Pages

Saturday, 30 November 2019










SASTERA BUDAYA


Penampilan Silat yang Bersungguh-sungguh


Penonton berusia 50-an tentu pernah menonton filem Melayu tempatan terbitan Merdeka Film Productions yang berlatar masa dan tempat purba, seperti Darma Kesuma (1967), Keranda Jingga dan Panglima Harimau Berantai (1969), Pancha Indera Harimau Berantai (1970), Pendekar Sakti (1972), Semerah Cindai, Darah Panglima, Semambu Kuning, dan Kelana (1973), serta Penyamun Si Bongkok (1974). Adegan pertarungan filem-filem tersebut menampilkan seni silat Melayu.
Watak samseng, kaki pukul dan sebagainya sinonim dengan kisah jenayah, serta adegan pertarungan. Aneh jika filem sedemikian tiada adegan beradu tenaga, sama ada kung fu, karate, judo, taekwando, jitsu, dan silat.
Sejak kebelakangan ini, seni bela diri campuran (MMA) pula ditampilkan dalam filem Melayu tempatan, iaitu Sangkar (2019).
Adakah filem Melayu tempatan yang menampilkan gerak silat ‘wajib’ berlatar masa dan tempat purba, dengan watak-wataknya bertanjak/bertengkolok/berdestar, berbusana tradisional (Melayu/kurung/kebaya), berkeris/berpedang, dan bercapal, serta berbahasa hamba dan tuan hamba apabila berbicara? Saya fikir ramai yang berpendapat tidak ‘wajib’.
Industri perfileman Malaysia amat berkait rapat dengan filem aksi lasak. Sangkar, KL Gangster (2011), dan KL Gangster 2 (2013) antara filem bergenre sedemikian, serta suspens yang sangat berjaya di Malaysia. Namun begitu, filem-filem yang disebutkan tadi tidak menampilkan aksi silat Melayu dalam adegan pertarungan.
Sehingga kini amat jarang penerbit ataupun pengarah menghasilkan filem yang mengangkat seni bela diri itu. Adakah pembikin filem Melayu tempatan tidak bersedia/berminat lagi membikin filem yang menampilkan silat atas beberapa faktor (mungkin kerana lupa, tiada pengaruh/ada pengaruh lain, ataupun diri sendiri tiada kemahiran seni bela diri)?
Bercorak aksi lasak antara filem yang menjadi kegemaran penonton di Malaysia. Sementelah sudah lama tiada filem aksi lasak berasaskan seni silat Melayu, usaha Layar Pictures Sdn. Bhd. menghasilkan Geran yang mula beraksi di 75 buah pawagam tanah air pada 10 Oktober 2019 lalu wajar dialu-alukan.
Kelainan Geran ialah ia filem berlatar masa dan tempat moden yang menampilkan silat. Seperti yang dibincangkan tadi, kebanyakan filem yang mengetengahkan seni bela diri ini bercorak purba. Menurut pengarahnya, Areel Abu Bakar, Geran merupakan filem aksi lasak yang unik, dan tersendiri kerana menerapkan elemen persilatan dalam adegan-adegan aksi lasak. Idea untuk menghasilkan filem ini, katanya, tercetus sejak lima tahun lalu kerana Malaysia kekurangan pelakon aksi lasak yang ada asas dalam seni bela diri.
Jadi, Layar Pictures Sdn. Bhd. yang juga kepunyaannya, jelas Areel, cuba memberi peluang kepada penggiat seni bela diri untuk menyertai industri perfileman. Ia merupakan antara langkah pihaknya memperkenalkan warisan budaya ke peringkat antarabangsa.
Malaysia tidak wajar ketinggalan lagi (sudah terlalu lambat sebenarnya) kerana Indonesia telah ‘menghantar’ pesilatnya ke Hollywood, iaitu Cecep Arif Rahman dan Yayan Ruhian. Mereka berdua semakin dikenali selepas membintangi John Wick: Chapter 3 – Parabellum (2019), filem ‘pecah panggung’ lakonan Keanu Reeves.
Saya menyebut filem-filem keluaran Merdeka Film Productions tadi kerana Geran juga dipenuhi adegan pertarungan dari awal sehingga akhir – watak-wataknya mesti bergaduh apabila bertemu! Ada sahaja punca untuk ‘berlengan’. Pantang berjumpa!
Wajar atau sebaliknya sedemikian itu soal lain, tetapi ternyata Areel memaparkan seni silat semahu-mahunya/semaksimum mungkin, terutama apabila begitu banyak koreografi aksi lasak yang sukar, iaitu di ruang sempit seperti di dalam kilang, bas, pasar basah, rumah, dan sebagainya.
Dari satu segi, itu bagus/wajar kerana menunjukkan kesungguhan. Dalam kata lain, filem perlu dihasilkan dengan bersungguh-sungguh tanpa mengira genrenya – kalau pertarungan dengan silat, paparkan secara bersungguh-sungguh, asalkan masih dalam kewajaran/mengikut kemampuan.
Menyedari hal itu, Areel tidak teragak-agak menghasilkan Geran walaupun tanpa bantuan kewangan mana-mana badan atau agensi kerajaan. Antara faktor bukan kewangan yang banyak membantu Areel ialah 90 peratus pelakon Geran terdiri daripada pengamal seni bela diri berpengalaman untuk melakukan aksi lasak, termasuk rakan lamanya, pelakon Azlan Komeng yang bukan sahaja beraksi sebagai antagonis, Kahar, malah koreografer adegan pertarungan.
Aksi lasak yang realistik sebagaimana terlihat dalam filem ini disebabkan oleh para pelakon yang benar-benar berpengalaman dalam silat yang Areel peroleh. Setiap aksi lasak tanpa khidmat pelakon lagak ngeri memuaskan hati penonton. Justeru, Areel yang sebelum ini terlibat dengan penghasilan video pendek berjaya mengharungi masalah kewangan dalam pembikinan Geran.
Menurut Areel, antara tujuan Geran dihasilkan ialah mengangkat ikon seni silat berkenaan di Kedah yang kian dilupakan oleh anak muda sekarang. Perbualan watak-watak utamanya dalam dialek Kedah, dan pemandangan di negeri tersebut.
Jika Geran mendapat sambutan hangat di Malaysia dan di luar negara, ia berjaya mengangkat semula nama seni bela diri tradisional asli yang semakin dilupakan ini.
Jelas Areel, pemilihan pelakon dibuat semasa sesi uji bakat di gelanggang silat, serta dalam pertandingan silat di sekitar utara tanah air. Penggambaran Geran dijalankan dari Disember 2017 sehingga ke awal Januari 2018 (36 hari) di sekitar Kedah.
Meskipun Geran membawa kisah terpencil/bersifat peribadi, tetapi isunya amat penting mengenai nilai harta pusaka yang mesti dijaga dalam kalangan orang Melayu. Justeru, Areel berharap orang Melayu dapat menghayati jalan ceritanya, selari dengan tagline, ‘Pusaka kita, maruah kita’.
Di sepanjang menonton, saya menunggu-nunggu adegan Nam Ron bersilat. Namun demikian, tidak kunjung menjelma biarpun ‘riak-riak’ ke arah itu ada. Rupa-rupanya, memang pengarah filem One Two Jaga itu langsung tidak bersilat. Jelas Nam Ron, antara faktor dia bersetuju membintangi Geran ialah jalan ceritanya yang menarik.
Dia juga melihat Areel seorang pengarah berbakat besar, dan mampu menghasilkan filem yang memenuhi citarasa penonton. Perlu bersilat atau sebaliknya, jelas Nam Ron, dia tetap bersedia/mahu membintangi Geran.
Nam Ron tidak bersilat dalam Geran kerana katanya dia hanya ada silat ‘wayang’, bukan tulen/sejati berbanding para pelakon Geran yang lain. Jadi, risiko dia menghadapi kecederaan serius semasa menjalani penggambaran memang tinggi.
