Nikmati Capati Empat Dekad, Beriani Kambing di Jalan
TAR
NAMA Restoran Santa (Chapati House) tidak
asing lagi bagi penggemar capati dan roti canai di sekitar Kuala Lumpur sejak
hampir 40 tahun lalu.
Dari
lokasi asal di sebelah pawagam Coliseum, kemudian ke Kowloon Hotel, Kompleks
Pertama, dan kini berhampiran ibu pejabat lama UMNO – semuanya di Jalan Tuanku
Abdul Rahman, Restoran Santa terus bertahan, termasuk melepasi masa-masa sukar
semasa COVID-19.
Antara foto yang merakamkan kunjungan pemimpin negara ke Restoran Santa.
=======================================================================
Restoran Santa beroperasi di lokasi sekarang sejak empat bulan lalu. Menurut pemiliknya, Gurdip Kaur, berpindah dari satu lokasi ke satu lokasi adalah antara cabaran yang perlu dihadapi oleh para peniaga.
“Ia
membabitkan beberapa masalah seperti kenaikan kadar sewa, atau permintaan
mengosongkan premis oleh pemilik, dan peraturan pihak berkuasa tempatan,” ujar
Gurdip, 55, yang juga seorang peguam bebas.
Restoran Santa memiliki sijil halal yang sah.
Mungkin tidak aneh seseorang peguam turut berniaga. Walau bagaimanapun, mengapa Gurdip menceburi bidang perniagaan yang amat berbeza dengan kerjaya guamannya yang dimulakan sejak 1998?
“Saya
mengambil alih perniagaan mendiang suami saya yang meninggal dunia pada 2009, akibat kegagalan buah pinggang yang dialami selama empat tahun,”
jelas Gurdip.
Tambah Gurdip, suaminya memerlukan rawatan dialisis tiga kali seminggu semasa menjalani rawatan. Walau bagaimanapun, keadaan kesihatannya semakin merosot, hingga tidak mampu bertahan lagi.
“Sebelum pergi buat selama-lamanya, suami saya sempat berpesan dan amat berharap saya akan meneruskan perniagaan walau apa pun yang terjadi untuk diwariskan kepada anak kami, Manavdev Singh yang baru berusia tujuh tahun ketika itu,” jelas beliau yang tabah menghadapi segala masalah selama mengurus Restoran Santa.
Puan Guldip Kaur di samping foto-foto bersejarah dalam hidupnya, termasuk mendiang suami (atas sekali).
Paling sukar, kata Gurdip adalah menangani kenaikan kos keperluan yang menyebabkan pelanggan merungut harga makanan, dan minuman semakin mahal.
“Kesukaran dihadapi kerana ketika masalah itu berpunca daripada kenaikan harga bahan mentah, pihak berkuasa melarang peniaga menaikkan harga sajian,” ujar beliau yang secara keseluruhannya one single mother show mengurus perniagaan.
=======================================================================
Untuk
mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang, tambah Gurdip yang menjadi
ibu tunggal sejak 13 tahun lalu, Restoran Santa cuba bertahan dengan harga
semunasabah mungkin demi situasi menang-menang.
Tinggal
bersama-sama anak tunggal beliau, Manavdev yang kini berusia 22 tahun, di
Kampung Pandan, Gurdip tidak dapat melupakan tempoh kepayahan dalam perniagaan
semasa wabak pandemik maut COVID-19.
Kita
semua maklum fasa-fasa awal wabak tersebut menyaksikan seluruh negara dikenakan
perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Semasa
PKP yang berlanjutan, perniagaan terhenti sama sekali, sedangkan kos wajib
seperti sewa premis dan gaji pekerja berjalan terus. Akhirnya kami terpaksa berpindah,” jelas beliau yang bersyukur restorannya kini masih dikunjungi ramai
pelanggan, terutama Melayu Islam.
Antara keratan akhbar liputan mengenai perjuangan dan kejayaan perniagaan Restoran Santa.
‘Hidup
semula’ selepas kebenaran beroperasi semasa fasa endemik, Restoran Santa tetap
menyajikan 20 jenis menu yang disediakan oleh dua tukang masak khas dari India.
Antaranya, capati dan teh tarik susu lembu amat digemari pelanggan.
“Barangkali
ia disukai kerana susu lembu itu segar dari ladang di Kundang, Selangor yang
kami langgani sejak 1988,” kata Gurdip yang dengan gembira memberitahu Restoran
Santa turut dikunjungi ramai pemimpin negara.
Sebahagian daripada 20 menu Restoran Santa yang disediakan oleh dua tukang masak khas dari India.
Antara
yang pernah berkunjung adalah mantan Perdana Menteri Ybhg Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Ybhg Tun Abdullah Ahmad Badawi. Mendiang Tun Samy Vellu, Ybhg Datuk Zuraida Kamaruddin,
YB Gobind Singh Deo dan YB Fahmi Fadzil juga turut mengunjungi Restoran Santa.
Sejak
kebelakangan ini, Gurdip boleh menarik nafas lega kerana turut dibantu oleh Manavdev
yang sedang menuntut dalam bidang pentadbiran perniagaan di sebuah kolej
terkemuka di ibu kota. Abang iparnya yang baru bersara turut membantu sebagai
juruwang.
Lebih
kurang tiga tahun lagi, beliau berharap Manavdev dapat mengurus perniagaan
Restoran Santa selepas tamat belajar.
Mengenai
harapan masa hadapan, Gurdip berharap masalah-masalah yang dihadapi dapat
dibendung, jika pun tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan.
Antaranya,
kerajaan mengizinkan warga asing terus bekerja di negara ini yang sudah pasti
dengan permit sah. Katanya, warga asing tidak menimbulkan masalah besar, selagi
kebajikan mereka dijaga.
“Buat
masa ini, Restoran Santa menggaji lima pekerja. Tukang masak bersilih ganti
kerana had waktu kerja mereka adalah 10 tahun,” kata Gurdip yang bercadang akan
melanjutkan waktu perniagaan harian hingga ke malam selepas sambutan Syawal,
jika dapat menambah jumlah pekerja.
Buat
masa sekarang, Restoran Santa yang mendapatkan bekalan bahan mentah harian dari pasar di Chow Kit dan Pudu, dibuka dari jam 7 pagi hingga 6 petang setiap
hari.
-
RAJA YUSOFF ARIFFIN
No comments: