Pages

Monday, 30 May 2022





BUDAYA/PELANCONGAN


Raikan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur

FESTIVAL MALAYSIA-JEPUN 2022 

 

PEMBANGUNAN ekonomi Malaysia hari ini diwarisi daripada tiga tahap sebelumnya, dimulakan dengan tahap pertumbuhan dan perkembangan pesat industri sumber asli dari pertengahan abad ke-19 sehingga 1914, diikuti tempoh turun naik atau ketidakstabilan industri sumber asli antara Perang Dunia Pertama dengan Kedua, dan akhir sekali tahap penyatuan serta rasionalisasi industri sumber asli bersama-sama dengan kepelbagaian ekonomi selepas 1945.

 

Meskipun Malaysia merupakan bekas koloni British, kepentingan ekonomi Jepun telah menyumbang kepada perubahan dasar luar negara, dari Dasar Pro-Barat semasa zaman kolonial, dan pasca-kolonial menjadi Dasar Pandang ke Timur (LEP) semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

LEP merupakan dasar ekonomi yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri (PM) Malaysia, pada 8 Februari 1982. Ketika itu Dr Mahathir baru menjadi PM (1981). Dasar ini diumumkan semasa Persidangan Tahunan Kerjasama MAJECA/JAMECA Kelima di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.

 

LEP merupakan reaksi kepada dasar ‘Buy British Last yang juga diumumkan oleh Dr Mahathir pada Oktober 1981.


                Presiden PAMAJA & Persatuan Inap Desa Malaysia, Dato’ Sahariman Hamdan.


LEP bermaksud pihak kerajaan Malaysia, serta pihak swasta menjadikan negara Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh etika bekerja. Lebih 15,000 rakyat Malaysia telah memperoleh manfaat menerusi dasar ini.

 

Menariknya, tahun ini merupakan ulang tahun ke-40 atau empat dekad LEP. Bagi merayakannya, Jepun baru-baru ini menyatakan akan terus berusaha mengukuhkan lagi hubungan dengan Malaysia.

 

Menurut Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun di Malaysia, Araki Kaname, negaranya akan bekerjasama dengan Malaysia bersempena merayakan pencapaian hubungan dua hala sejak 40 tahun lalu.

 

Tumpuan juga akan diberikan dalam mengeratkan lagi hubungan dua hala untuk tempoh 40 tahun akan datang, katanya dalam ucapan di Festival Filem Jepun 2021.

 

Sementara itu, Mahathir sendiri menegaskan LEP telah berjaya, serta harus kekal sebagai asas kepada strategi dan program pembangunan Malaysia.

 

Menurut PM keempat dan ketujuh itu, dasar berkenaan memainkan peranan penting dalam perindustrian Malaysia, dan memberi sumbangan yang ketara kepada pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.



                                           Dato’ Sahariman Hamdan (kiri) dan Nagai Tomoko.


Sidang media Festival Malaysia-Jepun 2022 di Auditorium Tunku Abdul Rahman, MaTiC pada 30 Mei 2022 lalu.


Justeru, Mahathir berharap akan wujud pendekatan yang lebih menyeluruh terhadap pendidikan di bawah LEP, dan meneliti sistem pendidikan Jepun dari peringkat pratadika hingga ke universiti.


“Apabila saya meninggalkan pejabat pada 2003, terdapat lebih 10,000 rakyat Malaysia dihantar ke Jepun di bawah program Dasar Pandang ke Timur ini. Sehingga kini, jumlah itu telah meningkat kepada lebih 26,000 rakyat Malaysia,” kata Mahathir.


“Saya berbangga kerana dasar ini telah berjaya. Ramai rakyat Malaysia yang dihantar ke Jepun telah melakukan yang terbaik apabila pulang ke tanah air. Namun begitu, jumlah rakyat Malaysia yang dihantar ke Jepun pada hari ini jauh berbeza berbanding dahulu,” tambah beliau yang percaya negara kita boleh, dan harus melakukan yang lebih baik.


Ketika berucap dalam Forum Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) bersempena dengan memperingati ulang tahun ke-40 LEP baru-baru ini, Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi itu memberitahu ketika menjadi PM kali kedua, antara agenda utama beliau ialah memastikan pemulihan Dasar Pandang ke Timur 2.0 (LEP 2.0).


