Pages

Friday, 12 October 2018





SASTERA BUDAYA


APABILA  JAHAT, MANUSIA MENGATASI IBLIS


 Filem ini merupakan 'spin off The Doll' daripada filem 'The Doll'. 'The Doll' diterbitkan dalam dua filem yang berasingan, iaitu 'The Doll' (2016) dan 'The Doll 2' (2017).
Disebut 'spin off' daripada filem 'The Doll 2' kerana ceritanya berkaitan. Para peminat filem seram pasti akan mengetahui cerita 'The Doll 2'. 'Sabrina' mengisahkan pasangan suami isteri, iaitu Aiden (Christian Sugiono - filem pertamanya) dan Maira (Luna Maya) yang amat bersedih atas kematian anak perempuan mereka dalam satu kemalangan. Anak Aiden-Maira itu memegang anak patung yang dinamakan Sabrina ketika tragedi.
Maira yang sedang sangat bahagia atas perkahwinan baharunya dengan Aiden, pemilik syarikat permainan kanak-kanak yang terkemuka. Aiden telah menghasilkan sebuah anak patung yang juga diberi nama Sabrina (versi baharu) untuk Maira sebagai tanda cinta kerana Sabrina ialah anak patung arwah anak mereka.
Namun begitu, kebahagiaan Aiden-Maira belum begitu bermakna kerana anak angkat mereka, Vanya (Richelle Georgette Skornicki) belum mahu menerima Maira sepenuhnya.
Vanya masih merindui ibunya, Andini (Vanya ialah anak abang Aiden, Arka, lakonan Rizky Hanggono). Pelbagai masalah timbul selepas Vanya menyeru roh ibunya menerusi permainan Pensil Charlie. Masalah/kejadian tersebut turut membongkar satu rahsia. Anak patung Sabrina beralih tempat sendiri. Suara dari kotak muzik kedengaran tiba-tiba. Vanya memberitahu bahawa ibunya datang. Tentu sahaja Aiden/Maira tidak percaya.
Namun begitu, Maira kemudian turut mengalami beberapa kejadian yang menakutkan. Maira cemas, lalu bercadang meminta bantuan seorang dukun wanita yang pernah membantunya dulu, Laras (Sara Wijayanto). Kata Laras, rupa Andini itu ialah iblis yang mendiami anak patung Sabrina bernama Baghiah. Ia mahukan tubuh manusia. Tidak mustahil keluarga Maira yang diidaminya.
Iblis juga ialah makhluk Allah. Oleh kerana mengingkari perintah Yang Maha Kuasa itu, ia disingkirkan dari syurga. Sebelum dihalau kerana tidak merestui penciptaan Nabi Adam, ia meminta keizinan Allah untuk menggoda manusia berterusan sehingga hari kiamat. Makhluk yang diperbuat daripada api itu berjanji dan dibenarkan Allah. Dengan segala keburukan yang berlaku di dunia akibat godaan iblis (syaitan), ternyata itu tanda makhluk tersebut memenuhi janjinya (berbanding manusia yang sentiasa mungkir/alpa).
Iblis/syaitan itu menjadi jahat. Walau bagaimanapun, manusia yang telah diracuni godaan iblis/syaitan telah menjadi lebih jahat dan merosakkan kehidupan/dunia.
Sifat dan janji iblis/syaitan itu telah membongkar satu rahsia dalam filem ini. Aiden sebenarnya antagonis. Dia pendendam yang mengikut telunjuk iblis. Sebelum mengecapi kejayaan dengan Sabrina versi baharu, Aiden kecewa kerana ayahnya lebih menyayangi/melebihkan Arka dalam segala hal, termasuk reka bentuk alat permainan kanak-kanak dan wasiat. Dia yang tidak berpuas hati telah meminta bantuan bomoh untuk menggunakan ilmu hitam - Baghiah.
Oleh sebab tubuh Arka tidak dapat diduduki, hal itu dialih ke tubuh Andini. Akibatnya, Andini dan Arka terkorban dalam pertarungan dengan Laras dan suaminya, Raynard (Jeremy Thomas). Sebelum kisah berakhir, Baghia yang mendendami Laras telah menduduki tubuh Maira dan hampir-hampir berjaya memenuhi hajatnya, tetapi terpaksa berpindah ke tubuh Aiden setelah dihalang oleh Laras-Raynard.
Dalam kepayahan, Laras berjaya juga menewaskan Baghia dengan bantuan senjata ampuh yang Raynard peroleh.
Watak Laras-Raynard mengingatkan saya kepada watak suami isteri penghapus roh jahat dalam filem 'The Conjuring' (2013) dan 'The Conjuring 2' (2016), iaitu Ed Warren (Patrick Wilson) dan Lorraine Warren (Vera Farmiga). Bezanya, Laras-Raynard bukan watak utama berbanding Ed-Lorraine meskipun mereka yang ditampilkan dalam adegan terakhir (disengajakan ataupun kealpaan penulis/pengarah?). Aiden bersalah, tetapi siapa yang menelefon pihak polis untuk menahannya? Tinggi sungguh bahasa filem filem ini.
Walau bagaimanapun, saya tertarik pada kesan khas dalam adegan-adegan pertarungan Laras-Raynard dengan Baghia. Darah tiruan yang digunakan juga kelihatan seperti yang sebenar. Seperkara yang agak menyenangkan, filem ini kurang 'jumpscare' dan lintasan makhluk.

No comments:

Post a Comment