Pun begitu, dia gembira bekerja di bawah Areel kerana ketenangan dan semangat
pahlawan Melayu yang pantang menyerah kalah pengarah berusia 34 tahun itu.
Taiyuddin Bakar pula menjelaskan dia membintangi Geran kerana menyukai naskhah yang mengangkat seni silat gayong pusaka, Geran dibintanginya setelah hampir setahun tidak terbabit dengan sebarang penggambaran selepas telefilem ‘Last Kopek Hevoc’. arahan Along Ezendy pada 2016, dan filem Tuli (2014).
Pak Nayan (Nam Ron) dan Hj Daud (Faizal Hussein – yang identitinya menjadi tanda-tanya penonton sehingga adegan selepas kredit) yang bersahabat baik semasa muda, akhirnya bermusuhan setelah tua. Nayan menewaskan Daud dalam satu pertarungan seni bela diri semasa muda. Nayan diberikan tanah, sementara Daud dikahwinkan dengan anak penganjur pertandingan tersebut.
Konflik tercetus apabila Hj Daud tidak puas hati. Dia juga mahukan tanah Nayan. Mat Arip (Fad Anuar), anak bongsu Nayan suka berjudi dalam perlumbaan kereta haram - yang disebut oleh pengendalinya, Man Bangla (Megat Shahrizal) sebagai ‘sukan rakyat’.
Mat Arip berhutang dengan Hj Daud. Dia berhutang juga dengan Man Bangla. Hj Daud mendapat peluang untuk merebut geran tanah Nayan kerana Mat Arip berhutang dengannya. Dia dibantu oleh orang kanannya, Kahar. Ali (Khoharullah) dan Fatimah (Feiyna Tajudin) ialah abang dan kakak Mat Arip.
Mereka amat marah dan kesal dengan Mat Arip. Akibat tabiat berjudi, adik bongsu mereka itu tidak pulang ke rumah membawa geran tanah pusaka.
Mat Arip bersama-sama rakan rapatnya, Mi Piang (Taiyuddin Bakar) terlibat dengan kumpulan pemuda liar yang terdiri daripada Asan (Niezam Zaidi), At (Adam Shahz), Lah (Aeril Zafrel), dan Man Bangla yang menjalankan kegiatan perlumbaan kereta haram/perjudian. Ali yang sentiasa bersabar, bertanggungjawab mencari dan membawa Mat Arip pulang ke pangkuan ayah mereka.











SASTERA BUDAYA


Kalau Sudah Jodoh

Terdapat orang yang menghidap penyakit tenat sempat bernikah beberapa jam sebelum kematiannya di katil hospital atau rumah. Ada pula orang yang bercinta sekian lama dengan seseorang, tetapi akhirnya menikahi orang lain.
Ramai juga yang menjadi pasangan suami isteri meskipun tidak pernah bertemu dan berkenalan, apatah lagi berkasih. Mereka hidup bahagia sehingga ke akhir hayat.
Ada orang yang tidak pernah mencintai pasangannya, tetapi hidup bahagia. Terdapat pasangan romantik, tetapi sering bertelagah setelah hidup bersama, sehingga akhirnya bercerai.
Tidak kurang juga orang yang menghidap penyakit kronik dan kerana masalah itu cuba mengelakkan diri daripada perhubungan serius/pernikahan, tetapi akhirnya kembali kepada orang yang ditemui/dikenalinya sehingga berumah tangga.
 Orang itu menyedari di hatinya ada perasaan cinta. Namun demikian, biarpun cuba dihalakan kepada orang lain seperti adik kandung, misalnya, dia tetap memiliki cinta tersebut. Itulah jodoh pertemuan. Jika sudah ditakdir/disuratkan sedemikian, tiada siapa dapat menghalangnya. Rezeki/jodoh tidak pernah tersalah alamat.
Bercorak filem Ode to Joy yang diinspirasikan daripada kisah sebenar ini membawa kisah Charlie (Martin Freeman), pustakawan dari Brooklyn, menghidap katapleksi, sejenis penyakit yang boleh menyebabkan dia pengsan tidak mengira tempat jika gagal mengawal perasaan yang kuat, terutamanya gembira ketika melihat/mengalami sesuatu yang amat menggembirakan.
Melihat bayi dan anak anjing comel juga boleh membuat Charlie hampir pitam. Menghadiri majlis perkahwinan atau ulang tahun perkahwinan/kelahiran rakan memang menyebabkan dia pengsan.
Masih bujang walaupun telah berusia 40-an dan suasana persekitaran tempat bertugas menyebabkan Charlie hidup dalam kesepian. Pada satu hari, dia meleraikan pertengkaran seorang gadis jelita dan lepas laku, Francesca (Morena Baccarin) dengan teman lelakinya di perpustakaan tempatnya bertugas. Aneh juga Francesca bertengkar dengan teman lelakinya di dalam perpustakaan.
Perbalahan itu diselesaikan oleh Charlie. Walau bagaimanapun, Francesca memilih untuk berpisah dengan kekasihnya itu. Ternyata dia tertarik pada Charlie pula.
Namun demikian, Charlie keberatan melayan sehingga dia dianggap oleh pengawal perpustakaan yang juga rakan karibnya, sukakan lelaki. Walau bagaimanapun, akhirnya dia menyahut minat Francesca.
Namun demikian, selepas dia pengsan di hadapan rumah Francesca pada penghujung keluar bersama pertama kali mereka, Charlie mengambil keputusan meninggalkan gadis tersebut. Lantaran penyakit katapleksi yang dihidapinya, dia mahu memperkenalkan Francesca kepada adiknya, Cooper (Jake Lacy).
Ternyata Cooper mudah/cepat tertarik pada gadis cantik dan seksi. Dia jatuh cinta pandang pertama pada Francesca, tetapi perasaannya itu hanya berdasarkan paras rupa. Cooper mahukan Francesca kerana nafsu. Dia asyik terfikir untuk melakukan perhubungan seks dengan Francesca. Hal itu tidak disenangi oleh Francesca meskipun tetap melayan Cooper berasmara semasa mereka bercuti.
Bermula dari Copper, secara tidak sengaja, Charlie berkenalan pula dengan Bethany (Melissa Rauch). Charlie tidak menyangka gadis itu turut menyukainya.
Walau bagaimanapun, akhirnya Charlie tidak menyukai Bethany yang rakus ketika bercumbu semasa mereka menginap di tempat percutian sehingga menyebabkan dia mendapat serangan katapleksi lagi. Bethany juga hanya suka/mahu berasmara.
Bethany yang ‘hilang selera’ kerana katapleksi, memutuskan hubungannya dengan Charlie. Cooper pula meminta Francesca kembali kepada Charlie. Akhirnya, Charlie dan Francesca menyedari mereka saling menyintai. Ternyata cinta mereka cinta sejati, dan boleh dianggap sebagai cinta platonik. Walaupun Charlie berpenyakit aneh, tetapi Francesca tidak peduli, sementara Francesca dianggap terlalu cantik bagi dirinya yang telah berumur oleh Charlie.
Berdurasi 97 minit, Ode to Joy turut ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa RiverRun 2019 RiverRun, di Winston-Salem, Carolina Utara. Ia memulakan tayangan umum di Amerika Syarikat pada 9 Ogos 2019, dan di Malaysia pada 19 September 2019 lalu. Turut membintangi filem arahan Jason Winer dan lakon layar oleh Max Werner ini termasuklah Jane Curtin sebagai Sylvia (ibu saudara Francesca), Shannon Woodward (Liza), Hayes MacArthur (Jordan), dan Ellis Rubin
(Victor).









SASTERA BUDAYA

Perpaduan Membina Patriotisme


Tayangan filem bergenre drama/sejarah/sukan di seluruh negara mulai 12 September 2019 lalu ini sangat bersesuaian dengan sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-62, dan Hari Malaysia ke-56. Tambah menarik, persembahannya yang memikat boleh menangkis tanggapan bahawa filem patriotik membosankan.
