AD-DIN

                                                                                                     

=========================================================================

Berselawat di Puncak Menara Tinggi Sambut 1 Rejab Menjelang Ramadan

 

SECARA keseluruhannya, penganjur ‘Gema Selawat: meluahkan Cinta & Rindu di puncak’di puncak Menara Kuala Lumpur & Menara Alor Setar serentak pada 31 Disember 2024 dan 1 Januari 2025 lalu berpuas hati.

 

Sebagai penutup tirai 2024, program yang boleh dianggap berskala besar itu berkonsepkan Islam, dengan tujuan mengajak semua umat Islam tanpa mengira usia, sama-sama menyemarakkannya.

 

Semasa sidang media seusai program, YBrs Puan Nur Amira Abd Razak, Pengarah Urusan NHMall Worldwide Empire (AM  Entertainment), mengatakan selain berselawat memuji kebesaran Allah SWT, dan mengenang jasa Nabi Muhammad SAW, beberapa paparan dokumentari sirah perjuangan Baginda turut diselitkan.

                                                      

Puan Nur Amira Abd Razak (jubah hitam) bersama-sama Dato' Royce Salyan, dan Ustaz Muhammad Fitri Abd Samad.

=========================================================================

“Sebagai hasil usaha pertama yang tentunya tidak terlepas daripada beberapa kelemahan tertentu, saya dan rakan-rakan penganjur bersyukur, dan gembira impian dapat dijelmakan dengan jayanya,” ujar beliau.

 

Pengisian positif tersebut dengan sendirinya menepis dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa umat Islam tidak boleh mengadakan acara sambutan tahun baharu Masehi.

 

Seperti yang telah dijelaskan, program gema selawat tersebut juga merupakan landasan untuk membawa ummah mendekatkan diri kepada Allah dan Rasulullah.

 

Ustaz Fitri Abd Samad sebagai salah seorang AJK Penyelaras Media dan Jemputan Khas yang turut menghadiri sidang media, menegaskan orang ramai boleh berkata, dan mengangggap apa sahaja.

 

“Tetapi, nama program tidak menyebut tahun baharu Masehi 2025. Memang pada tarikh 31 Disember, tetapi kami sebenarnya meraikan 1 Rejab 1446 Hijrah, bukan 1 Januari 2025,” ujar Ustaz Fitri dengan tenang.

 

Tarikh 1 Januari 2025 bersamaan dengan 1 Rejab 1446 Hijrah, dan langkah AM Entertainment sedemikian boleh dianggap bijak.

 

Perasmian program berkenaan disempurnakan oleh YBhg Dato’ Syed Hood Edros Al Idrus, Pengerusi Rabithah Alawiyah Malaysia. Sebelum itu, hadirin dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu ketuhanan oleh Dato’ Royce Salyan dan kumpulan Siddiq.

                                           

Dato’ Syed Hood Edros Al Idrus menyampaikan ucapan perasmian ‘Gema Selawat: meluahkan Cinta & Rindu di puncak’ pada 31 Disember lalu.

=========================================================================

Dalam ucapannya yang agak tegas disulami jenaka, Dato’ Syed Hood turut menitipkan pesanan agar umat Islam kembali menghayati ajaran Islam dalam kehidupan yang kian mencabar hari ini.

 

Syed Hood kemudian diberikan penghormatan menyampaikan anugerah Siri Pertama kepada beberapa penerima Anugerah Tokoh Berjasa Terpilih 2024.

 

Antaranya ialah Anugerah JASA Bakti Utama Rakyat Malaysia 2024, iaitu Pengasas Pembuka  Pameran Artifak Rasulullah SAW Malaysia Indonesia, Brunei, Singapura, dan Thailand, Almarhum Dato’ Paduka Prof Emeritus Dr Haji Abdul Manan Embong, yang menamatkan analisis kajian tamadun sejarah. Anugerah diterima oleh wakil Allahyarham.

 

Seterusnya, Anugerah Tilawah Mahabatulquran 2024 kepada Ustaz Muhammad Umar Syazuli Mohd Tahir; Anugerah Tuan Guru Jasa Bakti untuk YBhg Tuan Guru Ato’illah Haji Sidek; penulis khat ayat suci al-Quran dengan tangan sendiri berasaskan air zam zam (karya seni pemegang tiga rekod Malaysia Book of Record) kepada YBhg Ustaz Abdul Halim Mohamed Omar; Ikon Seni Vokal & Suara untuk Mejar (K) Siti Hajar Ismail, yang mengajar vokal al-Quran untuk peserta tilawah, serta guru kumpulan qasidah; dan Anugerah Perhubungan Antarabangsa, Lt Kolonel (B) Muhammad Said Saidin.

                                         

                          Puan Nur Amira Abd Razak menyampaikan ucapan alu-aluan.

=========================================================================

Turut mengisi program makan malam dan berselawat itu adalah bacaan al-Quran, nasyid dan qasidah, ratib Walmaulud Al Yaqin, majlis maulid oleh Kumpulan Qasidah Pondok Jorak, tausiah oleh Sheikh Firash Muhamad Zuhair yang diterjemahkan oleh Ustaz Muhamad Al Bashar, sketsa ‘Sentuhan Kasih Cintai Tanah Air’, dan persembahan penyanyi yang terkenal dengan lagu Tangisan Sebatang Tamar, iaitu Daqmie.

 

Kiraan mundur detik 12 tengah malam, berselawat dan diikuti nyanyian lagu Negaraku, mengakhiri program anjuran bersama Radio Televisyen Malaysia, Radio Zayan, Global Siddiq Entertainment, serta pastinya Menara Kuala Lumpur, dan Menara Alor Setar.

         

Tangisan Sebatang Kamar antara lagu yang dinyanyikan oleh Daqmie.

=========================================================================

Turut hadir Syeikh Mukhtar Jamel, Syeikh Muhamad Ben Omar Al-Ya’ani, Syeikh Muhamad Ibrahim Al-Ahdal, dan Syeikh Niyaz Ahmad Hisammuddin dari Yaman, Dr Habib Ebrahim Muhammad Al Ahdal dan Dr Habib Taher Al Ahdal dari Mekah, Ustaz Nader Sheikh Abdullah (Syria), serta Ustaz Johari Mohd Som, Tuan Guru Ustaz Nazarudin Sarbini, dan Tuan Guru Ustaz Ato’illah Hj Sidek sebagai tetamu khas.

 

Umie Lyna (Setiausaha); Siti Hawa Dimiati (Penyelaras Media), dan Puan Saadiah Kamin (Koodinator) antara ahli jawatankuasa penganjur yang juga hadir bagi memastikan kelancaran program, bersama-sama Ustaz Md Zawawi Ramli, pengasas Galeri Raudhah.


                                                                         


Antara tetamu khas yang menghadiri ‘Gema Selawat: meluahkan Cinta & Rindu di puncak’ di Menara Kuala Lumpur.

=========================================================================


Ikon Seni Vokal & Suara, Mejar (K) Siti Hajar Ismail (kanan sekali).

***********************************************************************************


Anugerah Tilawah Mahabatulquran 2024, Ustaz Muhammad Umar Syazuli Mohd Tahir (kanan sekali).

***********************************************************************************


Anugerah Perhubungan Antarabangsa, Lt Kolonel (B) Muhammad Said Saidin (kanan sekali).

***********************************************************************************


Anugerah Tuan Guru Jasa Bakti, YBhg Tuan Guru Ato’illah Haji Sidek (kanan sekali).

***********************************************************************************


Penulis khat ayat suci al-Quran dengan tangan sendiri berasaskan air zam zam (karya seni pemegang tiga rekod Malaysia Book of Record), YBhg Ustaz Abdul Halim Mohamed Omar. (kanan sekali).

***********************************************************************************

Antara objektif program berkenaan yang dihadiri 300 di Menara Kuala Lumpur, dan 200 di Menara Alor Setar:

* Menyemai rasa kasih dan cinta buat junjungan Nabi Muhammad SAW.

* Mengeratkan hubungan silaturahim antara kita.

* Menerapkan tenang pentingnya keimanan dalam pembentukan sahsiah diri.

* Menyemai budaya mengamalkan sunnah Nabi dalam kehidupan.

 

Dua lagi penerima anugerah menerima anugerah masing-masing yang disampaikan oleh YBhg Dato’ Syed Hood Edros Al Idrus (berkopiah putih).

                                                                         

***********************************************************************************      


Tausiah oleh Sheikh Firash Muhamad Zuhair (kiri) yang diterjemahkan oleh Ustaz Muhamad Al Bashar.

=========================================================================


Sketsa ‘Sentuhan Kasih Cintai Tanah Air’ turut mengisi ‘Gema Selawat: meluahkan Cinta & Rindu di puncak’di puncak.

=========================================================================


Antara pengisian ‘Gema Selawat: meluahkan Cinta & Rindu di puncak’ pada 31 Disember lalu.

=========================================================================

                                                       

-         disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

 


No comments:

Powered by Blogger.