SASTERA BUDAYA
APABILA JAHAT, MANUSIA MENGATASI IBLIS
Filem ini merupakan 'spin off The Doll'
daripada filem 'The Doll'. 'The Doll' diterbitkan dalam dua filem yang
berasingan, iaitu 'The Doll' (2016) dan 'The Doll 2' (2017).
Disebut
'spin off' daripada filem 'The Doll 2' kerana ceritanya berkaitan. Para peminat
filem seram pasti akan mengetahui cerita 'The Doll 2'. 'Sabrina' mengisahkan
pasangan suami isteri, iaitu Aiden (Christian Sugiono - filem pertamanya) dan
Maira (Luna Maya) yang amat bersedih atas kematian anak perempuan mereka dalam
satu kemalangan. Anak Aiden-Maira itu memegang anak patung yang dinamakan
Sabrina ketika tragedi.
Maira yang
sedang sangat bahagia atas perkahwinan baharunya dengan Aiden, pemilik syarikat
permainan kanak-kanak yang terkemuka. Aiden telah menghasilkan sebuah anak
patung yang juga diberi nama Sabrina (versi baharu) untuk Maira sebagai tanda
cinta kerana Sabrina ialah anak patung arwah anak mereka.
Namun
begitu, kebahagiaan Aiden-Maira belum begitu bermakna kerana anak angkat
mereka, Vanya (Richelle Georgette Skornicki) belum mahu menerima Maira
sepenuhnya.
Vanya
masih merindui ibunya, Andini (Vanya ialah anak abang Aiden, Arka, lakonan
Rizky Hanggono). Pelbagai masalah timbul selepas Vanya menyeru roh ibunya
menerusi permainan Pensil Charlie. Masalah/kejadian tersebut turut membongkar
satu rahsia. Anak patung Sabrina beralih tempat sendiri. Suara dari kotak muzik
kedengaran tiba-tiba. Vanya memberitahu bahawa ibunya datang. Tentu sahaja
Aiden/Maira tidak percaya.
Namun
begitu, Maira kemudian turut mengalami beberapa kejadian yang menakutkan. Maira
cemas, lalu bercadang meminta bantuan seorang dukun wanita yang pernah
membantunya dulu, Laras (Sara Wijayanto). Kata Laras, rupa Andini itu ialah
iblis yang mendiami anak patung Sabrina bernama Baghiah. Ia mahukan tubuh
manusia. Tidak mustahil keluarga Maira yang diidaminya.
Iblis juga
ialah makhluk Allah. Oleh kerana mengingkari perintah Yang Maha Kuasa itu, ia
disingkirkan dari syurga. Sebelum dihalau kerana tidak merestui penciptaan Nabi
Adam, ia meminta keizinan Allah untuk menggoda manusia berterusan sehingga hari
kiamat. Makhluk yang diperbuat daripada api itu berjanji dan dibenarkan Allah.
Dengan segala keburukan yang berlaku di dunia akibat godaan iblis (syaitan),
ternyata itu tanda makhluk tersebut memenuhi janjinya (berbanding manusia yang
sentiasa mungkir/alpa).
Iblis/syaitan
itu menjadi jahat. Walau bagaimanapun, manusia yang telah diracuni godaan
iblis/syaitan telah menjadi lebih jahat dan merosakkan kehidupan/dunia.
Sifat dan
janji iblis/syaitan itu telah membongkar satu rahsia dalam filem ini. Aiden
sebenarnya antagonis. Dia pendendam yang mengikut telunjuk iblis. Sebelum
mengecapi kejayaan dengan Sabrina versi baharu, Aiden kecewa kerana ayahnya
lebih menyayangi/melebihkan Arka dalam segala hal, termasuk reka bentuk alat
permainan kanak-kanak dan wasiat. Dia yang tidak berpuas hati telah meminta
bantuan bomoh untuk menggunakan ilmu hitam - Baghiah.
Oleh sebab
tubuh Arka tidak dapat diduduki, hal itu dialih ke tubuh Andini. Akibatnya,
Andini dan Arka terkorban dalam pertarungan dengan Laras dan suaminya, Raynard
(Jeremy Thomas). Sebelum kisah berakhir, Baghia yang mendendami Laras telah
menduduki tubuh Maira dan hampir-hampir berjaya memenuhi hajatnya, tetapi
terpaksa berpindah ke tubuh Aiden setelah dihalang oleh Laras-Raynard.
Dalam
kepayahan, Laras berjaya juga menewaskan Baghia dengan bantuan senjata ampuh
yang Raynard peroleh.
Watak
Laras-Raynard mengingatkan saya kepada watak suami isteri penghapus roh jahat
dalam filem 'The Conjuring' (2013) dan 'The Conjuring 2' (2016), iaitu Ed
Warren (Patrick Wilson) dan Lorraine Warren (Vera Farmiga). Bezanya,
Laras-Raynard bukan watak utama berbanding Ed-Lorraine meskipun mereka yang
ditampilkan dalam adegan terakhir (disengajakan ataupun kealpaan
penulis/pengarah?). Aiden bersalah, tetapi siapa yang menelefon pihak polis
untuk menahannya? Tinggi sungguh bahasa filem filem ini.
Walau
bagaimanapun, saya tertarik pada kesan khas dalam adegan-adegan pertarungan
Laras-Raynard dengan Baghia. Darah tiruan yang digunakan juga kelihatan seperti
yang sebenar. Seperkara yang agak menyenangkan, filem ini kurang 'jumpscare'
dan lintasan makhluk.
No comments: