.

 

Orang ramai jangan bimbang, kecewa atau terasa dipinggirkan kerana mereka turut diberikan peluang ikut serta. Selain pertandingan permainan tradisional antara badan beruniform dan sektor korporat, orang ramai boleh menyertai Permainan Legenda Rakyat seperti kelereng, kaki hantu, lari dalam guni berkembar, tarik upih/guni, dan terompah gergasi.

 

Bersempena dengan FPM@KL2022, turut diadakan Kejohanan Tarik Tali Terbuka Malaysia dan Pertandingan Pocket Bike yang melibatkan pelumba cilik terdiri daripada kanak-kanak.

 

Pertandingan Gasing Pangkah yang juga dikenali sebagai MyGasing Championship akan turut diadakan. Selain penyertaan negeri-negeri di Malaysia, dua pasukan antarabangsa, iaitu Singapura dan Brunei Darussalam juga dijangka akan turut menyertai Pertandingan Gasing Pangkah pada tahun ini.

 

Untuk memeriahkan lagi penganjuran FPM@KL2022, dua acara larian akan diadakan, iaitu Larian Keluarga Malaysia dan KL Cultural Fun Run & Ride, yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang www.raceasia.com.

 

Dalam sidang media mengenai FPM@KL2022 yang diadakan di Lobi Utama, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada 7 September 2022 lalu, Ketua Pengarah JKKN, Haji Mesran Mohd Yusop memberitahu selain menyemarakkan permainan tradisional dan sukan rakyat pelbagai kaum di Malaysia, beliau amat berharap FPM@KL2022 terus mengangkat dan memulihara keunikan kesenian, serta kepelbagaian warisan tradisi rakyat Malaysia.

 

Penganjuran festival ini juga diharap akan mampu menyediakan peluang penjanaan pendapatan kepada usahawan seni budaya, dan penggalakan ekonomi setempat menerusi pengisian jualan bazar seni yang akan diadakan nanti,” tambah Haji Mesran.

 

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi.


Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Haji Mesran Mohd Yusop.


                                    

                                       Penolong Pengarah DBKL, Muhammad Hisyam Mohd Isa.



Dari kiri; Kevin Zahari, Mohd Amran Mohd Haris, Haji Mesra Mohd Yusop, Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi.












 Turut menghadiri sidang media FPM@KL2022 ialah Timbalan Ketua Pengarah Sektor Kebudayaan dan Kesenian JKKN, Mohd Amran Mohd Haris; Pengarah JKKNWPKL, Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi; Timbalan Pengarah JKKNWPKL, Shahrizal Abdan; dan Penolong Pengarah DBKL, Muhammad Hisyam Mohd Isa.

 

Jurutunjuk senaman dan kecergasan yang biasa dipanggil Cikgu Kecergasan Malaysia, Kevin Zahri turut hadir. Kevin merupakan antara individu penting dalam menjayakan FPM@KL2022.

 

Majlis perasmian FPM@KL2022 dijangka akan disempurnakan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri pada jam 9 pagi 24 September 2022, yang diiringi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, dan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim.

 

Sekiranya Dato’ Sri Ismail ada komitmen lain, kata Haji Mesran, Dato’ Sri Hajah Nancy akan mengambil alih menyempurnakan majlis perasmian FPM@KL2022.

 

Orang ramai boleh melayari laman sesawang JKNN, iaitu www.jkkn.gov.my, ataupun Facebook JKKN menerusi pautan www.facebook.com/mysenibudaya.


No comments:

Powered by Blogger.