MUZIK
Kolaborasi Lima Pemuzik Jalanan
BINTANG JALANAN
TELAH terbit sebuah album kompilasi berjudul Bintang Jalanan – Kolaborasi Album Pemuzik Jalanan. Album mengandungi 10 lagu, serta sebuah lagu bonus ini menampilkan lima pemuzik jalanan berbakat, dan pernah menempa nama dalam sirkit muzik tempatan.
Mereka adalah Ammal, Naib Juara Akademi Fantasia 2016, Amir pula peserta Mentor, Islah (All Together Now), Nan Blues (salah seorang OTAI Buskers Malaysia), dan Yone (antara buskers terbaik Pulau Pinang).
Kelima mereka tampil dan mendendangkan lagu masing-masing dalam majlis Pelancaran Album Bintang Jalanan di Santai Seni@TAR, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 14 Julai lalu.
Dari kiri; Ammal, Nan Blues, Amir, Islah dan Yone.
Menariknya, pelancaran album berkenaan disempurnakan bersama-sama oleh Encik Isma Azad dari Panca Abadi, Encik Abdul Syatar (Timbalan Pengarah CATS), Encik Izwan Razif (Timbalan Pengarah Kanan CATS), Encik Fauzi Ahmad (Ketua Unit CATS), Encik Jon Teoh (MAPMUSIC), serta legenda blues negara, Dato’ Ito Blues Gang.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Dato’ Freddie Fernandez diberi penghormatan menyempurnakan perasmian majlis berkenaan.
Menurut penerbitnya, Amad semasa pelancaran album tersebut, beliau mendapat idea penerbitan Bintang Jalanan ketika rakyat Malaysia di‘kurung’ menjalani perintah kawalan pergerakan, dan diusulkan kepada rakan-rakan buskers terlibat.
Penerbit album Bintang Jalanan, Amad.
=======================================================================
Kesemua lagu dalam Bintang Jalanan yang mendapat dana di bawah Program Pembiayaan Muzik Independen CENDANA ini adalah karya baharu dalam pelbagai jalur genre seperti folk, blues, dan reggae. MAPMUSIC mengedarkannya secara digital.
Nan Blues mengalunkan Dengar dan Lihat, ciptaannya sendiri.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Amir mendendangkan A Shadow Play, ciptaannya bersama-sama Amad dan Amal.
Islah dengan vokal mantap menyanyikan Biar Saja Aku Di Sini, ciptaannya sendiri bersama-sama Shamel dan Amad.
Yone mengakhiri persembahan pelancaran Bintang Jalanan dengan lagu ciptaan beliau, Superhero.
Proses penerbitan muzik Bintang Jalanan mendapat sentuhan penyanyi dan pemuzik hebat, Oja. Ia dirakamkan secara profesional dari semua aspek rakaman, sehinggalah ke adunan akhir.
“Meskipun album ini agak komersial, saya memastikan vibe dan etika buskers tetap terpelihara baik dari segi muzik, karektor dan konsep keseluruhan. Bintang Jalanan tetap berunsur pop semasa agar mudah diterima ramai. Buskers bukan sekadar muzik, tapi juga ‘sikap’,” ujar Amad.
Permintaan beliau agar buskers diberikan sokongan padu kerana mereka ‘bekerja’ mencari nafkah diri dan keluarga, turut disahut oleh Dato’ Freddie dan Dato’ Ito.
Komitmen KARYAWAN dalam hal ini tidak perlu dipertikai kerana di bawahnya terdapat 800 buskers.
“Semua buskers ini serius ‘bekerja’ setiap hari. Mereka bukan sekadar ‘main-main’ bermain muzik, dan menyanyi di pinggir jalan,” tegas Amad.
Pelancaran Bintang Jalanan diadakan bersempena dengan Santai Seni @TAR, anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang khusus untuk seniman jalanan pada minggu kedua dan keempat setiap bulan di sepanjang Jalan Esfahan hingga Jalan Melayu.
Pelbagai hiburan santai disediakan secara percuma, seperti persembahan muzik, pelukis, maskot, tarian, dan pertandingan permainan tradisional.
Tempat ini juga bakal dijadikan hub bagi pelbagai program seperti pelancaran album dan produk yang bersesuaian. DBKL amat mengalu-alukan sesiapa yang berminat menjadi rakan strategik melaksanakan program di sini.
Tapak bagi semua persembahan mereka yang ingin terlibat adalah secara percuma. Sebarang cadangan boleh email ke santaiseni00@gmail.com atau FB santai seni at TAR.
-
RAJA
YUSOFF ARIFFIN
No comments: