AD-DIN
=========================================================================
Berselawat di Puncak
Menara Tinggi Sambut 1 Rejab Menjelang Ramadan
SECARA keseluruhannya,
penganjur ‘Gema Selawat: meluahkan Cinta & Rindu di puncak’di puncak Menara
Kuala Lumpur & Menara Alor Setar serentak pada 31 Disember 2024 dan 1
Januari 2025 lalu berpuas hati.
Sebagai penutup tirai 2024, program yang boleh dianggap
berskala besar itu berkonsepkan Islam, dengan tujuan mengajak semua umat Islam
tanpa mengira usia, sama-sama menyemarakkannya.
Semasa sidang media seusai program, YBrs Puan Nur Amira Abd
Razak, Pengarah Urusan NHMall Worldwide Empire (AM Entertainment), mengatakan selain berselawat
memuji kebesaran Allah SWT, dan mengenang jasa Nabi Muhammad SAW, beberapa
paparan dokumentari sirah perjuangan Baginda turut diselitkan.
Puan Nur Amira Abd Razak (jubah hitam) bersama-sama Dato' Royce Salyan, dan Ustaz Muhammad Fitri Abd Samad.
=========================================================================
“Sebagai hasil usaha pertama yang tentunya tidak terlepas
daripada beberapa kelemahan tertentu, saya dan rakan-rakan penganjur bersyukur,
dan gembira impian dapat dijelmakan dengan jayanya,” ujar beliau.
Pengisian positif tersebut dengan sendirinya menepis dakwaan
pihak-pihak tertentu bahawa umat Islam tidak boleh mengadakan acara sambutan
tahun baharu Masehi.
Seperti yang telah dijelaskan, program gema selawat tersebut
juga merupakan landasan untuk membawa ummah mendekatkan diri kepada Allah dan
Rasulullah.
Ustaz Fitri Abd Samad sebagai salah seorang AJK Penyelaras
Media dan Jemputan Khas yang turut menghadiri sidang media, menegaskan orang ramai
boleh berkata, dan mengangggap apa sahaja.
“Tetapi, nama program tidak menyebut tahun baharu Masehi
2025. Memang pada tarikh 31 Disember, tetapi kami sebenarnya meraikan 1 Rejab
1446 Hijrah, bukan 1 Januari 2025,” ujar Ustaz Fitri dengan tenang.
Tarikh 1 Januari 2025 bersamaan dengan 1 Rejab 1446 Hijrah,
dan langkah AM Entertainment sedemikian boleh dianggap bijak.
Perasmian program berkenaan disempurnakan oleh YBhg Dato’
Syed Hood Edros Al Idrus, Pengerusi Rabithah Alawiyah Malaysia. Sebelum itu,
hadirin dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu ketuhanan oleh Dato’ Royce Salyan
dan kumpulan Siddiq.
Dato’ Syed Hood Edros Al Idrus menyampaikan ucapan perasmian ‘Gema Selawat: meluahkan Cinta & Rindu di puncak’ pada 31 Disember lalu.
=========================================================================
Dalam ucapannya yang agak tegas disulami jenaka, Dato’ Syed
Hood turut menitipkan pesanan agar umat Islam kembali menghayati ajaran Islam
dalam kehidupan yang kian mencabar hari ini.
Syed Hood kemudian diberikan penghormatan menyampaikan
anugerah Siri Pertama kepada beberapa penerima Anugerah Tokoh Berjasa Terpilih
2024.
Antaranya ialah Anugerah JASA Bakti Utama Rakyat Malaysia
2024, iaitu Pengasas Pembuka Pameran
Artifak Rasulullah SAW Malaysia Indonesia, Brunei, Singapura, dan Thailand, Almarhum
Dato’ Paduka Prof Emeritus Dr Haji Abdul Manan Embong, yang menamatkan analisis
kajian tamadun sejarah. Anugerah diterima oleh wakil Allahyarham.
Seterusnya, Anugerah Tilawah Mahabatulquran 2024 kepada Ustaz
Muhammad Umar Syazuli Mohd Tahir; Anugerah Tuan Guru Jasa Bakti untuk YBhg Tuan
Guru Ato’illah Haji Sidek; penulis khat ayat suci al-Quran dengan tangan
sendiri berasaskan air zam zam (karya seni pemegang tiga rekod Malaysia Book of Record) kepada YBhg Ustaz
Abdul Halim Mohamed Omar; Ikon Seni Vokal & Suara untuk Mejar (K) Siti
Hajar Ismail, yang mengajar vokal al-Quran untuk peserta tilawah, serta guru kumpulan
qasidah; dan Anugerah Perhubungan Antarabangsa, Lt Kolonel (B) Muhammad Said
Saidin.
Puan Nur Amira Abd Razak menyampaikan ucapan alu-aluan.
=========================================================================
Turut mengisi program makan malam dan berselawat itu adalah
bacaan al-Quran, nasyid dan qasidah, ratib Walmaulud Al Yaqin, majlis maulid
oleh Kumpulan Qasidah Pondok Jorak, tausiah oleh Sheikh Firash Muhamad Zuhair
yang diterjemahkan oleh Ustaz Muhamad Al Bashar, sketsa ‘Sentuhan Kasih Cintai
Tanah Air’, dan persembahan penyanyi yang terkenal dengan lagu Tangisan Sebatang Tamar, iaitu Daqmie.
Kiraan mundur detik 12 tengah malam, berselawat dan diikuti
nyanyian lagu Negaraku, mengakhiri
program anjuran bersama Radio Televisyen Malaysia, Radio Zayan, Global Siddiq
Entertainment, serta pastinya Menara Kuala Lumpur, dan Menara Alor Setar.
Turut hadir Syeikh Mukhtar Jamel, Syeikh Muhamad Ben Omar Al-Ya’ani, Syeikh Muhamad Ibrahim Al-Ahdal, dan Syeikh Niyaz Ahmad Hisammuddin dari Yaman, Dr Habib Ebrahim Muhammad Al Ahdal dan Dr Habib Taher Al Ahdal dari Mekah, Ustaz Nader Sheikh Abdullah (Syria), serta Ustaz Johari Mohd Som, Tuan Guru Ustaz Nazarudin Sarbini, dan Tuan Guru Ustaz Ato’illah Hj Sidek sebagai tetamu khas.
Umie Lyna (Setiausaha); Siti Hawa Dimiati (Penyelaras Media), dan Puan Saadiah Kamin (Koodinator) antara ahli jawatankuasa penganjur yang juga hadir bagi memastikan kelancaran program, bersama-sama Ustaz Md Zawawi Ramli, pengasas Galeri Raudhah.
* Menyemai rasa kasih dan cinta buat junjungan Nabi Muhammad SAW.
* Mengeratkan hubungan silaturahim antara kita.
* Menerapkan tenang pentingnya keimanan dalam pembentukan sahsiah diri.
* Menyemai budaya mengamalkan sunnah Nabi dalam kehidupan.
-
disesuaikan
untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN