SENI DAN KEMANUSIAAN
MAPIM Tubuhkan KACA Demi Pembebasan al-Aqsa
PENCEROBOHAN Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis oleh Zionis Israel berterusan bagaikan tiada kesudahan. Perjuangan rakyat Palestine sejak sekian lama juga seolah-olah tidak akan menemui kejayaan.
Begitu pun, umat Islam di seluruh dunia tetap memberikan sokongan tanpa penat dan bosan demi kewujudan sebuah negara Palestin yang bebas berdaulat.
Demikian juga dengan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai pihak. Ada pihak yang berusaha ke arah itu dengan melibatkan pihak lain yang bersetuju untuk menyokong.
Antaranya ialah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). Selepas bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu menjayakan misi kemanusiaan menyantuni rakyat Palestin, MAPIM menjemput golongan seni budaya atau seniman seperti penyanyi dan pelakon pula.
Menurut Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, kerjasama itu akan dijadikan kenyataan menerusi gabungan yang diberi nama Ikatan Selebriti Pencinta al-Aqsa atau ringkasnya, KACA.
“KACA bertujuan melibatkan para seniman dan selebriti tanah air untuk bersama-sama menyokong perjuangan mempertahan kesucian Masjid al-Aqsa yang masih dicerobohi zionis Israel,” kata Mohd Azmi atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Azmi.
Tegas beliau, pencabulan zionis Israel terhadap Masjid al-Aqsa perlu ditentang oleh semua pihak yang mencintai kebenaran dan keadilan. Berkaitan dengan status masjid tersebut, katanya, semua pihak perlu terlibat dalam kempen melindungi masjid berkenaan.
Azadan Abdul Aziz dari Rabbani (duadari kanan).
Ustaz Datuk Seri Ahmad Awang (kanan).
Antara yang turut menghadiri sidang media penubuhan Ikatan Selebriti Pencinta al-Aqsa pada 14 April 2022 lalu.
“Kami menyeru semua seniman dan
selebriti tanah air memainkan peranan meningkatkan kesedaran masyarakat
terhadap isu Masjid al-Aqsa. Semua selebriti wajib menggunakan pengaruh mereka
supaya isu pencerobohan zionis Israel ini mendapat perhatian seluruh rakyat
Malaysia,” tegas Cikgu Azmi.
Beliau berkata sedemikian dalam
majlis sidang media penubuhan KACA di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur
pada 14 April 2022 lalu, yang turut dihadiri tokoh ulama Ustaz Datuk Seri Ahmad
Awang, kumpulan Rabbani diketuai Azadan Abdul Aziz, serta penyanyi Daqmie yang
turut menyampaikan ucapan masing-masing.
Demi kejayaan, tambah Azmi, MAPIM
sedang mengembleng para selebriti yang dilantik menganggotai KACA untuk
terlibat dalam kempen yang dilancarkan.
“Sehingga ini sudah ada selebriti,
seniman dan budayawan negara yang menyatakan kesediaan untuk menjadi anggota
KACA. Antaranya termasuklah pengarah, pelakon dan penerbit filem/drama
televisyen terkenal tanah air, Datuk Dr ACP Yusof Haslam,” ujar Cikgu Azmi.
Melalui KACA, MAPIM berharap para
selebriti dapat terlibat dalam gerak kerja seperti jelajah penerangan,
mengumpulkan dana al-Aqsa, menarik sokongan peminat, mengumpulkan tanda tangan,
kempen boikot Israel, dan kempen membantu murabitun al-Aqsa.
“Kami akan berusaha agar lebih ramai
selebriti tanah air terlibat dalam kempen membela dan melindungi Masjid al-Aqsa
ini. Jaringan selebriti akan diperluas bagi mengukuhkan solidariti para seniman
antarabangsa kepada perjuangan Palestin, dan pembebasan Masjid al-Aqsa,” tegas
Cikgu Azmi yang menjelaskan sasaran dana ialah RM20 juta.
Sehubungan itu, MAPIM mengalu-alukan
golongan seniman dan budayawan tanah air menggunakan kemahiran mereka
mengangkat keprihatinan dunia terhadap pencabulan zionis Israel terhadap Masjid
al-Aqsa.
Sementara itu, Azadan ketika
menjawab soalan siapakah artis lain yang dilibatkan kerana dalam isu keislaman
ini biasanya yang relevan ialah kumpulan nasyid, menyatakan nama-nama mereka
masih dirahsiakan.
“Cuma saya dapat katakan ialah
kesediaan penyanyi nombor satu negara Dato’ Sri Siti Nurhaliza untuk menyertai
KACA,” jelas Azadan, 49, yang turut menyatakan sebuah lagu tema khas mirip We Are the World akan dicipta untuk
kempen selamatkan Masjid al-Aqsa ini.
Lagu berkenaan memang pastinya akan
dicipta sebaik mungkin, serta dipromosikan menjelang pementasan sebuah konsert
khas yang mengikut perancangan diadakan kira-kira enam bulan lagi.
Selain Rabbani, Daqmie menyatakan
beliau tidak ragu-ragu bersetuju menyertai KACA kerana ia selaras dengan
kecenderungannya menyanyikan lagu-lagu keTuhanan, dan kemanusiaan.
“Saya hanya tahu muzik, tetapi mahu
berbakti dan berdakwah. Justeru, menerusi KACA, saya dapat melakukannya, apatah
lagi isu Masjid al-Aqsa, dan rakyat Palestin,” tegas Daqmie, 51, yang
menghasilkan lagu-lagu runut bunyi untuk filem, dan drama bersiri, serta lagu Tangis Sebatang Tamar.
Ustaz Datuk Seri Ahmad pula menyatakan sokongannya terhadap usaha pembebasan Masjid al-Aqsa ini. Sebagai tokoh agama dan politik tanah air yang mementingkan kebenaran serta keadilan, beliau tentu sahaja memberikan sokongan kuat demi kejayaan.
Ringkasnya, dengan slogan “Cinta
Kami untukmu al-Aqsa”, KACA menggariskan empat objektif penting, iaitu:
-
Menzahirkan rasa cinta dan kebertanggungjawapan
kepada Masjid al-Aqsa.
-
Mengembleng para seniman untuk
bersolidariti dengan perjuangan melindungi, dan membela Masjid al-Aqsa.
-
Melibatkan seramai mungkin seniman,
budayawan dan selebriti tanah air untuk menyokong pembebasan Masjid al-Aqsa.
-
Membina rangkaian seniman dan budayawan
sedunia untuk bersatu membela Masjid al-Aqsa.
No comments: