SASTERA BUDAYA- KONSERT LAGU PUISI BOLEH DAPAT SAMBUTAN?

KONSERT LAGU PUISI BOLEH DAPAT SAMBUTAN?
Pelbagai konsert telah/pernah diadakan di negara kita sejak sekian lama, sama ada berskala besar atau kecil, sama ada bertaraf tempatan, kebangsaan atau antarabangsa.
Hampir semuanya dijayakan oleh/menampilkan penyanyi/kumpulan muzik lagu popular pelbagai corak/rentak.
Apakah antara impian golongan penyair/penyajak negara kita?
Karya mereka dibukukan dan/atau dibaca/deklamasikan bukan perkara asing/mustahil lagi.
Sudah terlalu banyak kumpulan puisi (biasanya sajak) dibukukan. Telah terlalu kerap acara baca puisi (sajak dan karya puisi lain) dianjurkan, sama ada peringkat tempatan atau kebangsaan, besar atau kecil.
Bagaimana kalau konsert lagu puisi dianjurkan? Barangkali tidak semua penyair/penyajak meminati lagu puisi atau karya mereka dijadikan lagu puisi. Ada yang tidak meminati lagu puisi - hanya meminati puisi (moden dan tradisional).
Mengenai lagu puisi selama ini (maafkan saya jika terlepas pandang), hanya sajak sahaja yang diambil dan dimelodikan, kemudian dipanggil lagu puisi. Mengapa sedemikian?
Kalau benar begitu, lebih sesuai dipanggil lagu sajak. Jika (ada) pantun, gurindam dan seloka yang dimelodikan, ia tidak disebut lagu puisi, tetapi lagu Melayu Asli atau tradisional kerana melodinya tidak berentak moden.
Jadi, sekarang dan selama ini, seolah-olah gabungan melodi dan sajak sahaja yang (layak) dipanggil lagu puisi. Begitu? Ini memerlukan penjelasan lain pula.
Difahamkan bahawa lagu puisi ialah lagu yang liriknya diangkat daripada puisi atau sajak (biasanya sajak).
Ia berbeza dengan lagu yang liriknya puitis. Itu bukan lagu puisi. Lirik yang puitis dimelodikan, kemudian setelah ditanya baru mengatakan lirik itu puisi/sajak, tidak boleh dikira sebagai lagu puisi.
Menyorot kembali sejarah lagu puisi di negara kita, saya sempat mencatatkan beberapa nama sejak 1970-an. Antaranya ialah Allahyarham Ibrahim Bachik yang menyanyikan lagu 'Berkolek Bersajak', yang diangkat daripada puisi/sajak karya Allahyarham JM Aziz.
Kemudian, muncul pula kumpulan Titra di bawah pimpinan komposer/penyanyi/penerbit Zali Kamari.
Walau bagaimanapun, kemunculan Ibrahim dan Titra tidak berterusan dan meluas. Tidak sebagaimana kumpulan Harmoni yang (walaupun) muncul dengan dua album, 'Penantian' (1981) dan 'Nyanyian Ombak' (1983).
Meskipun diperkenal dan diterbitkan oleh Zali Kamari menerusi syarikatnya, Harmoni yang dianggotai Allabyarham Zubir Ali serta Joey, Azie dan Ogy (kemudian Min) cukup terkenal dengan lagu 'Penantian', 'Tanah Air', 'Doa', 'Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang', 'Sebuah Bas Berwarna Biru', dan 'Siapakah Memberi Khabar'.
Mereka mengangkat sajak Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Dr Usman Awang dan Dato' Zurinah Hassan, serta A Latiff Mohiddin.
Kemudian muncul pula Sohaimi Mior Hassan yang mencipta lirik (daripada sajak), melodi dan menyanyikan sendiri semua lagunya. Hanya susunan muzik dan penerbitan albumnya disempurnakan oleh pemuzik Ruslan Imam.
Sohaimi menarik perhatian peminat seni suara tanah air menerusi lagu sensasi, 'Epilog Cinta dari Bromley' dalam album pertamanya, 'Prolog' pada 1993.
Lagu 'Ros' (khas untuk isterinya) juga disukai ramai. Secara keseluruhannya bersama-sama album 'Misteri Cinta' (1985) dan 'Dedikasi', popular lagu-lagu seperti 'Misteri Cinta', 'Sedari Dulu', 'Apabila Isteriku Tertawa', 'Kau Kepunyaanku', dan banyak lagi.
