SASTERA BUDAYA
TERANIAYA KERANA DEDIKASI
MEMANG wajar pun judul filem ini Richard Jewell kerana kisah yang
dipaparkan ialah kisah lelaki bernama sedemikian yang berjuang membersihkan
namanya apabila didakwa melakukan jenayah berat. Kisah benar atau rekaan,
penampilan baik atau buruk mewajarkan nama individu terbabit dijadikan judul
filem.
Richard
Jewell (lakonan cemerlang Paul Walter Hauser) dituduh melakukan pembunuhan
tanpa sebarang bukti kukuh. Ejen Tom Shaw (Jon Hamm) dan Ejen Dan Bannet (Ian
Gomez) dari Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pula bersungguh-sungguh mahu
mendakwanya. Entah mengapa. Mungkinkah mereka mahu menunjuk kuasa dan
mengharapkan kenaikan pangkat? Hingga kes selesai, Ejen Shaw masih percaya
Jewell bersalah walaupun telah dibuktikan bersih daripada pertuduhan berat itu.
Jewell
memang tidak sempurna. Dia ada kesalahan/kesilapan lalu (sebagai manusia biasa).
Walau bagaimanapun, dia telah menjadi wira (diangkat/disanjung sedemikian)
kerana menyelamatkan banyak jiwa apabila menemui bom buatan sendiri semasa
konsert Jack Mack & Heart Attack di Taman Olimpik Centennial bersempena
dengan Sukan Olimpik Atlanta 1996. Jewell ketika itu bertugas sebagai pengawal
keselamatan dengan AT&T. Dia menemui bom tersebut di bawah bangku selepas bersama-sama
Shaw, dan rakannya, Dave Dutchess mengusir beberapa orang remaja yang membuat
kekacauan di situ.
Sama ada
kisah benar atau rekaan, wajarkah Jewell dilayan dengan buruk, dan dituduh
melakukan pembunuhan? Dia sebelum itu bekerja sebagai kerani bekalan pejabat di
sebuah firma undang-undang kecil, tempat dia membina hubungan erat dengan
peguam Watson Bryant (lakonan menarik Sam Rockwell). Dia kemudian bekerja
sebagai pengawal keselamatan di Kolej Piedmont dengan harapan dapat meningkat
dalam kerjaya penguatkuasaan undang-undang.
Namun
demikian, Jewell dipecat selepas beberapa aduan terhadap tindakannya semasa
menjalankan tugas. Dari awal lagi, dia bernasib malang, serta disalah anggap
dalam menegakkan undang-undang, dan bertugas penuh dedikasi.
Jewell
kemudian berpindah dengan ibunya, Barbara ‘Bobi’ Jewell (lakonan mantap Kathy
Bates) ke Atlanta. Pada musim panas 1996, dia mula bekerja sebagai pengawal
keselamatan untuk Sukan Olimpik di Taman Olimpik Centennial.
Filem ini
adaptasi daripada sebuah artikel bertajuk American
Nightmare: The Ballad
of Richard Jewell, oleh Marie Brenner, terbitan Vanity Fair pada tahun 1997, mengenai Jewell
semasa serangan bom di Taman Olimpik Centennial, Atlanta, 27 Julai 1996.
Walau
bagaimanapun, FBI mendawa Jewell sendiri yang meletakkan bom tersebut. Jewell disiasat
dengan terperinci meskipun bukti tidak ditemui. Dengan kepintaran sendiri, dan
bantuan Bryant, akhirnya, FBI membebaskan Jewell selepas 88 hari.
Terdapat beberapa
perkara menarik dalam filem biografi terbitan Tim Moore, Jessica Meier, Kevin
Misher, Leonardo DiCaprio, Jennifer Davisson, Jonah Hill, dan Clint Eastwood pada
2019 ini yang boleh dikutip/bincangkan.
Antaranya
ialah perlakuan wartawan wanita, Kathy Scruggs (Olivia Wilde) yang tidak berwibawa/bermaruah
hingga sanggup melakukan seks dengan Shaw untuk memperoleh berita sensasi
mengenai Jewell. Dia berpakat dengan rakan setugasnya hingga artikel mereka
menjadi tajuk muka depan Atlanta-Journal
Constitution yang menyebabkan kemarahan Ejen Khas FBI, Bruce Hughes (Dylan
Kussman) kerana rahsia penyiasatan bocor.
Kalau pengawal
keselamatan yang berdedikasi/bertanggung jawab seperti Jewell dianiayai, barangkali
tidak akan ada pengawal keselamatan yang sedia/peduli lagi kerana takut
mengalami nasib seperti Jewell? Bagaimana jika penjenayah sebenar melakukannya
sekali lagi seperti yang disebut oleh Bryant, dan Jewell (semasa sesi membela
diri)?
Selain itu,
pihak berkuasa/FBI tidak wajar membuang masa mendakwa/menyiasat Jewell. Masa
yang ada itu sepatutnya digunakan untuk memburu penjenayah sebenar. Dua hal tersebut
ditegaskan oleh Jewell kepada Shaw, Bennet, dan Hughes.
Nilai
persahabatan juga tidak boleh dijual beli. Bryant yang memang sahabat Jewell
berazam membantu lelaki bertanggungjawab itu bersama-sama dengan setiausahanya,
Nadya (Nina Arianda). Meskipun sedang menghadapi kegawatan untuk firma
guamannya, Bryant tetap sejati hingga menolak ‘rasuah seks’ Scruggs. Namun
demikian, wartawan wanita itu akhirnya sedar, dan mendapati Jewell tidak
bersalah. Selepas 88 hari ditahan/didakwa, Jewell akhirnya menerima sepucuk
surat rasmi pembebasan tuduhan dari FBI.
Pada April
2005, Bryant melawat Jewell yang bertugas sebagai pegawai polis di Luthersville,
Georgia dan memberitahu bahawa Eric Rudolph (Eric Mendenhall) telah mengaku melakukan
pengeboman tersebut. Pada 29 Ogos 2007, Jewell meninggal dunia ketika berusia
44 tahun akibat kegagalan jantung.
Selain
lakonan, pengarahan dan lakon layar filem yang ditayangkan di Amerika Syarikat,
dan Kanada pada 13 Disember 2019 ini meruntun perasaan penonton untuk
bersimpati dengan Jewell. Justeru, ia mendapat rebiu positif para pengkritik.
Badan Rebiu
Nasional memilihnya sebagai antara 10 buah filem terbaik 2019. Badan tersebut
turut mengangkat Bates sebagai Aktres Pembantu Terbaik.
Richard Jewell juga menerima beberapa pencalonan
dalam Anugerah Akademi, dan Golden Globes, sekalipun mengalami kerugian kerana
hanya mengutip $35.1 juta berbanding kos penerbitan $45 juta.
Adegan
paling menyentuh perasaan ialah ketika Jewell memujuk Bobi, dan meminta maaf
berkali-kali, kerana mengherdik ibunya itu yang menonton televisyen – sedang memaparkan
letupan. Dia mahu melupakan tragedi Taman Olimpik Centennial.
Jewell amat
tertekan hingga hampir memutuskan hubungan baik dengan ibunya. Dia stres hingga
bermimpi mendakap bom tersebut, dan membiarkan ia meletup meragut
nyawanya.
No comments:
Post a Comment