SASTERA BUDAYA
Penampilan Silat yang
Bersungguh-sungguh
Penonton
berusia 50-an tentu pernah menonton filem Melayu tempatan terbitan Merdeka Film
Productions yang berlatar masa dan tempat purba, seperti Darma Kesuma (1967), Keranda
Jingga dan Panglima Harimau Berantai
(1969), Pancha Indera Harimau Berantai
(1970), Pendekar Sakti (1972), Semerah Cindai, Darah Panglima, Semambu
Kuning, dan Kelana (1973), serta Penyamun Si Bongkok (1974). Adegan
pertarungan filem-filem tersebut menampilkan seni silat Melayu.
Watak samseng, kaki pukul dan sebagainya sinonim
dengan kisah jenayah, serta adegan pertarungan. Aneh jika filem sedemikian tiada
adegan beradu tenaga, sama ada kung fu, karate, judo, taekwando, jitsu, dan
silat.
Sejak kebelakangan ini, seni bela diri campuran
(MMA) pula ditampilkan dalam filem Melayu tempatan, iaitu Sangkar (2019).
Adakah filem Melayu tempatan yang menampilkan gerak silat
‘wajib’ berlatar masa dan tempat purba, dengan watak-wataknya
bertanjak/bertengkolok/berdestar, berbusana tradisional (Melayu/kurung/kebaya),
berkeris/berpedang, dan bercapal, serta berbahasa hamba dan tuan hamba apabila
berbicara? Saya fikir ramai yang berpendapat tidak ‘wajib’.
Industri perfileman Malaysia amat berkait rapat
dengan filem aksi lasak. Sangkar, KL Gangster (2011), dan KL Gangster 2 (2013) antara filem
bergenre sedemikian, serta suspens yang sangat berjaya di Malaysia. Namun
begitu, filem-filem yang disebutkan tadi tidak menampilkan aksi silat Melayu dalam
adegan pertarungan.
Sehingga kini amat jarang penerbit ataupun pengarah
menghasilkan filem yang mengangkat seni bela diri itu. Adakah pembikin filem
Melayu tempatan tidak bersedia/berminat lagi membikin filem yang menampilkan
silat atas beberapa faktor (mungkin kerana lupa, tiada pengaruh/ada pengaruh lain,
ataupun diri sendiri tiada kemahiran seni bela diri)?
Bercorak aksi lasak antara filem yang menjadi kegemaran
penonton di Malaysia. Sementelah sudah lama tiada filem aksi lasak berasaskan
seni silat Melayu, usaha Layar Pictures Sdn. Bhd. menghasilkan Geran yang mula beraksi di 75 buah pawagam
tanah air pada 10 Oktober 2019 lalu wajar dialu-alukan.
Kelainan Geran
ialah ia filem berlatar masa dan tempat moden yang menampilkan silat. Seperti
yang dibincangkan tadi, kebanyakan filem yang mengetengahkan seni bela diri ini
bercorak purba. Menurut pengarahnya, Areel Abu Bakar, Geran merupakan filem aksi lasak yang unik, dan tersendiri kerana
menerapkan elemen persilatan dalam adegan-adegan aksi lasak. Idea untuk
menghasilkan filem ini, katanya, tercetus sejak lima tahun lalu kerana Malaysia
kekurangan pelakon aksi lasak yang ada asas dalam seni bela diri.
Jadi, Layar Pictures Sdn. Bhd. yang juga
kepunyaannya, jelas Areel, cuba memberi peluang kepada penggiat seni bela diri
untuk menyertai industri perfileman. Ia merupakan antara langkah pihaknya
memperkenalkan warisan budaya ke peringkat antarabangsa.
Malaysia tidak wajar ketinggalan lagi (sudah terlalu
lambat sebenarnya) kerana Indonesia telah ‘menghantar’ pesilatnya ke Hollywood, iaitu Cecep Arif Rahman dan
Yayan Ruhian. Mereka berdua semakin dikenali selepas membintangi John Wick: Chapter 3 – Parabellum (2019),
filem ‘pecah panggung’ lakonan Keanu Reeves.
Saya menyebut filem-filem keluaran Merdeka Film
Productions tadi kerana Geran juga
dipenuhi adegan pertarungan dari awal sehingga akhir – watak-wataknya mesti
bergaduh apabila bertemu! Ada sahaja punca untuk ‘berlengan’. Pantang berjumpa!
Wajar atau sebaliknya sedemikian itu soal lain,
tetapi ternyata Areel memaparkan seni silat semahu-mahunya/semaksimum mungkin,
terutama apabila begitu banyak koreografi aksi lasak yang sukar, iaitu di ruang
sempit seperti di dalam kilang, bas, pasar basah, rumah, dan sebagainya.
Dari satu segi, itu bagus/wajar kerana menunjukkan
kesungguhan. Dalam kata lain, filem perlu dihasilkan dengan bersungguh-sungguh
tanpa mengira genrenya – kalau pertarungan dengan silat, paparkan secara
bersungguh-sungguh, asalkan masih dalam kewajaran/mengikut kemampuan.
Menyedari hal itu, Areel tidak teragak-agak
menghasilkan Geran walaupun tanpa bantuan
kewangan mana-mana badan atau agensi kerajaan. Antara faktor bukan kewangan
yang banyak membantu Areel ialah 90 peratus pelakon Geran terdiri daripada pengamal seni bela diri berpengalaman untuk
melakukan aksi lasak, termasuk rakan lamanya, pelakon Azlan Komeng yang bukan
sahaja beraksi sebagai antagonis, Kahar, malah koreografer adegan pertarungan.
Aksi lasak yang realistik sebagaimana terlihat dalam
filem ini disebabkan oleh para pelakon yang benar-benar berpengalaman dalam
silat yang Areel peroleh. Setiap aksi lasak tanpa khidmat pelakon lagak ngeri
memuaskan hati penonton. Justeru, Areel yang sebelum ini terlibat dengan penghasilan
video pendek berjaya mengharungi masalah kewangan dalam pembikinan Geran.
Menurut Areel, antara tujuan Geran dihasilkan ialah mengangkat ikon seni silat berkenaan di
Kedah yang kian dilupakan oleh anak muda sekarang. Perbualan watak-watak utamanya
dalam dialek Kedah, dan pemandangan di negeri tersebut.
Jika Geran
mendapat sambutan hangat di Malaysia dan di luar negara, ia berjaya mengangkat
semula nama seni bela diri tradisional asli yang semakin dilupakan ini.
Jelas Areel, pemilihan pelakon dibuat semasa sesi
uji bakat di gelanggang silat, serta dalam pertandingan silat di sekitar utara
tanah air. Penggambaran Geran
dijalankan dari Disember 2017 sehingga ke awal Januari 2018 (36 hari) di
sekitar Kedah.
Meskipun Geran
membawa kisah terpencil/bersifat peribadi, tetapi isunya amat penting mengenai
nilai harta pusaka yang mesti dijaga dalam kalangan orang Melayu. Justeru, Areel
berharap orang Melayu dapat menghayati jalan ceritanya, selari dengan tagline, ‘Pusaka kita, maruah kita’.
Di sepanjang menonton, saya menunggu-nunggu adegan Nam
Ron bersilat. Namun demikian, tidak kunjung menjelma biarpun ‘riak-riak’ ke
arah itu ada. Rupa-rupanya, memang pengarah filem One Two Jaga itu langsung tidak bersilat. Jelas Nam Ron, antara
faktor dia bersetuju membintangi Geran
ialah jalan ceritanya yang menarik.
Dia juga melihat Areel seorang pengarah berbakat
besar, dan mampu menghasilkan filem yang memenuhi citarasa penonton. Perlu
bersilat atau sebaliknya, jelas Nam Ron, dia tetap bersedia/mahu membintangi Geran.
Nam Ron tidak bersilat dalam Geran kerana katanya dia hanya ada silat ‘wayang’, bukan
tulen/sejati berbanding para pelakon Geran
yang lain. Jadi, risiko dia menghadapi kecederaan serius semasa menjalani
penggambaran memang tinggi.
Pun begitu, dia gembira bekerja di bawah Areel
kerana ketenangan dan semangat
pahlawan Melayu yang pantang menyerah kalah pengarah
berusia 34 tahun itu.
Taiyuddin Bakar pula menjelaskan dia membintangi Geran kerana menyukai naskhah yang
mengangkat seni silat gayong pusaka, Geran
dibintanginya setelah hampir setahun tidak terbabit dengan sebarang
penggambaran selepas telefilem ‘Last Kopek Hevoc’. arahan Along Ezendy pada
2016, dan filem Tuli (2014).
Pak Nayan (Nam Ron) dan Hj Daud (Faizal Hussein –
yang identitinya menjadi tanda-tanya penonton sehingga adegan selepas kredit) yang
bersahabat baik semasa muda, akhirnya bermusuhan setelah tua. Nayan menewaskan
Daud dalam satu pertarungan seni bela diri semasa muda. Nayan diberikan tanah,
sementara Daud dikahwinkan dengan anak penganjur pertandingan tersebut.
Konflik tercetus apabila Hj Daud tidak puas hati.
Dia juga mahukan tanah Nayan. Mat Arip (Fad Anuar), anak bongsu Nayan suka
berjudi dalam perlumbaan kereta haram - yang disebut oleh pengendalinya, Man
Bangla (Megat Shahrizal) sebagai ‘sukan rakyat’.
Mat Arip berhutang dengan Hj Daud. Dia berhutang
juga dengan Man Bangla. Hj Daud mendapat peluang untuk merebut geran tanah
Nayan kerana Mat Arip berhutang dengannya. Dia dibantu oleh orang kanannya,
Kahar. Ali (Khoharullah) dan Fatimah (Feiyna Tajudin) ialah abang dan kakak Mat
Arip.
Mereka amat marah dan kesal dengan Mat Arip. Akibat
tabiat berjudi, adik bongsu mereka itu tidak pulang ke rumah membawa geran
tanah pusaka.
Mat Arip bersama-sama rakan rapatnya, Mi Piang (Taiyuddin
Bakar) terlibat dengan kumpulan pemuda liar yang terdiri daripada Asan (Niezam
Zaidi), At (Adam Shahz), Lah (Aeril Zafrel), dan Man Bangla yang menjalankan kegiatan
perlumbaan kereta haram/perjudian. Ali yang sentiasa bersabar, bertanggungjawab
mencari dan membawa Mat Arip pulang ke pangkuan ayah mereka.
No comments:
Post a Comment