       Pengarah Perkhidmatan Maklumat Jepun/Setiausaha Utama, Kedutaan Jepun, Nagai Tomoko.



Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan beliau, kata Mahathir, bersetuju bahawa skop Rangka Kerja LEP 2.0 perlu diperluas dan diperhalus menerusi kerjasama untuk memastikan trend baharu dalam kerjasama dua hala, agar ia kekal relevan.


“Kami bersetuju untuk mengaplikasi revolusi industri 4.0 (IR4.0), termasuk dalam sektor agroteknologi, industri automobil, pengurangan risiko bencana, dan alam sekitar. LEP 2.0 akan merangkumi program persediaan khas, program latihan LEP 2.0, serta perkongsian penyelidikan sains dan teknologi,” tambah Mahathir.


Selain itu, kata Mahathir lagi, banyak syarikat Jepun termasuk Matsushita, Mitsui, Toshiba, Mitsubishi, AEON dan Kao sama ada berpindah atau mengembangkan pangkalan pengeluaran mereka di Malaysia.


Dari 1986 hingga 1990, jelas beliau, Malaysia menyaksikan kemasukan besar-besaran pelaburan langsung asing (FDI) Jepun, serta pertumbuhan dua angka dalam perdagangan dua hala, sekali gus mendorong Jepun mengatasi Amerika Syarikat sebagai rakan ekonomi utama Malaysia.


“Hari ini, terdapat hampir 1,500 syarikat Jepun beroperasi di Malaysia, dan menggaji lebih 400,000 rakyat Malaysia,” kata Mahathir lagi.


Ternyata harapan Mahathir dan Shinzo itu tidak sia-sia. PAMAJA mengambil inisiatif menganjurkan Festival Malaysia-Jepun 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 5 Jun 2022 nanti.


Menurut Presiden PAMAJA & Persatuan Inap Desa Malaysia, Dato’ Sahariman Hamdan, Festival Malaysia-Jepun 2022 akan berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur.


“Festival ini akan menampilkan pelbagai aktiviti seperti pameran reruai, jualan makanan, demonstrasi memasak makanan Malaysia (rendang, laksa, kari, mi), dan Jepun (sushi, sashimi, onigiri, ramen), persembahan muzik traditional Malaysia dan Jepun, kelas bahasa Jepun, kaligrafi Jepun, kaligrafi khat, kelas melukis (seni, animasi, kartun), promosi pelancongan, seminar, dan persembahan fesyen Malaysia-Jepun,” jelas Dato’ Sahariman.


Beliau memberitahu sedemikian semasa sidang media festival berkenaan di Auditorium Tunku Abdul Rahman, MaTiC pada 30 Mei 2022 lalu.


Sebagai Pengerusi Festival Malaysia-Jepun 2022, Sahariman berharap orang ramai akan bersama-sama memeriahkannya. Beliau yakin penganjuran festival ini pasti akan memperkukuh lagi kerjasama, dan membina hubungan baharu yang lebih erat antara Malaysia dengan Jepun.


Turut hadir ialah Pengarah Perkhidmatan Maklumat Jepun/Setiausaha Utama, Kedutaan Jepun, Nagai Tomoko. Dalam ucapan ringkasnya, Nagai menyampaikan ucapan ribuan terima kasih Duta Jepun ke Malaysia, H.E Katsuhiko Takahashi atas usaha PAMAJA Persatuan Inap Desa Malaysia yang begitu giat mengadakan pelbagai acara, bagi mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia dengan rakyat Jepun.


Menurut Katsuhiko, sejak LEP dilaksanakan di Malaysia, ribuan rakyat negara ini mengunjungi Jepun sama ada untuk belajar, berkerja, atau melancong. Ini, katanya lagi, membantu memperkukuh lagi hubungan Malaysia-Jepun.


Melalui festival ini, Katsuhiko berharap selain menyambut ulang tahun ke-40 LEP, Malaysia dan Jepun akan merangka kerjasama, dan merancang lebih banyak program bagi mengeratkan lagi persaudaraan kedua-dua negara.

 


Sememangnya Festival Malaysia-Jepun 2022 merupakan peluang besar bagi rakyat Malaysia lebih mengenali kebudayaan, kesenian, bahasa dan pelancongan Jepun.

 

 

No comments:

Post a Comment