Pages

Saturday, 9 March 2019

SASTERA BUDAYA

CINTA PLATONIK JUGA BAHAGIA





Memang ada filem yang dibikin hanya untuk menghiburkan sahaja, dan berjaya dalam hasratnya itu, malah ‘pecah panggung’. Banyak juga yang hanya menyesakkan nafas, dan rugi pula di pasaran.
Walau bagaimanapun, saya percaya Milly & Mamet (Ini Bukan Cinta & Rangga) (MMIBCR) yang ditayangkan mulai 20 Disember 2018 memang dibikin untuk menghiburkan.
Ternyata filem arahan Ernest Prakasa yang juga penulis lakon layar, dan pemegang watak Yongki ini seronok ditonton. Bercorak komedi romantik, MMIBCR ini inspirasi dari filem ‘meletup di pasaran’, ‘Ada Apa dengan Cinta?’ (AADC/2002). Walaupun ada beberapa kelemahan seperti terlalu banyak dialog, dan muzik hampir tenggelam, tetapi MMIBCR masih berbaloi ditonton.
MMIBCR diterbitkan oleh dua syarikat terkenal Indonesia, Starvision Plus dan Miles Films sebagai pemilik AADC. Kedua-duanya bekerjasama membentuk spin off dari cerita AADC, di mana cerita tertumpu pada bagaimana Milly (Sissy Priscilla), dan Mamet (Dennis Adhiswara) membina mahligai rumah tangga mereka.
MMIBCR menyambung kisah AADC2 di mana Milly dan Mamet sibuk dengan hal mengurus bayi mereka. Mamet yang sangat suka memasak, dan pernah menjadi chef kini bekerja di kilang kepunyaan ayah Milly, Pak Sony (Roy Marten).
Walaupun rasa agak terpaksa, dan kerana dia sekarang menjadi tumpuan keluarga kecil mereka setelah Milly berhenti kerja di bank untuk membesarkan anak, Mamet bertemu dengan Alexandra (Julie Estelle), rakan karibnya sewaktu belajar dahulu.
Dengan penuh bersemangat, Alexandra memberitahu bahawa dia sudah ada pelabur untuk memenuhi cita-cita membuka restoran yang pernah mereka impikan bersama. Pelabur itu ialah kekasih yang juga bakal suaminya, James (Yoshi Sudarso). 
Oleh sebab perkara mendesak, Mamet terpaksa melanggar arahan Pak Sony di kilang. Dia dimarahi di hadapan Yongki dan beberapa pekerja lain di pejabat. Mamet meninggalkan kilang.
Ekoran tiada pekerjaan dan hubungannya dengan Pak Sony meruncing, Mamet menerima tawaran Alexandra. Restoran dibuka dan mendapat sambutan hangat. Milly cuba menyesuaikan diri dengan hidup baharunya sebagai ibu sepenuh masa.
Jika berdasarkan paras rupa, Milly dan Mamet tidak jelita dan tampan seperti pasangan Cinta-Rangga. Namun demikian, cinta mereka tidak mengenal itu semua – cinta platonik.
Oleh sebab cinta juga, Milly memberitahu Mamet bahawa urus niaga restoran Alexandra tidak selamat. Modal yang digunakan oleh James ialah ‘wang panas’ – gubahan haram oleh ayahnya. Perniagaan restoran hanya untuk menutup atau membersihkan wang kotor itu.
Mamet yang memang dimaklumi oleh Milly tidak sukakan apa-apa penyelewengan menempelak Alexandra. Dia menarik diri. Alexandra pula memberi kata dua kepada James.  
MMIBCR memang bercorak komedi. Walau bagaimanapun, sebagai sebuah karya visual, kelucuannya lebih banyak bergantung pada dialog, bukan keadaan atau perlakuan. Jika semua perkara perlu/mahu disebut, ia sudah menjadi karya audio seperti drama radio, misalnya.
Antara faktor MMIBCR menyeronokkan ialah mutu lakonan. Ternyata kesemua pelakon, terutamanya yang penting berjaya membawa watak masing-masing dengan baik. Mereka berjaya menghidupkan dialog lucu yang berbelit-belit (untuk menimbulkan kelucuan).
Sebagai contoh, ketika Mamet dan James berbalah kecil/bertingkah mengenai kucing peliharaan penyambut tetamu pejabat James. James yang kacak dan serius pun mampu membuat penonton ketawa. Nama kucing wanita itu Doggy, sementara anjingnya pula dipanggil Monkey.
Pembantu rumah Mamet-Milly, Sari (Arafah Rianti) juga membuat penonton tidak kering gusi. Sebenarnya banyak sekali dialog lucu, terutamanya daripada Mamet dan Milly sendiri ketika mereka berbual. Bukan sahaja watak utama, watak kecil seperti  bernama anggota polis bantuan dan peniaga nasi goreng di tepi jalan juga mampu berjenaka.
MMIBCR turut dibintangi Titi Kamal (Maura), Adinia Wirasti (Karmen), Ardit Erwandha (Robby), Isyana Sarasvati (Rika), Eva Celia (Jojo), Aci Resti (IIN), Dinda Kanyadewi (Lela) Bintang Emon (Somat), Tike Priatnakusumah (Bi Sum), Muhadkly Acho (Hendra), Surya Saputra (Rama), Gebi Ramadhan (penjual nasi goreng), dan Dian Sastrowardoyo (Cinta), serta komposer/penyanyi Melly Goeslaw (Mamah Itje).

No comments:

Post a Comment