Oleh sebab perancangan untuk membikinnya dimulakan pada tahun 2011, filem Suatu Ketika ini tidak diinspirasikan daripada kejayaan Ola Bola (2016) walaupun penggambaran bermula enam tahun kemudian. Tidak wajar pun membandingkannya dengan filem arahan Chiu Keng Guan itu kerana pengarahan, lakon layar, para pelakon, dan bajet penerbitan berbeza. Namun begitu, kedua-duanya mengagumkan sebagai filem patriotik, serta dalam aspek sinematografi/visual, unsur dramatik, dan lakonan.
Suatu Ketika, sebagaimana Ola Bola, juga membuktikan filem patriotik tidak semestinya/hanya menampilkan kisah peperangan fizikal pada zaman penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris, dan Jepun. Latar masa filem ini pada tahun 1952, iaitu ketika negara masih bergelar Tanah Melayu, serta di bawah pemerintahan Inggeris (sebelum tahun kemerdekaan yang pertama), dan dalam Darurat (1948-1960), tetapi ia tidak menampilkan peperangan/pertempuran fizikal/ketenteraan, sebaliknya menerusi perlawanan bola sepak.
Tayangan Suatu Ketika juga bertepatan dengan keadaan semasa negara yang agak panas oleh api perkauman yang pihak-pihak berkepentingan politik nyalakan.
Memang mustahil memberi kesan positif segera, tetapi setidak-tidaknya dapat menyuntik kesedaran, dan inpsirasi kepada penonton akan kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, dan perlu sentiasa dipupuk/diamalkan.
Filem atau karya audio visual seumpama dengannya lebih membekas, dan itu memang amat diharapkan.
Patriotisme juga (boleh/harus) terbina dengan semangat hormat-menghormati, tolong-menolong, bersatu-padu, dan bergotong-royong. Semua ‘saling’ itu perlu/wajar berada dalam patriotisme.
Suatu Ketika menampilkan 12 orang kanak-kanak atau lebih tepatnya, pelajar Sekolah Ujong Pasir, iaitu Syukri (Daniel Akmal Fariz), Atan (Farez Iqmal), Husin (Daniel Syahidan), Dol (Azlan Raihan), Guna (Kuhan Divagaran), Suresh (Dheva Naish), Usop (Armand), Lee Meng (Lim Xuan), Bakri (Putera Syazwan), Tuah (Daniel Iman), Panjang (Ahmas), dan Kudin (Adeq Jiey).
Walau bagaimanapun, tumpuan dan konflik/krisis ditumpukan pada Syukri, Husin, Dol, Atan, dan Kudin. Mereka yang menggerak dan menghidupkan cerita. Tidak berdasarkan sejarah negara, tetapi penulis skrip yang juga pengarahnya, Prakash Murugiah, mengambil/menggabungkan kisah daripada beberapa orang individu.
Masalah kesihatan yang dihadapinya tidak menghalang impian Syukri yang cuba menubuhkan sebuah pasukan bola sepak dengan tukang kebun, Pak Sa’ad (NamRon), dan guru sekolahnya, Cikgu Sulaiman (Pekin Ibrahim). Itu selaras dengan tagline filem ini, ‘Langitkan Impianmu’.
Lantaran masalah jantung, Syukri dilarang (dengan serba-salah) oleh ayahnya, Selamat (Dintamam) bermain bola sepak. Keadaan kesihatan Syukri itu mengingatkan saya kepada pemain kebangsaan dari Perak, Mohd. Shahrel Fikri – juga pemain posisi penyerang - yang tidak dapat bermain 90 minit penuh.
Namun demikian, Syukri tiada masalah ketika menjalani latihan, dan beraksi dalam perlawanan demi perlawanan, kecuali semasa perlawanan akhir Piala J. G. Davidson menentang sekolah Inggeris yang berprestij, dan juga juara bertahan, Sekolah St. James. Syukri tidak sedarkan diri selepas dijatuhkan oleh pemain sekolah itu, dan bola sengaja disepak mengenai dada sebelah kirinya. Walau bagaimanapun, Syukri kembali pulih dan dapat membantu sekolahnya menewaskan Sekolah St. James untuk muncul sebagai sekolah Melayu pertama menjuarai Piala J. G. Davidson. Tidakkah itu patriotisme dan berkaitan dengan motivasi? Meskipun klise, Syukri mendapat suntikan semangat dalam ‘khayalan’, seperti ketika koma - daripada Pak Sa’ad (yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya) ketika pengsan.
