Pages

Tuesday, 15 September 2020







SUKAN

 

LIVERPOOL KINI ADA JERSI KETIGA

 

KELAB Bola Sepak Liverpool (LFC) biasanya menggunakan jersi berwarna merah jika beraksi di gelanggang sendiri (Anfield), dan jersi putih kalau bermain di gelanggang lawan untuk perlawanan domestik (Liga Perdana Inggeris, Piala FA, dan Piala Liga).

LFC kini mempunyai jersi ketiga, iaitu berwarna hitam yang digunakan untuk perlawanan persahabatan, atau kejohanan jemputan di luar England.

Pada 15 September 2020 lalu telah berlangsung majlis pelancaran rasmi Kit ketiga Nike LFC di premis Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Petaling Jaya, yang terletak berhampiran Sunway Pyramid.

Pelancaran rasmi Kit ketiga LFC untuk musim 2020/2021 itu disempurnakan oleh Pengurus Pemasaran Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Zechariah Ravinder. Kit berkenaan, menurut Zechariah, diilhamkan daripada ikon bermain waktu malam Eropah di Anfield.

Reka bentuk kit ketiga itu, tambah Zechariah, amat dipengaruhi kedudukan bendera, dan gegantung yang disusun berselang-seli di Stadium Anfield.

“Bendera dan gegantung itu bertujuan menghiasi suasana setiap perlawanan di tempat sendiri dalam saingan Eropah. Tradisi terpacak kukuh dalam sejarah kelab, dan membantu mewujudkan atmosfera yang tiada tolok bandingnya untuk Kop,” kata Zechariah lagi.

Kit ketiga LFC kini boleh didapati secara eksklusif di kedai-kedai Al-Ikhsan Sports & Football. Para peminat boleh juga melayari www.al-ikhsan.com untuk mendapatkannya. Jersi replika dijual pada harga RM299, sementara jersi pemain pula berharga RM495 sehelai.

 

Friday, 4 September 2020

 SASTERA BUDAYA


DENDAM SYAITAN HITAM BERTERUSAN


ADA filem yang perlu ditonton berkali-kali untuk difahami mesej, dan maksudnya. Jika tidak, ia memerlukan penontonan yang teliti, dan tekun. Roh antara filem yang saya maksudkan sedemikian. Namun begitu, selepas menontonnya, saya kurang yakin ia akan ditonton berkali-kali, walaupun cuba menampilkan kelainan, kerana tiada daya penarik komersil.

Telah banyak filem seram yang dihasilkan. Justeru, penulis lakon layar Roh yangjuga pengarahnya, Emir Azwan mahu mempersembah corak seram yang berbeza.

Banyak filem seram Melayu Malaysia terdahulu tampil dengan unsur-unsur, serta visual yang cepat memikat pemandangan dan pemikiran penonton – komersial.

Walau bagaimanapun, Roh cuba menampilkan corak seram yang segar/baharu/berbeza menerusi persembahan fotografi, lakonan dan bahasa filem yang baik. Ada kejutan, tetapi bukan jumpscare.

Fotografi oleh pengarahnya, Ahmad Saifuddin Musa turut menghidupkan filem ini.

Aksi Farah Ahmad sebagai Emak dan anaknya, Mhia Farhana (Along) serasi/mantap. Seperti Mhia, Harith Haziq yang belum pernah saya tonton lakonannya pun berbakat. Adegan untuk Putri Nurqaseh (Adik) sedikit, tetapi berkesan.

Namron (Pemburu) meskipun menggantikan pelakon asal, tetapi pilihan yang tepat.Isterinya, Junainah nampak amat selesa dengan watak yang dipegang, Tok.

Bahasa filem Roh juga banyak membantu. Dialog yang dilontarkan ekonomikal dayang perlu sahaja, tetapi berkesan. Walaupun kata Amir Muhammad, Penerbit Eksekutif, filem bukan mengajar/berdakwah, tetapi apa yang dipaparkan, sedikit/banyak menyinggahi pemikiran penonton.

Corak Roh ialah gabungan seram, misteri dan drama. Agak sukar difahami padaperingkat awal hingga tertanya-tanya apa mesej, atau hala tuju/motif filem ini.

Kejutan pada penghujung yang menjelaskan mesej Roh. Unsur jahat sentiasa cuba mempengaruhi kehidupan harian kita. Sudah tentulah ia iblis syaitan. Atas keizinan Allah, makhluk tersebut akan terus menggoda manusia hingga kiamat.

Watak dalam Roh cuma Emak, Along, Angah, Adik, Pemburu, dan Tok. Kecuali Tok, kesemuanya mati.

Adik ialah kanak-kanak perempuan yang aneh. Dia ditemui oleh Along dan Angah lalu dibawa pulang ke rumah. Adik bermalam di rumah mereka. Tetapi, keesokan harinya, Adik memeranjatkan Emak, Along dan Angah kerana memakan ayam peliharaan mereka mentah-mentah, kemudian mengelar leher sendiri sebelum mati, sambil memberi amaran tiga beranak itu akan mati semasa bulan mengambang.

Kenapa Tok tidak mati? Wanita tua itu pengamal ilmu hitam. Dia mengingatkan mengenai Pemburu, dan tidak menyukai lelaki tersebut lalu memberi amaran agar menjauhi keluarga Emak. Pemburu terjumpa rumah Emak dan memberitahu dia mencari Adik, tetapi Emak membohonginya.

Tok ialah iblis syaitan dalam bentuk manusia, yang menipu keluarga Emak yang daif menghuni sebuah dangau di pedalaman berhampiran hutan, serta melaga-lagakananak-beranak itu, dan Pemburu.

Along membenci Emak sebelum membunuh diri tanpa sempat memohon ampun. Kemudian, dia ‘muncul’ kembali dan datang ke rumah lalu membakar rumah, termasuk ibunya yang sedang nazak. Mengapa pula Emak nazak selepas dia menikam Pemburu dengan lembing. Siapa yang mencederakannya?

Kemunculan Tok pada awalnya menggembirakan Emak kerana beroleh teman. Walau bagaimanapun, Tok menolak pelawaan Emak untuk tinggal bersama-sama.

Amarannya mengenai Pemburu hingga penonton menyangka lelaki itu antagonis hanya pembohongan. Sementelah Pemburu bertanya kepada Emak mengenai Adik yang pada tanggapan Emak secara biadab. Kebaikan Tok yang sebenarnya hipokrasi itu diterima oleh penonton.

Walaupun Tok menggertak Pemburu, tetapi lelaki itu memberikan lembingnya kepada Emak sebagai senjata mempertahan diri. Dia mahu membantu mencari Angah yang dikatakan hilang.

Namun demikian, Emak yang terus sangsi terhadap Pemburu, membunuh lelaki tersebut dengan lembing itu kononnya membalas dendam kematian Along, dan Angah. Kebetulan dia melihat Pemburu membunuh Angah yang sedang mengheret bangkai rusa.

Mengapa Pemburu membunuh Angah, sedangkan dia boleh menghalang Angah,dan memberitahu tidak elok mengambil bangkai binatang di dalam hutan untuk tujuan apa pun, apatah lagi makan.

Ada yang mengatakan Roh yang berdurasi 82 minit ini berkonsep filem pendekkerana latar tempat tidak luas, dan watak sedikit. Pada luaran memang sedemikian.

Walau bagaimanapun, tidak semestinya begitu kerana ada filem biasa yang latartempat, dan watak yang sedikit. Begitu juga sebaliknya dengan filem pendek.

Emir juga menafikan Roh ialah filem seni. Saya bersetuju kerana dalam filem perluada seni – tiada filem tanpa seni. Seni itu yang menghasilkan filem yang baik/cemerlang. Filem berseni ditampilkan dengan unsur-unsur yang indah, tersusundan menarik.



SOSIAL


KETIKA DAN SELEPAS PKP

 

TIADA siapa pun yang meminta dan menyukai perkara buruk. Walau bagaimanapun, sering disebut dan kerap terjadi setiap perkara buruk itu ada hikmahnya. Ada perkara yang kita sangka buruk itu sebenarnya baik untuk kita.

Di negara kita, satu peristiwa yang melanda dengan serius ialah wabak pandemik Covid-19 sejak awal Februari 2020. Untuk menyekat penularannya, Kerajaan Malaysia melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) mulai jam 12 tengah malam 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020.

Covid-19 dianggap buruk. PKP juga begitu. Namun demikian, dari sudut lain, PKP turut membawa beberapa kebaikan, dan memberikan pengajaran kepada rakyat Malaysia. Antara pengajaran PKP yang juga berkaitan dengan falsafah kehidupan ialah menghargai kebebasan hidup harian.

PKP menuntut rakyat Malaysia sentiasa duduk di rumah. Perbuatan sedemikian dianggap satu keburukan kerana menyekat pergerakan ke mana-mana yang disukai. Penyakit lain mungkin menghinggapi lantaran kurang kegiatan fizikal.

Sejak menjalani PKP, rakyat Malaysia mula belajar, memahami dan menghargai erti kebebasan hidup harian. Menghargai dalam konteks ini ialah menggunakan kebebasan yang ada untuk kebaikan diri sendiri, dan orang lain.

Selama ini mungkin kita sebagai manusia bukan sahaja di Malaysia kurang mementingkan soal kebebasan tersebut. Memang ia dinikmati setiap hari, tetapi seperti kosong, dan berlalu begitu sahaja.

Setelah pergerakan dikawal dan dibatasi melebihi sebulan hingga merimaskan dan membosankan, baru (mahu) mengerti dan menjunjung kebebasan. Kebebasan itu indah, dan lebih indah jika dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Kekal duduk di rumah (kekal selamat) merupakan satu daripada tiga prosedur operasi standard (SOP) PKP yang perlu dipatuhi. Dua lagi SOP ialah penjarakan sosial 1 meter, serta kerap mencuci tangan dengan sabun dan air, atau hand sanitizer.

Sentiasa duduk di rumah turut membawa beberapa kebaikan. Rakyat, terutamanya yang berkeluarga dapat meluangkan lebih banyak masa dengan ahli keluarga. Pelbagai kegiatan berfaedah dapat dilakukan bersama-sama seperti mengemas rumah, bermain permainan dalaman, menonton televisyen, dan memasak (termasuk mencuba resipi baharu) yang mengeratkan hubungan kasih sayang.

Justeru, ahli keluarga, terutamanya ayah dan ibu yang sentiasa sibuk dengan kerja menyedari kepentingan mereka bersama-sama anak di rumah mengisi masa bermutu untuk manfaat berpanjangan.

Rakyat yang beragama Islam boleh solat berjemaah bersama-sama keluarga di rumah – suami/ayah menjadi imam kepada isteri dan anak-anak. Jadi, lihat larangan menunaikan solat berjemaah, termasuk solat Jumaat (sebelum dan semasa PKP), dan sunat tarawih di masjid/surau dari sudut positif.

Jika selama ini hanya sebagai makmum di masjid/surau, dengan menjadi imam di rumah, si suami/ayah barangkali akan berusaha menghafal lebih banyak surah, dan menambah baik mutu solatnya.

Secara tersirat, solatlah secara berjemaah di masjid atau surau ketika tiada sebarang halangan daripada sesiapa. Tidak perlu sebal atau sesal ketika terhalang, sedangkan semasa lapang, diri sendiri sentiasa alpa.

PKP merupakan akronim yang tidak pernah terfikir sebelum ini, apatah lagi sangat terkenal. Ia sering disebut setiap hari dalam kehidupan rakyat Malaysia sejak diperkenal, dan dilaksanakan.

