AD-DIN



Pandu Umat Islam Pilih Syarikat Pengelola Berlesen Sah

KARNIVAL HAJI, UMRAH DAN PELANCONGAN 2024

 

WALAUPUN mengikut logik dan kewajaran, memang bukan perkara aneh jika syarikat umrah dan pelancongan di negara ini yang tidak berdaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) didiskriminasi.

 

Kerap didengar kes ramai yang diperdaya oleh beberapa syarikat berkenaan, lantas hajat menjejakkan kaki di Madinah, dan Mekah tidak kesampaian.

 

Berdasarkan krisis itu, wajarkah syarikat tersebut turut diberi peluang oleh TH untuk membuat promosi kepada masyarakat?

 

Menjawab soalan tersebut, Pengarah Eksekutif Haji TH, Ybhg Dato’ Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman mengatakan pihak beliau tidak bersedia berbuat demikian.

 

TH mempunyai tanggungjawab besar. Selain mengangkat syiar Islam, kami memang perlu memastikan semua bakal jemaah umrah dan haji dapat menunaikan ibadat tersebut dengan sebaik-baiknya,” tegas Dato’ Seri Syed Saleh.

=======================================================================

                                                                                           

Dari kiri; Haji Anuar Ahmad, Dato’ Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Tuan Hj Harun KC Ahmmu, dan  Encik Ab Rahman Mohd Ali. 

                                   

======================================================================

Justeru, tambah beliau, umat Islam perlulah mengikut saluran atau jalan yang betul, iaitu melalui syarikat yang berdaftar dengan TH. Hal ini amat perlu diberikan perhatian oleh bakal jemaah kerana kos atau perbelanjaan sekarang bukanlah kecil.

 

Kos mengerjakan haji pada tahun lalu adalah RM30,850. Pada tahun ini, jumlah tersebut dijangka meningkat beberapa peratus,” kata beliau semasa sidang media Karnival Haji: Umrah & Pelancongan Kali ke-2 Pengelola Jemaah Haji (Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024), di Hotel Double Tree by Hilton, Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu.

 

Setakat ini, tambah Syed Saleh, terdapat 25 syarikat pelancongan tempatan telah diberikan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk musim Haji 1445H/2024.

 

Antaranya termasuklah TH Travel & Services Sdn Bhd, Al Balad Travel & Tours Sdn Bhd, Alif Travel & Tours Sdn Bhd, Amani Travel Sdn Bhd, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd, Batuta Travel & Tours Sdn Bhd, Iman Travel & Tours Sdn Bhd, Felda Travel Sdn Bhd, Gemilang Travel and Tours Sdn Bhd, Kembara Umrah Sdn Bhd, TM Tours & Travel Sdn Bhd, dan Utas Travel & Tours Worldwide Holidays Sdn Bhd.

 

Kesemua 25 syarikat berlesen PJH ini akan berkumpul dalam Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024, anjuran TH dengan kerjasama Persatuan Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia), di Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC), Sepang.

 

Mereka akan turut mempromosikan pelbagai pakej menunaikan haji, umrah dan pelancongan untuk ditawarkan kepada bakal jemaah haji, yang menjadikan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 berbeza, sebagaimana yang diakui Presiden Bumitra Malaysia, Ybrs Tuan Hj Harun KC Ahmmu.

 

Mengenai jumlah pengunjung karnival dari 19 hingga 21 Januari ini, TH dan Bumitra Malaysia sama-sama mensasarkan kehadiran lebih 10,000 orang.

 

Bagi pengeluaran surat tawaran mengerjakan haji pada tahun ini, Syed Saleh memberitahu hal tersebut akan diuruskan dalam masa yang terdekat.

 

Dengan menampilkan perbezaan, pelbagai kelainan, dan penambahbaikan, Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 seperti yang diberitahu oleh Syed Saleh juga merupakan kesinambungan atas kejayaan karnival pertama pada 2023.

 

“Selain meneruskan kecemerlangan karnival, TH dan Bumitra Malaysia ingin meningkatkan kesedaran masyarakat umum mengenai kepentingan memilih syarikat pengendali haji yang menerima lesen PJH,” tegas beliau yang mengakui penganjuran pada tahun ini juga ekoran permintaan, dan maklum balas orang ramai.

=======================================================================

                                                                                      

 Dato’ Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman (kiri) dan Tuan Hj Harun KC Ahmmu.

=======================================================================

Untuk catatan, Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2023, ujar Syed Saleh, telah mencapai sasaran, dan menerima kehadiran lebih 5,000 pengunjung.

 

“Karnival ini juga menjadi serampang dua mata. Selain mempromosi pakej haji, umrah dan pelancongan, ia juga menjadi antara platform untuk memberitahu orang ramai bahawa hanya syarikat berlesen sah sahaja yang boleh menawarkan perkhidmatan pengelolaan haji,” tambah beliau.

 

Mengenai cadangan beberapa pihak agar karnival bermanfaat ini turut diadakan di zon-zon lain, termasuk Sabah dan Sarawak, Syed Saleh memberitahu, perkara itu memang dalam perancangan TH.

 

“Insya-Allah, dalam masa terdekat juga, Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan akan mula dianjurkan di zon-zon lain yang dicadangkan itu,” jawab beliau.

=======================================================================

                                        

 Haji Anuar Ahmad (kiri) dan Dato’ Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

=======================================================================

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Tuan Harun menyampaikan ucapan setinggi-tinggi terima kasih pihak Bumitra Malaysia kepada TH yang menyediakan peluang memperkenal syarikat-syarikat PJH berkongsi tawaran masing-masing kepada para bakal haji khususnya, dan masyarakat umumnya.

 

“Mereka boleh memberikan penerangan mengenai tawaran pakej haji swasta yang ditawarkan. Ini akan memberikan lebih pilihan, serta nilai tambah kepada mereka mengikut kemampuan, serta tawaran pelbagai pakej umrah, dan pelancongan merentasi semua negara,” katanya.

 

Tambah Harun, Bumitra Malaysia yakin, dengan persediaan rapi, tempoh lebih panjang, pengisian yang padat dan menarik, serta kawasan lebih luas memuatkan sehingga 140 reruai, Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 mampu menarik lebih ramai pengunjung.

 

“Selain penyertaan 25 syarikat PJH sebagai pempamer, kami juga berbesar hati mendapat sokongan Bank Islam, AMAL (Malaysia Airlines), Takaful Malaysia Berhad, dan Saudi Tourism Authority yang turut menyertai karnival ini sebagai pempamer,” ujarnya lagi.

 

Turut menghadiri sidang media karnival tersebut ialah Ketua Bahagian Haji TH, Ybrs Tuan Haji Anuar Ahmad, dan Setiausaha Agung Kehormat Bumitra Malaysia, Ybrs Encik Ab Rahman Mohd Ali.

 

Menariknya, Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 yang dilangsungkan dalam dua tempoh masa berbeza ini tidak mengenakan sebarang bayaran masuk kepada pengunjung.

 

Karnival akan berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 9.00 malam pada 19, dan 20 Januari. Sementara, pada 21 Januari, ia dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja.

 

Selama tiga hari, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan seperti program simulasi haji untuk kanak-kanak, iaitu Simulasi Haji Cilik (setiap hari), persembahan gamelan di pentas 2 (19 dan 20 Januari), dan Bual Bicara di pentas utama (20 dan 21 Januari).

 

Pada 20 Januari, Bual Bicara akan dijayakan oleh AJK Penasihat Ibadat Haji (TH-JAKIM), Ybrs Puan Dr Hajah Shamsiah Mohamad, serta Syed Saleh dan Harun sendiri sebagai ahli panel membincangkan Persediaan dan Cabaran Jemaah Haji Malaysia di Tanah Suci.

 

Pada 21 Januari pula, dengan topik menarik, iaitu Penipuan Pakej Haji – Implikasi & Cabaran oleh Ketua Perundangan & Sekretarial Kumpulan TH, Ybrs Tuan Haji Mohd Shuhaimi Ismail, Setiausaha Bahagian Pelesenan MOTAC, Encik Roslan Mohamed, dan Timbalan Pengerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia KPDNHEP, Encik Mohamad Hafisol Yusoff sebagai ahli panel.

 

Sementara persembahan artis nasyid terkenal akan menampilkan In-Team pada 19 Januari, Rabbani (20 Januari), dan Saujana (21 Januari) di pentas 2.

=======================================================================

                                          

     Dato’ Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menyampaikan ucapan.

=======================================================================

Taklimat produk oleh Bank Islam diadakan pada 19 Januari. Kuiz dan juga cabutan bertuah, khusus untuk para pengunjung dengan tawaran hadiah yang lumayan, termasuklah pakej menunaikan umrah pula berlangsung setiap hari di pentas 2.

 

Syed Saleh akan turut menyampaikan Kalimah Akhirah karnival di pentas utama pada 21 Januari.

 

Perasmian Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 akan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Malaysia, YB Senator Dato’ Setia Dr Hj Mohd Naim Hj Mokhtar pada 19 Januari pukul 3 petang.

 

- RAJA YUSOFF ARIFFIN

No comments:

Powered by Blogger.