Husin dan Dol kerap bertelagah yang berpunca daripada kedua-duanya sendiri. Husin yang asyik mengusik Dol, ada masalah kewangan keluarga sehingga mahu meninggalkan pasukan bola sepak, dan cepat marah. Dol pula asyik dengan minat fotografi ketika bermain. Pun begitu, hasil campur tangan Cikgu Sulaiman, dan bantuan Dol yang sanggup melupakan sengketa (memberikan wang tabungnya kepada Husin), Husin dan Dol berdamai.
Atan pula cepat marah, dan itu tidak disenangi oleh Pak Sa’ad. Mujurlah Pak Sa’ad yang kelihatan seperti bukan tukang kebun tipikal, tetapi bijaksana (rupa-rupanya dia bekas anggota tentera yang luas pergaulan), memberikan nasihat. Pak Sa’ad meminta Atan pergi ke satu sudut di padang bola sepak, dan menjerit sekuat hati melepaskan kemarahannya. Petua itu diamalkan oleh Atan, termasuk ketika perlawanan akhir yang menarik perhatian penonton, jurulatih serta para pemain Sekolah St. James, dan pengulas.
Kudin tempang kaki kirinya. Sudah tentu dia tidak dipilih bermain. Itu menyedihkan hatinya yang juga diberikan kata-kata semangat oleh Pak Sa’ad. Namun demikian, atas semangat perpaduan, Kudin diberikan tugas menyediakan minuman untuk rakan-rakannya yang berjuang di padang. Apa salahnya? Pembuat air juga lambang perpaduan, dan kehadirannya turut melengkapkan pasukan bola sepak Sekolah Ujong Pasir.


Sunday, 17 November 2019










SASTERA & BUDAYA


KILANG KONDOM PROSES SYABU


TERBAIK atau tidak, selepas Geran, inilah filem untuk mereka yang menggemari aksi
lasak di sepanjang durasi. Filem ini juga untuk mereka yang suka berfikir/memikirkan
mesej sambil berhibur menonton aksi lasak mendebarkan. Filem ini ada mesej?
Perkara pertama terlintas dalam fikiran saya semasa menonton filem Wira yang
bercorak aksi lasak ini ialah bukan dengan kekerasan dan keganasan sahaja kita boleh
menjadi wira. Jangan terpengaruh dengan perbuatan wira, serta adik dan ayahnya
dalam filem arahan Andrian Teh, pengarah Paskal the Movie (2018) ini. Lagipun
makna wira itu luas, dan pelbagai.
Di samping tertarik dengan penampilan pengarah filem Bunohan (2012), Interchange
(2016), dan Dukun (2018), Dain Said dalam filem ini, saya dapat ‘menangkap’
persoalan betapa pentingnya semangat dan komitmen dalam berusaha mengatasi
rintangan, serta tidak lupa pada agama Islam, dan negara kita ada undang-undang.
Selain itu, jangan takut melawan penjajahan dan penindasan. Jangan membiarkan diri
terus dijajah dan ditindas. Ketakutan akan menyebabkan kita terus dijajah/ditindas.
Hassan (Hairul Azreen) tidak mahu atau tidak terfikir langsung menjadi wira. Dia hanya
mahu menyelamatkan ayahnya, Munas (Dato’ Hilal Azman), dan adiknya, Zain (Fify
Azmi) daripada cengkaman ahli perniagaan samseng, Raja (Dain Said). Dia mahu
membawa mereka tinggal di Machang, Kelantan untuk memulakan hidup baharu.
Sikap Hassan enggan bersengketa jelas apabila dia sedia berunding dengan Raja agar
tidak mengganggu ayah dan adiknya. Mengenai hutang, dia memberitahu Raja hal itu
akan cuba diselesaikan dengan baik.
Setelah menamatkan perkhidmatan dengan Angkatan Tentera Malaysia, Hassan
kembali ke kampung halaman selepas sekian lama. Dia menyertai tentera bukan sahaja
untuk mengawal ‘setan’ dalam dirinya, tetapi juga tidak sanggup melihat hidup
keluarganya, serta orang sekeliling yang ditekan, dan dikawal oleh Raja. Dia juga mahu
menyelesaikan hutang Zain akibat kekalahan dalam pertandingan seni bela diri
campuran (MMA) anjuran Raja.
Walau bagaimanapun, samseng tetap samseng. Raja hanya berpura-pura menyetujui
Hassan. Dia melepaskan Hassan pergi, tetapi tidak berpesan pada anak buahnya
agar membiarkan bekas anggota tentera itu pulang ke rumah.
Hassan seorang diri menentang serangan Nazmi, rakannya yang bekerja dengan Raja.
Nazmi dan ramai pemuda lain yang menyerang Hassan dapat ditewaskan setelah
lehernya hampir dikelar oleh Hassan. Memang kesamsengan Raja mempengaruhi,
tetapi itu ditambah oleh kemarahan Nazmi terhadap Hassan yang mengata kakaknya.
Walaupun Hassan bernar-benar meminta maaf, tetapi Nazmi tidak berpuas hati.
Kekalahannya di tangan Hassan telah menginsafkan Nazmi. Cuma, keadaan memang
mahu menjadi semakin buruk setelah Hassan dan Zain berjumpa dengan Raja untuk
berunding. Raja memaksa Zain memakan makanan anjing pengawalnya, dan itu
melupuskan 40 peratus hutangnya.
Namun begitu, Vee (Ismi Melinda), anak perempuan Raja meminta izin ayahnya untuk
sekali lagi bertarung MMA dengan Zain. Dia yakin akan menang. Adiknya, Rayyan
(Josiah Hogan) juga mahu turut serta. Jika kemenangan boleh melunaskan hutang,
Zain sanggup. Dia juga yakin menang.
Hassan dan Zain menang. Namun begitu, Vee dan Rayyan tidak berpuas hati. Mereka
menyerang Hassan dan Zain, serta bertarung sengit di dalam bas mini (perangkap)
sehingga Rayyan terbunuh. Rakan-rakan mereka tewas, dan Vee melarikan diri
memberitahu ayahnya.
Raja berang, lantas bersama-sama konco-konconya menyerbu flet tempat tinggal
Munas untuk mencari Hassan dan Zain. Munas tidak bersembunyi, sebaliknya
bertarung hebat dengan orang-orang Raja sebelum mati dibakar oleh usahawan
durjana itu.
Hassan dan Zain tidak sempat menyelamatkan ayah mereka. Mereka juga terpaksa
bertarung bermati-matian sehingga Hassan ditahan oleh polis. Zain meluru ke kilang
kondom Raja untuk mencari gangster tersebut. Kilang itu juga tempat ayah mereka
bekerja, bersama-sama penduduk flet.
Walau bagaimanapun, pegawai polis, Boon Hua (Henley Hii) yang juga sahabat Hassan
melepaskannya dalam perjalanan ke balai polis dengan membuat helah. Kata Boon,
polis ada alasan kukuh untuk menyerbu kilang Raja.
Hassan dan Zain berjaya dalam perhitungan mereka dengan Ifrit (Yayan Ruhian), orang
kuat Raja, dan Vee. Ifrit mati di tangan Hassan, sementara Vee menghilangkan diri
selepas tangan kirinya putus ditetak oleh Zain.
Raja diseret oleh Hassan dan menyerahkannya kepada Boon. Boon sempat pula
‘berceramah’ ringkas kepada penduduk flet bahawa punca kejadian berlaku ialah
ketakutan mereka pada Raja. Namun begitu, Hassan tetap ditahan oleh polis kerana
bertindak membelakangi polis.
Ramai menganggap Wira ialah prekuel bagi Paskal the Movie. Namun demikian,
menurut Adrian, Wira menjadi cerita yang berdiri sendiri, tetapi apabila terarah ke akhir
cerita, ia mengalir semula jadi. Kredit itu ialah pengenalan kepada dunia sinematik yang
sedang diusahakan.
Cinematic universe’ (dunia sinematik) paling terkenal pastilah Marvel Cinematic Universe atau MCU yang dimulakan oleh jenama Marvel sejak lebih sedekad lalu. Filem
Malaysia kelihatan turut menuju ke arah itu hasil idea bernas pasukan produksi Adrian
yang mahu memulakannya menerusi Wira. Pasukannya, jelas Adrian, sedang mencipta
satu dunia sinematik. Wira menjadi permulaannya dan dalam filem ini ada telur ‘easter’ pada kredit akhir, sama seperti dalam semua filem Marvel sebelum ini.
Telur tersebut, jelas Adrian, menjadi pengenalan kepada dunia sinematik yang pihaknya cuba hasilkan dalam tempoh tiga tahun akan datang. Adrian melihat akan ada
dalam lingkungan tiga ke lima judul yang hadir dalam dunia sinematik Wira.
Jelas Adrian lagi, perbezaan ketara Paskal the Movie dengan Wira ialah dari segi ‘look
and feel’, bukan sebuah filem sekuel atau prekuel. Paskal the Movie mengenai anggota
Paskal yang mengorbankan masa dan nyawa untuk negara, serta sebuah tema besar. Wira pula mengenai seorang komando, iaitu Hassan yang bersara awal kerana mahu pulang ke kampung untuk menyelamatkan keluarganya. Jelas Adrian, ia sebuah cerita
‘mikro’ mengenai kehidupan seorang askar.
Menurut Adrian, idea membuat dunia sinematik timbul ketika penggambaran Paskal the Movie dua tahun lalu. Tegas Adrian, beliau mahu membuat dunia sinematik mengenai hero yang tidak didendang, iaitu watak Hassan.
Memang Adrian mahu mengarahkan filem aksi lasak seperti Wira kerana sebelum ini banyak menghasilkan filem komedi, romantik serta seram, dalam dan luar negara.
Sejak menghasilkan Paskal the Movie, Andrian mula mengubah fokus kepada genre
aksi yang disifatkannya menyeronokkan. Beliau percaya pihak produksi perlu banyak
masa untuk perancangan, koreografi dan penggambaran dalam menghasilkan sebuah
filem aksi menarik.
Penampilan Dain Said mengejutkan/menarik bukan sahaja mengapa dia muncul
sebagai pelakon dalam filem ini, tetapi juga kemampuannya membawa watak yang
diberikan. Sebagai antagonis, dia setaraf dengan Hilal Azman, iaitu watak
pembantu (kategori pelakon pembantu lelaki). Gerak tubuh dan lontaran vokalnya,
biarpun ‘berbahasa rojak’ berkarismatik. Memang mengejutkan walaupun dia pernah
berlakon dalam Terbaik Dari Langit (2014), dan Mrs K (2016).
Menjadi usahawan memang baik kerana turut memberi peluang pekerjaan kepada
ramai orang. Namun begitu, jika turut mengusahakan barangan terlarang dan berjudi,
serta ‘menakluk’ kepala para pekerja sehingga sanggup mempertahankannya
membuta-tuli, tentulah tidak baik.
Memang Raja membina kilang dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk
setempat dengan ikhlas seperti yang dikatakannya kepada Munas. Walau
bagaimanapun, dia menganiayai para pekerjanya - dengan cara kotor – mengupah
beberapa orang pekerja lebih atas (Zizan Razak dan Jack Lim) untuk membakar
dengan sengaja kondom yang telah siap (helah menampung kerugian) agar dapat
memotong gaji.
Raja juga menganjurkan pertandingan MMA secara haram yang mengakibatkan ramai
yang berhutang setelah tewas dalam pertarungan dengan anak-anaknya. Tambah
buruk, dia turut memproses syabu secara rahsia, tetapi dapat dihidu oleh Munas.