Awetan badak Sumatera (dicerorhinus sumatraensis) yang dilakukan pada 1901 oleh EJ Keilich, ahli taksidermis di Muzium Perak.
Awetan tapir (tapiridae) yang dilakukan mengikut kaedah kurasi tulang pada 17 Ogos 2020 oleh Unit Sains & Teknikal MAS, dan didermakan oleh Pusat Konservasi Seladang, Jenderak Selatan, Pahang,
Sudut kerja-kerja proses taksidermi burung yang mungkin lebih menarik jika menampilkan ahli taksidermi sebenar, bukan patung.
Awetan memerang licin.
Awetan tengkorak gajah Asia (elephas maximus), yang janinnya mati semasa dikeluarkan darinya yang ditemui mati di Sabak Bernam, dan diawet pada 20 Oktober 1973.
Awetan pipit tanah, sewah takuweh, layang-layang rumah, kelicap belukar, serai bakau, sambar biru muda, itik belibis, ayam denak, ayam pegar, pangling, ayam ayam, przevalski’s partridge, enggang belulang, enggang gunung, helang hindik, mallard duck, dan common pheasant antara yang turut dipamerkan.
Antara awetan yang turut dipamerkan dalam Pameran Keajaiban Taksidermi: Kehidupan Abadi ialah buaya tembaga (crocodylus porosus).
Kuang raya turut diawet dan dipamerkan dalam Pameran Keajaiban Taksidermi: Kehidupan Abadi di Galeri 2, Muzium Negara dari 18 Oktober 2021 lalu sehingga 18 Mac 2022 depan.
Dari kiri; awetan harimau dahan, harimau kumbang, beruang matahari, dan harimau belang.
Awetan dua jenis burung cenderawasih yang turut menghiasi Pameran Keajaiban Taksidermi: Kehidupan Abadi di Galeri 2, Muzium Negara dari 18 Oktober 2021 lalu sehingga 18 Mac 2022 depan.
Sebahagian lagi awetan dalam Pameran Keajaiban Taksidermi: Kehidupan Abadi dengan awetan tupai kerawak hitam (ratufa bicolor) dari Pahang, diawet oleh Wee Ho Cheng pada 18 Jun 1968, lima dari kiri.
SENI
PAMERAN TAKSIDERMI PELIHARA KHAZANAH FAUNA NEGARA
KIRA-KIRA 126 koleksi fauna yang diawet untuk tujuan
pendidikan dan penyelidikan termasuk awetan seekor badak Sumatera berusia 120
tahun, spesis yang sudah pupus di Malaysia, boleh dilihat dalam Pameran
Keajaiban Taksidermi: Kehidupan Abadi dari 18 Oktober 2021 sehingga 18 Mac 2022
di Galeri 2, Muzium Negara.
Awetan badak
Sumatera (dicerorhinus sumatraensis)
itu dilakukan pada 1901 oleh ahli taksidermis di Muzium Perak, EJ Keilich.
Antara awetan
lain yang telah berusia lama yang turut dipamerkan termasuklah kambing gurun (capricornis sumatraensis) sumbangan Zoo
Negara yang diawet oleh Ben Ensoll pada 18 Jun 1963.
Linsang (prianodon linsang) sumbangan Jabatan
Perhilitan Perak pula telah diawet pada 9 Mei 1964, dan tupai kerawak hitam (ratufa bicolor) dari Pahang, diawet oleh
Wee Ho Cheng pada 18 Jun 1968.
Terdapat 36
spesis mamalia, reptilia (tujuh spesis); amfibia (lima spesis) dan satu
tengkorak gajah Asia dipamerkan dalam Pameran Keajaiban Taksidermi: Kehidupan
Abadi itu.
Berkenaan dengan
awetan tengkorak gajah Asia (elephas
maximus), janin gajah tersebut mati semasa dikeluarkan dari ibunya yang
ditemui mati di Sabak Bernam, dan diawet pada 20 Oktober 1973.
Pekaka
kookaburra (dacela navaeguineae) pula
diawet, dan dihadiahkan oleh Muzium Queensland, Australia.
Turut menarik
perhatian pengunjung pameran berkenaan termasuklah awetan helang siput (haliaeetus leucogaster), katam tebu (bungarus candidus), punai (theron sp.), tupai gading (callasciurus prevostii), merpati (columba livia), helmeted guineafowl (numida
meleagris), ayam hutan jantan (gallus
gallus), enggang badak (buceros rhinoceros),
ibis (bostrychia hagedash), pucung
hitam (ixobrychus flavicollis), dan rusa
bintik (axis axis).
Terdapat awetan
buaya kerdil (osteolaemus tetraspis),
ular sawa batik (malayopython reticulatus),
ular tikus biasa (ptyas mucosa), ular
kapak (trimeresurus puniceus), dan
iguana (iguana iguana).
