Pages

Thursday, 20 January 2022

 


Dato’ Dr Abdul Fattah Abdullah (kanan), dan Dato’ Haji Adnan Mat.



 Sidang media mesyuarat mengatasi isu kenaikan harga barangan antara Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) di Kelana Jaya pada 19 Januari lalu.



Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS), Dato’ Haji Adnan Mat.



Dari kanan, Abdul Rahman Haji Mohd Nordin, Dato’ Haji Adnan Mat, Dato’ Dr Abdul Fattah Abdullah, Prof Madya Dato’ Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, dan Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.



Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Dato’ Dr Abdul Fattah Abdullah (dua dari kiri), dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS), Dato’ Haji Adnan Mat (dua dari kanan).



Dari kiri, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, Haji Roslan Nordin, Prof Madya Dato’ Dr Abdul RahmanAbdul Razak Shaik, Dato’ Dr Abdul Fattah Abdullah, Dato’ Haji Adnan Mat, dan Abdul Rahman Haji Mohd Nordin.


EKONOMI

 

 

KERJASAMA ANGKASA-CEUPACS TANGANI KRISIS HARGA BARANG MELAMBUNG

 

KENAIKAN harga barang di negara kita kian menyukarkan kehidupan rakyat. Ramai yang terkesan, tanpa mengira mereka penjawat awam bergaji tetap bulanan, peniaga, apatah lagi yang bekerja sendiri.

 

Begitu pun, masih ada pihak-pihak yang berkaitan yang masih prihatin, serta sedia memikirkan cara-cara untuk mengatasi, dan bertindak dengan sewajarnya.

 

Antaranya ialah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan sudah tentulah pihak yang berkaitan dengan penjawat awam, iaitu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS).

 

ANGKASA dan CUEPACS ternyata melihat isu kenaikan harga barang ini dengan serius, dan sedaya upaya bertindak cepat.

 

Pada 19 Januari lalu, ANGKASA dan CUEPACS telah mengadakan mesyuarat untuk berbincang mengenai kerjasama menangani isu besar ini di Bilik VIP, Wisma Ungku A Aziz, ANGKASA, Kelana Jaya.

 

ANGKASA diwakili Presidennya, Dato’ Dr Abdul Fattah Abdullah, sementara Dato’ Haji Adnan Mat pula mewakili CEUPACS sebagai Presidennya.

 

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh; Setiausaha Kewangan CUEPACS, Haji Roslan Nordin; Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Dato’ Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, dan Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Haji Mohd Nordin.

 

Menurut Dato’Dr Abdul Fattah dalam sidang media kemudiannya, konsortium hasil gabungan lebih 3,000 outlet runcit kelolaan gerakan koperasi negara ditubuhkan untuk berperanan sebagai pengeluar barang keperluan asas pada harga lebih rendah.

 

Menerusi pendekatan ini, tambah Fattah, ANGKASA menyelaraskan pembekalan barang keperluan harian pada harga yang berpatutan dalam sistem rantaian pembekalan yang kini dimanipulasi oleh orang tengah hingga menyebabkan harga barangan meningkat.

 

Jelas Fattah lagi, selain koperasi, ANGKASA juga diminta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bekerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), dan CEUPACS untuk memperluas jaringan pembekalan produk pertanian bagi mencapai lebih ramai golongan sasar.

 

“Peranan gerakan koperasi pimpinan ANGKASA yang menjayakan gabungan 3,000 outlet runcit ini dapat menawarkan harga barangan keperluan harian kira-kira kira-kira lima hingga 15 peratus lebih murah,” tambah Fattah yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO).

 

Menurut beliau lagi, koperasi boleh menjadi pengeluar jika digabungkan semua outlet berkenaan menjadi konsortium. ANGKASA, katanya, akan menerajui pengawasan sistem, dan memberi kemudahan kredit kepada mereka sebanyak RM10,000 sebulan.

