SOSIAL
KETIKA DAN SELEPAS PKP
TIADA siapa pun yang meminta dan menyukai perkara buruk. Walau bagaimanapun, sering disebut dan kerap terjadi setiap perkara buruk itu ada hikmahnya. Ada perkara yang kita sangka buruk itu sebenarnya baik untuk kita.
Di negara
kita, satu peristiwa yang melanda dengan serius ialah wabak pandemik Covid-19 sejak
awal Februari 2020. Untuk menyekat penularannya, Kerajaan Malaysia melaksanakan
perintah kawalan pergerakan (PKP) mulai jam 12 tengah malam 18 Mac 2020 hingga
31 Mac 2020.
Covid-19 dianggap
buruk. PKP juga begitu. Namun demikian, dari sudut lain, PKP turut membawa beberapa
kebaikan, dan memberikan pengajaran kepada rakyat Malaysia. Antara pengajaran PKP
yang juga berkaitan dengan falsafah kehidupan ialah menghargai kebebasan hidup
harian.
PKP
menuntut rakyat Malaysia sentiasa duduk di rumah. Perbuatan sedemikian dianggap
satu keburukan kerana menyekat pergerakan ke mana-mana yang disukai. Penyakit
lain mungkin menghinggapi lantaran kurang kegiatan fizikal.
Sejak
menjalani PKP, rakyat Malaysia mula belajar, memahami dan menghargai erti
kebebasan hidup harian. Menghargai dalam konteks ini ialah menggunakan
kebebasan yang ada untuk kebaikan diri sendiri, dan orang lain.
Selama ini
mungkin kita sebagai manusia bukan sahaja di Malaysia kurang mementingkan soal
kebebasan tersebut. Memang ia dinikmati setiap hari, tetapi seperti kosong, dan
berlalu begitu sahaja.
Setelah
pergerakan dikawal dan dibatasi melebihi sebulan hingga merimaskan dan
membosankan, baru (mahu) mengerti dan menjunjung kebebasan. Kebebasan itu indah,
dan lebih indah jika dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
Kekal
duduk di rumah (kekal selamat) merupakan satu daripada tiga prosedur operasi
standard (SOP) PKP yang perlu dipatuhi. Dua lagi SOP ialah penjarakan sosial 1
meter, serta kerap mencuci tangan dengan sabun dan air, atau hand sanitizer.
Sentiasa
duduk di rumah turut membawa beberapa kebaikan. Rakyat, terutamanya yang
berkeluarga dapat meluangkan lebih banyak masa dengan ahli keluarga. Pelbagai
kegiatan berfaedah dapat dilakukan bersama-sama seperti mengemas rumah, bermain
permainan dalaman, menonton televisyen, dan memasak (termasuk mencuba resipi
baharu) yang mengeratkan hubungan kasih sayang.
Justeru,
ahli keluarga, terutamanya ayah dan ibu yang sentiasa sibuk dengan kerja menyedari
kepentingan mereka bersama-sama anak di rumah mengisi masa bermutu untuk
manfaat berpanjangan.
Rakyat
yang beragama Islam boleh solat berjemaah bersama-sama keluarga di rumah –
suami/ayah menjadi imam kepada isteri dan anak-anak. Jadi, lihat larangan
menunaikan solat berjemaah, termasuk solat Jumaat (sebelum dan semasa PKP), dan
sunat tarawih di masjid/surau dari sudut positif.
Jika
selama ini hanya sebagai makmum di masjid/surau, dengan menjadi imam di rumah,
si suami/ayah barangkali akan berusaha menghafal lebih banyak surah, dan
menambah baik mutu solatnya.
Secara
tersirat, solatlah secara berjemaah di masjid atau surau ketika tiada sebarang
halangan daripada sesiapa. Tidak perlu sebal atau sesal ketika terhalang,
sedangkan semasa lapang, diri sendiri sentiasa alpa.
PKP
merupakan akronim yang tidak pernah terfikir
sebelum ini, apatah lagi sangat terkenal. Ia sering disebut setiap hari dalam
kehidupan rakyat Malaysia sejak diperkenal, dan dilaksanakan.
Lanjutan daripada
pengisytiharan PKP, langkah-langkah susulan turut diambil bagi menyelaras, dan
memperincikan pelaksanaannya. Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana
Menteri (JPM) telah mengadakan mesyuarat penyelarasan antara agensi kerajaan
pada 17 Mac 2020 untuk memperincikan pelaksanaan PKP agar ia dapat berjalan kemas.
Untuk
memastikan keperluan orang ramai pada perkhidmatan-perkhidmatan asas tidak
terjejas di sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa, beberapa perkhidmatan tertentu
yang essential, dan non-essential dibenarkan beroperasi.
Sebaik PKP
berkuat kuasa, rakyat Malaysia diminta mematuhi semua peraturan yang telah
diputuskan oleh pihak berkuasa.
Bagi
melaksanakan PKP, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit
Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 telah
diwartakan pada 18 Mac 2020. Pegawai Polis Diraja Malaysia, dan RELA yang
dilantik sebagai pegawai diberi kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan
Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
Agar PKP
lebih berkesan, orang ramai dinasihatkan supaya kekal berada di rumah, dan
hanya keluar untuk memenuhi keperluan-keperluan asas.
Pada
mulanya kerajaan hanya melaksanakan PKP fasa pertama selama dua minggu. Disebabkan
wabak maut ini belum dapat dibendung, PKP disambung dari 1 April hingga 14
April 2020. Atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan demi kebaikan
semua, kerajaan melanjutkan PKP dari 15 April hingga 28 April 2020 pula.
Ekoran keadaan
semasa yang belum selamat, PKP diteruskan ke fasa keempat, iaitu dari 29 April
hingga 12 Mei 2020.
Orang
ramai yang menghadapi sebarang kemusykhilan mengenai PKP diminta menghubungi
Pusat Pengurusan Operasi Negara, MKN, JPM menerusi talian 03-8888 2010.
Sewaktu PKP
fasa keempat memasuki hari ketiga, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd
Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)
mulai 4 Mei 2020 bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi, dan sosial yang
diarah tutup, dibuka semula.
Atas
nasihat KKM berdasarkan data-data yang dikumpul, dan amalan terbaik mengikut
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerajaan memutuskan untuk membuka semula
sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan
yang ketat.
Sewaktu
esei ini disiapkan, pelaksanaan PKPB yang dijangka sehingga 12 Mei 2020, telah
dilanjutkan hingga 9 Jun 2020. Tan Sri Muhyiddin mengumumkannya dalam perutusan
khas pada 10 Mei 2020.
Dalam masa
yang sama, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terus dilaksanakan
di kawasan merah. Menurut Menteri Kanan Keselamatan merangkap Menteri
Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan pelaksanaan PKPB
atau disebut PKP kelima, peraturan PKP keempat terbatal.
Walau
bagaimanapun, dalam pelaksanaan PKPB ini, aktiviti dan perhimpunan ramai yang
mendedahkan risiko jangkitan Covid-19 masih dilarang. Menurut Muhyiddin sebelum
itu dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja 2020, 1 Mei, pelaksanaan PKPB
susulan dua daripada enam strategi dan perancangan kerajaan dalam memerangi
wabak, iaitu ketegasan dalam tindakan mengawal Covid-19, dan membina ketahanan
melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin telah membuahkan hasil.
Sektor
yang dibenarkan beroperasi tertakluk pada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan
oleh pihak berkuasa mulai 4 Mei 2020.
Jelas
Muhyiddin, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), MKN dan Jemaah
Menteri telah berbincang panjang lebar dalam usaha mengimbangi keperluan untuk
memulihkan ekonomi negara, dan kepentingan membendung Covid-19. Walaupun ‘diluah
mati emak, ditelan mati bapak’, tetapi ‘menarik rambut di dalam tepung, rambut
jangan putus dan tepung jangan berselerak’ perlu dilakukan sebagai jalan
terbaik.
Kerajaan,
tegas Muhyiddin, menyedari kebimbangan rakyat terhadap peningkatan Covid-19
ekoran kelonggaran yang diberikan. PKPD juga dilaksanakan di kawasan-kawasan
yang mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi.
Menurut
Perdana Menteri, Malaysia kerugian RM2.4 bilion setiap hari di sepanjang PKP. Sewaktu
esei ini ditulis, kerugian melebihi RM63 bilion. Jika PKP berterusan, negara
kerugian RM35 bilion, lantas mencecah hampir RM100 bilion.
Demi
kejayaan PKPB, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC),
KKM menerusi telegram rasminya menyenaraikan sembilan SOP yang perlu dipatuhi
semua pihak terbabit termasuk orang ramai, iaitu:
a)
amalan
jarak sosial yang selamat, iaitu sekurang-kurangnya satu meter.
b)
kerap
mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan hand sanitizer.
c)
penggunaan
penutup hidung dan mulut.
d)
saringan
kesihatan di pintu masuk premis.
e)
keutamaan
melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas, dan OKU.
f)
individu
tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan.
g)
bilangan
penumpang dalam kenderaan awam perlu mengambil kira penjarakan sosial.
h)
menggalakkan
transaksi secara atas talian.
i)
melaporkan
segera kepada jabatan kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan
Covid-19.
Antara
aktiviti yang dilarang dalam tatacara operasi standard pembukaan semula ekonomi
termasuklah hiburan dan riadah (pawagam, pusat karaoke, taman tema, muzium,
busking, pusat refleksologi, pusat hiburan, dan kelab malam); perayaan,
perarakan dan perhimpunan (perarakan keagamaan, aktiviti agama berjemaah di
masjid/rumah ibadat, sambutan hari ulang tahun pasukan keselamatan (perarakan),
sambutan Hari Raya kecuali dengan ahli keluarga terdekat dalam negeri yang sama,
perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta, dan majlis perasmian), serta
persidangan dan pameran (pameran kerjaya, pameran perkahwinan, promosi dan
pakej pelancongan, karnival jualan, dan semua jenis persidangan yang melibatkan
kumpulan yang ramai).
Selain
itu, pendidikan (semua sekolah rendah/menengah, dan institusi pengajian tinggi
awam/swasta ditutup sehingga dimaklumkan kelak, sukan semasa sesi persekolahan,
aktiviti kokurikulum bersemuka, sebarang bentuk perhimpunan sekolah, dan
apa-apa majlis/program yang mengumpulkan lebih 10 orang), sukan (pertandingan
sukan yang melibatkan perhimpunan penyokong/penonton yang ramai (stadium),
acara berkumpulan di luar (luar bangunan) yang melebihi 10 orang seperti
larian, kayuhan basikal, konvoi motosikal, dan sebagainya, segala aktiviti
sukan dalaman (sukan dalam bangunan termasuk gimnasium), kolam renang, serta
sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bola sepak, dan bola keranjang),
dan aktiviti sosial (kenduri-kendara, majlis berbuka puasa, majlis perkahwinan
dan sambutan ulang tahun atau sebagainya, rumah terbuka, majlis-majlis sosial,
kemasyarakatan dan budaya, iaitu ceramah, gotong-royong, lawatan, dan
seumpamanya).
Pengangkutan
(kapal persiaran), perniagaan berpremis/penjajaan tanpa premis/pasar
(berbangunan/pasar tanpa premis/peruncitan/serbaneka makanan & minuman,
bilangan pelanggan yang terlalu ramai pada satu-satu masa (tertakluk pada
pengiraan radius jarak minimum 1 meter), bazar Ramadan, bazar Hari Raya, dan
karnival jualan), kemudahan penginapan berpusat pekerja (CLQ)/hostel/asrama
pekerja di sektor pembuatan, dan lain-lain sektor (terima pelawat, bersosial
dan bersukan secara berkumpulan, dan solat berjemaah/aktiviti-aktiviti ibadah
lain), serta pemasangan dan penyenggaraan jentera (lif, eskalator, dandang dan
lain-lain) bagi sektor perkhidmatan/tower crane di tapak bina (menjalankan
kerja secara berkumpulan melebihi 10 orang) juga dilarang.
Seterusnya
ialah kedai pakaian dan aksesori fesyen (aktiviti fitting pakaian), dobi
(khusus dobi layan diri, aktiviti melipat pakaian),
ceramah/seminar/kursus/latihan secara bersemuka, aktiviti pensijilan bagi
agrikomoditi, kedai gunting rambut dan salun kecantikan, perbankan dan
perkhidmatan kewangan (urus niaga mendapatkan jualan (sales and marketing
activities) di luar premis institusi kewangan, atau kawasan awam, dilarang
ketika ini sehingga diumumkan kelak), pengurusan perhutanan (ekopelancongan
hutan, dan latihan perhutanan).
Beberapa
lagi termasuklah:
i) perlombongan dan pengkuarian
(permohonan baharu bagi peperiksaan teori & amali pembedil (peletupan).
ii) perladangan dan pertanian (hari bertemu
pelanggan, hari jualan barang bekalan ladang (BBL), pesta makan buah-buahan,
kursus/seminar, konvokesyen institut pertanian, serta lelongan jualan produk
ternakan seperti ayam, telur, daging, dan sebagainya).
iii) perikanan (aktiviti perikanan rekreasi
(termasuk kolam pancing ikan/udang komersial), pusat taman laut, pameran, dan akuarium).
iv) seni kreatif (penggambaran
filem/drama/dokumentari/komersial, acara/konsert/persembahan kebudayaan, dan
program yang melibatkan orang awam di studio atau tempat awam).
v) kebudayaan dan kesenian (pameran yang
melibatkan interaksi antara pengkarya dan pelawat).
vi) pelancongan dan perhotelan (penggunaan
fasiliti hotel seperti surau, gimnasium, spa, sauna, lounge, kolam renang,
bilik mesyuarat, dewan seminar, bilik latihan, restoran dan kafe (bagi tujuan
buffet)).
Dari
permulaan yang agak mudah bagi beberapa perkara, pelaksanaan PKP menjadi lebih
rumit apabila peraturan bertambah. Ada yang memahami, tidak kurang juga yang ‘melanggar’.
Ramai yang ingkar pada awal PKP, dan tidak aneh lebih ramai yang merosakkan
setelah mendapat kelonggaran, tetapi gagal mengingati, dan menghormatinya.
Di samping
kebaikannya yang membataskan kegiatan luar manusia yang turut mengurangkan
pencemaran alam (kerap dipaparkan dalam media betapa keadaan alam kian memulih,
sungai dan pantai kembali bersih), kemalangan jalan raya (berita mengenai
kemalangan jalan raya juga jarang kedengaran), kadar kejadian jenayah (pecah
rumah, dan kecurian), dan kegiatan merempit (motosikal dan kereta) kerana ramai
orang tidak keluar, PKP tetap memberi beberapa pengajaran lain.
Sejak dari
PKP pertama kerap mencuci tangan dan menjaga jarak memang bermanfaat. Justeru,
amat wajar ia diteruskan dalam SOP untuk PKPB/PKP kelima. Jika sebelum Covid-19
kita mengabaikan perkara tersebut, kini kerap mencuci tangan sudah membudaya.
Kita berasa janggal dan tidak selesa kalau terlupa melakukannya.
Menjaga
penjarakan boleh diaplikasi untuk keadaan lain, apatah lagi dengan orang yang
tidak kita kenali. Ia boleh mengelakkan kejadian jenayah, dan penyakit
berjangkit – bukan Covid-19 sahaja. Sentiasa berwaspada memang amalan yang
baik.
Cara bertindak
balas yang tepat ketika batuk atau bersin di khalayak ramai dapat mendidik kita
agar bersopan-santun, dan beradab ketika sedemikian di hadapan orang lain.
Kebiasaan yang baik ialah menutup mulut dengan tangan atau belakang siku.
Namun
begitu, ketika ada wabak serius kita digalakkan memakai penutup hidung dan
mulut, atau topeng muka. Memang mereka yang bergejala atau tidak sihat sahaja dinasihatkan
memakainya. Walau bagaimanapun, saya fikir berjaga-jaga, dan melindungi diri
dengan bertopeng, apatah lagi ketika wabak serius memang wajar.
PKP yang
berlarutan lama turut menjejaskan pendapatan beberapa golongan, terutamanya
yang bekerja sendiri atau berniaga. Ada yang terus kehilangan mata pencarian.
Namun
demikian, kesempitan tersebut turut memberi idea untuk menjalankan perniagaan
secara dalam talian. Itu juga secara tidak langsung merealisasikan saranan
Perdana Menteri bahawa rakyat Malaysia perlu (bersedia) menghadapi kehidupan
dalam norma baharu.
Lantaran terlalu
banyak masa di rumah, membaca juga semakin menjadi amalan. Begitulah Allah SWT
menjadikan sesuatu musibah dengan hikmah.
Selain ada
lebih masa untuk membaca al-Quran bagi umat Islam, kajian mendapati 80.4
peratus pembaca wanita, dan 19.6 peratus pembaca lelaki membaca buku dalam
talian, di sepanjang penguatkuasaan PKP.
Kajian
dari tahap usia pula mendapati kebanyakan pembaca berusia 35 hingga 44 tahun membaca
e-buku, diikuti usia 18 hingga 24 tahun. Walau bagaimanapun, golongan usia 25
hingga 34 tahun berada di tangga ketiga dalam tempoh PKP.
Sejak
bermulanya PKP, laporan statistik memberitahu dari 18 hingga 28 Mac, purata
penggunaan e-buku ialah sekitar 2,000 jam sehari. Aliran kepada peralihan
pembacaan e-buku ini ketara sebaik sahaja PKP bermula kerana ramai orang ada
masa terluang, sekali gus menjadikan peratusan penggunaan e-buku kian
meningkat.
Tempoh PKP
menjadi fenomena apabila orang beralih kepada bahan bacaan e-buku. Segmen
romantik dan novel am paling banyak dibaca berbanding kategori lain. Bagi bahan
bacaan tidak berkategori, biasanya ia dirujuk pada bahan bacaan percuma.
Kategori
yang banyak dimuat turun dan dibaca pula ialah kekeluargaan dan kesihatan,
jenayah, novel remaja, dan juga keagamaan seperti Islam.
Kategori
kekeluargaan dan kesihatan tidak kelihatan dalam kategori permintaan sebelum
bermulanya PKP/PKPB. Jadi, ini ialah aliran yang baharu.
Rata-rata permintaan
untuk bahan bacaan e-buku ini ialah 70 peratus bahasa Melayu, dan selebihnya bahasa
Inggeris, serta Mandarin.
Diharap
momentum penggunaan e-buku akan terus bertambah biarpun setelah PKPB ditamatkan
(setakat ini diketahui berlanjutan sehingga 31 Disember 2020). Pembaca diharap lebih
senang menggunakannya kerana dapat meluangkan banyak masa di rumah, dan juga
dalam talian.
No comments:
Post a Comment