SASTERA BUDAYA
Penulis yang Bukan Penulis?
Filem ‘Can You Ever
Forgive Me?’ (CYEFM?) memang nostalgik bagi golongan penulis, terutama diri
saya sendiri. Didaptasi daripada biografi (kisah benar) penulis Amerika
Syarikat, Lee Israel yang menghadapi masalah kewangan, sekatan penulisan, dan
ketagihan arak, serta bergelut untuk terus hidup, CYEFM? sangat menarik
walaupun tidak ‘pecah panggung’ (hanya meraih $10.7 juta daripada kos
penerbitan $10 juta).
Mengapa CYEFM?
tidak ‘meletup’ di pasaran (barangkali) boleh dibincangkan dalam kesempatan,
dan ruangan lain. Mungkin golongan penulis sendiri tidak menontonnya. Barangkali
juga filem bercorak biografi penulis tidak diminati ramai berbanding ‘thriller’,
seram, misteri, penyiasatan, dan sebagainya yang penuh aksi lasak mendebarkan.
Nostalgik kerana
saya yang mula menulis pada 1982 dari tulisan tangan sehinggalah menggunakan
mesin taip, kemudian beralih kepada komputer peribadi (2000), dan komputer riba
(2012).
Lee menulis dengan
menggunakan mesin taip. Walau bagaimanapun, saya yang turut menghadapi pelbagai
masalah, tidak mengikut cara Lee untuk terus hidup ketika hasil penulisan
merudum.
Meskipun berusaha
sebagai penulis sepenuh masa, saya tidak beralih kepada pekerjaan dalam bidang
lain. Saya pernah bekerja ‘makan gaji’, tetapi masih dalam dunia
penulisan/penerbitan - dengan beberapa syarikat penerbitan walaupun tidak lama.
Saya tertarik untuk
menyenaraikan beberapa persamaan antara saya dengan Lee. Antaranya ialah:
- berusia 50-an.
- hidup bersendirian (Lee janda, saya bujang).
- menyayangi kucing (tetapi, saya tidak memelihara).
- tiada kenderaan/menggunakan pengangkutan awam.
- ‘makan gaji’ dan kemudian ‘freelance’.
Lee atau nama
sebenarnya, Leonore Carol Israel dilahirkan pada 3 Disember 1939. Dia yang
dikenali dengan pemalsuan surat meninggal pada 24 Disember 2014 di Manhattan,
New York. Filem ini diadaptasi daripada buku autibiografi pengakuannya yang
diterbitkan pada 2008, ‘Can You Ever Forgive Me?’
Antara bukunya yang
lain ialah ‘Miss Talullah Bankhd’ (1972), ‘Kilgallen’ (1980), dan ‘Estee
Lauder: Beyond the Magic (An Unauthorized Biography)’ (1985).
Filem biografi ini
arahan Marielle Heller dengan lakon layarnya oleh Nicole Holofcener dan Jeff
Whitty, adaptasi daripada buku memoir pengakuan berjudul serupa oleh Lee.
Melissa McCarthy memegang watak Lee yang cuba memulihkan kerjaya penulisannya
yang gagal dengan memalsukan surat-surat daripada pengarang-pengarang, dan
penulis drama yang telah meninggal dunia.
CYEFM? turut
dibintangi oleh Richard E Grant, Dolly Wells, Jane Curtin, Anna Deavere Smith,
Stephen Spinella, dan Ben Falcone. Lee mengambil judul daripada kata-kata
permohonan maaf dalam surat yang dikemukakannya sebagai Dorothy Parker.
Filem ini telah
ditayangkan khas di Festival Filem Telluride pada 1 September 2018, dan
memulakan tayangan umum di Amerika Syarikat pada 19 Oktober 2018, oleh Fox
Searchlight Pictures. Ia menerima pelbagai kritikan, dengan pujian melangit
terhadap lakonan McCarthy dan Grant (Jack Hock). Ia turut dinamakan oleh Lembaga
Pengulas Kebangsaan sebagai salah sebuah filem terbaik (10 filem terbaik) bagi 2018.
Hasil lakonan
mereka, McCarthy dan Grant dicalonkan sebagai Aktres Terbaik dan Aktor Pembantu
Terbaik dalam Anugerah Akademi ke-91, Anugerah Golden Globe ke-76, dan Anugerah
Filem Akademi British ke-72.
