SASTERA BUDAYA

TERANIAYA KERANA DEDIKASI

MEMANG wajar pun judul filem ini Richard Jewell kerana kisah yang dipaparkan ialah kisah lelaki bernama sedemikian yang berjuang membersihkan namanya apabila didakwa melakukan jenayah berat. Kisah benar atau rekaan, penampilan baik atau buruk mewajarkan nama individu terbabit dijadikan judul filem.
Richard Jewell (lakonan cemerlang Paul Walter Hauser) dituduh melakukan pembunuhan tanpa sebarang bukti kukuh. Ejen Tom Shaw (Jon Hamm) dan Ejen Dan Bannet (Ian Gomez) dari Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pula bersungguh-sungguh mahu mendakwanya. Entah mengapa. Mungkinkah mereka mahu menunjuk kuasa dan mengharapkan kenaikan pangkat? Hingga kes selesai, Ejen Shaw masih percaya Jewell bersalah walaupun telah dibuktikan bersih daripada pertuduhan berat itu.
Jewell memang tidak sempurna. Dia ada kesalahan/kesilapan lalu (sebagai manusia biasa). Walau bagaimanapun, dia telah menjadi wira (diangkat/disanjung sedemikian) kerana menyelamatkan banyak jiwa apabila menemui bom buatan sendiri semasa konsert Jack Mack & Heart Attack di Taman Olimpik Centennial bersempena dengan Sukan Olimpik Atlanta 1996. Jewell ketika itu bertugas sebagai pengawal keselamatan dengan AT&T. Dia menemui bom tersebut di bawah bangku selepas bersama-sama Shaw, dan rakannya, Dave Dutchess mengusir beberapa orang remaja yang membuat kekacauan di situ.
Sama ada kisah benar atau rekaan, wajarkah Jewell dilayan dengan buruk, dan dituduh melakukan pembunuhan? Dia sebelum itu bekerja sebagai kerani bekalan pejabat di sebuah firma undang-undang kecil, tempat dia membina hubungan erat dengan peguam Watson Bryant (lakonan menarik Sam Rockwell). Dia kemudian bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kolej Piedmont dengan harapan dapat meningkat dalam kerjaya penguatkuasaan undang-undang.
Namun demikian, Jewell dipecat selepas beberapa aduan terhadap tindakannya semasa menjalankan tugas. Dari awal lagi, dia bernasib malang, serta disalah anggap dalam menegakkan undang-undang, dan bertugas penuh dedikasi.
Jewell kemudian berpindah dengan ibunya, Barbara ‘Bobi’ Jewell (lakonan mantap Kathy Bates) ke Atlanta. Pada musim panas 1996, dia mula bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk Sukan Olimpik di Taman Olimpik Centennial.
Filem ini adaptasi daripada sebuah artikel bertajuk American Nightmare: The Ballad
of Richard Jewell, oleh Marie Brenner, terbitan Vanity Fair pada tahun 1997, mengenai Jewell semasa serangan bom di Taman Olimpik Centennial, Atlanta, 27 Julai 1996.
Walau bagaimanapun, FBI mendawa Jewell sendiri yang meletakkan bom tersebut. Jewell disiasat dengan terperinci meskipun bukti tidak ditemui. Dengan kepintaran sendiri, dan bantuan Bryant, akhirnya, FBI membebaskan Jewell selepas 88 hari.
Terdapat beberapa perkara menarik dalam filem biografi terbitan Tim Moore, Jessica Meier, Kevin Misher, Leonardo DiCaprio, Jennifer Davisson, Jonah Hill, dan Clint Eastwood pada 2019 ini yang boleh dikutip/bincangkan.
Antaranya ialah perlakuan wartawan wanita, Kathy Scruggs (Olivia Wilde) yang tidak berwibawa/bermaruah hingga sanggup melakukan seks dengan Shaw untuk memperoleh berita sensasi mengenai Jewell. Dia berpakat dengan rakan setugasnya hingga artikel mereka menjadi tajuk muka depan Atlanta-Journal Constitution yang menyebabkan kemarahan Ejen Khas FBI, Bruce Hughes (Dylan Kussman) kerana rahsia penyiasatan bocor.
Kalau pengawal keselamatan yang berdedikasi/bertanggung jawab seperti Jewell dianiayai, barangkali tidak akan ada pengawal keselamatan yang sedia/peduli lagi kerana takut mengalami nasib seperti Jewell? Bagaimana jika penjenayah sebenar melakukannya sekali lagi seperti yang disebut oleh Bryant, dan Jewell (semasa sesi membela diri)?
Selain itu, pihak berkuasa/FBI tidak wajar membuang masa mendakwa/menyiasat Jewell. Masa yang ada itu sepatutnya digunakan untuk memburu penjenayah sebenar. Dua hal tersebut ditegaskan oleh Jewell kepada Shaw, Bennet, dan Hughes.
Nilai persahabatan juga tidak boleh dijual beli. Bryant yang memang sahabat Jewell berazam membantu lelaki bertanggungjawab itu bersama-sama dengan setiausahanya, Nadya (Nina Arianda). Meskipun sedang menghadapi kegawatan untuk firma guamannya, Bryant tetap sejati hingga menolak ‘rasuah seks’ Scruggs. Namun demikian, wartawan wanita itu akhirnya sedar, dan mendapati Jewell tidak bersalah. Selepas 88 hari ditahan/didakwa, Jewell akhirnya menerima sepucuk surat rasmi pembebasan tuduhan dari FBI.
Pada April 2005, Bryant melawat Jewell yang bertugas sebagai pegawai polis di Luthersville, Georgia dan memberitahu bahawa Eric Rudolph (Eric Mendenhall) telah mengaku melakukan pengeboman tersebut. Pada 29 Ogos 2007, Jewell meninggal dunia ketika berusia 44 tahun akibat kegagalan jantung.
Selain lakonan, pengarahan dan lakon layar filem yang ditayangkan di Amerika Syarikat, dan Kanada pada 13 Disember 2019 ini meruntun perasaan penonton untuk bersimpati dengan Jewell. Justeru, ia mendapat rebiu positif para pengkritik.
Badan Rebiu Nasional memilihnya sebagai antara 10 buah filem terbaik 2019. Badan tersebut turut mengangkat Bates sebagai Aktres Pembantu Terbaik.
Richard Jewell juga menerima beberapa pencalonan dalam Anugerah Akademi, dan Golden Globes, sekalipun mengalami kerugian kerana hanya mengutip $35.1 juta berbanding kos penerbitan $45 juta.
Adegan paling menyentuh perasaan ialah ketika Jewell memujuk Bobi, dan meminta maaf berkali-kali, kerana mengherdik ibunya itu yang menonton televisyen – sedang memaparkan letupan. Dia mahu melupakan tragedi Taman Olimpik Centennial.
Jewell amat tertekan hingga hampir memutuskan hubungan baik dengan ibunya. Dia stres hingga bermimpi mendakap bom tersebut, dan membiarkan ia meletup meragut nyawanya. 





No comments:

Powered by Blogger.