Awetan katak
bentong belang, katak tanduk, kadok perut berapi, dan katak lembu Amerika pula
antara spesies amfibia yang turut dipamerkan segugus.
Tidak ketinggalan
tapir Malaya, rusa sambar, rusa bintik juvenile,
rusa bintik, kambing gurun. memerang kecil, tikus sawah, tupai gading, tupai
ekor kuda, tupai terbang merah, dan kubong.
Pameran
Keajaiban Taksidermi: Kehidupan Abadi dianjurkan oleh Muzium Alam Semula Jadi,
Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
Malaysia (Motac).
Majlis
perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia,
Datuk Seri Nancy Shukri pada 7 Disember 2021 lalu. Nancy juga menyempurnakan pelancaran
Kempen Derma Koleksi Muzium Negara.
Ketua
Setiausaha Motac, Datuk Dr Noor Zari Hamat; Timbalan Ketua Setiausaha
(Kebudayaan) Motac, Saraya Arbi, dan Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Baharin
A Kasim antara yang turut menghadiri majlis perasmian.
Taksidermi
merupakan seni pengawetan atau pelekapan spesimen haiwan, khususnya haiwan
vertebrata. Ia adalah gabungan dua perkataan Greek, iaitu ‘taxis’ dan ‘derma’
yang membawa maksud susunan kulit.
Bidang
taksidermi ialah antara kepakaran di muzium untuk mengawet kulit haiwan yang
mati, dan melekapkan semula pada badan tiruan agar kelihatan seolah-olah
menyerupai keadaan tabii haiwan di habitat semula jadi.
Ahli
taksidermi harus memahami anatomi haiwan, serta mahir dalam proses melapah
kulit, menyamak, membentuk dan menjahit semula kulit yang telah diawet.
Antara tujuan
pengawetan spesimen haiwan termasuklah untuk kegunaan pameran, penyelidikan
saintifik, pendidikan, dan koleksi rujukan.
Namun demikian,
lesen dan kebenaran Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara
(Perhilitan) perlu didapatkan terlebih dahulu sebelum menjalankan kerja-karja
taksidermi.
Ahli
taksidermi juga harus peka dengan spesies hidupan liar yang terlindung di bawah
Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) bagi mematuhi ketetapan
undang-undang.
Dalam ucapan
perasmiannya, Nancy menegaskan Motac akan memastikan sektor pelancongan, kesenian
dan kebudayaan, terutamanya program di bawah permuziuman bangkit semula selepas
mengalami kelesuan ekoran COVID-19.
Menurut Nancy,
situasi wabak pandemik maut itu menyebabkan sektor permuziuman mengalami
pengurangan pendapatan dengan jumlah pengunjungnya merosot melebihi 70 peratus di
sepanjang 2020 dan 2021.
Jelas beliau
lagi, JMM hanya mencatat 241,909 orang pengunjung di semua 23 muziumnya,
termasuk Muzium Negara di sepanjang Januari hingga November 2021 berbanding 2.7
juta pengunjung pada 2019, serta 2.3 juta pada tahun sebelumnya.
Motac,
tambah Nancy, mahu memastikan sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan pulih
serta bangkit selaras slogan ‘Kembali Lebih Kuat’. Justeru, pelbagai aktiviti
telah beroperasi secara fizikal, dan menunggu kunjungan pelawat, termasuklah Pameran
Keajaiban Taksidermi: Kehidupan Abadi.
Kata Nancy
lagi, pameran berkenaan akan kembali meningkatkan potensi muzium sebagai
penyumbang utama dalan usaha kerajaan menjana semula sektor ekonomi negara.
Beliau juga percaya
inisiatif ini akan memberi lebih banyak pilihan, serta kepelbagaian pada produk
pelancongan negara, apataH lagi dengan peranan muzium yang menawarkan ilmu
bermanfaat berteraskan sejarah, budaya dan alam semula jadi negara.
Kamarul
Baharin pula memberitahu, JMM melalui Muzium Alam Semula Jadi berusaha menganjurkan
Pameran Keajaiban Taksidermi: Kehidupan Abadi berikutan kepentingan cabang ilmu
ini dalam memperihal soal sejarah, dan perkembangan bidang taksidermi di Malaysia.
Jelas Kamarul,
aplikasi ilmu taksidermi membolehkan benda hidup yang telah mati dikekalkan
jasadnya agar dapat dapat dikaji, dan dipelajari. Menjadi harapan beliau
pameran dapat menarik perhatian masyarakat untuk menghargai hasil seni
taksidermi, selain menghayati kepentingan memelihara khazanah fauna negara.
JMM
menjangkakan pameran selama lima bulan yang dibuka setiap hari dari jam 9 pagi
sehingga 5 petang, tanpa bayaran masuk mampu menarik sekurang-kurangnya 20,000 pengunjung.
No comments:
Post a Comment