SASTERA BUDAYA
PMT: Erma gagal
tafsir perempuan Melayu
SEBAGAI mukadimah apa yang ingin diperkatakan lewat tulisan ini, saya
teringat sebait puisi pujangga tak bernama mengenai wanita. Teliti diksinya:
wanita
dijadikan dari rusuk lelaki
bukan dari kepala sebagai atasnya
bukan dari kaki sebagai alasnya
tetapi
dekat dengan lengan
untuk dilindungi
dan dekat dengan hati
untuk dididik dan dikasihi
Wanita atau perempuan, baik Melayu mahupun
bangsa lain, diketahui umum bermula daripada Hawa yang dijadikan daripada rusuk
Nabi Adam.
Pada zaman serba canggih dengan segala
unsur sains teknologi dan pengaruh kebendaan hari ini, masih adakah lagi yang
mahu mencari ‘perempuan Melayu’?
Jika ada, siapa? Lelaki atau perempuan dan
perempuan Melayu bagaimanakah yang diinginkan itu? Masih adakah lagi ‘perempuan
Melayu’ yang diingini itu?
Adakah perempuan Melayu idaman itu sekadar
Melayu atau beragama Islam sekali gus? Harus diingat juga bangsa dan agama
memang berbeza.
Lazimnya, Melayu disinonimkan dengan Islam.
Namun begitu, sedarilah itu hanya anggapan klise. Tidak semestinya perempuan
Melayu beragama Islam.
Begitulah antara persoalan yang terfikir
oleh saya selepas menonton Perempuan
Melayu Terakhir (PMT), filem kedua arahan Erma Fatima.
PMT mengisahkan seorang lelaki Melayu
bernama Heikal (lakonan Eizlan Yusof) yang ingin mencari Melayu dan
identitinya. Heikal adalah seorang sarjana lepasan sebuah universiti di London .
Dia kemudian bertemu dengan seorang wanita,
Mustika (lakonan cemerlang Vanida Imran), seorang sarjana muda dalam perniagaan
yang cuba
memelihara nilai kemelayuan yang semakin hilang.
Kebetulan, Mustika ditunangkan dengan
seorang pemuda yang dikatakan fanatik Islam, Engku Leh (Azri Iskandar) yang
baharu pulang dari luar negara.
Tidak kira pada zaman mana pun, keinginan
mencari perempuan Melayu sejati memang sesuatu yang wajar, lebih-lebih lagi
pada zaman moden hari ini.
Kewajaran itu diperkuatkan lagi oleh
keinginan untuk memperisterikannya serta membina alam rumah tangga yang
bahagia. Secara tidak langsung, sedikit sebanyak membantu memelihara terus
sifat kemelayuan perempuan itu.
Mengikut logik dan tuntutan agama, tentu
sahaja perempuan Melayu yang beragama Islam lebih baik serta wajar menjadi
idaman (walaupun mustahil ditemui perempuan Melayu Islam yang sempurna).
Dalam PMT, Mustika adalah perempuan Melayu
yang beragama Islam. Dia cantik, lemah lembut dan berbudi bahasa walaupun tidak
serba sempurna.
Dalam konteks masih adakah perempuan Melayu
itu, saya fikir elok dibincangkan kewajaran Mustika menjadi idaman Heikal,
pemuda Melayu yang juga beragama Islam.
Boleh juga ditimbulkan persoalan benarkah
Mustika menjadi faktor berubahnya hasrat Heikal. Selain itu, tepatkah tanggapan
Heikal bahawa Mustika adalah perempuan Melayu jati dan tulen yang dicarinya
atau ada unsur lain yang lebih penting dan lebih mempengaruhinya selain faktor
Melayu itu?
Tidak mungkinkah ada perempuan lain yang
lebih tepat, tetapi dia bertemu Mustika terlebih dahulu, oleh faktor pengaruh
ruang dan waktu, langsung terpikat.
Bagi saya, secara keseluruhannya Mustika
bukan perempuan Melayu sejati, malah bukan juga perempuan Melayu Islam yang
sebenarnya. Dia bukan role model yang
sewajarnya, jika filem ini bertujuan mengangkatnya begitu, tidak sekadar hanya
judulnya yang penuh sensasi, konon ada sesuatu yang boleh diteladani.
Menganggap Mustika sebagai perempuan Melayu
berdasarkan kebaya dan selendang yang dipakainya serta pandai melenggokkan
tarian tradisional adalah kurang tepat. Melayu lebih daripada hal luaran itu
semua.
Melayu bukan terletak pada pakaian dan pandai
menari inang atau bersilat cekak. Bertutur dalam bahasa Melayu sahaja tanpa
mencampuradukkan dengan bahasa lain juga bukan semestinya menunjukkan itu
Melayu tulen.
Jika daripada segi pakaian, kemahiran seni
tradisional dan bercakap tidak semestinya menandakan Melayu, apa lagi mahu
menyatakan Mustika itu adalah perempuan Melayu Islam, jauh sekali untuk
dijadikan role model.
Memanglah pakaian tidak melambangkan secara
mutlak Melayu atau Islam. Bagaimanapun, Mustika masih berpakaian mendedahkan
aurat. Dia memakai pakaian tradisional yang mengikut bentuk badan, bergaul
dengan lelaki bukan muhrim, membiarkan dirinya dicumbui, membiarkan
adrenalinnya membuak bersama Heikal serta sedikit angkuh dan tidak beradab.
Contoh mengenai keangkuhan dan tidak
beradabnya Mustika ialah ketika ditegur oleh pengikut Engku Leh supaya berhenti
mengajar tarian. Mustika enggan berbuat demikian, sebaliknya terus menari
sambil berhujah dengan muka tidak melihat kepada orang yang dilawannya
bercakap. Jika bertudung litup, rajin bekerja dan menjaga batas pergaulan pun
masih boleh dipertikaikan, apatah lagi seperti Mustika. Malah, cara menjawab
atau bercakap dengan tidak memandang wajah bukanlah cara Melayu mahupun Islam.
Perempuan Melayu mahupun Islam tulen tidak
seperti Mustika yang cuba
berlaku curang serta mengingkari nasihat tunang dan menghampiri zina.
Oleh itu, Mustika, apatah lagi Muslimah
dalam PMT bukan perempuan Melayu yang diharapkan. Adalah satu kesilapan besar
jika perempuan sebegini yang ditonjolkan sebagai sempurna dalam filem yang
dapat digolongkan sebagai hebat dan menggugah minda ini.
Sehubungan itu juga, mesej yang cuba
dibawa oleh filem ini tidak kesampaian. Tajuknya juga kurang sesuai dan
mengandungi sensasi. Memang begitu sukar mencari Melayu, terutama apabila mengingatkan
bahawa Melayu itu berbeza pula Melayunya.
Selain itu, entah kenapa menonton PMT
mengingatkan saya kepada filem Fenomena
(Aziz M Osman – 1990), Selubung
(Shuhaimi Baba – 1992) dan Syakila
(Badaruddin Azmi – 1992). Nampaknya, berterusan pembikin filem tempatan
beragama Islam secara sedar atau tidak memberi imej yang buruk kepada Islam.
Golongan yang berpegang teguh pada Islam
dalam filem yang disebutkan terus ditonjolkan sebagai antagonis-ganas, sering
menyalahkan orang lain dan pasif. Golongan ini akhirnya yang didapati bersalah
atau tewas kepada protagonis yang lebih toleran dan terbuka dalam Islam.
Satu soalan terakhir, mengapa mencari Perempuan Melayu Terakhir dan tidak Perempuan Islam Terakhir?
No comments:
Post a Comment