SASTERA BUDAYA


Penampilan Silat yang Bersungguh-sungguh


Penonton berusia 50-an tentu pernah menonton filem Melayu tempatan terbitan Merdeka Film Productions yang berlatar masa dan tempat purba, seperti Darma Kesuma (1967), Keranda Jingga dan Panglima Harimau Berantai (1969), Pancha Indera Harimau Berantai (1970), Pendekar Sakti (1972), Semerah Cindai, Darah Panglima, Semambu Kuning, dan Kelana (1973), serta Penyamun Si Bongkok (1974). Adegan pertarungan filem-filem tersebut menampilkan seni silat Melayu.
Watak samseng, kaki pukul dan sebagainya sinonim dengan kisah jenayah, serta adegan pertarungan. Aneh jika filem sedemikian tiada adegan beradu tenaga, sama ada kung fu, karate, judo, taekwando, jitsu, dan silat.
Sejak kebelakangan ini, seni bela diri campuran (MMA) pula ditampilkan dalam filem Melayu tempatan, iaitu Sangkar (2019).
Adakah filem Melayu tempatan yang menampilkan gerak silat ‘wajib’ berlatar masa dan tempat purba, dengan watak-wataknya bertanjak/bertengkolok/berdestar, berbusana tradisional (Melayu/kurung/kebaya), berkeris/berpedang, dan bercapal, serta berbahasa hamba dan tuan hamba apabila berbicara? Saya fikir ramai yang berpendapat tidak ‘wajib’.
Industri perfileman Malaysia amat berkait rapat dengan filem aksi lasak. Sangkar, KL Gangster (2011), dan KL Gangster 2 (2013) antara filem bergenre sedemikian, serta suspens yang sangat berjaya di Malaysia. Namun begitu, filem-filem yang disebutkan tadi tidak menampilkan aksi silat Melayu dalam adegan pertarungan.
Sehingga kini amat jarang penerbit ataupun pengarah menghasilkan filem yang mengangkat seni bela diri itu. Adakah pembikin filem Melayu tempatan tidak bersedia/berminat lagi membikin filem yang menampilkan silat atas beberapa faktor (mungkin kerana lupa, tiada pengaruh/ada pengaruh lain, ataupun diri sendiri tiada kemahiran seni bela diri)?
Bercorak aksi lasak antara filem yang menjadi kegemaran penonton di Malaysia. Sementelah sudah lama tiada filem aksi lasak berasaskan seni silat Melayu, usaha Layar Pictures Sdn. Bhd. menghasilkan Geran yang mula beraksi di 75 buah pawagam tanah air pada 10 Oktober 2019 lalu wajar dialu-alukan.
Kelainan Geran ialah ia filem berlatar masa dan tempat moden yang menampilkan silat. Seperti yang dibincangkan tadi, kebanyakan filem yang mengetengahkan seni bela diri ini bercorak purba. Menurut pengarahnya, Areel Abu Bakar, Geran merupakan filem aksi lasak yang unik, dan tersendiri kerana menerapkan elemen persilatan dalam adegan-adegan aksi lasak. Idea untuk menghasilkan filem ini, katanya, tercetus sejak lima tahun lalu kerana Malaysia kekurangan pelakon aksi lasak yang ada asas dalam seni bela diri.
Jadi, Layar Pictures Sdn. Bhd. yang juga kepunyaannya, jelas Areel, cuba memberi peluang kepada penggiat seni bela diri untuk menyertai industri perfileman. Ia merupakan antara langkah pihaknya memperkenalkan warisan budaya ke peringkat antarabangsa.
Malaysia tidak wajar ketinggalan lagi (sudah terlalu lambat sebenarnya) kerana Indonesia telah ‘menghantar’ pesilatnya ke Hollywood, iaitu Cecep Arif Rahman dan Yayan Ruhian. Mereka berdua semakin dikenali selepas membintangi John Wick: Chapter 3 – Parabellum (2019), filem ‘pecah panggung’ lakonan Keanu Reeves.
Saya menyebut filem-filem keluaran Merdeka Film Productions tadi kerana Geran juga dipenuhi adegan pertarungan dari awal sehingga akhir – watak-wataknya mesti bergaduh apabila bertemu! Ada sahaja punca untuk ‘berlengan’. Pantang berjumpa!
Wajar atau sebaliknya sedemikian itu soal lain, tetapi ternyata Areel memaparkan seni silat semahu-mahunya/semaksimum mungkin, terutama apabila begitu banyak koreografi aksi lasak yang sukar, iaitu di ruang sempit seperti di dalam kilang, bas, pasar basah, rumah, dan sebagainya.
Dari satu segi, itu bagus/wajar kerana menunjukkan kesungguhan. Dalam kata lain, filem perlu dihasilkan dengan bersungguh-sungguh tanpa mengira genrenya – kalau pertarungan dengan silat, paparkan secara bersungguh-sungguh, asalkan masih dalam kewajaran/mengikut kemampuan.
Menyedari hal itu, Areel tidak teragak-agak menghasilkan Geran walaupun tanpa bantuan kewangan mana-mana badan atau agensi kerajaan. Antara faktor bukan kewangan yang banyak membantu Areel ialah 90 peratus pelakon Geran terdiri daripada pengamal seni bela diri berpengalaman untuk melakukan aksi lasak, termasuk rakan lamanya, pelakon Azlan Komeng yang bukan sahaja beraksi sebagai antagonis, Kahar, malah koreografer adegan pertarungan.
Aksi lasak yang realistik sebagaimana terlihat dalam filem ini disebabkan oleh para pelakon yang benar-benar berpengalaman dalam silat yang Areel peroleh. Setiap aksi lasak tanpa khidmat pelakon lagak ngeri memuaskan hati penonton. Justeru, Areel yang sebelum ini terlibat dengan penghasilan video pendek berjaya mengharungi masalah kewangan dalam pembikinan Geran.
Menurut Areel, antara tujuan Geran dihasilkan ialah mengangkat ikon seni silat berkenaan di Kedah yang kian dilupakan oleh anak muda sekarang. Perbualan watak-watak utamanya dalam dialek Kedah, dan pemandangan di negeri tersebut.
Jika Geran mendapat sambutan hangat di Malaysia dan di luar negara, ia berjaya mengangkat semula nama seni bela diri tradisional asli yang semakin dilupakan ini.
Jelas Areel, pemilihan pelakon dibuat semasa sesi uji bakat di gelanggang silat, serta dalam pertandingan silat di sekitar utara tanah air. Penggambaran Geran dijalankan dari Disember 2017 sehingga ke awal Januari 2018 (36 hari) di sekitar Kedah.
Meskipun Geran membawa kisah terpencil/bersifat peribadi, tetapi isunya amat penting mengenai nilai harta pusaka yang mesti dijaga dalam kalangan orang Melayu. Justeru, Areel berharap orang Melayu dapat menghayati jalan ceritanya, selari dengan tagline, ‘Pusaka kita, maruah kita’.
Di sepanjang menonton, saya menunggu-nunggu adegan Nam Ron bersilat. Namun demikian, tidak kunjung menjelma biarpun ‘riak-riak’ ke arah itu ada. Rupa-rupanya, memang pengarah filem One Two Jaga itu langsung tidak bersilat. Jelas Nam Ron, antara faktor dia bersetuju membintangi Geran ialah jalan ceritanya yang menarik.
Dia juga melihat Areel seorang pengarah berbakat besar, dan mampu menghasilkan filem yang memenuhi citarasa penonton. Perlu bersilat atau sebaliknya, jelas Nam Ron, dia tetap bersedia/mahu membintangi Geran.
Nam Ron tidak bersilat dalam Geran kerana katanya dia hanya ada silat ‘wayang’, bukan tulen/sejati berbanding para pelakon Geran yang lain. Jadi, risiko dia menghadapi kecederaan serius semasa menjalani penggambaran memang tinggi.
Pun begitu, dia gembira bekerja di bawah Areel kerana ketenangan dan semangat
pahlawan Melayu yang pantang menyerah kalah pengarah berusia 34 tahun itu.
Taiyuddin Bakar pula menjelaskan dia membintangi Geran kerana menyukai naskhah yang mengangkat seni silat gayong pusaka, Geran dibintanginya setelah hampir setahun tidak terbabit dengan sebarang penggambaran selepas telefilem ‘Last Kopek Hevoc’. arahan Along Ezendy pada 2016, dan filem Tuli (2014).
Pak Nayan (Nam Ron) dan Hj Daud (Faizal Hussein – yang identitinya menjadi tanda-tanya penonton sehingga adegan selepas kredit) yang bersahabat baik semasa muda, akhirnya bermusuhan setelah tua. Nayan menewaskan Daud dalam satu pertarungan seni bela diri semasa muda. Nayan diberikan tanah, sementara Daud dikahwinkan dengan anak penganjur pertandingan tersebut.
Konflik tercetus apabila Hj Daud tidak puas hati. Dia juga mahukan tanah Nayan. Mat Arip (Fad Anuar), anak bongsu Nayan suka berjudi dalam perlumbaan kereta haram - yang disebut oleh pengendalinya, Man Bangla (Megat Shahrizal) sebagai ‘sukan rakyat’.
Mat Arip berhutang dengan Hj Daud. Dia berhutang juga dengan Man Bangla. Hj Daud mendapat peluang untuk merebut geran tanah Nayan kerana Mat Arip berhutang dengannya. Dia dibantu oleh orang kanannya, Kahar. Ali (Khoharullah) dan Fatimah (Feiyna Tajudin) ialah abang dan kakak Mat Arip.
Mereka amat marah dan kesal dengan Mat Arip. Akibat tabiat berjudi, adik bongsu mereka itu tidak pulang ke rumah membawa geran tanah pusaka.
Mat Arip bersama-sama rakan rapatnya, Mi Piang (Taiyuddin Bakar) terlibat dengan kumpulan pemuda liar yang terdiri daripada Asan (Niezam Zaidi), At (Adam Shahz), Lah (Aeril Zafrel), dan Man Bangla yang menjalankan kegiatan perlumbaan kereta haram/perjudian. Ali yang sentiasa bersabar, bertanggungjawab mencari dan membawa Mat Arip pulang ke pangkuan ayah mereka.

No comments:

Powered by Blogger.