Ketika Harmoni dan Sohaimi masih diingati dan diminati, tiga penggiat teater/seniman dari Grup Teater Utama, iaitu Sani Sudin, Usop dan Siso menubuhkan kumpulan Kopratasa.
Mereka mengangkat sajak-sajak karya Sasterawan Negara Datuk Seri Dr A Samad Said, dan Datuk Kemala, serta Dato' Firdaus Abdullah, Dinsman, Siti Zaleha M Hashim, Allahyarham Abdul Aziz HM, Allahyarham JM Aziz, dan sajak sendiri.
Album pertama Kopratasa ialah 'Keringat dalam Pasrah' (terbitan Datuk M Nasir) pada 1987 yang mendapat sambutan hangat.
Seterusnya mereka muncul dengan album 'Kunci' (1998), 'Episod III' (1988), 'Sesetia Malam' (1996), 'Nikmat' (1998), 'Antologi' (1999), 'Mulia' (2003), 'Kopratasa Masih Berbisa' (2006), 'Mathnawi Rumi' (2016), dan 'Aku Ingin Kembali' (2017).
Sehingga kini Kopratasa masih diingati dan diminati menerusi lagu 'Masihkah Kau Ingat' dan 'Rinduku' (karya Sani Sudin), 'Tetamu Senja' (sajak Samad Said), dan 'Akhir Disember' (sajak Aziz HM) - album pertama, 'Permata (buat Isteriku)'/('Sesetia Malam'), dan 'Dondang Mustika' ('Antologi').
Seorang lagi penyanyi lagu puisi yang turut mewarnai genre lagu puisi tanah air ialah Ahmad Ramli. Beliau terkenal dengan lagu 'Katakan Padaku' dan 'Menambat Rakit'.
Ahmad turut muncul dengan album 'Lagu-lagu Penghayatan Puisi Kekasih' pada 1996 yang memuatkan semua lagu puisi ciptaan dan nyanyian sendiri (bersama-sama EMI Malaysia).
Sebagai pencipta melodi, Ahmad merupakan johan Sayembara Mencipta Lagu Puisi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1998 menerusi lagu daripada Kemala, 'Sajak untuk Pon Mariam'.
Ahmad turut mendapat penghormatan besar apabila mencipta melodi untuk sajak karya Perdana Menteri Malaysia
yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, 'Aku Cari Damai Abadi'.
Selain itu, Ahmad pernah mencipta lirik/menyediakan muzik lagu bagi lapan sekolah dan banyak lagi, menerbitkan album lagu nasyid dan boria, artis program 'Anjung Budi' RTM1, dan menerbitkan album keroncong puisi ciptaannya, dan Sani Sudin, serta beberapa seniman lama, termasuk 'Keroncong Kuala Lumpur', 'Serunai Malam', dan 'Semalam di Malaya'.
Secara terperincinya, album Ahmad ialah 'Lagu-lagu Penghayatan Puisi Kekasih' (1996), 'Pohon', Keroncong Puisi bersama Sani Sudin (2013), 'Maya', Latiff Mohidin-Ahmad Ramli (2014), 'Guru oh Guru' -edisi khas buat para guru (2014), dan album puisi 'PULARA 2017', (10 lagu nyanyian Ahmad Ramli, tiga lagu nyanyian Malim Ghozali - 2017).
Album ketiganya merupakan kompilasi 14 puisi Latiff Mohiddin. Album tersebut diterbitkannya atas permintaan Latiff sendiri yang teruja dgn "Katakan Padaku" daripada album pertama. Kos penerbitan album berkenaan dibiayai sendiri oleh Latiff.
Selain itu, mantan penyiar/pembaca berita televisyen, Ras Adiba Radhi turut menerbitkan albumnya dua bulan selepas album pertama Ahmad atas label 'Kasih' yang mengandungi lagu 'Kekasih' yang dialun dalam versinya sendiri.
Album itu berjudul 'Maya', yang mengambil sajak 'Maya' sebagai judul. Semua sajak dijadikan lagu hasil melodi ciptaan, dan gubahan muzik oleh Ahmad.
Jika ada pihak yang berhasrat menganjurkan konsert lagu puisi, Ahmad Ramli tidak wajar dikecualikan daripada senarai penyanyinya.
Kopratasa yang masih aktif walaupun tinggal berdua (tanpa Siso), Harmoni dengan muka baharu, dan Sohaimi kalau sudi, boleh turut ditampilkan.

Sohaimi Mior Hassan

Kopratasa

Ras Adiba Radzi


No comments:

Powered by Blogger.