Pages

Thursday, 14 April 2022

 SENI DAN KEMANUSIAAN

 

 

 

MAPIM Tubuhkan KACA Demi Pembebasan al-Aqsa

 

 

PENCEROBOHAN Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis oleh Zionis Israel berterusan bagaikan tiada kesudahan. Perjuangan rakyat Palestine sejak sekian lama juga seolah-olah tidak akan menemui kejayaan.

 

Begitu pun, umat Islam di seluruh dunia tetap memberikan sokongan tanpa penat dan bosan demi kewujudan sebuah negara Palestin yang bebas berdaulat.

 

Demikian juga dengan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai pihak. Ada pihak yang berusaha ke arah itu dengan melibatkan pihak lain yang bersetuju untuk menyokong.

 

Antaranya ialah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). Selepas bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu menjayakan misi kemanusiaan menyantuni rakyat Palestin, MAPIM menjemput golongan seni budaya atau seniman seperti penyanyi dan pelakon pula.

Menurut Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, kerjasama itu akan dijadikan kenyataan menerusi gabungan yang diberi nama Ikatan Selebriti Pencinta al-Aqsa atau ringkasnya, KACA.

 

“KACA bertujuan melibatkan para seniman dan selebriti tanah air untuk bersama-sama menyokong perjuangan mempertahan kesucian Masjid al-Aqsa yang masih dicerobohi zionis Israel,” kata Mohd Azmi atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Azmi.

 

Tegas beliau, pencabulan zionis Israel terhadap Masjid al-Aqsa perlu ditentang oleh semua pihak yang mencintai kebenaran dan keadilan. Berkaitan dengan status masjid tersebut, katanya, semua pihak perlu terlibat dalam kempen melindungi masjid berkenaan.





Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid (kiri).


                                  

                                          Azadan Abdul Aziz dari Rabbani (duadari kanan).






Mantan perantara terkenal TV3, Nizal Mohamad memudahcarakan sidang media penubuhan KACA.






Daqmie (kiri) tidak ragu-ragu bersetuju menyertai KACA kerana ia selaras dengan kecenderungannya menyanyikan lagu-lagu keTuhanan, dan kemanusiaan. 



                                                Ustaz Datuk Seri Ahmad Awang (kanan).




Antara yang turut menghadiri sidang media penubuhan Ikatan Selebriti Pencinta al-Aqsa pada 14 April 2022 lalu.

 

“Kami menyeru semua seniman dan selebriti tanah air memainkan peranan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu Masjid al-Aqsa. Semua selebriti wajib menggunakan pengaruh mereka supaya isu pencerobohan zionis Israel ini mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia,” tegas Cikgu Azmi.

 

Beliau berkata sedemikian dalam majlis sidang media penubuhan KACA di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 14 April 2022 lalu, yang turut dihadiri tokoh ulama Ustaz Datuk Seri Ahmad Awang, kumpulan Rabbani diketuai Azadan Abdul Aziz, serta penyanyi Daqmie yang turut menyampaikan ucapan masing-masing.

 

Demi kejayaan, tambah Azmi, MAPIM sedang mengembleng para selebriti yang dilantik menganggotai KACA untuk terlibat dalam kempen yang dilancarkan.

 

“Sehingga ini sudah ada selebriti, seniman dan budayawan negara yang menyatakan kesediaan untuk menjadi anggota KACA. Antaranya termasuklah pengarah, pelakon dan penerbit filem/drama televisyen terkenal tanah air, Datuk Dr ACP Yusof Haslam,” ujar Cikgu Azmi.

 

Melalui KACA, MAPIM berharap para selebriti dapat terlibat dalam gerak kerja seperti jelajah penerangan, mengumpulkan dana al-Aqsa, menarik sokongan peminat, mengumpulkan tanda tangan, kempen boikot Israel, dan kempen membantu murabitun al-Aqsa.

 

“Kami akan berusaha agar lebih ramai selebriti tanah air terlibat dalam kempen membela dan melindungi Masjid al-Aqsa ini. Jaringan selebriti akan diperluas bagi mengukuhkan solidariti para seniman antarabangsa kepada perjuangan Palestin, dan pembebasan Masjid al-Aqsa,” tegas Cikgu Azmi yang menjelaskan sasaran dana ialah RM20 juta.

 

Sehubungan itu, MAPIM mengalu-alukan golongan seniman dan budayawan tanah air menggunakan kemahiran mereka mengangkat keprihatinan dunia terhadap pencabulan zionis Israel terhadap Masjid al-Aqsa.

 

Sementara itu, Azadan ketika menjawab soalan siapakah artis lain yang dilibatkan kerana dalam isu keislaman ini biasanya yang relevan ialah kumpulan nasyid, menyatakan nama-nama mereka masih dirahsiakan.

 

“Cuma saya dapat katakan ialah kesediaan penyanyi nombor satu negara Dato’ Sri Siti Nurhaliza untuk menyertai KACA,” jelas Azadan, 49, yang turut menyatakan sebuah lagu tema khas mirip We Are the World akan dicipta untuk kempen selamatkan Masjid al-Aqsa ini.

 

Lagu berkenaan memang pastinya akan dicipta sebaik mungkin, serta dipromosikan menjelang pementasan sebuah konsert khas yang mengikut perancangan diadakan kira-kira enam bulan lagi.

 

Selain Rabbani, Daqmie menyatakan beliau tidak ragu-ragu bersetuju menyertai KACA kerana ia selaras dengan kecenderungannya menyanyikan lagu-lagu keTuhanan, dan kemanusiaan. 

 

“Saya hanya tahu muzik, tetapi mahu berbakti dan berdakwah. Justeru, menerusi KACA, saya dapat melakukannya, apatah lagi isu Masjid al-Aqsa, dan rakyat Palestin,” tegas Daqmie, 51, yang menghasilkan lagu-lagu runut bunyi untuk filem, dan drama bersiri, serta lagu Tangis Sebatang Tamar.

 

Ustaz Datuk Seri Ahmad pula menyatakan sokongannya terhadap usaha pembebasan Masjid al-Aqsa ini. Sebagai tokoh agama dan politik tanah air yang mementingkan kebenaran serta keadilan, beliau tentu sahaja memberikan sokongan kuat demi kejayaan. 


Ringkasnya, dengan slogan “Cinta Kami untukmu al-Aqsa”, KACA menggariskan empat objektif penting, iaitu:

 

-         Menzahirkan rasa cinta dan kebertanggungjawapan kepada Masjid al-Aqsa.

-         Mengembleng para seniman untuk bersolidariti dengan perjuangan melindungi, dan membela Masjid al-Aqsa.

-         Melibatkan seramai mungkin seniman, budayawan dan selebriti tanah air untuk menyokong pembebasan Masjid al-Aqsa.

-         Membina rangkaian seniman dan budayawan sedunia untuk bersatu membela Masjid al-Aqsa.

No comments:

Post a Comment