SASTERA BUDAYA
Kalau Sudah Jodoh
Terdapat orang yang menghidap
penyakit tenat sempat bernikah beberapa jam sebelum kematiannya di katil
hospital atau rumah. Ada pula orang yang bercinta sekian lama dengan seseorang,
tetapi akhirnya menikahi orang lain.
Ramai
juga yang menjadi pasangan suami isteri meskipun tidak pernah bertemu dan
berkenalan, apatah lagi berkasih. Mereka hidup bahagia sehingga ke akhir hayat.
Ada
orang yang tidak pernah mencintai pasangannya, tetapi hidup bahagia. Terdapat pasangan
romantik, tetapi sering bertelagah setelah hidup bersama, sehingga akhirnya
bercerai.
Tidak
kurang juga orang yang menghidap penyakit kronik dan kerana masalah itu cuba
mengelakkan diri daripada perhubungan serius/pernikahan, tetapi akhirnya kembali
kepada orang yang ditemui/dikenalinya sehingga berumah tangga.
Orang itu menyedari di hatinya ada perasaan
cinta. Namun demikian, biarpun cuba dihalakan kepada orang lain seperti adik
kandung, misalnya, dia tetap memiliki cinta tersebut. Itulah jodoh pertemuan.
Jika sudah ditakdir/disuratkan sedemikian, tiada siapa dapat menghalangnya.
Rezeki/jodoh tidak pernah tersalah alamat.
Bercorak
filem Ode to Joy yang diinspirasikan
daripada kisah sebenar ini membawa kisah Charlie (Martin Freeman), pustakawan
dari Brooklyn, menghidap katapleksi, sejenis penyakit yang boleh menyebabkan
dia pengsan tidak mengira tempat jika gagal mengawal perasaan yang kuat,
terutamanya gembira ketika melihat/mengalami sesuatu yang amat menggembirakan.
Melihat
bayi dan anak anjing comel juga boleh membuat Charlie hampir pitam. Menghadiri majlis
perkahwinan atau ulang tahun perkahwinan/kelahiran rakan memang menyebabkan dia
pengsan.
Masih
bujang walaupun telah berusia 40-an dan suasana persekitaran tempat bertugas menyebabkan
Charlie hidup dalam kesepian. Pada satu hari, dia meleraikan pertengkaran
seorang gadis jelita dan lepas laku, Francesca (Morena Baccarin) dengan teman
lelakinya di perpustakaan tempatnya bertugas. Aneh juga Francesca bertengkar
dengan teman lelakinya di dalam perpustakaan.
Perbalahan
itu diselesaikan oleh Charlie. Walau bagaimanapun, Francesca memilih untuk
berpisah dengan kekasihnya itu. Ternyata dia tertarik pada Charlie pula.
Namun
demikian, Charlie keberatan melayan sehingga dia dianggap oleh pengawal perpustakaan
yang juga rakan karibnya, sukakan lelaki. Walau bagaimanapun, akhirnya dia
menyahut minat Francesca.
Namun
demikian, selepas dia pengsan di hadapan rumah Francesca pada penghujung keluar
bersama pertama kali mereka, Charlie mengambil keputusan meninggalkan gadis
tersebut. Lantaran penyakit katapleksi yang dihidapinya, dia mahu memperkenalkan
Francesca kepada adiknya, Cooper (Jake Lacy).
Ternyata
Cooper mudah/cepat tertarik pada gadis cantik dan seksi. Dia jatuh cinta
pandang pertama pada Francesca, tetapi perasaannya itu hanya berdasarkan paras
rupa. Cooper mahukan Francesca kerana nafsu. Dia asyik terfikir untuk melakukan
perhubungan seks dengan Francesca. Hal itu tidak disenangi oleh Francesca meskipun
tetap melayan Cooper berasmara semasa mereka bercuti.
Bermula
dari Copper, secara tidak sengaja, Charlie berkenalan pula dengan Bethany
(Melissa Rauch). Charlie tidak menyangka gadis itu turut menyukainya.
Walau
bagaimanapun, akhirnya Charlie tidak menyukai Bethany yang rakus ketika bercumbu
semasa mereka menginap di tempat percutian sehingga menyebabkan dia mendapat
serangan katapleksi lagi. Bethany juga hanya suka/mahu berasmara.
Bethany
yang ‘hilang selera’ kerana katapleksi, memutuskan hubungannya dengan Charlie.
Cooper pula meminta Francesca kembali kepada Charlie. Akhirnya, Charlie dan
Francesca menyedari mereka saling menyintai. Ternyata cinta mereka cinta sejati,
dan boleh dianggap sebagai cinta platonik. Walaupun Charlie berpenyakit aneh,
tetapi Francesca tidak peduli, sementara Francesca dianggap terlalu cantik bagi
dirinya yang telah berumur oleh Charlie.
Berdurasi
97 minit, Ode to Joy turut ditayangkan
di Festival Filem Antarabangsa RiverRun 2019 RiverRun, di Winston-Salem, Carolina
Utara. Ia memulakan tayangan umum di Amerika Syarikat pada 9 Ogos 2019, dan di
Malaysia pada 19 September 2019 lalu. Turut membintangi filem arahan Jason Winer
dan lakon layar oleh Max Werner ini termasuklah Jane Curtin sebagai Sylvia (ibu
saudara Francesca), Shannon Woodward (Liza), Hayes MacArthur (Jordan), dan
Ellis Rubin
(Victor).
No comments: