KOPERASI
Penyelesai Krisis Barangan Halal
KOPERASI KARIAH MASJID
PENUBUHAN Koperasi Kariah Masjid amat berpotensi besar meningkatkan penglibatan masyarakat, khususnya umat Islam dalam platform niaga yang dapat menaikkan taraf hidup, melengkapi keperluan sosial, dan berfungsi sebagai pusat ekonomi setempat.
Antara yang menjadi kegusaran masyarakat Islam di negara ini ialah masalah barangan halal. Walau bagaimanapun, Koperasi Kariah Masjid boleh menjadi penyelesai masalah ini kerana koperasi boleh menjadi sumber produk halal kepada pengguna.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Haji Omar sewaktu menghadiri Majlis Berbuka Puasa Sempena Jubli Emas ANGKASA, dan Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi pada 12 April 2022 lalu di Wisma Ungku Aziz, Kelana Jaya.
Sehubungan itu, dalam ucapannya, Noh menyeru rakyat Malaysia mengimarahkan semua masjid dan surau, berikutan pembukaan penuh dalam fasa peralihan ke endemik yang bermula sejak 1 April 2022 lalu.
“Saya mahu masjid bukan sahaja menjadi tempat beribadah, malah sebagai pusat memakmurkan sosioekonomi masyarakat menerusi penubuhan Koperasi Kariah Masjid ini,” tambah beliau.
Dalam majlis yang sama, Noh turut menyampaikan sumbangan 15 komputer riba kepada pelajar asnaf dan B40 dari Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) bagi membantu pelajar yang kurang mampu untuk tujuan pembelajaran pada masa kini yang menuntut penggunaan teknologi.
Majlis tersebut turut meraikan 15 asnaf Pusat Jagaan Darul Sakinah ANGKASA yang menerima sumbangan duit Raya sebagai persediaan menyambut Eidulfitri.
Selepas berbuka
puasa dan sidang media, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang merasmikan
Terowong Masa Jubli Emas Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA)
yang memaparkan pencapaian, dan kejayaan ANGKASA sebagai badan apeks gerakan
koperasi negara yang menyatu, dan mewakili koperasi pada peringkat kebangsaan,
dan antarabangsa di sepanjang penubuhannya pada 12 Mei 1971.
Sebelum itu
dalam ucapan alu-aluannya, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah
Abdullah memberitahu ANGKASA kini menempuhi Pelan Jangka Sederhana 2021
sehingga 2030 dengan tema ‘Koperasi Menjadi Pilihan Utama Perniagaan’ yang
bertepatan dengan usaha kerajaan memasyarakatkan koperasi.
“Sebagai badan
apeks koperasi negara, ANGKASA menyahut seruan kerajaan supaya koperasi dapat
memberikan sumbangan yang signifikan dalam menyediakan ruang, dan peluang untuk
menceburi bidang keusahawanan koperasi, meningkatkan peluang menceburi bidang
keusahawanan koperasi, meningkatkan peluang pekerjaan, dan membantu pengagihan
eknomi yang adil bertepatan dengan peranan koperasi sebagai jentera pembangunan
sosioekonomi di sepanjang 100 tahun bertapak di negara ini,” kata Dr Abdul
Fattah.
Sehingga Jun
2021, ANGKASA menaungi 14,657 koperasi di seluruh negara dengan keanggotaan
individu kira-kira 7.04 juta orang, jumlah modal yuran sebanyak RM16.3 bilion,
dan jumlah aset RM152.1 bilion. Perolehan gerakan koperasi mencatat sebanyak
RM41.5 bilion sehingga 31 Disember 2020 (Sumber statistik: Suruhanjaya Koperasi
Malaysia).
Turut hadir
termasuklah Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Suriani Dato’ Ahmad; Pengerusi
Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia,
Hj Zazali Haron; Pengerusi Institut Koperasi Malaysia, Datuk Wira Rosli Mat
Hassan; Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia, Datuk Mohd Ali Mansor; Naib
Canselor Universiti Pertahanan Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya
Abdullah; Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Dato’ Dr Hj Abdul Rahman Abdul
Razak Shaik, serta barisan Anggota Lembaga ANGKASA; Ahli Lembaga Pemegang
Amanah Yayasan Infaq ANGKASA, Tan Sri Dr Ismail Hj Ibrahim; dan Ketua Pegawai
Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Hj Abdullah Hj Jusoh.
No comments:
Post a Comment