EKONOMI
KERJASAMA
ANGKASA-CEUPACS TANGANI KRISIS HARGA BARANG MELAMBUNG
KENAIKAN
harga barang di negara kita kian menyukarkan kehidupan
rakyat. Ramai yang terkesan, tanpa mengira mereka penjawat awam bergaji tetap bulanan,
peniaga, apatah lagi yang bekerja sendiri.
Begitu pun, masih ada pihak-pihak yang
berkaitan yang masih prihatin, serta sedia memikirkan cara-cara untuk mengatasi,
dan bertindak dengan sewajarnya.
Antaranya ialah Angkatan Koperasi Kebangsaan
Malaysia Berhad (ANGKASA) dan sudah tentulah pihak yang berkaitan dengan
penjawat awam, iaitu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam
Malaysia (CUEPACS).
ANGKASA dan CUEPACS ternyata melihat isu
kenaikan harga barang ini dengan serius, dan sedaya upaya bertindak cepat.
Pada 19 Januari lalu, ANGKASA dan CUEPACS
telah mengadakan mesyuarat untuk berbincang mengenai kerjasama menangani isu
besar ini di Bilik VIP, Wisma Ungku A Aziz, ANGKASA, Kelana Jaya.
ANGKASA diwakili Presidennya, Dato’ Dr Abdul
Fattah Abdullah, sementara Dato’ Haji Adnan Mat pula mewakili CEUPACS sebagai
Presidennya.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai
Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh; Setiausaha Kewangan
CUEPACS, Haji Roslan Nordin; Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Dato’ Dr
Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, dan Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Haji
Mohd Nordin.
Menurut Dato’Dr Abdul Fattah dalam sidang
media kemudiannya, konsortium hasil gabungan lebih 3,000 outlet runcit kelolaan
gerakan koperasi negara ditubuhkan untuk berperanan sebagai pengeluar barang
keperluan asas pada harga lebih rendah.
Menerusi pendekatan ini, tambah Fattah,
ANGKASA menyelaraskan pembekalan barang keperluan harian pada harga yang
berpatutan dalam sistem rantaian pembekalan yang kini dimanipulasi oleh orang
tengah hingga menyebabkan harga barangan meningkat.
Jelas Fattah lagi, selain koperasi, ANGKASA
juga diminta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bekerjasama
dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), dan CEUPACS untuk memperluas
jaringan pembekalan produk pertanian bagi mencapai lebih ramai golongan sasar.
“Peranan gerakan koperasi pimpinan ANGKASA yang
menjayakan gabungan 3,000 outlet runcit ini dapat menawarkan harga barangan
keperluan harian kira-kira kira-kira lima hingga 15 peratus lebih murah,”
tambah Fattah yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO).
Menurut beliau lagi, koperasi boleh menjadi
pengeluar jika digabungkan semua outlet berkenaan menjadi konsortium. ANGKASA,
katanya, akan menerajui pengawasan sistem, dan memberi kemudahan kredit kepada
mereka sebanyak RM10,000 sebulan.
Outlet yang bertindak sebagai pengeluar ini,
tambah Fattah, mengambil dulu barangan daripada pembekal, dan ANGKASA membayarnya.
Pendeknya, ANGKASA mahu menjadikan ekosistem perniagaan ini menyeluruh dengan
matlamat barang dijual kepada pengguna lebih kompetitif, dan lebih murah.
Kata Ismail Sabri, koperasi di seluruh negara
boleh membantu menangani masalah kenaikan harga barang bagi mengurangkan
tekanan, dan bebanan kewangan rakyat yang terkesan akibat COVID-19.
Jelas beliau, antara yang boleh dilakukan
ialah mewujudkan pemborong khas koperasi untuk membekalkan barangan secara
pukal pada harga murah kepada seluruh koperasi, dan manfaat kaedah itu akhirnya
dapat dinikmati rakyat.
Selain barang makanan keperluan harian,
tambah Fattah, turut dijual di outlet koperasi ialah perkakasan dan ubat-ubatan
yang boleh didapati pada harga yang berpatutan.
“Ia juga terkandung dalam senarai Program
Barang Asas 100 (BA100) yang dijual pada harga lebih rendah berbanding dalam
pasaran, termasuk yang boleh didapati secara dalam talian,” kata Fattah.
Dalam program bekalan BA100, iaitu projek
bekalan barang asas merangkumi barang keperluan orang ramai, termasuk barang
basah, kering dan juga ubat-ubatan.
Antara masalah utama kenaikan harga menjadi
mahal, jelas beliau, ialah peranan orang tengah
selain kaedah pengurusan kedai yang mengakibatkan kos pengurusan menjadi
tinggi.
CEUPACS pula akan membantu memberi penerangan
kepada penjawat awam untuk menyokong usaha ANGKASA dalam penubuhan konsortium
bagi membolehkan barang keperluan asas dijual pada harga lebih murah.
Tidak dinafikan penjawat awam banyak
menyumbang kepada hasil ekonomi negara, terutama ketika wabak pandemik maut
dalam tempoh dua tahun ini.
Menurut Dato’ Haji Adnan, oleh kerana sistem
saraan yang digunakan sekarang masih belum berubah setelah 20 tahun, maka gaji
penjawat awam tidak meningkat. Kos sara hidup pula kian mendesak.
Jadi, katanya, CEUPACS telah berbincang
dengan ANGKASA bagi melihat dan menentukan 100 barangan harian untuk penjawat
awam dengan harga mampu beli.
Barangan tersebut, tambah Adnan, diletakkan
di rangkaian kepada seluruh penjawat awam menerusi rangkaian setempat/dalaman
menerusi koperasi sedia ada. Beliau berharap koperasi setempat dapat mengambil
bahagian, dihidupkan, diaktifkan, dan ditambah baik.
Mengenai peruntukan subsidi RM200 juta
seperti yang dinyatakan dalam Mesyuarat Majlis Negara dalam Kos Sara Hidup
baru-baru ini, Adnan berpendapat jika kerajaan benar-benar serius mahu
menangani krisis berkenaan, subsidi itu sedikit sebanyak perlu disalurkan kepada
koperasi agar sampai ke penjawat awam yang merupakan kumpulan sasar.
Dalam hal ini, CEUPACS dan ANGKASA mengesa
koperasi di setiap jabatan awam diaktifkan sebagai platform kepada penjawat
awam, dan rakyat untuk mendapatkan harga barangan asas dengan harga lebih
kompetitif.
Menurut Adnan, ketika ini terdapat 1.62 juta
penjawat awam, dan 800,000 daripadanya ialah dalam kalangan keluarga
berpendapatan rendah (B40) yang perlu dibantu, kerana terkesan dengan situasi sekarang.
Melalui kerjasama dengan ANGKASA, jelas
Adnan, koperasi boleh mendapatkan harga barangan yang lebih murah daripada
pembekal, serta menawarkan harga lebih berpatutan kepada pelanggan. Isu
kenaikan harga barangan asas, tegas beliau, amat diberikan perhatian oleh
CEUPACS dan langkah ini akan membantu mereka yang terkesan dapat meneruskan
kehidupan.
No comments: