Pages

Thursday, 6 January 2022

 SENI


Yang Luqman Gemari Juga digemari Ramai

 







                                              Tokoh pelukis aliran surealisme Salvador Dali.









Luqman Rosnan, 22, mantan pelajar pengajian diploma Seni Halus Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA.






ALLAHYARHAM
Seniman Agung Tan Sri P Ramlee, serta Allahyarham Puan Sri Saloma, Allahyarham Datuk Aziz Sattar, Allahyarham S. Shamsuddin, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin, diikuti Datuk M Nasir, Dato’ Jamal Abdillah, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, dan Anuar Zain ialah antara seniman dan selebriti terkemuka tanah air yang dicatankan oleh Luqman Rosnan untuk pameran solonya, Gemar.

 

Pameran di Ruang Kreatif, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) itu pada mulanya dijangka berlangsung selama sembilan hari mulai 18 Disember 2021, tetapi dilanjutkan sehingga 16 Januari 2022 depan atas permintaan MaTiC sendiri.

 

Gemar anjuran bersama MaTiC, Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara, Persatuan Cinta Seni Budaya, dan Fine Art Club ASWARA.

 

Dato’ Jamal sendiri diberikan penghormatan merasmikannya  pada 19 Disember 2021. Menurut Luqman, Jamal telah membeli catan potret beliau yang berjudul Raja Pop I (berukuran 145 cm X 145 cm).

 

Tokoh, seniman dan selebriti terkenal luar negara yang turut dicatankan oleh mantan pelajar pengajian diploma Seni Halus Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini termasuklah pakar teori fizik Albert Einstein, peninju Muhammad Ali, pelukis aliran surealisme Salvador Dali, penyanyi/pelakon Frank Sinatra, pelakon Bruce Lee, Marilyn Monroe, Shah Rukh Khan, dan Salman Khan, serta penyanyi Elvis Presley, Freddie Mercury, Cat Stevens, John Lennon, Elton John, dan Michael Jackson.

 

Gemar bermaksud sifat menggemari atau menyukai sesuatu perkara. Untuk pameran solo pertamanya ini, Luqman menghasilkan catan yang lebih tertumpu pada tokoh, selebriti dan seniman kesukaannya dalam bentuk potret. Menariknya, kesemua tokoh, seniman dan selebriti yang Luqman minati itu juga diminati ramai di Malaysia, dan seluruh dunia.

 

Terdapat 28 catan yang berkonsepkan seni pop menggunakan cat akrilik atas kanvas dalam pameran ini. Gaya dalam pembawaan visual karya Luqman lebih diinspirasikan oleh tokoh dalam seni catan, iaitu Andy Warhol, ‘bapa gerakan seni pop’.

 

Menariknya juga, Luqman tidak meletakkan nama individu-individu berkenaan pada judul, tetapi nama atau perkara lain yang berkaitan dengan mereka.

 

Antarnya, Luqman meletakkan judul Bujang Lapok I untuk Tan Sri P. Ramlee, Biduan Wanita (Puan Sri Saloma), Hati Emas (Datuk M Nasir), No 1 (Dato’ Sri Siti Nurhaliza), Sedetik Lebih (Anuar Zain), Genius (Albert Einstein), American Boxer (Muhammad Ali), Fly Me To The Moon (Frank Sinatra), Martial Artist (Bruce Lee), American Actress (Marilyn Monroe), Indian Actor I (Shah Rukh Khan), Indian Actor II (Salman Khan), Culture Icons II (Elvis Presley), British Singer (Freddie Mercury), Peace Train (Cat Stevens), Imagine (John Lennon), Rocketman (Elton John), King of Pop (Michael Jackson), dan yang istimewanya, Gemar untuk Salvador Dali.

Gemar merupakan peluang kepada Luqman, 22, untuk memperkenal dirinya mewarnai perkembangan seni tampak tanah air dalam konteks pameran. Anak muda kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang ini mengakui peluang tampil dalam pameran Gemar memberikan nafas baharu kepada peminat, dan pencinta seni pelukis muda sepertinya yang akan menjadi pelapis dalam dunia seni.

 

Di samping menyertai pameran berkumpulan dan solo, Luqman pernah menghasilkan mural di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih pada 2018 dan di Hospital Selayang (2019), serta mengikuti latihan industri di Balai Seni Negara (2019).

 

Tambah Luqman yang pernah memenangi hadiah sagu hati Pertandingan Seni Lukis Kemerdekaan Identiti Negeri, Jiwa Negara, Bank Rakyat pada 2021, tempoh dia menyiapkan sesebuah karya bergantung pada ukuran karya terbabit.

 

Contohnya, karya berukuran 60 cm X 60 cm disiapkan dalam masa dua hari, sementara yang bersaiz 152 cm X 152 cm kaki pula mengambil masa lima hari.

 

Antara pameran berkumpulan yang pernah Luqman sertai termasuklah Bakat Mahasiswa ASWARA 2021, Project Monyet, Artaidartist – Fasa 2 secara maya, Yuwana Zine Expressing Rememberance, dan Scan+Home (ASWARA) secara maya – kesemuanya pada 2021, Colour Mania (ASWARA secara maya), P.OP (People of Passion) (ASWARA), dan Kita Semua Pendatang dari Syurga –2020, Tapir Rama (2019), dan Cat Art (2018).

 

Selepas pameran Gemar berakhir, menurut Luqman, dia akan menyertai sebuah pameran berkumpulan. Walau bagaimanapun, tarikh dan tempatnya belum boleh diumumkan.


No comments:

Post a Comment