AD-DIN

 

Santuni Anak Yatim, Ibu Tunggal Galeri Raudhah pada 10 Muharam

RUMAH KASIH NURUL HASANAH

                                     

ANTARA tarikh penting dalam sejarah Islam dan kehidupan umatnya ialah 10 Muharam. Sama ada secara perseorangan mahupun berkumpulan, ia wajar diingati, malah sebaik-baiknya diraikan.

 

Tarikh 10 Muharam amat bermakna kerana berlaku atau menyaksikan beberapa peristiwa penting dalam sejarah dan peradaban Islam.

 

Salah satu daripadanya ialah manusia pertama, iaitu Nabi Adam AS ditiupkan roh. Syurga dan neraka juga dicipta. Nabi Musa AS pula diselamatkan, manakala Firaun dan pengikutnya ditenggelamkan Allah SWT.

                                   

Pada 28 Julai lalu, bersamaan 10 Muharam yang amat istimewa kerana hari Jumaat, Rumah Kasih Nurul Hasanah di Ampang, Selangor antara pihak yang tidak ketinggalan meraikan kedatangan tarikh tersebut.

 

Rasa gembira dan terujanya terbukti apabila dari awal pagi lagi alunan selawat dan zikir munajat digemakan. Bukan sahaja untuk 10 Muharam, Rumah Kasih Nurul Hasanah komited mengimarahkan sebulan penuh dengan menganjurkan program mendorong amalan-amalan sunat.

 

Menurut Pengetua Rumah Kasih Nurul Hasanah, Ustaz Md Zawawi Ramli, beliau berasa bertanggungjawab memberikan teladan, bukan sahaja kepada anak-anak yatim di bawah bimbingannya, malah turut mengajak semua umat Islam, sama-sama menghayati, sekali gus mengimarahkan Muharam.

 

“Saya amat terpanggil mengajak semua umat Islam mengingati, menghayati, menghargai dan mensyukuri 10 Muharam khususnya, dan Muharam amnya, dengan mengadakan pelbagai aktiviti, sesuai mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW,” tegas Ustaz Md Zawawi.

 

Untuk sehari penuh, Ustaz Zawawi telah menyusun rangkaian aktiviti bagi memberi semangat kepada anak-anak yatim di bawah bimbingannya di premis Rumah Kasih Nurul Hasanah di Jalan Pimping, Ampang Height.

 

“Semuanya bertujuan menghargai dan menghayati perjuangan, serta pengorbanan Rasulullah SAW. Selain menghidupkan amalan sunat di sepanjang 10 Muharam, jiwa anak-anak kita perlu dilatih agar mudah mendekatkan diri kepada Allah,” tambah beliau.

 

Sekurang-kurangnya, kata beliau lagi, program sedemikian dapat mendidik dan melatih bukan saja anak-anak yatim di Rumah Kasih Nurul Hasanah, malah turut membuka mata masyarakat mengenai kepentingan mendidik anak-anak sedari usia awal untuk mengetahui begitu banyak kelebihan Muharam.

 

“Dengan begitu banyak manfaat dan keistimewaan pada tarikh 10 Muharam ini, segala amalan baik akan dilipatgandakan pahalanya  oleh Allah,” tambah Ustaz Zawawi.

 

Program pada hari tersebut bermula sejak jam 9 pagi dengan program gotong-royong memasak bubur asyura, sebelum diagih-agihkan kepada anak-anak yatim oleh Kelab Anak Yatim Malaysia.


Ustaz Md Zawawi Ramli memberikan taklimat sebelum memulakan Perjalanan Kembara Kasih Selawat Bersama-sama.

                                                                                                                                                                                           

 

“Selain menyantuni anak-anak yatim, kami cuba berkongsi rezeki dengan memberi bantuan kepada 40 keluarga Ahli Kelab Anak Yatim Malaysia,” ujar beliau.

 

Menurut Zawawi, beliau ingin merebut peluang menyemarak, dan mewujudkan rasa kecintaan terhadap Rasullah, serta meningkatkan rasa taqwa kepada Allah dengan mengadakan sambutan 10 Muharam kali ini secara terbuka.

 

Program yang sebenarnya bermula pada petang Khamis 27Julai itu, dimulai dengan bacaan maulid, marhaban, qasidah, tausiah, serta doa 10 Muharam, dan berakhir pada Jumaat jam 6.30 petang.

 

Menariknya juga, turut diadakan Perjalanan Kembara Kasih Selawat Bersama-sama yang melibatkan perarakan motosikal berkuasa tinggi, dengan kerjasama Anita Bikers Group bersama-sama Kelab Kereta Black & White, dan penunggang motosikal pengiring (KAY).

 

Selain itu, konvoi kereta warna hitam dan putih memulakan perjalanan dari Galeri Nur Raudhah, membawa kira-kira 30 anak yatim.

 

“Perjalanan diiringi motosikal berkuasa tinggi dari Anita Bikers bermula jam 3 petang bersama-ama anak yatim dan ibu tunggal.  Semoga majlis ini diberkati Allah SWT,” kata Ustaz Zawawi lagi.


Sebahagian daripada ibu tunggal dan anak yatim dari Galeri Nur Raudhah yang menerima sumbangan daripada Rumah Kasih Nurul Hasanah, bersama-sama Puan Haslina Othman (berdiri paling kiri).



                   

                    Pengetua Rumah Kasih Nurul Hasanah, Ustaz Md Zawawi Ramli.



                
        Ustaz Md Zawawi Ramli (paling kanan) turut mengetuai salah satu acara yang                diadakan.

____________________________________________________________

Bubur Asyura bersempena dengan 10 Muharam diagih-agihkan kepada hadirin.




___________________________________________________________________________________



        Antara yang turut menyertai Perjalanan Kembara Kasih Selawat Bersama-sama.


Turut hadir termasuklah mantan editor di Karangkraf Sdn Bhd yang kini penyiar persendirian, Richie Rachman; pelakon Shazs Kaizen, Puan Anita Yusop dari Anita Bikers Group, wakil Galeri Nur Raudhah, Puan Haslina Othman, dan wakil media.

 

- RAJA YUSOFF ARIFFIN

 


No comments:

Powered by Blogger.