 

Outlet yang bertindak sebagai pengeluar ini, tambah Fattah, mengambil dulu barangan daripada pembekal, dan ANGKASA membayarnya. Pendeknya, ANGKASA mahu menjadikan ekosistem perniagaan ini menyeluruh dengan matlamat barang dijual kepada pengguna lebih kompetitif, dan lebih murah.

 

Kata Ismail Sabri, koperasi di seluruh negara boleh membantu menangani masalah kenaikan harga barang bagi mengurangkan tekanan, dan bebanan kewangan rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

 

Jelas beliau, antara yang boleh dilakukan ialah mewujudkan pemborong khas koperasi untuk membekalkan barangan secara pukal pada harga murah kepada seluruh koperasi, dan manfaat kaedah itu akhirnya dapat dinikmati rakyat.

 

Selain barang makanan keperluan harian, tambah Fattah, turut dijual di outlet koperasi ialah perkakasan dan ubat-ubatan yang boleh didapati pada harga yang berpatutan.

 

“Ia juga terkandung dalam senarai Program Barang Asas 100 (BA100) yang dijual pada harga lebih rendah berbanding dalam pasaran, termasuk yang boleh didapati secara dalam talian,” kata Fattah.

 

Dalam program bekalan BA100, iaitu projek bekalan barang asas merangkumi barang keperluan orang ramai, termasuk barang basah, kering dan juga ubat-ubatan.

 

Antara masalah utama kenaikan harga menjadi mahal, jelas beliau, ialah peranan orang tengah  selain kaedah pengurusan kedai yang mengakibatkan kos pengurusan menjadi tinggi.

 

CEUPACS pula akan membantu memberi penerangan kepada penjawat awam untuk menyokong usaha ANGKASA dalam penubuhan konsortium bagi membolehkan barang keperluan asas dijual pada harga lebih murah.

 

Tidak dinafikan penjawat awam banyak menyumbang kepada hasil ekonomi negara, terutama ketika wabak pandemik maut dalam tempoh dua tahun ini.

 

Menurut Dato’ Haji Adnan, oleh kerana sistem saraan yang digunakan sekarang masih belum berubah setelah 20 tahun, maka gaji penjawat awam tidak meningkat. Kos sara hidup pula kian mendesak.

 

Jadi, katanya, CEUPACS telah berbincang dengan ANGKASA bagi melihat dan menentukan 100 barangan harian untuk penjawat awam dengan harga mampu beli.

 

Barangan tersebut, tambah Adnan, diletakkan di rangkaian kepada seluruh penjawat awam menerusi rangkaian setempat/dalaman menerusi koperasi sedia ada. Beliau berharap koperasi setempat dapat mengambil bahagian, dihidupkan, diaktifkan, dan ditambah baik.

 

Mengenai peruntukan subsidi RM200 juta seperti yang dinyatakan dalam Mesyuarat Majlis Negara dalam Kos Sara Hidup baru-baru ini, Adnan berpendapat jika kerajaan benar-benar serius mahu menangani krisis berkenaan, subsidi itu sedikit sebanyak perlu disalurkan kepada koperasi agar sampai ke penjawat awam yang merupakan kumpulan sasar.

 

Dalam hal ini, CEUPACS dan ANGKASA mengesa koperasi di setiap jabatan awam diaktifkan sebagai platform kepada penjawat awam, dan rakyat untuk mendapatkan harga barangan asas dengan harga lebih kompetitif.

 

Menurut Adnan, ketika ini terdapat 1.62 juta penjawat awam, dan 800,000 daripadanya ialah dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) yang perlu dibantu, kerana terkesan dengan situasi sekarang.

 

Melalui kerjasama dengan ANGKASA, jelas Adnan, koperasi boleh mendapatkan harga barangan yang lebih murah daripada pembekal, serta menawarkan harga lebih berpatutan kepada pelanggan. Isu kenaikan harga barangan asas, tegas beliau, amat diberikan perhatian oleh CEUPACS dan langkah ini akan membantu mereka yang terkesan dapat meneruskan kehidupan.

 



No comments:

Post a Comment