AD-DIN
Manfaat Karnival
Haji, Umrah dan Pelancongan 2024
PENGANJUR, pempamer serta
pengunjung Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 (KHUP 2024) di Pusat
Konvensyen Movenpick, Sepang pada 19 hingga 21 Januari lalu bersetuju jika
karnival berkenaan kekal di tempat penganjurannya setiap tahun.
Menurut
Naib Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia
(Bumitra Malaysia), Ybrs Tuan Haji Kamarun Ab Rahman, sebagai penganjur,
pihaknya akan berusaha sebaik mungkin menjadikan KHUP sebuah acara yang amat
bermanfaat kepada bakal jemaah haji setiap tahun.
=======================================================================
Naib Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia), Ybrs Tuan Haji Kamarun Ab Rahman.
“Pusat
Konvensyen Movenpick sesuai kerana kedudukannya berhampiran dengan tempat
berlepas para jemaah haji, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Ia sinonim
dengan haji. Apabila menyebut haji, kita menyebut juga Movenpick dan karnival
ini,” kata Haji Kamarun.
Mengenai
kapasiti tempat kerana mula terasa sempit dan sesak, beliau mengatakan pada
tahun-tahun mendatang, ruang akan diluaskan dengan sebaik mungkin.
Para
pempamer Pengendali Jemaah Haji (PJH) akan turut ditempatkan di luar Dewan
Mentari, kata Kamarun, tidak seperti sekarang yang hanya berada di dalam dewan
tersebut.
Encik
Muhammad Redzwan Abdul Aziz dari Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd (Az
Zuha Group), memberitahu pihaknya juga tiada masalah dengan tempat acara.
“Pengubahsuaian
boleh dilakukan jika kesesakan menjadi isu. Kawasan di luar Dewan Mentari ini
masih boleh mengisi reruai pempamer yang dijangka bertambah. Keadaan di dalam
lebih selamat berbanding di luar Pusat Konvensyen Movenpick yang berdepan risiko
cuaca walaupun lebih luas,” ujar Ketua Pegawai Pemasaran Az Zuha Group ini.
Berpengalaman selama 12 tahun dalam industri ini, serta menyantuni lebih 15,000 jemaah haji
dan umrah dalam satu musim pada 2023, Az Zuha Group telah mengurus jemaah haji
pada 1443, dan 1444 Hijrah, dan memperoleh permarkahan Penilaian Prestasi
Perkhidmatan Haji sebanyak 97.14 peratus pada 1444 Hijrah. Pada 1443 Hijrah, ia
mendapat 94.06 peratus.
“Selari
dengan slogan kami, iaitu ‘Menyantuni dengan Hati’, kami menyediakan produk dan
perkhidmatan terbaik kepada para Dhuyufurrahman,” jelas Muhammad Redzwan sambil
menitipkan pesanan agar para jemaah haji berdaftar dengan syarikat pengendalian
yang berlesen sah.
Memperoleh
lesen PJH yang sah pada 2019, Az Zuha Group menyertai KHU pertama di tempat
yang sama tahun lalu. Sebelum memperoleh kejayaan menghantar ribuan jemaah haji
pada 2023, syarikat ini mengurus jemaah hajinya yang pertama, seramai 300
orang.
Berpangkalan
di Bandar Seri Putra, Bangi, Kajang, Az Zuha yang merupakan syarikat termuda
dalam industri ini, sedang beroperasi dengan 100 kakitangan.
Pegawai
Operasi Eiman Travel & Tours Sdn Bhd (Eiman Travel), Encik Abdullah Waasih
Mohd Zawawi pula memberitahu pihaknya turut menyertai karnival pada tahun lalu,
dan akan meneruskannya setiap tahun.
=======================================================================
Ketua Pegawai Pemasaran, Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd, Encik Muhammad Redzwan Abdul Aziz.
=======================================================================
“Kami
juga tiada masalah dengan tempat penganjuran KHUP, walaupun semakin sesak
dengan pengunjung. Ruang boleh diubah suai dengan sebaik-baiknya. Apa yang
penting, matlamat penganjuran tercapai,” tambahnya yang juga yakin sasaran
pengunjung melebihi 15,000 orang.
