SASTERA BUDAYA

KENTAL CINTA PADA GADIS HATYAI

Tidak adil mengatakan sekuel sesebuah filem itu lebih baik atau sebaliknya jika tidak
menonton yang pertama. Mendengar atau berdasarkan pendapat orang lain memang
penilaian yang kurang tepat/wajar.
Bikers Kental 2 ialah sebuah lagi filem yang saya tidak tonton bahagian pertamanya.
Jadi, saya tidak dapat membuat perbandingan. Rakan yang pernah menonton Bikers
Kental (2013) berpendapat Bikers Kental 2 lebih hebat, dan menghiburkan. Memang
saya dapat merasakan kehebatan dan keseronokan, tetapi tidak tahu sama ada lebih
atau kurang.
Filem aksi lasak, sama ada komedi, drama, seram atau fantasi sukar atau tidak dapat
lari daripada klise/pengulangan. Secara keseluruhannya, tiada yang baharu dalam
Bikers Kental 2 berbanding sekian banyak filem bercorak aksi lasak. Jika ada perkara
yang boleh membuat ia menarik ditonton ialah coraknya, road movie. Filem bercorak
road movie jarang dihasilkan oleh para pembikin filem Melayu Malaysia.
Jalan cerita Bikers Kental 2 boleh diteka dengan agak mudah. Ada filem yang dibikin
untuk mengkritik hal atau pihak tertentu. Ada juga yang memberi pesanan. Tidak
kurang juga untuk menghiburkan. Saya tetap percaya Bikers Kental 2 juga ada
pesanan. Walau bagaimanapun, moodnya gembira dan mahu menggembirakan
penonton. Jadi, adegan pergaduhan dan kejar-mengejar yang menjadi antara
bumbu/kemestian filem aksi lasak yang mengisinya membuat penonton lupa atau
keciciran mesejnya.
Cuma, selain gaya tipikal Zizan, ada masanya komedi dalam Bikers Kental 2 muncul
menerusi dialog, dan kejadian – komedi situasi. Zizan seperti tidak boleh berpisah
dengan watak komedi meskipun kadang-kadang cuba tampil serius.
Memulakan penggambaran pada 12 Mac 2016. Menurut pengarahnya, Bikers Kental
disambung kerana mendapat sambutan hangat semasa ditayangkan pada 2013. Para
peminat motosikal dan peminat filem juga bertanya bilakah Bikers Kental akan
disambung. Pada perancangan awalnya, Bikers Kental 2 dimulakan sebaik Bikers
Kental menjengah pawagam. Namun begitu, ia terpaksa ditangguhkan kerana pada
2014 dan 2015 industri filem tempatan agak suram.
Akhirnya, MRB Network Sdn Bhd dan Califwork Sdn Bhd, serta para pelakon yang
begitu teruja, menjalani penggambaran di sekitar Danok, Songkla, Hatyai, Trang dan
Phuket, Thailand. Untuk sekuel filem ini, Helmi mengambil Wild Hogs, arahan Walt
Becker sebagai rujukan.
Bikers Kental 2 bermula apabila Pornthaliwat (Bront Palarae) yang baru dibebaskan
dari penjara, disambut oleh Albuqueq (Amerul Affendi), bertanya mengenai Bidin Al
Zaifa (Zizan Razak). Namun demikian, Albuqueq masih gagal menjejaki Bidin.
Pornthaliwat dan Albuqueq kemudian diculik oleh ketua mereka, Khunna (Ayie
Kushairi), yang meminta wangnya dikembalikan. Lantaran tidak berpuas hati, dia
menembak mati Pornthaliwat untuk menakut-nakutkan Albuqueq.
Di Kuala Lumpur, Bidin masih bekerja di Red Garage yang telah diambil alih oleh adik
Aidil, iaitu Aidid (Datuk Afdlin Shauki) selepas Aidil berhijrah ke Los Angeles untuk
memenuhi impiannya bertemu dengan Paul Senior.
Bidin merancang melawat Cherry Porntit (Julangtip Sunkasem) dan keluarga buah
hatinya itu di Hatyai untuk berkenalan dengan lebih dekat sebelum membuat lamaran.
Bidin mengajak Eddie (Dato’ Awie) menemaninya, tetapi Eddie tidak dapat menyertai
lantaran beberapa perkara yang harus diselesaikannya di Kuala Lumpur. Dia hanya
dapat menyertai Bidin beberapa hari kemudian.
Bidin akhirnya bergerak sendirian ke Hatyai. Ketika singgah makan di Dannok, dia
dikejar oleh Albuqueq yang melihatnya. Bidin berjaya melepaskan diri dan
menyambung perjalanannya ke Hatyai.
Saiya (Korravee Pimsuk), rakan baik Cherry yang bersekongkol dengan Khunna agak mengejutkan. Namun demikian, itu bukan gaya baharu. Telah selalu ada dalam filem-filem sebelumnya, sama ada dari Hollywood, Bollywood, Kollywood ataupun tempatan sendiri. Unsur kebetulan juga ada apabila Saiya menelefon seseorang di hadapan hotel yang didengari oleh Ananda (Pont Cranium), juara Muay Thai. Adegan itu hanya untuk merubah tanggapan Ananda terhadap Zaifa.
Salah sangka Zaifa terhadap Cherry yang dimesrai oleh Ananda juga klise. Dia
cemburu, lalu meluru untuk memukul Ananda. Sebaliknya, dia yang ditumbuk terlebih
dahulu. Rupa-rupanya, Ananda ialah abang kandung Cherry yang cerewet terhadap
teman lelaki adiknya itu.
Mengejutkan juga meskipun menarik. Ketika semakin berumur pula Afdlin tampil
menjayakan adegan pergaduhan. Semasa lebih muda dahulu, hampir kesemua
filemnya tiada adegan lasak.
     



No comments:

Powered by Blogger.