Lanjutan daripada pengisytiharan PKP, langkah-langkah susulan turut diambil bagi menyelaras, dan memperincikan pelaksanaannya. Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengadakan mesyuarat penyelarasan antara agensi kerajaan pada 17 Mac 2020 untuk memperincikan pelaksanaan PKP agar ia dapat berjalan kemas.

Untuk memastikan keperluan orang ramai pada perkhidmatan-perkhidmatan asas tidak terjejas di sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa, beberapa perkhidmatan tertentu yang essential, dan non-essential dibenarkan beroperasi.

Sebaik PKP berkuat kuasa, rakyat Malaysia diminta mematuhi semua peraturan yang telah diputuskan oleh pihak berkuasa.

Bagi melaksanakan PKP, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 telah diwartakan pada 18 Mac 2020. Pegawai Polis Diraja Malaysia, dan RELA yang dilantik sebagai pegawai diberi kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Agar PKP lebih berkesan, orang ramai dinasihatkan supaya kekal berada di rumah, dan hanya keluar untuk memenuhi keperluan-keperluan asas.

Pada mulanya kerajaan hanya melaksanakan PKP fasa pertama selama dua minggu. Disebabkan wabak maut ini belum dapat dibendung, PKP disambung dari 1 April hingga 14 April 2020. Atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan demi kebaikan semua, kerajaan melanjutkan PKP dari 15 April hingga 28 April 2020 pula.

Ekoran keadaan semasa yang belum selamat, PKP diteruskan ke fasa keempat, iaitu dari 29 April hingga 12 Mei 2020.

Orang ramai yang menghadapi sebarang kemusykhilan mengenai PKP diminta menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara, MKN, JPM menerusi talian 03-8888 2010.

Sewaktu PKP fasa keempat memasuki hari ketiga, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei 2020 bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi, dan sosial yang diarah tutup, dibuka semula.

Atas nasihat KKM berdasarkan data-data yang dikumpul, dan amalan terbaik mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerajaan memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat.

Sewaktu esei ini disiapkan, pelaksanaan PKPB yang dijangka sehingga 12 Mei 2020, telah dilanjutkan hingga 9 Jun 2020. Tan Sri Muhyiddin mengumumkannya dalam perutusan khas pada 10 Mei 2020.

Dalam masa yang sama, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terus dilaksanakan di kawasan merah. Menurut Menteri Kanan Keselamatan merangkap Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan pelaksanaan PKPB atau disebut PKP kelima, peraturan PKP keempat terbatal.

Walau bagaimanapun, dalam pelaksanaan PKPB ini, aktiviti dan perhimpunan ramai yang mendedahkan risiko jangkitan Covid-19 masih dilarang. Menurut Muhyiddin sebelum itu dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja 2020, 1 Mei, pelaksanaan PKPB susulan dua daripada enam strategi dan perancangan kerajaan dalam memerangi wabak, iaitu ketegasan dalam tindakan mengawal Covid-19, dan membina ketahanan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin telah membuahkan hasil.

Sektor yang dibenarkan beroperasi tertakluk pada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa mulai 4 Mei 2020.

Jelas Muhyiddin, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), MKN dan Jemaah Menteri telah berbincang panjang lebar dalam usaha mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara, dan kepentingan membendung Covid-19. Walaupun ‘diluah mati emak, ditelan mati bapak’, tetapi ‘menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan berselerak’ perlu dilakukan sebagai jalan terbaik.

Kerajaan, tegas Muhyiddin, menyedari kebimbangan rakyat terhadap peningkatan Covid-19 ekoran kelonggaran yang diberikan. PKPD juga dilaksanakan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia kerugian RM2.4 bilion setiap hari di sepanjang PKP. Sewaktu esei ini ditulis, kerugian melebihi RM63 bilion. Jika PKP berterusan, negara kerugian RM35 bilion, lantas mencecah hampir RM100 bilion.

Demi kejayaan PKPB, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), KKM menerusi telegram rasminya menyenaraikan sembilan SOP yang perlu dipatuhi semua pihak terbabit termasuk orang ramai, iaitu:

a)    amalan jarak sosial yang selamat, iaitu sekurang-kurangnya satu meter.

b)    kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan hand sanitizer.

c)    penggunaan penutup hidung dan mulut.

d)    saringan kesihatan di pintu masuk premis.

e)    keutamaan melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas, dan OKU.

f)     individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan.

g)    bilangan penumpang dalam kenderaan awam perlu mengambil kira penjarakan sosial.

h)    menggalakkan transaksi secara atas talian.

i)     melaporkan segera kepada jabatan kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan Covid-19.

Antara aktiviti yang dilarang dalam tatacara operasi standard pembukaan semula ekonomi termasuklah hiburan dan riadah (pawagam, pusat karaoke, taman tema, muzium, busking, pusat refleksologi, pusat hiburan, dan kelab malam); perayaan, perarakan dan perhimpunan (perarakan keagamaan, aktiviti agama berjemaah di masjid/rumah ibadat, sambutan hari ulang tahun pasukan keselamatan (perarakan), sambutan Hari Raya kecuali dengan ahli keluarga terdekat dalam negeri yang sama, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta, dan majlis perasmian), serta persidangan dan pameran (pameran kerjaya, pameran perkahwinan, promosi dan pakej pelancongan, karnival jualan, dan semua jenis persidangan yang melibatkan kumpulan yang ramai).

Selain itu, pendidikan (semua sekolah rendah/menengah, dan institusi pengajian tinggi awam/swasta ditutup sehingga dimaklumkan kelak, sukan semasa sesi persekolahan, aktiviti kokurikulum bersemuka, sebarang bentuk perhimpunan sekolah, dan apa-apa majlis/program yang mengumpulkan lebih 10 orang), sukan (pertandingan sukan yang melibatkan perhimpunan penyokong/penonton yang ramai (stadium), acara berkumpulan di luar (luar bangunan) yang melebihi 10 orang seperti larian, kayuhan basikal, konvoi motosikal, dan sebagainya, segala aktiviti sukan dalaman (sukan dalam bangunan termasuk gimnasium), kolam renang, serta sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bola sepak, dan bola keranjang), dan aktiviti sosial (kenduri-kendara, majlis berbuka puasa, majlis perkahwinan dan sambutan ulang tahun atau sebagainya, rumah terbuka, majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan budaya, iaitu ceramah, gotong-royong, lawatan, dan seumpamanya).

Pengangkutan (kapal persiaran), perniagaan berpremis/penjajaan tanpa premis/pasar (berbangunan/pasar tanpa premis/peruncitan/serbaneka makanan & minuman, bilangan pelanggan yang terlalu ramai pada satu-satu masa (tertakluk pada pengiraan radius jarak minimum 1 meter), bazar Ramadan, bazar Hari Raya, dan karnival jualan), kemudahan penginapan berpusat pekerja (CLQ)/hostel/asrama pekerja di sektor pembuatan, dan lain-lain sektor (terima pelawat, bersosial dan bersukan secara berkumpulan, dan solat berjemaah/aktiviti-aktiviti ibadah lain), serta pemasangan dan penyenggaraan jentera (lif, eskalator, dandang dan lain-lain) bagi sektor perkhidmatan/tower crane di tapak bina (menjalankan kerja secara berkumpulan melebihi 10 orang) juga dilarang.

Seterusnya ialah kedai pakaian dan aksesori fesyen (aktiviti fitting pakaian), dobi (khusus dobi layan diri, aktiviti melipat pakaian), ceramah/seminar/kursus/latihan secara bersemuka, aktiviti pensijilan bagi agrikomoditi, kedai gunting rambut dan salun kecantikan, perbankan dan perkhidmatan kewangan (urus niaga mendapatkan jualan (sales and marketing activities) di luar premis institusi kewangan, atau kawasan awam, dilarang ketika ini sehingga diumumkan kelak), pengurusan perhutanan (ekopelancongan hutan, dan latihan  perhutanan).

Beberapa lagi termasuklah:

i)          perlombongan dan pengkuarian (permohonan baharu bagi peperiksaan teori & amali pembedil (peletupan).

ii)         perladangan dan pertanian (hari bertemu pelanggan, hari jualan barang bekalan ladang (BBL), pesta makan buah-buahan, kursus/seminar, konvokesyen institut pertanian, serta lelongan jualan produk ternakan seperti ayam, telur, daging, dan sebagainya).

iii)        perikanan (aktiviti perikanan rekreasi (termasuk kolam pancing ikan/udang komersial), pusat taman laut, pameran, dan akuarium).

iv)        seni kreatif (penggambaran filem/drama/dokumentari/komersial, acara/konsert/persembahan kebudayaan, dan program yang melibatkan orang awam di studio atau tempat awam).

v)         kebudayaan dan kesenian (pameran yang melibatkan interaksi antara pengkarya dan pelawat).

vi)        pelancongan dan perhotelan (penggunaan fasiliti hotel seperti surau, gimnasium, spa, sauna, lounge, kolam renang, bilik mesyuarat, dewan seminar, bilik latihan, restoran dan kafe (bagi tujuan buffet)).

Dari permulaan yang agak mudah bagi beberapa perkara, pelaksanaan PKP menjadi lebih rumit apabila peraturan bertambah. Ada yang memahami, tidak kurang juga yang ‘melanggar’. Ramai yang ingkar pada awal PKP, dan tidak aneh lebih ramai yang merosakkan setelah mendapat kelonggaran, tetapi gagal mengingati, dan menghormatinya.

Di samping kebaikannya yang membataskan kegiatan luar manusia yang turut mengurangkan pencemaran alam (kerap dipaparkan dalam media betapa keadaan alam kian memulih, sungai dan pantai kembali bersih), kemalangan jalan raya (berita mengenai kemalangan jalan raya juga jarang kedengaran), kadar kejadian jenayah (pecah rumah, dan kecurian), dan kegiatan merempit (motosikal dan kereta) kerana ramai orang tidak keluar, PKP tetap memberi beberapa pengajaran lain.

Sejak dari PKP pertama kerap mencuci tangan dan menjaga jarak memang bermanfaat. Justeru, amat wajar ia diteruskan dalam SOP untuk PKPB/PKP kelima. Jika sebelum Covid-19 kita mengabaikan perkara tersebut, kini kerap mencuci tangan sudah membudaya. Kita berasa janggal dan tidak selesa kalau terlupa melakukannya.

Menjaga penjarakan boleh diaplikasi untuk keadaan lain, apatah lagi dengan orang yang tidak kita kenali. Ia boleh mengelakkan kejadian jenayah, dan penyakit berjangkit – bukan Covid-19 sahaja. Sentiasa berwaspada memang amalan yang baik.

Cara bertindak balas yang tepat ketika batuk atau bersin di khalayak ramai dapat mendidik kita agar bersopan-santun, dan beradab ketika sedemikian di hadapan orang lain. Kebiasaan yang baik ialah menutup mulut dengan tangan atau belakang siku.

Namun begitu, ketika ada wabak serius kita digalakkan memakai penutup hidung dan mulut, atau topeng muka. Memang mereka yang bergejala atau tidak sihat sahaja dinasihatkan memakainya. Walau bagaimanapun, saya fikir berjaga-jaga, dan melindungi diri dengan bertopeng, apatah lagi ketika wabak serius memang wajar.

PKP yang berlarutan lama turut menjejaskan pendapatan beberapa golongan, terutamanya yang bekerja sendiri atau berniaga. Ada yang terus kehilangan mata pencarian.

Namun demikian, kesempitan tersebut turut memberi idea untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian. Itu juga secara tidak langsung merealisasikan saranan Perdana Menteri bahawa rakyat Malaysia perlu (bersedia) menghadapi kehidupan dalam norma baharu.

Lantaran terlalu banyak masa di rumah, membaca juga semakin menjadi amalan. Begitulah Allah SWT menjadikan sesuatu musibah dengan hikmah.

Selain ada lebih masa untuk membaca al-Quran bagi umat Islam, kajian mendapati 80.4 peratus pembaca wanita, dan 19.6 peratus pembaca lelaki membaca buku dalam talian, di sepanjang penguatkuasaan PKP.

Kajian dari tahap usia pula mendapati kebanyakan pembaca berusia 35 hingga 44 tahun membaca e-buku, diikuti usia 18 hingga 24 tahun. Walau bagaimanapun, golongan usia 25 hingga 34 tahun berada di tangga ketiga dalam tempoh PKP.

Sejak bermulanya PKP, laporan statistik memberitahu dari 18 hingga 28 Mac, purata penggunaan e-buku ialah sekitar 2,000 jam sehari. Aliran kepada peralihan pembacaan e-buku ini ketara sebaik sahaja PKP bermula kerana ramai orang ada masa terluang, sekali gus menjadikan peratusan penggunaan e-buku kian meningkat.

Tempoh PKP menjadi fenomena apabila orang beralih kepada bahan bacaan e-buku. Segmen romantik dan novel am paling banyak dibaca berbanding kategori lain. Bagi bahan bacaan tidak berkategori, biasanya ia dirujuk pada bahan bacaan percuma.

Kategori yang banyak dimuat turun dan dibaca pula ialah kekeluargaan dan kesihatan, jenayah, novel remaja, dan juga keagamaan seperti Islam.

Kategori kekeluargaan dan kesihatan tidak kelihatan dalam kategori permintaan sebelum bermulanya PKP/PKPB. Jadi, ini ialah aliran yang baharu.

Rata-rata permintaan untuk bahan bacaan e-buku ini ialah 70 peratus bahasa Melayu, dan selebihnya bahasa Inggeris, serta Mandarin.

Diharap momentum penggunaan e-buku akan terus bertambah biarpun setelah PKPB ditamatkan (setakat ini diketahui berlanjutan sehingga 31 Disember 2020). Pembaca diharap lebih senang menggunakannya kerana dapat meluangkan banyak masa di rumah, dan juga dalam talian.


SASTERA BUDAYA


BERSAMA TAK SELAMANYA

 

SEPERTI tidak dapat dibendung, filem (dan drama televisyen) Melayu Malaysia terus

menyajikan kisah watak utama mahu berkahwin. Hal ini mengingatkan saya kepada

rungutan legenda hidup, Mat Sentol.

Pelakon/pengarah filem Melayu dalam siri Mat yang terkenal dengan syut elat itu

menyatakan (lebih 10 tahun lalu) bahawa beliau tidak lagi menonton filem dan drama 

televisyen Melayu kerana asyik menampilkan kisah watak sedemikian. Tegas

Mat Sentol, beliau bosan dan hairan tiada cerita yang bermanfaat dipaparkan seperti

perjuangan untuk hidup, dan kemajuan ekonomi.

Filem Jodoh Syaitan (JS) yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada

5 Mac 2020 lalu membawakan kisah serupa. Barangkali untuk kelainan, watak

utama, Megat (Soffi Jikan) ditemukan jodoh dengan gadis misteri yang sebenarnya

mayat yang dihidupkan semula. Megat, pemuda yang sering gagal bercinta, diminta

oleh ibunya, Mak Timah (Fauziah Nawi) pulang ke kampung kerana ingin

mengahwinkannya dengan Mawar (Aprena Manrose).

Kisah dalam JS memang rekaan. Cerita rekaan sering terdedah pada krisis/risiko

melalut, dan menyimpang. Mustahil/tidak wajar semua mayat yang dihidupkan

semula ialah syaitan. Sebenarnya, individu yang menghidupkan mayat dengan ilmu

hitamlah yang menjadi syaitan bertopengkan manusia. Dia menghidupkan mayat

gadis muda cantik untuk dijadikan pemuas nafsu syahwatnya.

Dalam JS, Tok Salleh (Kamarol Hj Yusof) bukan sahaja berzina dengan mayat yang

dihidupkannya kembali, tetapi turut membuat minyak pengasih daripada dagu mayat

yang dicucuh api lampu minyak tanah.

Saya fahami mengapa JS dihasilkan dalam bentuk seram komedi walaupun seram

serius mungkin lebih menarik. Judul sahaja sudah memberitahu penonton mengenai

ceritanya. Sementelah ada satu mayat yang terlepas setelah dihidupkan semula,

dan selepas beberapa lama, penonton dapat mengagak itulah Mawar.

Mak Timah pula bertemu dengan Mawar yang terbaring pengsan di tepi jalan pada

waktu subuh. Tok Salleh meminta dua orang pengikut/pembantunya, Awang (Jay

Iswazir), dan Kulop (Allahyarham Abam Bocey) mencari mayat hidup semula yang

terlepas itu.

Awang dan Kulop yang juga kawan baik Megat bekerja mencari mayat untuk dipaku,

dengan harapan ia hidup semula, dan dijadikan isteri Tok Salleh sebagai pemuas

nafsu seksnya.

Selepas beberapa lama bermenantukan Mawar, Mak Timah semakin sangsi, dan

kemu




ncaknya dia membaca surah Yaasin pada suatu malam. Mawar menjerit dan

pengsan! Tok Imam (Ustaz Dato’ Sharhan Shafie) yang diminta merawat Mawar

turut mengesyaki sesuatu yang buruk pada wanita itu. Mak Timah pun meninggalkan

rumahnya kerana rimas.

Meskipun dalam beberapa kali igauan Mawar muncul sebagai hantu (pontianak?),

itu hanya menguatkan lagi jangkaan penonton. Antara masalah/krisis tipikal yang

masih menghantui filem Melayu ialah jalan/kesudahan cerita mudah/boleh dijangka.

Saya fikir kelemahan utama JS yang menjalani penggambaran mulai 18 Julai 2018

di Pasir Puteh (Kelantan), dan Jertih (Terengganu) ini ialah identiti sebenar Mawar

terlalu cepat didedahkan. Mungkin baik jika lebih lama diselindungkan untuk

memancing tanda tanya penonton.

Oleh kerana judulnya berterus-terang, saya berpendapat lebih menarik kalau dibuat

plot twist, iaitu Mawar, gadis yang dilaporkan hilang dalam akhbar, masih hidup.

Justeru, tiada adegan Mak Timah membaca Yaasin, imbas kembali dia melihat

Mawar memanjat pokok tinggi dengan pantas membaiki buaian, ayam-ayamnya

bergelimpangan mati tanpa kaki, dan makan sup kaki ayam masakan Mawar.

Pendedahan identiti sedemikian menyebabkan antiklimaks. Jika ada penonton

menunggu sehingga tamat pun, itu mungkin kerana lakonan lucu Jay dan Abam

yang serasi.

Plot twist (walaupun mungkin ada yang mengatakan klise juga) boleh menimbulkan

keadaan/persoalan lain, iaitu tempat asal Mawar, punca kematiannya, dan mengapa

Tok Salleh, lelaki tua ‘gila seks’ itu menggilainya.

‘Syarahan’ ringkas Awang dan Kulop tentang mengingati Islam dan Allah kepada

watak lain tidak logik dituturkan oleh mereka yang bekerja untuk Tok Salleh. Namun

demikian, itu barangkali kerana penulis mahu menyindir orang yang munafik.

Penipuan dalam internet seperti penggunaan Facebook, WhatsApp, dan Bigo juga 

disindir/dibidas halus. Sebagai contoh, Megat mencari jodoh dengan menipuwajahnya. Si 

gadis (Nadia Farida) melenting marah kerana tertipu dengan Megat

setelah benar-benar jatuh cinta.

Namun begitu, lagu runut bunyi JS, ‘Bersama Tak Selamanya’ (perkataan yang turut

menjadi ‘tagline’ filem ini), nyanyian Dakme amat merdu, dengan vokal yang

mantap.

 

*penilaian 2.5/5