AD-DIN

 

Manfaat Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024

 

PENGANJUR, pempamer serta pengunjung Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 (KHUP 2024) di Pusat Konvensyen Movenpick, Sepang pada 19 hingga 21 Januari lalu bersetuju jika karnival berkenaan kekal di tempat penganjurannya setiap tahun.

 

Menurut Naib Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia), Ybrs Tuan Haji Kamarun Ab Rahman, sebagai penganjur, pihaknya akan berusaha sebaik mungkin menjadikan KHUP sebuah acara yang amat bermanfaat kepada bakal jemaah haji setiap tahun.

=======================================================================

                                                    

Naib Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia), Ybrs Tuan Haji Kamarun Ab Rahman.

=============================================================

“Pusat Konvensyen Movenpick sesuai kerana kedudukannya berhampiran dengan tempat berlepas para jemaah haji, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Ia sinonim dengan haji. Apabila menyebut haji, kita menyebut juga Movenpick dan karnival ini,” kata Haji Kamarun.

 

Mengenai kapasiti tempat kerana mula terasa sempit dan sesak, beliau mengatakan pada tahun-tahun mendatang, ruang akan diluaskan dengan sebaik mungkin.

 

Para pempamer Pengendali Jemaah Haji (PJH) akan turut ditempatkan di luar Dewan Mentari, kata Kamarun, tidak seperti sekarang yang hanya berada di dalam dewan tersebut.

 

Encik Muhammad Redzwan Abdul Aziz dari Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd (Az Zuha Group), memberitahu pihaknya juga tiada masalah dengan tempat acara.

 

“Pengubahsuaian boleh dilakukan jika kesesakan menjadi isu. Kawasan di luar Dewan Mentari ini masih boleh mengisi reruai pempamer yang dijangka bertambah. Keadaan di dalam lebih selamat berbanding di luar Pusat Konvensyen Movenpick yang berdepan risiko cuaca walaupun lebih luas,” ujar Ketua Pegawai Pemasaran Az Zuha Group ini.

 

Berpengalaman selama 12 tahun dalam industri ini, serta menyantuni lebih 15,000 jemaah haji dan umrah dalam satu musim pada 2023, Az Zuha Group telah mengurus jemaah haji pada 1443, dan 1444 Hijrah, dan memperoleh permarkahan Penilaian Prestasi Perkhidmatan Haji sebanyak 97.14 peratus pada 1444 Hijrah. Pada 1443 Hijrah, ia mendapat 94.06 peratus.

 

“Selari dengan slogan kami, iaitu ‘Menyantuni dengan Hati’, kami menyediakan produk dan perkhidmatan terbaik kepada para Dhuyufurrahman,” jelas Muhammad Redzwan sambil menitipkan pesanan agar para jemaah haji berdaftar dengan syarikat pengendalian yang berlesen sah.

 

Memperoleh lesen PJH yang sah pada 2019, Az Zuha Group menyertai KHU pertama di tempat yang sama tahun lalu. Sebelum memperoleh kejayaan menghantar ribuan jemaah haji pada 2023, syarikat ini mengurus jemaah hajinya yang pertama, seramai 300 orang.

 

Berpangkalan di Bandar Seri Putra, Bangi, Kajang, Az Zuha yang merupakan syarikat termuda dalam industri ini, sedang beroperasi dengan 100 kakitangan.

 

Pegawai Operasi Eiman Travel & Tours Sdn Bhd (Eiman Travel), Encik Abdullah Waasih Mohd Zawawi pula memberitahu pihaknya turut menyertai karnival pada tahun lalu, dan akan meneruskannya setiap tahun.

=======================================================================

                                                  

 Ketua Pegawai Pemasaran, Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd, Encik Muhammad Redzwan Abdul Aziz.

=======================================================================

“Kami juga tiada masalah dengan tempat penganjuran KHUP, walaupun semakin sesak dengan pengunjung. Ruang boleh diubah suai dengan sebaik-baiknya. Apa yang penting, matlamat penganjuran tercapai,” tambahnya yang juga yakin sasaran pengunjung melebihi 15,000 orang.

 

Berpangkalan di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Eiman Travel telah ditubuhkan secara rasmi pada 2012. Ia berpengalaman luas mengurus jemaah umrah dan jemaah haji dengan perkhidmatan terbaik.  

=======================================================================

                                             

Pegawai Operasi Eiman Travel & Tours Sdn Bhd (Eiman Travel), Encik Abdullah Waasih Mohd Zawawi.

=======================================================================

Muhammad Syafiq Fauzi, 27, dari Seremban memberitahu beliau mengunjungi karnival haji, umrah dan pelancongan ini buat kali pertama.

 

“Saya datang bersama-sama dengan isteri dan anak. Tetapi, yang lebih penting, saya menemani ayah saya yang akan menunaikan haji bersama-sama ibu saya pada tahun ini,” jelas Syafiq yang bertugas sebagai pengarah urusan sebuah syarikat.

 

Sambil memuji langkah penganjuran karnival kerana dapat memberikan maklumat berguna, beliau mahu acara ini terus diadakan setiap tahun.

 

“Pusat Konvensyen Movenpick ini sesuai kerana strategik. Kawasan letak keretanya luas. Pengunjung juga boleh meletakkan kereta masing-masing di kawasan masjid bersebelahan,” tambah Syafiq.

=======================================================================

                                              

                         Pengunjung dari Seremban, Muhammad Syafiq Fauzi.

=======================================================================

Sementara itu, Nor Aini Muhamad, 55, dari Bagan Datuk, memberitahu beliau pernah mengunjungi karnival ini tahun lalu.

 

“Saya datang untuk meninjau dan mendapatkan maklumat penting yang berkaitan. Saya juga mengikuti kursus haji dari semasa ke semasa walaupun hajat menunaikan masih belum tercapai,” katanya yang telah bersara dua tahun lalu.

 

Melihat sambutan orang ramai yang memberangsangkan, Nor Aini yang tidak mahu gambarnya disiarkan, berharap dan suka karnival ini terus dianjurkan di Pusat Konvensyen Movenpick saban tahun.   

 

KHUP 2024 berlangsung dari 19 hingga 21 Januari, dan dibuka kepada orang ramai tanpa bayaran masuk. Ia dianjurkan oleh Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Bumitra Malaysia.

 

Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Dewan Mentari, Pusat Konvensyen Movenpick pada 19 Januari lalu.

 

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Dr Mohd Naim memberitahu kerajaan telah bersetuju meneruskan Bantuan Kewangan Haji Secara Bersasar yang diberikan kepada jemaah Haji Muasassah golongan B40 dengan jumlah RM1,000 seorang.

=======================================================================

                                          

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

=======================================================================

Jelas beliau, penawaran bantuan itu turut mendapat persetujuan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar, di mana jemaah Muassasah B40 hanya membayar kos sebanyak RM 12,356.

 

Sebagaimana yang kita sedia maklum, tambah beliau, kos menunaikan haji meningkat setiap tahun, khususnya beberapa kos yang perlu ditanggung di Arab Saudi.

 

Bagi musim haji 2024, kos keseluruhan bagi seorang jemaah haji adalah RM33,300 yang bererti kenaikan sebanyak lapan peratus, berbanding musim 2023, iaitu RM30,850.

 

“Kos tersebut merangkumi seluruh rantaian perkhidmatan, termasuk penginapan, penerbangan, sajian, visa, perkhidmatan semasa di tanah air dan Tanah Suci, termasuk operasi masyair, pengangkutan, pengurusan kebajikan serta kesihatan jemaah,” kata Dr Mohd Naim lagi.

 

Karnival yang ini adalah kali kedua, selepas mencapai kejayaan pada kali pertama, tahun lalu.

                                     

 

Tambah Mohd Naim, pada masa sama, bakal jemaah haji turut memilih pakej yang ditawarkan oleh 25 syarikat PJH yang dilesenkan oleh TH, bagi memudahkan pemantauan, selain mengelakkan penipuan.

 

“Saranan itu turut melibatkan kumpulan jemaah haji yang mendapat visa Furada dan Mujamalah. Kesemua 25 syarikat PJH, termasuk Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd telah melalui proses penilaian ketat, serta memenuhi syarat ditetapkan sebelum memperoleh lesen,” ujar beliau.

                                     

 

Kata Naim lagi, kerajaan juga telah bersetuju agar kadar bayaran haji untuk seorang bakal haji muassasah kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan pada RM13,356 seorang.

 

“Bantuan kewangan haji secara bersasar turut diberikan kepada jemaah Haji Muasassah bagi golongan B40 dengan jumlah sebanyak RM 1,000.00. Ertinya, dengan tambahan bantuan ini, jemaah haji muassasah B40 akan membayar kos haji sebanyak RM 12,356.00,” tambah beliau.

 

Naim turut memberitahu bahawa bakal haji kumpulan B40 akan menerima bantuan kewangan haji berjumlah RM19,944 seorang, atau 60 peratus daripada kos haji.

 

“Bayaran haji bagi bakal haji muassasah kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan ibadat haji pula adalah RM19,152 seorang. Bakal haji kumpulan M40 akan menerima bantuan kewangan haji berjumlah RM14,148 seorang, atau 42 peratus dari kos keseluruhan kos haji,” tambah beliau.

 

Sementara itu, kumpulan T20 akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan haji, iaitu sebanyak RM33,300 seorang.

=======================================================================

                                         

YYB enator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (tiga dari kiri) melakukan gimik perasmian Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 (KHUP 2024) di Dewan Mentari, Pusat Konvensyen Movenpick, Sepang pada 19 Januari lalu.

8.    ==============================================================================================================================


Turut hadir termasuklah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH, Ybrs Tuan Syed Hamadah Syed Othman, Pengarah Eksekutif Haji TH, Ybhg Dato; Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Ybhg Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, YAA Dato’ Mohd Amran Mat Zain, Ketua Pengarah, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Ybhg Dato’ Selamat Paigo, dan Presiden Bumitra Malaysia, Ybrs Tuan Hj Harun KC Ahmmu.

 

Dalam ucapannya, Tuan Syed Hamadah mengumumkan pengeluaran Surat Panggilan Haji 2024 bermula pada 19 Januari, kepada 31,600 bakal jemaah haji.

 

“Jemaah yang mendapat tawaran haji perlu menjawab surat tawaran segera melalui Aplikasi THiJARI, sebelum rayuan haji dibuka pada 26 Januari, iaitu Jumaat hadapan menerusi aplikasi THiJARI,” ujar beliau.

 

Mengenai kos rayuan haji luar giliran, Syed Hamadah menjelaskan bahawa jemaah yang mahu berbuat demikian perlu membayar penuh kos haji RM33,300, kecuali rayuan mahram, rayuan pembantu jemaah usia lanjut, dan rayuan membawa jemaah OKU.

 ======================================================================

                                            

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH, Ybrs Tuan Syed Hamadah Syed Othman.

=======================================================================

“Panggilan haji 2024 mengutamakan bakal haji yang masih lagi berbaki (akibat COVID-19) sehingga 2023, dan sebahagian giliran haji 2024. TH memaklumkan ada empat juta pendeposit TH, dan yang telah berdaftar untuk menunaikan haji yang masih menunggu giliran haji,” tambah beliau.

 

Setakat ini, terdapat 25 syarikat pelancongan tempatan telah diberikan lesen PJH untuk musim haji 2024.

 

Antaranya termasuklah TH Travel & Services Sdn Bhd, Al Balad Travel & Tours Sdn Bhd, Alif Travel & Tours Sdn Bhd, Amani Travel Sdn Bhd, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd, Batuta Travel & Tours Sdn Bhd, Iman Travel & Tours Sdn Bhd, Felda Travel Sdn Bhd, Gemilang Travel and Tours Sdn Bhd, Kembara Umrah Sdn Bhd, TM Tours & Travel Sdn Bhd, dan Utas Travel & Tours Worldwide Holidays Sdn Bhd.

=======================================================================

                                      

Para Pengendali Jemaah Haji bersama-sama YB Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dan tetamu kehormat lain.

=======================================================================

Semasa menyertai KHUP 2024 selama tiga hari, mereka turut mempromosikan pelbagai pakej menunaikan haji, umrah dan pelancongan untuk ditawarkan kepada bakal jemaah haji, yang menjadikan karnival ini berbeza, sebagaimana yang diakui Tuan Hj Harun.

 

Mengenai jumlah pengunjung karnival ini, TH dan Bumitra Malaysia sama-sama mensasarkan kehadiran lebih 10,000 orang.

 

Walau bagaimanapun, dengan jumlah kehadiran 2,000 pengunjung sebelum majlis perasmian pada jam 3 petang, 19 Januari, penganjur mensasarkan 15,000 pengunjung. Lebih ramai pengunjung datang pada Sabtu dan Ahad.

 

Dengan menampilkan perbezaan, pelbagai kelainan, penambahbaikan, dan kawasan lebih luas memuatkan sehingga 140 reruai, KHUP 2024 juga merupakan kesinambungan atas kejayaan KHU 2023.

=======================================================================

                                                                                                

                                                                    

                                                                    

 Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 (KHUP 2024) di Pusat Konvensyen Movenpick, Sepang pada 19 hingga 21 Januari.

7.   ==============================================================================================================================

 

Selain meneruskan kecemerlangan karnival, TH dan Bumitra Malaysia ingin meningkatkan kesedaran masyarakat umum mengenai kepentingan memilih syarikat pengendali haji yang menerima lesen PJH, serta ekoran permintaan, dan maklum balas orang ramai.

 

KHU 2023 berjaya mencapai sasaran, dan menerima kehadiran lebih 5,000 pengunjung.

 

Karnival ini juga menjadi antara platform untuk memberitahu orang ramai bahawa hanya syarikat berlesen sah sahaja yang boleh menawarkan perkhidmatan pengelolaan haji.

 

Selain penyertaan 25 syarikat PJH sebagai pempamer, Bank Islam Malaysia Berhad, AMAL (Malaysia Airlines), Takaful Malaysia Berhad, dan Saudi Tourism Authority yang turut menyertai karnival ini sebagai pempamer.

=======================================================================

                                        

Bank Islam Malaysia Berhad mengadakan taklimat produk di reruainya pada 19 Januari lalu.

=======================================================================

KHUP 2024 dilangsungkan dalam dua tempoh masa berbeza, iaitu dari jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam pada 19, dan 20 Januari; dan dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja pada 21 Januari.

 

Selama tiga hari, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan seperti program simulasi haji untuk kanak-kanak, iaitu Simulasi Haji Cilik (setiap hari), persembahan gamelan di pentas 2 (19 dan 20 Januari), dan Bual Bicara di pentas utama (20 dan 21 Januari).

 

Acara pada hari pertama dimulakan oleh ucapan selamat datang daripada pengacara majlis, dan penerangan ringkas tatacara perjalanan karnival, diikuti bacaan doa, serta bacaan al-Quran dan tejemahannya.

 

Tujuh syarikat PJH yang terbabit dengan taklimat pada hari perasmian ialah Kawan International Travel Sdn Bhd, Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd, Kembara Umrah Sdn Bhd, Jad Travel & Tours (M) Sdn Bhd, Eiman Travel Tours Sdn Bhd, Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd, dan Tri-D Travel & Tours Sdn Bhd.

=======================================================================                                                                                                          

                           Kumpulan In-Team mendendangkan lagu Labbaikallah.

=======================================================================

Sebagai hiburan menarik berunsur Islam, kumpulan nasyid terkenal, In-Team ditampilkan dengan empat lagu popular mereka, termasuk Labbaikallah.   

 

Taklimat produk oleh Bank Islam turut diadakan pada 19 Januari. Kuiz dan juga cabutan bertuah, khusus untuk para pengunjung dengan tawaran hadiah yang lumayan, termasuklah pakej menunaikan umrah pula berlangsung setiap hari di pentas 2.

 

-       RAJA YUSOFF ARIFFIN
















No comments:

Powered by Blogger.