Holofcener dan Whitty
turut menerima pencalonan Lakon Layar Adaptasi Terbaik Anugerah Akademi, dan
memenangi Lakon Layar Adaptasi Terbaik Anugerah Writers Guild Amerika.
Ekoran kegagalan
teruk buku biografi Estée Lauder tulisannya, Lee bergelut dengan masalah
kewangan, dan sekatan penulisan, yang ditambah oleh ketagihan arak. Dengan
ejennya enggan memberikan pendahuluan bagi buku biografi terbaharunya, Lee
terpaksa menjual antara hak miliknya untuk menyara hidup. Dia menjual surat peribadi
yang diterimanya daripada aktres Katharine Hepburn kepada peniaga buku
tempatan, Anna (Dolly Wells).
Ketika mencari
bahan untuk novelnya mengenai aktres dan pelawak Fanny Brice, Lee terjumpa
sepucuk surat dari lipatan di dalam buku Brice. Dia mengambil dan menunjukkannya
kepada Anna. Anna hanya menawarkan harga yang rendah kerana kandungan surat itu
kurang menarik.
Lee kemudian mula memalsukan
dan menjual surat-surat daripada penulis, penulis drama, dan aktor serta
memasukkan perkara-perkara peribadi, dan skandal untuk menuntut harga yang
lebih tinggi. Anna, yang juga peminat penulisan Lee, cuba memulakan hubungan
romantik dengannya, tetapi ditolak.
Apabila salah
sepucuk surat Lee oleh Noël Coward menimbulkan syak wasangka kerana menyentuh
soal seks dengan melampau, dia disenaraihitamkan oleh pembeli.
Setelah tidak dapat
menjual sendiri surat-surat palsu, Lee meminta rakannya, peniaga dadah yang
ranggi, Jack Hock menjual. Dia juga mula mencuri surat-surat tulen dari
perpustakaan, dan arkib untuk dijual, dengan menukarkannya dengan surat palsu
yang telah disiapkan terlebih dahulu.
Selepas kucingnya
yang berusia 12 tahun mati ketika dijaga oleh Jack sewaktu dia ke luar bandar
untuk melakukan satu lagi pencurian, Lee memutuskan perhubungan rakan, tetapi
terpaksa meneruskan kerjasama jenayah mereka.
Jack kemudian
ditahan dan disoal siasat oleh Ejen Solonas (Erik LaRay Harvey) dari Biro
Penyiasatan Persekutuan aka semasa berurus niaga. Dengan penjelasan Jack, Lee menerima
surat saman dari mahkamah kerana membuat pemalsuan.
Lee meminta khidmat
seorang peguam yang menasihatkannya agar menunjukkan rasa kesal dengan mencari
kerja, melakukan khidmat masyarakat, dan menyertai program pemulihan arak.
Namun begitu, di
mahkamah, Lee mengakui dia gembira melakukan pemalsuan dan tidak menyesal.
Walau bagaimanapun, jenayah yang dilakukannya tidak berbaloi kerana surat-surat
itu tidak menunjukkan dirinya yang sebenar sebagai penulis. Dia dijatuhi
hukuman lima tahun percubaan, dan enam bulan tahanan rumah.
Selepas menjalani
hukuman, Lee berdamai dengan Jack yang sedang menderita penyakit AIDS. Dia
meminta kebenaran Jack untuk menulis memoir tentang perbuatan mereka. Jack
bersetuju.
Lee kemudian
melintasi sebuah kedai dan terpandang sepucuk surat oleh Dorothy Parker yang
dipalsukannya dijual dengan harga $1,900 – jauh lebih mahal daripada yang
diterimanya dahulu. Dengan jijik, dia menulis sepucuk surat yang menyindir
daripada Parker di kubur.
Menyedari surat
yang dijualnya itu palsu, pemilik kedai itu mengalihkannya, tetapi membuat
keputusan untuk terus mempamerkannya.
Filem ini memang
sangat menarik – bukan hanya kerana ia dekat dengan diri saya – tetapi,
persembahannya tidak membosankan walaupun tiada aksi lasak, dan banyak dialog.
Ia ada keistimewaan tersendiri yang sukar dijelaskan dengan kata-kata. Tidak
dinafikan juga lakonan McCarthy dan Grant sangat membantu. Cuma tidak sehingga
ke tahap memenangi anugerah Oskar (Anugerah Akademi ke-91 pada 25 Februari
lalu), sekalipun turut dicalonkan.
No comments:
Post a Comment