Pages

Tuesday, 7 January 2020











SASTERA BUDAYA


VAMPIRES PUN GILA KUASA!


Saya bersangka baik bahawa penghasilan filem ini dapat memuaskan hati/memenuhi cita-cita pembikinnya, selain memberi peluang pekerjaan kepada warga industri. Itu
turut membantu kemajuan industri filem Melayu tempatan.
Ada rakan secara sinis mengatakan yang jelas dalam filem ini bagi citra Kuala Lumpur
(KL) ialah paparan Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) sahaja.
Bagi saya, pembikin seolah-olah hanya mahu menggunakan KL sebagai latar tempat
cerita. Kadang-kadang terasa seperti latar tempatnya ‘antah berantah’ - entah di mana.
Secara peribadi, saya tertarik dengan lakonan Reen Rahim sebagai Reem Najwa, wartawan majalah (terlalu cantik sebagai wartawan); Denes Kumar (Khai, jurufoto/rakan sekerja Reem), dan Donny Alamshyah (Agus/antagonis).
Akhirnya, saya merumuskan bahawa filem ini membawa kisah kebaikan menentang
kejahatan (yang akan berterusan sehingga kiamat), tetapi disampaikan dengan
bersusah-payah, dalam percubaan menampilkan kelainan.
Meskipun agak sukar diterima, percubaan lari daripada klise ini wajar dipuji. Mengaitkan
Raja Bersiong boleh dianggap sebagai menarik minat, terutamanya pengkaji, dan/atau
peminat mitos itu.
Watak Agus yang melarikan diri/tidak mati setelah pendampingnya, Harad (Yuzz Mohd.
Nor) dan Van Kordi (Pablo Amirul) ditewaskan oleh Shah (Josiah Hogan), Ratu Citra
Sari (Raja Ilya), Indera (Aeril Zafrel), Alang (Mustaqim Bahadon), Panglima Awang (Jeff
Omar),dan Maya (Ismi Melinda), serta kemusnahan Pisau Bersiong merupakan simbolik pada kejahatan yang berterusan sehingga kiamat. Hal itu tersirat dalam dialog Shah kepada Ratu Citra Sari, serta rakan-rakannya pada akhir cerita.
Shah ialah ketua perajurit Ratu Citra Sari yang bercinta dengan manusia, selain
memastikan hubungan antara manusia dengan vampires sentiasa aman.
Antara masalah filem Melayu tempatan ialah ceritanya tidak berpijak di bumi nyata.
Namun begitu, ada yang mengaut untung besar. Begitu halnya dengan KL Vampires.
Saya juga bersangka baik dan berharap pembikinnya mahu membawa kisah kebaikan
menentang kejahatan. Memang klise, tetapi tidak salah yang baik diulang-ulang.
Jalan cerita dan watak-watak ditampilkan berbeza untuk mengelakkan kebosanan. Di
situlah kesukarannya kerana lari daripada kelainan memerlukan kemahiran menulis.
Kelainan itu semakin enak dinikmati jika semakin biasa/mahir.
Benarkah puntianak (vampire) wujud, apatah lagi di Malaysia? Jika ada tanda soal,
ertinya masih menjadi perdebatan. Selama berabad-abad, manusia tidak pernah
mengetahui kewujudan vampires dalam kalangan mereka. Dalam dunia sebenar,
vampire sentiasa dianggap sebagai mitos. Selalunya dalam kalangan masyarakat, ia
lebih kepada kisah yang diceritakan pada waktu malam.
KL Vampires mengisahkan vampires mengganas di KL. Tidakkah itu jauh daripada
kenyataan? Khabarnya, permohonan dana untuk menerbitkan filem ini tidak dilayan
kerana pihak pendana mengatakan tiada vampires di Malaysia.
Pengarahnya sendiri mengakui dia amat meminati filem-filem fiksyen seperti Star Wars
dan Close Encounters of the Third Kind. Tidakkah kedua-duanya kisah khayalan?
Daven. mendapat idea menghasilkan KL Vampires.
Jelasnya, pada 2012 dia terbaca tulisan blogger bernama Nazri Vovinski mengenai vampire. Dalam tulisannya yang agak lucu, Nazri menyebut kewujudan vampires di
Malaysia. Daven. pula bermimpi mengenai vampire jahat yang mahu menguasai dunia,
lalu bertekad mengarah filem mengenainya.
Tambah Daven., setelah melakukan penyelidikan tentang vampire, dia berjumpa
dengan Nazri untuk urusan lakon layar KL Vampires. Menurut Nazri, dia gagal
memperoleh dana bagi pembikinan filem berkenaan kerana pendana menganggap
kisah vampire hanya khayalan. Lakon layar turut diolah oleh penulis bersama-sama,
Saiful Zaidrin
Daven. terus menyelidik sehingga terbaca mitos Raja Bersiong, lantas mendapat idea
mencipta jagat vampire di Malaysia. Penggambaran dijalankan di Kuala Lumpur (35
hari), dan beberapa buah lokasi di Jogjakarta seperti Istana Air Taman Sari (20 hari)
pada 2016.
Ada yang teruja apabila mengetahui penerbit membawa koreografer filem Indonesia,
The Raid Redemption, Mus Danang (Pak E). Selain Donny, turut berlakon ialah Cecep
Arif Rahman (Rudi Hikayat). Mereka, termasuk Raja Ilya, yakin KL Vampires mampu
tampil luar biasa dengan kehadiran Donny dan Cecep.
Lakonan Donny membekas, tetapi kemunculan Cecep hanya seketika dan wataknya
dibunuh oleh Agus. Koreografi adegan pertarungan oleh Pak E, dan Wong Choon Meng
(Malaysia), serta Donny barangkali akan lebih baik jika tiada imej janaan komputer
atau CGI, dan tali.
KL Vampires mengisahkan dua buah kumpulan vampires yang merupakan keturunan
Raja Bersiong. Mereka tidak lagi menghisap darah manusia, tetapi darah sintetik.
Kerajaan vampires yang terkuat ketika itu dipimpin oleh Ratu Citra Sari, dengan
bantuan Shah. Sebuah lagi kumpulan diketuai Agus, anak Panglima Adi Wijaya, yang
mengkhianati Raja Bersiong, ayah Ratu Citra Sari.
Kira-kira 200 tahun lalu, Raja Bersiong telah membunuh Adi Wijaya, serta bala
tenteranya dengan menimbus mereka di dalam tanah menggunakan menteranya. Agus
cuba membangkitkan semula tentera-tentera tersebut, yang hanya dapat dilakukan
dengan Pisau Bersiong, dan mentera khas.
Selepas bersusah-payah dalam perebutan pisau itu, bagaimana akhirnya ia dimiliki
Encik Jamal (Azri Iskandar), editor majalah Reem dengan wajah mencurigakan?
Bagaimana pisau itu masih ada, meskipun telah dimusnahkan oleh Ratu Citra Sari?
Barangkali Jamal itu ‘seseorang’. Bagaimana Reem juga berdarah vampire? Mungkin
filem ini akan disambung.

No comments:

Post a Comment