PENDIDIKAN
Program Realiti Bendung Salah Guna Medsos
JARI NERAKA
SELAMA ini, kita sering mendengar, melihat dan mengalami kesan daripada penyalahgunaan dadah, penyalahgunaan kemudahan awam, penyalahgunaan kuasa, dan sebagainya.
Ketika malangnya kita masih menghadapi krisis yang disebutkan tadi, timbul dan semakin membiak pula gejala penyalahgunaan media sosial (medsos).
Isu penyalahgunaan medsos ini menarik meskipun membimbangkan kerana ia relevan dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang kian pesat, malah menguasai kehidupan kita manusia masa kini.
Walaupun sukar – diakui sedemikian walaupun negara ada undang-undang untuk menghadapi apatah lagi membendung krisis kesan penyalahgunaan medsos/ICT ini, ia tetap tidak wajar dibiarkan. Sehabis daya dan seboleh mungkin ia perlu dibendung, jika pun tidak dapat dibasmi.
Justeru, kewujudan program realiti yang membawa kesedaran mengenai penyalahgunaan medsos, iaitu Jari Neraka yang dilancarkan pada 21 Februari 2022 lalu amat baik, dan bermanfaat.
Cuma, saya fikir Jari Neraka yang diterbitkan oleh Rentak Sehati Sdn Bhd ini belum atau kurang lengkap/meluas kerana ia ditampilkan menerusi saluran Youtube sahaja.
Barangkali untuk musim kedua nanti – seperti yang dibayangkan oleh Pengurus Produksi syarikat produksi tersebut, Ahmad Qusairy Faudzi dalam ucapannya bahawa ada perancangan Jari Neraka akan ke televisyen pula.
Menurut Ahmad Qusairy, idea asal tercetusnya Jari Neraka datang daripada Zamatul Amri Zakaria atau lebih dikenali sebagai Tauke Jambu sendiri, kerana negara kita kekurangan program pendidikan atau kesedaran. Tauke Jambu juga merupakan Pengarah Urusan Rentak Sehati Sdn Bhd.
Selama ini, tambah Qusairy, negara kita hanya ada banyak program hiburan. Itu tidak elok dan wajar kerana kepesatan penggunaan teknologi dan medsos untuk hiburan harus seiring dengan penerbitan program pendidikan.
Berlangsung di Reevo Merchant Lounge, Blok A, Level 1,
Skypark@One City, Jalan USJ 25/1, Subang Jaya, Selangor, pelancaran Jari Neraka disempurnakan oleh Timbalan
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Selain Tauke Jambu dan Qusairy, turut menghadiri majlis
berkenaan termasuklah Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi;
Setiausaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tuan Zulkarnain;
wakil Polis Diraja Malaysia (Jabatan Jenayah Siber), Tuan Azizi; pelakon
sensasi, Iqram Dinzly yang turut menjadi tetamu undangan Jari Neraka, dan aktivis masyarakat (mantan pelakon), Lando Zawawi.
Antara lain, majlis pelancaran Jari Neraka juga diisi oleh gimik pelancaran dan runut bunyi Jari Neraka, tayangan eksklusif Jari Neraka, sumbangan kepada Presiden
Seniman, dan pemberian cenderahati kepada tetamu jemputan khas.
Majlis pelancaran tersebut ditaja oleh Hfilmsproduction,
Bros’s Gang TV, Krasz Kmood, dan AVR Studio Production.
No comments:
Post a Comment