WISATA
Puan Seri Nisa Bakri, NB Team Tawan Puncak Kinabalu
MIMPI JADI NYATA
ANTARA impian mereka yang suka melancong atau beriadah mendaki tempat tinggi dalam negara sendiri ialah mendaki Gunung Kinabalu. Sebenarnya, ramai yang berimpian sampai ke puncak gunung tertinggi di Malaysia ini, tetapi tidak semua berjaya.
Perasaan ketika berada di puncak gunung setinggi 4,095 meter (13,435 kaki) dari paras laut itu, dan melihat pemandangan di bawahnya yang cukup indah, memang sukar dilafazkan dengan kata-kata. Diri berasa cukup kerdil sambil mengagumi ciptaan Yang Maha Pencipta.
Menikmati alam yang cukup indah itu terasa bagaikan masuk ke dunia lain. Diri terasa bagaikan seekor semut yang dikelilingi batu besar bukit-bukau gunung-ganang yang seakan-akan ‘hidup’, dan memerhatikan kita.
Puan Seri Nisa Bakri gembira dan bersyukur berjaya sampai di puncak Gunung Kinabalu.
Dengan pemikiran yang positif, kita akan mampu mencapai apa sahaja yang diidamkan.
Demikianlah antara perasaan Puan Seri Nisa Bakri yang pada 5 dan 6 Februari 2022 lalu, bersama-sama NB Team seramai enam orang, telah berjaya mendaki Gunung Kinabalu.
Menurut Puan Seri Nisa, oleh kerana beliau bukan orang yang cukup aktif dalam pendakian gunung, pengalaman mendaki gunung ke-29 tertinggi di Asia Tenggara itu cukup mencabar.
“Saya hanya ada sedikit pengalaman mendaki gunung. Namun begitu, dengan semangat juang yang cukup tinggi, pemikiran yang positif untuk memenuhi impian, di samping kerjasama berpasukan, akhirnya misi mendaki Gunung Kinabalu mencapai kejayaan,” tegas Puan Seri Nisa.
Bagi beliau, ini merupakan kisah inspirasi. Dengan pemikiran yang positif, tambahnya, kita boleh mencapai apa jua yang diimpikan.
“Saya berjaya melaksanakan misi ini kerana dikelilingi rakan sepasukan yang sentiasa berfikiran positif. Memang sangat penting kita memiliki rakan sebegini dalam kehidupan seharian,” ujar Puan Seri Nisa.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Justeru, sewaktu tiba di puncak Gunung Kinabalu, Puan Seri Nisa memberitahu beliau menangis sebak, dan sentiasa terbayang wajah suaminya, Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin (mantan Timbalan Ketua Polis Negara) yang lengkap dengan uniform sewaktu mendaki dahulu.
Tan Sri Bakri Zinin, anak kelahiran Sabah yang telah tujuh kali mendaki Gunung Kinabalu, menjadi insan utama yang mendorong Puan Seri Nisa mendaki gunung tersebut.
“Suami saya banyak menyuntik semangat dan memberikan kata-kata motivasi kepada saya untuk lebih percaya diri sendiri, seterusnya yakin mampu mendaki Gunung Kinabalu walaupun bukan dalam kalangan kelompok pendaki profesional,” jelas Puan Seri Nisa.
Pendakian tersebut, tegas beliau, memerlukan kekuatan mental yang padu, dan kumpulan sokongan yang sentiasa memberikan semangat untuk memastikan semua dapat sampai ke puncak.
Kejayaan mendaki Gunung Kinabalu impian yang menjadi kenyataan bagi Puan Seri Nisa Bakri.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Ia perasaan yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Saya melihat diri sendiri saya di cermin. Saya tak boleh senyum, sebaliknya menangis, dan terus menangis. Apakah benar saya telah melakukannya?” cerita Puan Seri Nisa yang bersyukur Allah SWT telah mengizinkan, dan memberi kekuatan untuk memperoleh kejayaan tersebut.
Bagi Puan Seri Nisa, kejayaan beliau dan kumpulannya
begitu bermakna. Sebab utamanya ialah mereka semua wanita, melakukan bersama-sama
dengan penuh semangat berpasukan, kekuatan mental, kuasa pemikiran yang kuat, yang
memberikan kekuatan sehingga berjaya menyempurnakan misi pendakian.
“Saya hanya
menangis dan menangis seperti seorang bayi. Memang kita tak punya apa-apa. Berbanding
ciptaan Tuhan yang begitu besar dan cukup indah, saya rasa kerdil seperti semut.
Betapa kerdilnya kita manusia di sisi Tuhan,” tambah beliau.
Kejayaan mendaki Gunung Kinabalu merupakan satu lagi
pencapaian indah buat Puan Seri Nisa Bakri, dan NB Team.
Selepas berjaya mencipta nama dalam dunia masakan dengan
pelbagai menu istimewa atas nama ‘Nisabakri Gourmet’, aktif turun padang dalam
pelbagai projek kebajikan dan kemanusiaan, serta misi pemerkasaan wanita,
pendakian Gunung Kinabalu menjadi satu lagi sejarah manis buat Puan Seri Nisa,
dan NB Team.
Dengan kejayaan menawan puncak Gunung Kinabalu ini, diharapkan
lebih ramai yang mendapat inspirasi, dan berusaha untuk memastikan apa jua
impian menjadi kenyataan.
No comments:
Post a Comment