SASTERA BUDAYA
KHAZANAH
ISLAM JADI REBUTAN
Jangkaan
awal saya terhadap filem ini tidak tepat. Saya tidak menyangka persembahannya
boleh tahan walaupun ada yang tidak menggemari corak aksi
penyiasatan/pengembaraan.
Meskipun
pada premis/adegan awal, lakonan seperti dipaksa-paksa, termasuk wajah Menteri
Pertahanan (lakonan Hilal Azman) yang kepayahan ketika berucap, rupa-rupanya
itu bahasa filem.
Tidak
begitu banyak bahasa filem dalam filem ini – (kerana) adegan-adegan aksinya
sudah merupakan unsur itu. Walau bagaimanapun, ia wajar dan berpada-pada.
Adegan
kedua terakhir bagi saya menarik perhatian. Penonton yang tidak biasa pun akan
faham/dapat meneka bahawa Menteri Pertahanan sebenarnya jahat, dan mendalangi
kejadian pengeboman Hotel Madisa.
Selepas
Inspektor Haris (Azhan Rani) menyerahkan pemacu pena (yang diberikan oleh Dr
Ezahar, lakonan Faizal Hussein) kepada ketuanya, kamera terus menyoroti wajah
Menteri Pertahanan di meja sidang media yang memberi reaksi bersalah, saya
sudah dapat mengagak. Namun begitu, aneh juga kamera para jurufoto turut
menyoroti tokoh kerajaan berkenaan.
Ia
menjawab pertanyaan saya mengapa wajah Menteri Pertahanan begitu tertekan
ketika berucap dalam sidang media selepas tragedi Hotel Madisa. Beliau
‘berlakon’ atau terpaksa berpura-pura.
Tidak
cemerlang dan terlalu sempurna, tetapi saya menyukai filem ‘Kalla: Hidup atau
Mati’, arahan Alan Smithee ini. Adegan pertarungannya menarik (walaupun saya
lebih menyukai persembahan filem ‘KL Gangster’ dan ‘KL Gangster 2’) dan sesuai,
serta tidak sengaja diada-adakan kerana ia filem aksi berkaitan dengan
pengganas.
Watak Dr
Ezahar tidak pandai bertarung, tetapi dia masih berusaha melawan dengan apa
cara pun juga menarik – janganlah pakar sejarah terlalu lemah atau terlalu
gagah (tidak logik dalam filem dan alam nyata).
Gurau senda,
berlucu, dan usik-mengusik Inspektor Haris dari PACSEA dengan dua pembantunya
bagi saya wajar dan tidak berlebih-lebihan/dibuat-buat.
Cuma,
masalah teknikal masih mengganggu. Imej janaan komputer untuk adegan bangunan
Hotel Madisa meruntuh kelihatan tidak asli.
Selain
lakonan Faizal dan Farali, aksi Razali Hussein sebagai Qabil (suami Uyun) dan
Riz Amin (Kasmuri) juga tidak kurang hebat. Ada masanya mengatasi Faizal. Tidak
sangka Riz boleh berlakon dalam adegan perkelahian.
Jika
tidak menonton dengan tekun, pasti banyak persoalan tinggal di minda – mengapa
begitu mengapa begini, dan siapa itu siapa ini dalam ‘Kalla: Hidup atau Mati’.
Mengapa
Hotel Madisa dibom ketika isteri Dr Ezahar, Sherina (Vanida Imran)
membentangkan kertas kerja kerja dalam persidangan di situ?
Mengapa
Qabil mahu Dr Ezahar menyerahkan Sherina kepadanya, sedangkan wanita itu sudah
mati? Mengapa Sherina dikatakan masih hidup?
Kejutan
cuba dipaparkan menerusi dakwaan Sherina masih hidup. Memang dia masih hidup
dan merupakan orang penting dalam kumpulan yang dinamakan Saif. Segala misteri hanya
terjawab pada penghujung cerita.
Kalla,
sebuah kumpulan besar yang mengumpulkan sekumpulan lelaki dan wanita sebagai
ahlinya, telah bersumpah untuk melindungi khazanah Islam pada zaman Kesultanan
Melayu Melaka pada abad ke-15.
Mereka
mahu menyerahkan khazanah itu kepada pemimpin yang sah apabila telah tiba
masanya nanti.
Namun
begitu, seperti tidak menarik jika semuanya baik belaka. Kalla mengalami
perpecahan apabila terdapat dalam kalangan ahlinya yang mahu berkuasa sendiri
pula.
Pak
Manok (Zaidi Omar) menubuhkan Saif yang turut dianggotai Sherina dan Kasmuri.
Oleh kerana Sherina enggan mengikut telunjuk Pak Manok lagi, dia cuba dibunuh.
Walau bagaimanapun, Sherina diselamatkan oleh ketua lama Kalla (Sobri Anuar)
sebelum tragedi pengeboman Hotel Madisa.
Justeru,
dia diburu oleh orang Pak Manok. Uyun yang melindungi Dr Ezahar sejak lelaki
itu ‘kehilangan’ isteri pula berpura-pura sebagai ahli Saif. Namun demikian,
Uyun mati pada penghujung cerita selepas bergasak dengan Dr Ezahar yang
mengetahui penyamarannya. Sebelum itu, dia terpaksa membunuh Qabil yang cuba
membunuh Dr Ezahar.
No comments:
Post a Comment