Pages

Saturday, 6 October 2018

SASTERA BUDAYA


Deklamasi sajak sebagai kerjaya?

Pada tahun ini bermakna sudah 32 kali (tahun) Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK). Sudah 32 tahun bererti ada 32 orang juara sejak Puzi Hadi, juara pertama pada 1987 sehingga yang terbaharu, Siti Nur Zafran Zainal Abidin.
Wakil Pahang itu mengalahkan 15 peserta lain dalam peringkat akhir SDPK 2018 di
Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada 5 Oktober lalu.
Tidak semua juara SDPK masih giat mendeklamasikan sajak dalam acara
(khusus/selingan) kebangsaan dan negeri di mana-mana. Antara faktornya ialah tiada
jemputan, kesibukan tugas hakiki, dan meninggal dunia.
Selain Puzi, juara SDPK yang masih giat/selalu mendeklamasikan sajak dalam peringkat
kebangsaan/negeri di mana-mana ialah Ahmad Shukri Abdullah (1986). Meskipun dalam
sebahagian besar penampilan Puzi dan Shukri melihat teks, kita masih mengetahui/menghargai mereka sebagai juara SDPK yang hebat.
Mendeklamasikan sajak memang berbeza dengan membaca sajak. Mendeklamasikan
sajak ialah membuat persembahan sajak tanpa melihat teks, serta dengan bergaya/bernada,
dan penuh penghayatan.
Namun demikian, membaca teks, tetapi dengan nada suara dan gaya memikat sambil
sesekali memandang penonton juga menarik. Itu lebih memikat berbanding pembacaan
yang berterusan melihat teks, sehingga selesai – seperti malas. Cuma, deklamasi puisi
sebagaimana oleh para peserta/juara SDPK ada kelebihan kerana mereka tidak melihat
teks – menarik/disukai ramai.
Melihat semula SDPK sepanjang 32 tahun, saya dapati hanya sajak sahaja yang diambil
daripada buku yang dipanggil kumpulan puisi untuk kegunaan peserta. Mohon maaf jika
saya terlepas pandang, tetapi sepanjang ingatan, tidak pernah pantun, seloka, gurindam,
dan syair (beberapa contoh puisi tradisional) diambil. Sajak ialah puisi moden.
Jika begitu, saya fikir lebih sesuai sayembara itu dinamakan Sayembara Deklamasi Sajak Kemerdekaan – sajak. Walau bagaimanapun, mahu dan bersediakah GAPENA
menerima pandangan/cadangan saya ini?
Tidak semua penyair/penyajak berupaya mendenklamasikan dengan baik dan menarik,
termasuk untuk karya sendiri. Ada penyair/penyajak yang seperti malas mempersembahkan sajak mereka (adakah mereka tidak sedar gaya mereka
membosankan?).
Justeru, dalam sesebuah acara sastera budaya, ada yang bukan penyajak turut diundang
menyampaikan sajak – ada yang lebih menarik daripada penyair/penyajak sendiri!
Dalam menyebut juara deklamasi sajak di negara kita, saya terfikirkan satu perkara yang
menjadi tujuan utama tulisan ini. Bolehkah mendeklamasikan sajak dijadikan kerjaya di
negara kita? Barangkali saya akan dikatakan mengarut dan hilang akal!
Itu hanya cadangan. Boleh jadi logik atau sebaliknya. Namun begitu, tetap tidak salah. Bukannya saya mahu deklamator menjadi pengacau masyarakat dengan sajak-sajak jenayah mereka atau penyajak lain.
Jika saya mengharapkan ia menjadi kenyataan pun tidak juga salah. Saya hanya bertanya kemungkinan dam mahu ia menjadi kerjaya.
Cuma, saya tidak menyangkal kesukaran untuknya menjadi kenyataan. Ada kerjaya
bererti ada pendapatan – sedikit atau banyak. Dari mana pula pendapatan itu diperoleh?
Jumlah penyajak/deklamator yang wujud/boleh juga tidak banyak. Ia ada kaitan dengan
menulis sajak itu sendiri memang bukan kerjaya (sepenuh masa) di negara kita.
Menulis dan mendeklamasikan sajak pada keseluruhannya memang secara sambilan
sahaja. Setiap orang ada kerjaya dan bergaji tetap (bulanan). Mereka yang muda masih
bekerja atau belajar. Mereka yang telah bersara pula menghadapi kekangan kesihatan dan
tenaga akibat peningkatan usia.
Walau bagaimanapun, saya yakin/fikir memang menarik jika kerjaya mendeklamasikan
sajak dapat menjadi kenyataan di negara kita. Tidak salah/mustahil jika ada pihak yang mahu memberikan bayaran kepada deklamator sepenuh masa (sekiranya ada) yang memikat, dan menghiburkan.
Jangan sempitkan. Erti hiburan itu luas. Tidak hanya berkaitan dengan/dihasilkan oleh nyanyian (penyanyi), lakonan (pelakon), dan jenaka (pelawak) sahaja. Mendeklamasikan sajak juga menghiburkan.







No comments:

Post a Comment