Pages

Saturday, 5 March 2022

 TAMADUN

 

 

PERTAHANKAN ANUGERAH UNESCO UNTUK SONGKET MALAYSIA

 

 

KAIN songket, lambang kehalusan seni kemahiran tangan warisan yang menjadi kemegahan bangsa telah lama wujud dan bertapak dalam budaya tradisi kita.

 

Walau bagaimanapun, sebelum lebih jauh membincangkan bahan untuk busana ini, elok jika mengetahui erti perkataan songket terlebih dahulu.

 

Songket berasal daripada perkataan ‘sungkit’, iaitu teknik menyungkit benang loseng (warp) dengan benang pakan (weft) yang terdiri daripada benang emas, perak atau benang warna mengikut corak yang diperlukan.

 

Tidak sia-sia atau membuang masa membicarakan kain songket. Sebabnya, kain songket telah diiktiraf dan disenaraikan di bawah Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu UNESCO pada 15 Disember 2021 yang lalu.

 

Namun begitu, pengiktirafan tersebut tiada ertinya kalau kain songket tidak dipedulikan, dan pudar lalu hilang ditelan zaman.

 










Rosidah Abdullah menunjukkan kaedah pemeliharaan dan pemuliharaan songket secara tradisional, iatu bungkusan/balutan.




Serkap digunakan dalam proses pemeliharaan dan pemuliharaan songket secara tradisional, iaitu perasapan.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Oleh itu, pihak-pihak yang berkaitan perlu bertanggungjawab dan berperanan mengangkat songket Malaysia ke tempat yang selayaknya. Generasi sekarang dan mendatang akan mempersoal tentang kewujudannya sebagai warisan tradisi bangsa, dan negara jika lambat, atau tidak bertindak langsung.

 

Untuk memulakan usaha ke arah pemartabatan itu, Ahli Majlis Kraf Dunia, Raja Datin Paduka Fuziah Raja Tun Uda, misalnya, memberikan cadangan, dan berharap sesuatu dapat dibuat di sepanjang 2022 sehingga 2024.

 

“Kraftangan Malaysia pihak yang paling relevan. Jadi, saya mengesyorkan dan berharap ia boleh bekerjasama dengan muzium negeri-negeri menjemput usahawan dan pendidik berbincang mengenai songket dari semua aspek,” ujar Raja Datin Paduka Fuziah.

 

Beliau menegaskan sedemikian semasa menjadi salah seorang ahli panel Wacana Kraf 2022 bertemakan Apresiasi Kraf berjudul Keaslian & Kelestarian Songket Malaysia pada 3 Mac 2022 yang lalu di Dewan Seri Utama 1, Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

 





Raja Datin Paduka Fuziah Raja Tun Uda (kanan), dan Wan Manang Wan Awang sebagai ahli panel Wacana Kraf 2022 bertemakan Apresiasi Kraf berjudul Keaslian & Kelestarian Songket Malaysia pada 3 Mac 2022 yang lalu.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Raja Fuziah turut mencadangkan penggunaan kaedah atas talian kerana ia menjimatkan masa, dan tidak perlu kos sewa ruang untuk seminar atau wacana secara fizikal.

 

Justeru, tambah beliau, Muzium Tekstil Negara (MTN) juga boleh menganjurkan acara yang relevan berkenaan songket secara atas talian.

 

Bagi Raja Fuziah, itu perlu kerana beliau menganggap pengiktirafan UNESCO terhadap kain songket merupakan satu penghormatan besar.

 

“Tidakkah itu bererti songket telah mendapat pengiktirafan antarabangsa? Jadi, kita perlu berbuat sesuatu untuk mengisi, dan mempertahan kejayaan tersebut,” tegas beliau.

 

Kita semua, tambah Raja Fuziah, perlu memikirkan taraf songket sebagai warisan kebangsaan. Katanya, kebolehan menenun songket ialah anugerah Allah SWT yang tidak patut disia-siakan.

 

Wacana Kraf 2022 itu diadakan bersempena dengan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2022, anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, serta Kraftangan Malaysia, dengan kerjasama Institut Kraf Negara, dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM), disokong oleh MyCraft Shoppe, Bazar E-Kraf, Craft Onthego, Google Arts & Culture, dan Karyaneka.        

 

Selain Raja Fuziah, turut menjadi ahli panel ialah pengkaji seni kraf tekstil, Prof Madya Dr Norwawi Md Nawawi; Adiguru Kraf Songket 2019/Pengarah Urusan Manang Songket, Wan Manang Wan Awang, dan Pengarah MTN, JMM, Rosidah Abdullah dengan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Azran Arip sebagai pemudah cara.

 

Wacana tersebut dibahagikan kepada dua sesi, iaitu ‘Sesi 1: Keanggunan Ekspresi Kesenian Songket Malaysia’ yang dijayakan oleh Prof Madya Dr Norwawi, Wan Manang, Raja Fuziah, dan Azran.

 

Sementara ‘Sesi 2: Pemeliharaan dan Pemuliharaan Songket Malaysia (Bengkel Konservasi)’ dikendalikan oleh Rosidah. Selain teori yang disampaikan olehnya dalam bentuk pembentangan, Rosidah turut melakukan demonstrasi pemeliharaan dan pemuliharaan itu untuk hadirin.

 

Dalam ceramahnya, Prof Madya Dr Norwawi antara lain menjelaskan maksud, jenis-jenis, serta corak dan motif songket. Mengenai usaha memartabatkan songket, beliau memberi cadangan agar galakan perlu dimulakan dari rumah, iaitu ibu dan bapa sendiri menunjukkan teladan kepada anak mereka.

 

“Walau bagaimanapun, saya fikir dari rumah itu sebagai pendidikan tidak formal yang kadang-kadang terabai, dan kurang berdisiplin. Saya berpendapat pendidikan di sekolah lebih perlu dan boleh berkesan kerana ada disiplin, dan tersusun,” jelas Dr Norwawi.

 

Wan Manang, 68, yang juga seorang usahawan pula menyentuh soal teknikal pembuatan, dan kerenah pelanggan/pembeli songket.

 

“Untuk itu, pembuat atau usahawan songket harus sentiasa bersedia, dan mampu mengikut kehendak pelanggan,” ujar beliau yang mula menceburi industri tenunan songket sejak tahun 1976.

 

Mengenai kelestarian songket, Wan Manang mengakui persaingan tidak dapat dielakkan. Untuk itu, katanya, kesedaran untuk berusaha meningkat, dan menghargai karya seni tangan ini amat penting.



No comments:

Post a Comment