Berpangkalan
di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Eiman Travel telah ditubuhkan secara rasmi pada
2012. Ia berpengalaman luas mengurus jemaah umrah dan jemaah haji dengan
perkhidmatan terbaik.
=======================================================================
Pegawai Operasi Eiman Travel & Tours Sdn Bhd (Eiman Travel), Encik Abdullah Waasih Mohd Zawawi.
=======================================================================
Muhammad
Syafiq Fauzi, 27, dari Seremban memberitahu beliau mengunjungi karnival haji,
umrah dan pelancongan ini buat kali pertama.
“Saya
datang bersama-sama dengan isteri dan anak. Tetapi, yang lebih penting, saya
menemani ayah saya yang akan menunaikan haji bersama-sama ibu saya pada tahun
ini,” jelas Syafiq yang bertugas sebagai pengarah urusan sebuah syarikat.
Sambil
memuji langkah penganjuran karnival kerana dapat memberikan maklumat berguna,
beliau mahu acara ini terus diadakan setiap tahun.
“Pusat
Konvensyen Movenpick ini sesuai kerana strategik. Kawasan letak keretanya luas.
Pengunjung juga boleh meletakkan kereta masing-masing di kawasan masjid
bersebelahan,” tambah Syafiq.
=======================================================================
Pengunjung dari Seremban, Muhammad Syafiq Fauzi.
=======================================================================
Sementara
itu, Nor Aini Muhamad, 55, dari Bagan Datuk, memberitahu beliau pernah
mengunjungi karnival ini tahun lalu.
“Saya
datang untuk meninjau dan mendapatkan maklumat penting yang berkaitan. Saya juga
mengikuti kursus haji dari semasa ke semasa walaupun hajat menunaikan masih
belum tercapai,” katanya yang telah bersara dua tahun lalu.
Melihat
sambutan orang ramai yang memberangsangkan, Nor Aini yang tidak mahu gambarnya disiarkan, berharap dan suka karnival
ini terus dianjurkan di Pusat Konvensyen Movenpick saban tahun.
KHUP
2024 berlangsung dari 19 hingga 21 Januari, dan dibuka kepada orang ramai tanpa
bayaran masuk. Ia dianjurkan oleh Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Bumitra
Malaysia.
Majlis
perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal
Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Dewan Mentari, Pusat
Konvensyen Movenpick pada 19 Januari lalu.
Dalam
ucapan perasmiannya, Datuk Dr Mohd Naim memberitahu kerajaan telah bersetuju
meneruskan Bantuan Kewangan Haji Secara Bersasar yang diberikan kepada jemaah
Haji Muasassah golongan B40 dengan jumlah RM1,000 seorang.
=======================================================================
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
=======================================================================
Jelas
beliau, penawaran bantuan itu turut mendapat persetujuan Perdana Menteri, YAB Dato’
Seri Anwar, di mana jemaah Muassasah B40 hanya membayar kos sebanyak RM 12,356.
Sebagaimana
yang kita sedia maklum, tambah beliau, kos menunaikan haji meningkat setiap
tahun, khususnya beberapa kos yang perlu ditanggung di Arab Saudi.
Bagi
musim haji 2024, kos keseluruhan bagi seorang jemaah haji adalah RM33,300 yang
bererti kenaikan sebanyak lapan peratus, berbanding musim 2023, iaitu RM30,850.
“Kos
tersebut merangkumi seluruh rantaian perkhidmatan, termasuk penginapan,
penerbangan, sajian, visa, perkhidmatan semasa di tanah air dan Tanah Suci,
termasuk operasi masyair, pengangkutan, pengurusan kebajikan serta kesihatan
jemaah,” kata Dr Mohd Naim lagi.
Karnival
yang ini adalah kali kedua, selepas mencapai kejayaan pada kali pertama, tahun
lalu.
Tambah
Mohd Naim, pada masa sama, bakal jemaah haji turut memilih pakej yang ditawarkan
oleh 25 syarikat PJH yang dilesenkan oleh TH, bagi memudahkan pemantauan,
selain mengelakkan penipuan.
