Pages

Monday, 16 September 2019


SASTERA BUDAYA

FILEM KESEDARAN ALAM SEKITAR

FESTIVAL Filem Eko Kuala Lumpur (KLEFF) peringkat Antarabangsa merupakan platform penyediaan Malaysia yang panjang dan utama dalam membina kehidupan yang mantap/stabil menerusi tayangan filem bertemakan alam sekitar, bengkel, wacana, pameran, Pasaran Hijau, persembahan rakyat tempatan, dan pelbagai aktiviti berkaitan.
KLEFF menampilkan filem-filem mengenai alam sekitar dengan dialog-dialog penting, menyelusuri perhubungan antara manusia dengan persekitaran mereka, mencabar cara manusia berfikir mengenai dunia semula jadi, serta mendorong mereka berbincang, dan bertindak dalam isu-isu penting alam sekitar.
Pada tahun ini masuk kali yang ke-12 EcoKnights menganjurkan KLEFF. Penaja utama KLEFF 2019 ialah Kiehl’s. Dilancarkan pada 13 September lalu di Taman Tugu Nursery, Kuala Lumpur, KLEFF 2019 membawa tema ‘Tindakan Iklim… Sekarang’.
Majlis pelancaran KLEFF 2019 disempurnakan oleh Stephanie Bacon (Naib Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia atau MNS) yang mewakili Presidennya, Prof Dr Ahmad Ismail.
Turut hadir ialah Dr Yasmin Rasyid (Pengasas dan Penasihat Kehormat KLEFF), Fadly Bakhtiar (Pengarah KLEFF), Elina Jani ((Pengarah, Pegawai Komunikasi Strategi Malaysian Green Technology Corporation), Aina Ahmad (Pengurus Komunikasi Jenama Kiehl’s Malaysia), Nurul Nabila Shohimi (Ketua Penyelaras Jadual Tayangan dan Pembikin Filem), Mok Yi Ying (Ketua Penyelaras Pasaran Hijau), Johanan Kong (Ketua Penyelaras Sukarelawan), Emirul Redzuan (Ketua Penyelaras Tayangan & Audio Visual), dan Luqman Avicenna (Penyelaras Pembangunan Kandungan dan Kreatif).
Selain Kiehl’s dan MSN yang juga rakan penyokong, KLEFF 2019 turut mendapat kerjasama Publika (rakan gelanggang), IGEM (rakan tuan rumah), MY Forest (rakan anugerah khas), DHL (rakan logistik), Tanamera (rakan pusat), serta The Social, Birdlife, dan European Union atau EU (rakan penyokong).
Tema KLEFF 2019 menjelajah kisah manusia dan pertubuhan yang komited dengan tindakan iklim untuk menghasilkan kesan maksimum terhadap usaha mempertahankannya. Penganjur KLEFF 2019 menerima 233 filem dari 48 negara, dan akhirnya memilih 86 yang merangkumi pelbagai genre, dan berbeza durasi untuk ditayangkan di sepanjang festival. KLEFF 2019 akan berlangsung dari 9 sehingga 13 Oktober. Penganjur menjangkakan kehadiran lebih 5,000 audiens.
Ini merupakan tahun kedua MNS menyokong KLEFF dan EcoKnights, yang merupakan tonggak dalam projek MY Forest MNS tajaan EU. Menerusi KLEFF, MY Forest akan memenuhi prinsipnya dalam pembinaan kapasiti pemain bukan tonggak dalam sokongan perhutanan.
Selepas pelancaran KLEFF 2019, turut diadakan sidang media yang menampilkan Stephanie Bacon, Dr Yasmin Rasyid, Fadly Bakhtiar, Aina Ahmad, dan Elina Jani.
Menurut Fadly, pihaknya komited dalam membawakan suasana festival filem yang lebih alamiah kepada masyarakat, menerusi perbualan, dan pergerakan persekitaran tindakan iklim. Katanya, kesinambungan tersebut mendapat bantuan rakan-rakan kongsi, rakan-rakan kerjasama, media, dan orang awam yang penting.
Justeru, tambah Fadly, pihaknya berharap dapat meneruskan kejayaan, dan perjuangan memberikan dunia yang lebih baik kepada semua orang.
Sementara itu, Dr Yasmin bersyukur kerana KLEFF dapat terus dianjurkan sehingga kini. Beliau dengan rendah hati mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih, dan penghargaan kepada semua yang terlibat menjayakan KLEFF. Tambah Dr Yasmin, bukan mudah menganjurkan acara seperti KLEFF yang bermula dari kecil sehingga kini mula mendapat perhatian, dan sanjungan.
Elina pula menyatakan kegembiraan dan kebanggaan dapat bersama-sama menjadi sebahagian daripada KLEFF sejak 2017. Walaupun mengakui cabaran besar menonton filem-filem yang menyertai festival yang kian bertambah tahun demi tahun, tetapi itu merupakan pengalaman yang menyeronokkan.
Dalam meneruskan legasinya yang panjang, KLEFF 2019 dijalankan dalam dua bahagian dengan lebih sorotan seperti berikut:
KLEFF @ IGEM (9-11 Oktober)
·        Majlis Anugerah KLEFF 2019 untuk menghargai para peserta tempatan dan antarabangsa yang berusaha gigih menghasilkan filem-filem alam sekitar.
·        Reruai Maklumat yang menampilkan usaha berterusan pertubuhan bukan kerajaan, EcoKnights, dan rakan-rakan kongsi.
·        Pengalaman realiti maya (VR) menampilkan salah sebuah filem yang memenangi anugerah KLEFF 2019.
·        Lima belas filem KLEFF 2019 ditayangkan dalam Tayangan Filem yang menumpukan kepada perubahan iklim, sains dan teknologi, seni bina hijau, dan pengurusan sisa.
KLEFF @ Publika Solaris Dutamas (7-13 Oktober)
·        Tayangan Filem di sepanjang KLEFF 2019 menampilkan 73 filem bertemakan alam sekitar.
·        Tiga kesan hasil usaha berterusan di bawah Akta 4SDG menampilkan ‘Earthworm Foundation’ (sesi ahli panel dan tayangan video), Persatuan Biologi Pemuliharaan (sesi ahli panel dan pameran fotografi), dan Me.Reka Makerspace (siri bengkel) yang menyorot Matlamat Pembangunan Mantap.
·        Pengalaman realiti maya (VR) menampilkan salah sebuah filem yang memenangi anugerah KLEFF 2019.
·        Tujuh belas Bicara dan Bengkel bertemakan alam sekitar.
·        Pesta Derma yang diisi degan pelbagai jenis permainan interaktif keluarga.
·        Dua puluh tiga juara vendor Pasaran Hijau produk dan perkhidmatan mesra eko yang selaras dengan 12 Matlamat, serta Penggunaan Tanggungjawab, dan Produksi SDG.

Marilah mengambil tindakan iklim… sekarang! Maklumat lanjut boleh didapati dalam kleff.my.
      
            












SASTERA BUDAYA

PAMERAN ANGKAT GENRE SENI ISLAM

CITI Jeleha Yousoff merupakan artis kaligrafi Islam yang pertama dari Malaysia yang mendapat tunjuk ajar, dan ‘ijazah’ (pengiktirafan) daripada ‘Reis ul-Hattatin’, guru tunggal Khat Uthmaniah - Hassan Celebi di Turki dalam penulisan kaligrafi gaya Nasakh, dan
Thuluth.
Pameran ‘Oleh Tangan yang Berkata Citi Yousoff’ di Galeri Potret Balai Seni Negara (BSN) mulai 20 Ogos lalu sehingga 20 September depan mengangkat genre kesenian Islam yang mempamerkan 30 karya terbaik hasil gabungan pengalaman, dan penglibatan Citi Yousoff dalam bidang seni kaligrafi, seni tradisi Islam termasuk seni ukiran batu, kayu dan seni artis kontemporari.
Kesemuanya ditampilkan dalam pameran ini menerusi tujuh skrip berlainan, iaitu Jali
Thuluth, Thuluth, Nasakh, Jali Diwani, Diwani, dan Ijazat. Citi Yousoff merupakan artis yang memegang kuat prinsip-prinsip khat tradisional yang dipelajari, dan tidak terkeluar daripada batas asalnya.
Pameran ‘Oleh Tangan yang Berkata Citi Yousoff’ dibahagikan kepada tiga bahagian utama, iaitu biografi artis sebagai penulis kaligrafi wanita, karya-karya beliau, dan cara pembelajaran tradisi seni khat Uthmaniah yang masih hidup pada zaman ini bersama-sama paparan alat, dan bahan yang beliau gunakan untuk menyiapkan karyanya.
Citi Yousoff menggunakan pelbagai medium bagi menghasilkan karya seperti kanvas, kayu, dan batu. Kemahiran beliau bereksperimentasi dengan pelbagai permukaan bahan, serta teknik penghasilan tulisan kaligrafi merupakan anugerah yang tidak dimiliki oleh ramai penulis, terutamanya wanita.
Bersempena dengan pameran ini, sebuah katalog diterbitkan untuk diwariskan kepada generasi pelapis hari ini, dan masa depan Malaysia.
Pada 10 September 2019 lalu telah diadakan majlis perasmian ‘Pameran Oleh
Tangan yang Berkata Citi Yousoff’ di BSN. Majlis tersebut disempurnakan oleh Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin (Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia). Selain Citi Yousoff, turut hadir ialah Zanita Anuar (Kurator Kanan BSN).
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Prof Dr Azizan berkata, gabungan pengalaman dan penglibatan Citi Yousoff yang diutilasi dengan kepelbagaian penyampain menjadikan karya beliau begitu mempesonakan.
Tambah Dr Azizan, Islam mengajak kita menghargai, dan menikmati keindahan, dan menerusinya memberi panduan kepada para seniman Malaysia untuk berdaya kreatif, sejajar dengan prinsip Dasar Kebudayaan Kebangsaan dalam prinsip ketiga, iaitu ‘Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan’.
Menurut beliau lagi, para seniman Malaysia turut menjadikan prinsip ini dalam mengenengahkan konsep karya mereka.
Dr Azizan berharap para seniman Malaysia akan sentiasa memperjuangkan kesenian Islam yang menjadi salah satu unsur penting dalam pembentukan identiti negara kita. Peranan kesenian Islam dalam kita mentauhidkan Allah, tambah beliau, dengan berlandaskan falsafah seni Islam melalui kebenaran, keindahan dan kebaikan ialah penting dalam pengkaryaan oleh para seniman.
   


Wednesday, 11 September 2019









SASTERA BUDAYA


PATRIOTISME, PERPADUAN DI PADANG BOLA


FILEM bergenre drama/sejarah/sukan ini ditayangkan mulai 12 September 2019 ketika negara masih hangat dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-62, dan Hari Malaysia ke-56. Tambah menarik, persembahannya yang memikat boleh menangkis tanggapan bahawa filem patriotik membosankan.
Oleh kerana perancangan untuk membikinnya dimulakan pada 2011, filem Suatu Ketika tidak mendapat ilham daripada kejayaan Ola Bola (2016) walaupun penggambaran bermula enam tahun kemudian. Tidak patut pula jika mahu membandingkannya dengan filem arahan Chiu Keng Guan itu kerana perbezaan aspek pengarahan, lakon layar, para pelakon, dan bajet penerbitan. Namun demikian, kedua-duanya mengagumkan sebagai filem patriotik, serta dalam aspek sinematografi/visual, unsur dramatik, dan lakonan.
Seperti Ola Bola, Suatu Ketika turut membuktikan filem patriotik tidak semestinya/hanya menampilkan kisah peperangan fizikal pada zaman penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris, dan Jepun. Latar masa filem ini pada 1952 - ketika negara masih bergelar Tanah Melayu, serta di bawah pemerintahan Inggeris (sebelum tahun kemerdekaan yang pertama), dan dalam Darurat (1948-1960), tetapi ia tidak menampilkan peperangan/pertempuran fizikal/ketenteraan, sebaliknya menerusi perlawanan bola sepak.
Saya fikir tayangan Suatu Ketika juga bertepatan dengan keadaan semasa negara yang agak panas oleh api perkauman yang pihak-pihak berkepentingan politik nyalakan.
Diakui sukar memberi kesan positif segera, tetapi sekurang-kurangnya dapat menyuntik kesedaran, dan inpsirasi kepada penonton mengenai kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, dan perlu sentiasa dipupuk/diamalkan. Filem atau karya audio visual sepertinya lebih berkesan, dan itu memang amat diharapkan.
Di samping itu, patriotisme juga (boleh/harus) terbina dengan semangat hormat-menghormati, tolong-menolong, bersatu-padu, dan bergotong-royong. Kesemuanya perlu/wajar berada dalam patriotisme.
Suatu Ketika menampilkan 12 kanak-kanak atau lebih tepatnya, pelajar Sekolah Ujong Pasir, iaitu Syukri (Daniel Akmal Fariz), Atan (Farez Iqmal), Husin (Daniel Syahidan), Dol (Azlan Raihan), Guna (Kuhan Divagaran), Suresh (Dheva Naish), Usop (Armand), Lee Meng (Lim Xuan), Bakri (Putera Syazwan), Tuah (Daniel Iman), Panjang (Ahmas), dan Kudin (Adeq Jiey).
Namun begitu, tumpuan dan konflik/krisis ditumpukan pada Syukri, Husin, Dol, Atan, dan Kudin. Mereka yang menggerak dan menghidupkan cerita. Walaupun tidak berdasarkan sejarah negara, tetapi penulis skrip yang juga pengarahnya, Prakash Murugiah, mengambil/menggabungkan kisah daripada beberapa orang individu.
Masalah kesihatan yang dihadapinya tidak menghalang impian Syukri yang cuba menubuhkan sebuah pasukan bola sepak dengan tukang kebun, Pak Sa’ad (NamRon), dan guru sekolahnya, Cikgu Sulaiman (Pekin Ibrahim). Itu selaras dengan tagline filem ini, ‘Langitkan Impianmu’.
Oleh kerana masalah jantung, Syukri dilarang oleh ayahnya, Selamat (Dintamam) dengan serba-salah bermain bola sepak. Keadaan kesihatan Syukri itu mengingatkan saya kepada pemain kebangsaan dari Perak, Mohd Shahrel Fikri – juga pemain posisi penyerang - yang tidak dapat bermain 90 minit penuh.
Namun demikian, Syukri tiada masalah ketika menjalani latihan, dan beraksi dalam perlawanan demi perlawanan, kecuali semasa perlawanan akhir Piala JG Davidson menentang sekolah Inggeris yang berprestij, dan juga juara bertahan, Sekolah St James. Syukri tidak sedarkan diri selepas dijatuhkan oleh pemain sekolah itu, dan bola sengaja disepak mengenai dada sebelah kirinya.
Walau bagaimanapun, Syukri pulih semula dan dapat membantu sekolahnya menewaskan Sekolah St James 3-2 untuk muncul sebagai sekolah Melayu pertama menjuarai Piala JG Davidson. Bukankah itu patriotisme, dan berkaitan dengan motivasi? Walaupun klise, Syukri mendapat suntikan semangat dalam ‘khayalan’, seperti ketika koma - daripada Pak Sa’ad (yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya) sewaktu pengsan.
Husin dan Dol selalu bergaduh yang berpunca daripada mereka sendiri. Husin yang suka mengusik Dol, ada masalah kewangan keluarga sehingga mahu meninggalkan pasukan bola sepak, dan cepat marah. Dol pula selalu berlagak seperti pengarah fotografi ketika bermain. Namun demikian, dengan campur tangan Cikgu Sulaiman, dan bantuan Dol yang sanggup melupakan sengketa (memberikan wang tabungnya kepada Husin), Husin dan Dol berdamai.
Atan pula cepat marah, dan itu tidak disenangi oleh Pak Sa’ad. Mujurlah Pak Sa’ad yang kelihatan seperti bukan tukang kebun tipikal, tetapi bijaksana (rupa-rupanya dia bekas anggota tentera yang luas pergaulan), memberikan nasihat. Pak Sa’ad meminta Atan pergi ke satu sudut di padang bola sepak, dan menjerit sekuat hati melepaskan kemarahannya. Petua itu diamalkan oleh Atan, termasuk ketika perlawanan akhir yang menarik perhatian penonton, jurulatih serta para pemain Sekolah St James, dan pengulas.
Kudin tempang kaki kirinya. Sudah tentu dia tidak dipilih bermain. Itu menyedihkan hatinya yang juga diberikan kata-kata semangat oleh Pak Sa’ad. Namun demikian, atas semangat perpaduan, Kudin diberikan tugas menyediakan minuman untuk rakan-rakannya yang berjuang di padang. Tidak salah. Pembuat air minuman juga lambang perpaduan, dan kehadirannya melengkapkan pasukan bola sepak Sekolah Ujong Pasir.

Monday, 9 September 2019















SASTERA BUDAYA


BUSUK DAHULU SEBELUM WANGI



JIKA mampu mencetuskan pelbagai persoalan di minda penonton dalam 10 minit awal durasinya, sesebuah filem itu dianggap baik, dan menarik.
Mengapa/bagaimana Khuzairi (Sharnaaz Ahmad) boleh berubah dari lemah-lembut bersopan/berhemah kepada ganas, dan kejam sehingga membunuh Bella (Nabila Huda), dan Azlan (Syazwan Zulkifli), teman lelaki Bella, malah isterinya sendiri, Nor (Erra Fazira)! Ini persoalan yang paling besar dalam filem Wangi yang telah memulakan tayangannya di seluruh negara pada 5 September 2019.
Bella ialah adik angkat Nor. Penonton dapat melihat Khuzairi begitu berhemah dalam
pergaulan/kehidupan harian dengan keluarganya dari awal durasi lagi. Tidak berlebih-lebihan jika dikatakan ucapan salam olehnya ‘paling lembut dalam dunia’.
Kita tertakluk pada hukum sebab dan akibat bagi setiap perkara (kecuali kalau kehendak Allah SWT). Mustahil Khuzairi menjadi ganas tanpa sebab kukuh. Tiada tanda/punca perlakuan Khuzairi itu yang boleh/dapat meyakinkan penonton Wangi. Malang sekali kalau persoalan tersebut menjadi sandaran Mohd Latiff Zami untuk filem arahannya yang keenam ini ‘pecah panggung.
Namun demikian, Latiff tidak bersalah jika Wangi gagal di pawagam. Barangkali ia tidak patut dibangkitkan kerana itu seolah-olah menunjukkan kebodohan sendiri sebagai

penonton. Walau bagaimanapun, ia menjejaskan Wangi.
Oleh sebab ada kesempatan, ditanyakan juga kepada mereka yang berkenaan. Memang bukan salah pembikinnya, tetapi angkara Lembaga Penapis Filem (LPF).
Sharnaaz mengatakan Khuzairi berubah mendadak kerana dia takut/tidak sanggup kehilangan semua kekayaan yang dimiliki jika Nor mengetahui skandalnya dengan Bella. Namun demikian, jawapan itu tidak mantap.
Penjelasan Latiff bahawa adegan Khuzairi memukul ayahnya ketika kanak-kanak pada penghujung durasi yang telah dipotong oleh LPF yang menjawab segala persoalan.
LPF memberi alasan bahawa adegan keganasan oleh kanak-kanak tidak wajar dipaparkan. Ia tetap dengan keputusan meskipun Latiff telah memberi penjelasan.
Malanglah pihak berwajib kurang arif dengan soal tersebut, sedangkan adegan itu membuka kunci kekeliruan. Sementelah pula adegan Khuzairi ketika kanak-kanak itu ada hubungan dengan pertanyaan mengapa judul filem ini Wangi. Penonton yang tahap tafsirannya rendah tidak akan tahu mengapa. Demikian juga dengan pengkritik mentah. Sebaliknya, penonton dan pengkritik yang berinterpretasi tahap tinggi boleh faham sendiri.
Walau bagaimanapun, peluang bertanya elok dimanfaatkan. Wangi sebenarnya merupakan siratan bagi keinginan pembikin untuk disampaikan kepada penonton/pengkritik.
Khiri (Nik Muhammad Adam Mikael) anak istimewa berusia tujuh tahun, skandal Khuzairi-Bella, dan keganasan Khuzairi ialah keburukan yang keterbalikannya diingini oleh semua orang, dan diistilahkan sebagai ‘wangi’ yang bererti kebaikan/keindahan.
Dalam hal ini, saya teringat pada kata-kata pelakon veteran Dato’ Baharuddin Haji Omar, iaitu jika kita mahu mencari yang baik, paparkan dahulu keburukan (dalam filem dan drama televisyen/radio). Ia merupakan penyampaian mesej secara tersirat, dan falsafah tinggi.
Memang kita/penonton tidak dapat lari daripada logik dalam kehidupan, dan logik dalam cerita filem. Walaupun aneh dan sukar diterima akal, misteri kehilangan Bella terjawab apabila roh Bella sendiri memberitahu (memanggil-manggil nama Nor) Nor jasadnya diletakkan di belakang sebuah lukisan pada dinding oleh Khuzairi. Jika mengikut logik dalam dan luar filem, bau mayat Bella dapat dihidu oleh Nor (malah siapa sahaja, lebih-lebih lagi bau mayat memang paling busuk), apatah lagi dia menjenguk ke dalam lubang di belakang lukisan itu. Namun demikian, reaksi Nor biasa sahaja.
Penonton juga dapat melihat kepura-puraan Khuzairi, dan Bella. Sebagaimana yang Azlan nyatakan sambil marah-marah kepada Khuzairi sebelum dia dibunuh oleh lelaki itu, skandal Khuzairi-Bella bermula selepas hari pengebumian ibu Bella (Ruminah Sidek). Khuzairi dan Bella ‘berlakon’ di hadapan Nor, ibu Nor (Mak Wan), dan Khiri. Besar dosa mereka – berzina dan berpura-pura.
Hukum karma dikatakan tiada dalam Islam, tetapi pembalasan terhadap Khuzairi tetap dipaparkan. Dalam adegan semasa kredit (satu pembaharuan kerana biasanya adegan selepas kredit?), Khuzairi dibunuh oleh Mia (Mia Nasir), isteri baharunya. Tubuhnya pula dibalut dengan plastik seperti yang pernah dilakukan olehnya terhadap Azlan, dan Nor.
Kalau pembikin ingin menjawab persoalan identiti Khuzairi dalam filem, saya fikir lebih baik diterbitkan prekuel Wangi, bukan sekuel kerana Khuzairi sudah mati.