FILEM

 

Captain Miller Bukan Filem Aksi Lasak ‘Kosong’!

 

SEBAGAI peminat filem, penulis turut menonton filem dari Kollywood, walaupun kebanyakannya menerusi TV2 RTM. Sesekali ada filem Tamil dari Malaysia turut ditayangkan di saluran televisyen tersebut.

 

Jika menarik, saya akan menontonnya hingga selesai walaupun durasi tayangan hampir tiga jam. Kalau ditayangkan beberapa kali kemudian pun, saya tetap menontonnya lagi.

 

Dari segi tipikal, memang filem Tamil Kollywood kerap membawa tema penentangan rakyat terhadap pemimpin, seperti wakil rakyat atau menteri yang rasuah.

 

Prop seperti mahkamah, balai polis, pegawai/anggota polis, jip dan trak polis, serta kereta api menjadi kebiasaan, malah satu kemestian.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------             

Puan Saradha Sivalingam Kalai (kiri) bersama-sama suaminya, MS Kalai yang juga pengasas MSK Cinemas Sdn Bhd.

=========================================================================

Pada 12 Januari lalu di GSC Quill City Mall, Kuala Lumpur, penulis diundang menonton filem terbaharu dari Kollywood, malah filem Tamil pertama bagi pawagam di seluruh negara untuk 2024. Tarikh tersebut juga adalah hari pertama tayangannya di Malaysia.

 

Melihat posternya yang seperti poster filem Hollywood, apakah filem Tamil ini membawa kelainan? Sebagai memenuhi undangan teman dan tugas pihak media, penulis datang menonton.

 

Membawakan tema patriotisme, filem tersebut yang berjudul Captain Miller tampil dengan kelainan. Tiada mahkamah, balai polis, pegawai/anggota polis, jip dan trak polis, serta kereta api di sepanjang 157 minit durasinya.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------- 

        

Dhanush beraksi cemerlang dalam filem pengembaraan aksi lasak patriotisme ini.

===========================================================================

Captain Miller merupakan filem bercorak pengembaraan aksi lasak dalam bahasa Tamil arahan Arun Matheswaran, dan diterbitkan oleh Sathya Jyothi Films.

 

Arun, 41, dikenali dengan filem Rocky (2012), lakonan Vasanth Ravi dan Bharathiraja, dan Saani Kaayidham (2022, Keerthy Suresh dan Selvaraghavan).

 

Menerusi Saani Kaayidham, para peminat filem Kollywood memahami kecenderungan Arun memaparkan adegan balas dendam yang ganas, dan kejam. Justeru, filem ini diklasifasikan sebagai 18+ kerana mengandungi keganasan yang dimaksudkan.

 

Sebenarnya, Captain Miller dengan slogan “Killer, Killer, Captain Miller!” adalah filem pertama daripada trilogi mengikut perancangan. Ia dibintangi Dhanush sebagai Analeesan ‘Easa’ atau Kapten Miller.

 

Beliau berganding dengan Shiva Rajkumar (Sengolan), Priyanka Arul Mohan (Velmathi), Aditi Balan (Shakunthala), Sundeep Kishan (Rafi), Edward Sonnenblick (Andrew Wandy), Elango Kumaravel (Kannaya), Viji Chandrasekhar (Easa, ibu Sengolan), Kaali Venkat (Kumastha Kanagasabai), ‘Merku Thodarchi Malai’ (Antony), Arunodhayan (Ayyavu), dan Abdool Lee (Stephen).

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Ditayangkan di pelbagai rangkaian pawagam di seluruh Malaysia.
==================================================================================================================================================

 Mereka dibantu oleh John Kokken, Nivedhithaa Sathish, Vinoth Kishan, Nassar, Alexx O'Nell, Bala Saravanan, Jayaprakash, Bose Venkat, Swayam Siddha, Sumesh Moor, dan Amir Ali Shaik.

 

Mengimbau sejarah penerbitan filem ini, Arun menulis skrip pada 2018, dan Sathya Jyothi Films menerbitkannya. Walau bagaimanapun, ia terhenti sehinggalah 2019. Pada asalnya, ia diberi judul D47 (filem lakonan Dhanush yang ke-47) kerana Arun amat tertarik dengan filem arahan Steven Spielberg yang dibintangi Tom Hanks sebagai Kapten John Miller, iaitu Saving Private Ryan (1998). Ia diumumkan pada Julai 2022.

 

Penggambaran dijalankan dua bulan kemudian, dan selesai pada lewat 2023 di Chennai, Tirunelveli dan Tenkasi.

 

Muzik Captain Miller ditata oleh GV Prakash Kumar. Sinematografi di bawah kendalian Siddhartha Nuni, dengan penyuntingnya Nagooran Ramachandran.

 

Tayangan Captain Miller di seluruh dunia, termasuk Malaysia juga bersempena dengan minggu Pongal, dalam format biasa, dan IMAX. Aspek lakonan dan penataan muziknya mendapat pujian ramai.

 

Captain Miller merupakan filem ketujuh kolaborasi Prakash Kumar dengan Dhanush selepas Polladhavan (2007), Aadukalam (2011), Mayakkam Enna (2011), Asuran (2019), Maaran (2022), dan Vaathi (2023), dan pertama dengan Arun.

 

Kumar menghasilkan lagu-lagu menarik di bawah label Saregama. Lagu tunggal pertama, Killer Killer disiarkan pada 22 November 2023, diikuti Un Oliyile pada 23 Disember berikutnya.

 

Seterusnya, Koranaaru dilancarkan pada 2 Januari, Kombari Vettapuli seminggu kemudian, dan Rise of Miller pada 11 Januari lalu.

 

Pengedaran untuk tayangan Captain Miller di Malaysia dilakukan oleh MSK Cinemas Sdn Bhd. Menurut Puan Saradha Sivalingam Kalai, pengarah syarikat berkenaan yang turut menghadiri majlis tayangan media itu, Captain Miller adalah filem Tamil pertama ditampilkan dalam IMAX.

 

Dengan reputasi Dhanush, 40, bekas menantu legenda Kollywood, Rajinikanth dan membintangi 47 filem sejak 2002, beliau berharap Captain Miller yang menelan kos 50 crore (RM28 juta), akan mendapat sambutan hangat di Malaysia.

 

Penonton yang gemarkan adegan pertarungan sengit, letupan di sana-sini dan kejar-mengejar protagonis-antagonis, Captain Miller adalah pilihan mereka yang tepat.

 

Selain itu, kejelitaan Priyanka Mohan, 29, mampu menarik penonton ke pawagam, apatah lagi beliau tidak bersandarkan rupa paras semata-mata.    

 

Analeesan ‘Eesa’ merupakan bekas tentera British yang dipanggil Captain Miller. Dia berazam membela, dan melindungi rakyat India daripada cengkaman British selepas menyaksikan kekejaman pegawai tentera negara penjajah itu.

 

Berlatarbelakangkan zaman pemerintahan British, keganasan dan ‘keseruan’ filem ini bermula apabila penjajah tersebut memburu Analeesan/Miller, yang dikehendaki kerana berpaling tadah, apatah lagi membunuh anak pegawai tentera British.

 

Meskipun ada yang mempertikai fizikalnya untuk memegang watak wira yang ganas dan lasak, tetapi Dhanush kelihatan selesa, malah bersungguh-sungguh menjayakannya. Tidak keterlaluan jika dikatakan beliau sesuai sebagai Kapten Miller.

 

Antara perkara menarik mengenai filem ini yang boleh diteladani ialah penentangan terhadap penjajah tidak mengira negara, dan bangsa apa pun. Walaupun, dengan cara dan kemampuan yang berbeza, ‘lawan tetap lawan’. Penjajah mesti diusir dengan apa cara pun.

 

Selain itu, jelas kelihatan unsur agama dipaparkan di sepanjang filem ini. Di samping semangat, tenaga dan kecerdasan fikiran, pegangan agama yang utuh juga amat penting dalam perjuangan membebaskan negara daripada penjajahan – mengikut agama masing-masing. 

 

Penulis agak bersetuju dengan pandangan bahawa bermula dengan Captain Miller ini, pembikin filem Tamil Kollywood menunjukkan kesungguhan mereka untuk menghasilkan karya-karya setanding dengan Hollywood.

 

-         RAJA YUSOFF ARIFFIN

 


No comments:

Powered by Blogger.