“Saranan
itu turut melibatkan kumpulan jemaah haji yang mendapat visa Furada dan Mujamalah.
Kesemua 25 syarikat PJH, termasuk Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd
telah melalui proses penilaian ketat, serta memenuhi syarat ditetapkan sebelum memperoleh
lesen,” ujar beliau.
Kata
Naim lagi, kerajaan juga telah bersetuju agar kadar bayaran haji untuk seorang
bakal haji muassasah kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan
pada RM13,356 seorang.
“Bantuan
kewangan haji secara bersasar turut diberikan kepada jemaah Haji Muasassah bagi
golongan B40 dengan jumlah sebanyak RM 1,000.00. Ertinya, dengan tambahan
bantuan ini, jemaah haji muassasah B40 akan membayar kos haji sebanyak RM
12,356.00,” tambah beliau.
Naim
turut memberitahu bahawa bakal haji kumpulan B40 akan menerima bantuan kewangan
haji berjumlah RM19,944 seorang, atau 60 peratus daripada kos haji.
“Bayaran
haji bagi bakal haji muassasah kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan ibadat
haji pula adalah RM19,152 seorang. Bakal haji kumpulan M40 akan menerima
bantuan kewangan haji berjumlah RM14,148 seorang, atau 42 peratus dari kos
keseluruhan kos haji,” tambah beliau.
Sementara
itu, kumpulan T20 akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan haji, iaitu sebanyak
RM33,300 seorang.
=======================================================================
YYB enator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (tiga dari kiri) melakukan gimik perasmian Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 (KHUP 2024) di Dewan Mentari, Pusat Konvensyen Movenpick, Sepang pada 19 Januari lalu.
8. ==============================================================================================================================
Turut
hadir termasuklah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH,
Ybrs Tuan Syed Hamadah Syed Othman, Pengarah Eksekutif Haji TH, Ybhg Dato; Seri
Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,
Ybhg Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie,
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, YAA Dato’ Mohd Amran Mat Zain, Ketua
Pengarah, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Ybhg Dato’ Selamat Paigo, dan
Presiden Bumitra Malaysia, Ybrs Tuan Hj Harun KC Ahmmu.
Dalam
ucapannya, Tuan Syed Hamadah mengumumkan pengeluaran Surat Panggilan Haji 2024 bermula
pada 19 Januari, kepada 31,600 bakal jemaah haji.
“Jemaah
yang mendapat tawaran haji perlu menjawab surat tawaran segera melalui Aplikasi
THiJARI, sebelum rayuan haji dibuka pada 26 Januari, iaitu Jumaat hadapan
menerusi aplikasi THiJARI,” ujar beliau.
Mengenai
kos rayuan haji luar giliran, Syed Hamadah menjelaskan bahawa jemaah yang mahu
berbuat demikian perlu membayar penuh kos haji RM33,300, kecuali rayuan mahram,
rayuan pembantu jemaah usia lanjut, dan rayuan membawa jemaah OKU.
======================================================================
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH, Ybrs Tuan Syed Hamadah Syed Othman.
“Panggilan
haji 2024 mengutamakan bakal haji yang masih lagi berbaki (akibat COVID-19)
sehingga 2023, dan sebahagian giliran haji 2024. TH memaklumkan ada empat juta
pendeposit TH, dan yang telah berdaftar untuk menunaikan haji yang masih
menunggu giliran haji,” tambah beliau.
Setakat
ini, terdapat 25 syarikat pelancongan tempatan telah diberikan lesen PJH untuk
musim haji 2024.
Antaranya
termasuklah TH Travel & Services Sdn Bhd, Al Balad Travel & Tours Sdn
Bhd, Alif Travel & Tours Sdn Bhd, Amani Travel Sdn Bhd, Andalusia Travel
& Tours Sdn Bhd, Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd, Batuta Travel
& Tours Sdn Bhd, Iman Travel & Tours Sdn Bhd, Felda Travel Sdn Bhd, Gemilang
Travel and Tours Sdn Bhd, Kembara Umrah Sdn Bhd, TM Tours & Travel Sdn Bhd,
dan Utas Travel & Tours Worldwide Holidays Sdn Bhd.
=======================================================================
Para Pengendali Jemaah Haji bersama-sama YB Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dan tetamu kehormat lain.
=======================================================================
Semasa menyertai KHUP 2024 selama tiga hari, mereka turut mempromosikan pelbagai pakej menunaikan haji, umrah dan pelancongan untuk ditawarkan kepada bakal jemaah haji, yang menjadikan karnival ini berbeza, sebagaimana yang diakui Tuan Hj Harun.
Mengenai
jumlah pengunjung karnival ini, TH dan Bumitra Malaysia sama-sama mensasarkan kehadiran
lebih 10,000 orang.
Walau
bagaimanapun, dengan jumlah kehadiran 2,000 pengunjung sebelum majlis perasmian
pada jam 3 petang, 19 Januari, penganjur mensasarkan 15,000 pengunjung. Lebih
ramai pengunjung datang pada Sabtu dan Ahad.
Dengan
menampilkan perbezaan, pelbagai kelainan, penambahbaikan, dan kawasan lebih
luas memuatkan sehingga 140 reruai, KHUP 2024 juga merupakan kesinambungan atas
kejayaan KHU 2023.
=======================================================================
Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 (KHUP 2024) di Pusat Konvensyen Movenpick, Sepang pada 19 hingga 21 Januari.
7. ==============================================================================================================================
Selain
meneruskan kecemerlangan karnival, TH dan Bumitra Malaysia ingin meningkatkan
kesedaran masyarakat umum mengenai kepentingan memilih syarikat pengendali haji
yang menerima lesen PJH, serta ekoran permintaan, dan maklum balas orang ramai.
KHU
2023 berjaya mencapai sasaran, dan menerima kehadiran lebih 5,000 pengunjung.
Karnival
ini juga menjadi antara platform untuk memberitahu orang ramai bahawa hanya
syarikat berlesen sah sahaja yang boleh menawarkan perkhidmatan pengelolaan
haji.
Selain
penyertaan 25 syarikat PJH sebagai pempamer, Bank Islam Malaysia Berhad, AMAL (Malaysia
Airlines), Takaful Malaysia Berhad, dan Saudi Tourism Authority yang turut
menyertai karnival ini sebagai pempamer.
=======================================================================
Bank Islam Malaysia Berhad mengadakan taklimat produk di reruainya pada 19 Januari lalu.
=======================================================================
KHUP
2024 dilangsungkan dalam dua tempoh masa berbeza, iaitu dari jam 9.00 pagi
hingga 9.00 malam pada 19, dan 20 Januari; dan dari jam 9.00 pagi hingga 6.00
petang sahaja pada 21 Januari.
Selama
tiga hari, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan seperti program simulasi
haji untuk kanak-kanak, iaitu Simulasi Haji Cilik (setiap hari), persembahan
gamelan di pentas 2 (19 dan 20 Januari), dan Bual Bicara di pentas utama (20
dan 21 Januari).
Acara
pada hari pertama dimulakan oleh ucapan selamat datang daripada pengacara
majlis, dan penerangan ringkas tatacara perjalanan karnival, diikuti bacaan
doa, serta bacaan al-Quran dan tejemahannya.
Tujuh
syarikat PJH yang terbabit dengan taklimat pada hari perasmian ialah Kawan
International Travel Sdn Bhd, Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd, Kembara
Umrah Sdn Bhd, Jad Travel & Tours (M) Sdn Bhd, Eiman Travel Tours Sdn Bhd,
Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd, dan Tri-D Travel & Tours Sdn Bhd.
=======================================================================
Kumpulan In-Team mendendangkan lagu Labbaikallah.
Sebagai
hiburan menarik berunsur Islam, kumpulan nasyid terkenal, In-Team ditampilkan
dengan empat lagu popular mereka, termasuk Labbaikallah.
Taklimat
produk oleh Bank Islam turut diadakan pada 19 Januari. Kuiz dan juga cabutan bertuah,
khusus untuk para pengunjung dengan tawaran hadiah yang lumayan, termasuklah
pakej menunaikan umrah pula berlangsung setiap hari di pentas 2.
- RAJA YUSOFF ARIFFIN
No comments: