SASTERA BUDAYA
CINTA PLATONIK JUGA BAHAGIA
CINTA PLATONIK JUGA BAHAGIA
Memang ada filem yang dibikin hanya untuk
menghiburkan sahaja, dan berjaya dalam hasratnya itu, malah ‘pecah panggung’.
Banyak juga yang hanya menyesakkan nafas, dan rugi pula di pasaran.
Walau bagaimanapun, saya percaya Milly & Mamet
(Ini Bukan Cinta & Rangga) (MMIBCR) yang ditayangkan mulai 20 Disember
2018 memang dibikin untuk menghiburkan.
Ternyata filem arahan Ernest Prakasa yang juga
penulis lakon layar, dan pemegang watak Yongki ini seronok ditonton. Bercorak komedi
romantik, MMIBCR ini inspirasi dari filem ‘meletup di pasaran’, ‘Ada Apa dengan
Cinta?’ (AADC/2002). Walaupun ada beberapa kelemahan seperti terlalu banyak
dialog, dan muzik hampir tenggelam, tetapi MMIBCR masih berbaloi ditonton.
MMIBCR diterbitkan oleh dua syarikat terkenal
Indonesia, Starvision Plus dan Miles Films sebagai pemilik AADC. Kedua-duanya
bekerjasama membentuk spin off dari cerita AADC, di mana cerita tertumpu
pada bagaimana Milly (Sissy Priscilla), dan Mamet (Dennis Adhiswara) membina
mahligai rumah tangga mereka.
MMIBCR menyambung kisah AADC2 di mana Milly dan Mamet
sibuk dengan hal mengurus bayi mereka. Mamet yang sangat suka memasak, dan pernah
menjadi chef kini bekerja di kilang kepunyaan ayah Milly, Pak Sony (Roy Marten).
Walaupun rasa agak terpaksa, dan kerana dia
sekarang menjadi tumpuan keluarga kecil mereka setelah Milly berhenti kerja di
bank untuk membesarkan anak, Mamet bertemu dengan Alexandra (Julie Estelle), rakan
karibnya sewaktu belajar dahulu.
Dengan penuh bersemangat, Alexandra memberitahu bahawa
dia sudah ada pelabur untuk memenuhi cita-cita membuka restoran yang pernah
mereka impikan bersama. Pelabur itu ialah kekasih yang juga bakal suaminya,
James (Yoshi Sudarso).
Oleh sebab perkara mendesak, Mamet terpaksa melanggar
arahan Pak Sony di kilang. Dia dimarahi di hadapan Yongki dan beberapa pekerja
lain di pejabat. Mamet meninggalkan kilang.
Ekoran tiada pekerjaan dan hubungannya dengan Pak
Sony meruncing, Mamet menerima tawaran Alexandra. Restoran dibuka dan mendapat
sambutan hangat. Milly cuba menyesuaikan diri dengan hidup baharunya sebagai ibu
sepenuh masa.
Jika berdasarkan paras rupa, Milly dan Mamet tidak
jelita dan tampan seperti pasangan Cinta-Rangga. Namun demikian, cinta mereka
tidak mengenal itu semua – cinta platonik.
Oleh sebab cinta juga, Milly memberitahu Mamet
bahawa urus niaga restoran Alexandra tidak selamat. Modal yang digunakan oleh
James ialah ‘wang panas’ – gubahan haram oleh ayahnya. Perniagaan restoran
hanya untuk menutup atau membersihkan wang kotor itu.
Mamet yang memang dimaklumi oleh Milly tidak
sukakan apa-apa penyelewengan menempelak Alexandra. Dia menarik diri. Alexandra
pula memberi kata dua kepada James.
MMIBCR memang bercorak komedi. Walau bagaimanapun,
sebagai sebuah karya visual, kelucuannya lebih banyak bergantung pada dialog,
bukan keadaan atau perlakuan. Jika semua perkara perlu/mahu disebut, ia sudah
menjadi karya audio seperti drama radio, misalnya.
Antara faktor MMIBCR menyeronokkan ialah mutu
lakonan. Ternyata kesemua pelakon, terutamanya yang penting berjaya membawa
watak masing-masing dengan baik. Mereka berjaya menghidupkan dialog lucu yang
berbelit-belit (untuk menimbulkan kelucuan).
Sebagai contoh, ketika Mamet dan James berbalah
kecil/bertingkah mengenai kucing peliharaan penyambut tetamu pejabat James. James
yang kacak dan serius pun mampu membuat penonton ketawa. Nama kucing wanita itu
Doggy, sementara anjingnya pula dipanggil Monkey.
Pembantu rumah Mamet-Milly, Sari (Arafah Rianti) juga
membuat penonton tidak kering gusi. Sebenarnya banyak sekali dialog lucu,
terutamanya daripada Mamet dan Milly sendiri ketika mereka berbual. Bukan
sahaja watak utama, watak kecil seperti bernama
anggota polis bantuan dan peniaga nasi goreng di tepi jalan juga mampu berjenaka.
MMIBCR turut dibintangi Titi Kamal (Maura), Adinia
Wirasti (Karmen), Ardit Erwandha (Robby), Isyana Sarasvati (Rika), Eva Celia
(Jojo), Aci Resti (IIN), Dinda Kanyadewi (Lela) Bintang Emon (Somat), Tike
Priatnakusumah (Bi Sum), Muhadkly Acho (Hendra), Surya Saputra (Rama), Gebi
Ramadhan (penjual nasi goreng), dan Dian Sastrowardoyo (Cinta), serta
komposer/penyanyi Melly Goeslaw (Mamah Itje).
No comments: