SASTERA BUDAYA

KHAZANAH ISLAM JADI REBUTAN


Jangkaan awal saya terhadap filem ini tidak tepat. Saya tidak menyangka persembahannya boleh tahan walaupun ada yang tidak menggemari corak aksi penyiasatan/pengembaraan.
Meskipun pada premis/adegan awal, lakonan seperti dipaksa-paksa, termasuk wajah Menteri Pertahanan (lakonan Hilal Azman) yang kepayahan ketika berucap, rupa-rupanya itu bahasa filem.
Tidak begitu banyak bahasa filem dalam filem ini – (kerana) adegan-adegan aksinya sudah merupakan unsur itu. Walau bagaimanapun, ia wajar dan berpada-pada.
Adegan kedua terakhir bagi saya menarik perhatian. Penonton yang tidak biasa pun akan faham/dapat meneka bahawa Menteri Pertahanan sebenarnya jahat, dan mendalangi kejadian pengeboman Hotel Madisa.
Selepas Inspektor Haris (Azhan Rani) menyerahkan pemacu pena (yang diberikan oleh Dr Ezahar, lakonan Faizal Hussein) kepada ketuanya, kamera terus menyoroti wajah Menteri Pertahanan di meja sidang media yang memberi reaksi bersalah, saya sudah dapat mengagak. Namun begitu, aneh juga kamera para jurufoto turut menyoroti tokoh kerajaan berkenaan.
Ia menjawab pertanyaan saya mengapa wajah Menteri Pertahanan begitu tertekan ketika berucap dalam sidang media selepas tragedi Hotel Madisa. Beliau ‘berlakon’ atau terpaksa berpura-pura.
Tidak cemerlang dan terlalu sempurna, tetapi saya menyukai filem ‘Kalla: Hidup atau Mati’, arahan Alan Smithee ini. Adegan pertarungannya menarik (walaupun saya lebih menyukai persembahan filem ‘KL Gangster’ dan ‘KL Gangster 2’) dan sesuai, serta tidak sengaja diada-adakan kerana ia filem aksi berkaitan dengan pengganas.
Watak Dr Ezahar tidak pandai bertarung, tetapi dia masih berusaha melawan dengan apa cara pun juga menarik – janganlah pakar sejarah terlalu lemah atau terlalu gagah (tidak logik dalam filem dan alam nyata).
Gurau senda, berlucu, dan usik-mengusik Inspektor Haris dari PACSEA dengan dua pembantunya bagi saya wajar dan tidak berlebih-lebihan/dibuat-buat.
Cuma, masalah teknikal masih mengganggu. Imej janaan komputer untuk adegan bangunan Hotel Madisa meruntuh kelihatan tidak asli.
Selain lakonan Faizal dan Farali, aksi Razali Hussein sebagai Qabil (suami Uyun) dan Riz Amin (Kasmuri) juga tidak kurang hebat. Ada masanya mengatasi Faizal. Tidak sangka Riz boleh berlakon dalam adegan perkelahian.
Jika tidak menonton dengan tekun, pasti banyak persoalan tinggal di minda – mengapa begitu mengapa begini, dan siapa itu siapa ini dalam ‘Kalla: Hidup atau Mati’.
Mengapa Hotel Madisa dibom ketika isteri Dr Ezahar, Sherina (Vanida Imran) membentangkan kertas kerja kerja dalam persidangan di situ?
Mengapa Qabil mahu Dr Ezahar menyerahkan Sherina kepadanya, sedangkan wanita itu sudah mati? Mengapa Sherina dikatakan masih hidup?
Kejutan cuba dipaparkan menerusi dakwaan Sherina masih hidup. Memang dia masih hidup dan merupakan orang penting dalam kumpulan yang dinamakan Saif. Segala misteri hanya terjawab pada penghujung cerita.
Kalla, sebuah kumpulan besar yang mengumpulkan sekumpulan lelaki dan wanita sebagai ahlinya, telah bersumpah untuk melindungi khazanah Islam pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15.
Mereka mahu menyerahkan khazanah itu kepada pemimpin yang sah apabila telah tiba masanya nanti.
Namun begitu, seperti tidak menarik jika semuanya baik belaka. Kalla mengalami perpecahan apabila terdapat dalam kalangan ahlinya yang mahu berkuasa sendiri pula.
Pak Manok (Zaidi Omar) menubuhkan Saif yang turut dianggotai Sherina dan Kasmuri. Oleh kerana Sherina enggan mengikut telunjuk Pak Manok lagi, dia cuba dibunuh. Walau bagaimanapun, Sherina diselamatkan oleh ketua lama Kalla (Sobri Anuar) sebelum tragedi pengeboman Hotel Madisa.
Justeru, dia diburu oleh orang Pak Manok. Uyun yang melindungi Dr Ezahar sejak lelaki itu ‘kehilangan’ isteri pula berpura-pura sebagai ahli Saif. Namun demikian, Uyun mati pada penghujung cerita selepas bergasak dengan Dr Ezahar yang mengetahui penyamarannya. Sebelum itu, dia terpaksa membunuh Qabil yang cuba membunuh Dr Ezahar.   

 

No comments:

Powered by Blogger.