Pages

Wednesday, 30 November 2022

 SOSIOEKONOMI

 

Dorong Pengeluar, Pengguna Cemerlang dalam Peranan Masing-masing

ANUGERAH PILIHAN PENGGUNA

 

PENGGUNA dan syarikat atau pengeluar barangan/penyedia perkhidmatan saling memerlukan dalam kehidupan yang kian mencabar.

 

Justeru, hubungan mereka perlu baik, harmoni dan waras dahulu, kini dan selamanya. Segala usaha yang wajar perlu dilakukan untuk mencapai matlamat murni tersebut. Ia boleh bermula dari peringkat daerah, negeri, wilayah sehingga negara.

 

Dalam hubungan ini, usaha Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Negeri Selangor menganjurkan Anugerah Pilihan Pengguna 2022/2023 yang bertujuan mengiktiraf sumbangan syarikat pilihan pengguna memang dialu-alukan.

 

Sementelah MTPN merupakan badan aktif yang memberi tumpuan keutamaan pada isu kepenggunaan, dan menjadi jambatan antara pihak pengguna dengan kementerian, serta agensi kerajaan.

 

Pada 30 November 2022 lalu, MTPN Negeri Selangor mengadakan majlis penyampaian Consumer Choice Award @ Anugerah Pilihan Pengguna 2022/2023 di Pusat Konvensyen Bangi Avanue (BACC), Bangi, Selangor.

 

Majlis tersebut bertujuan mengiktiraf sektor kepenggunaan yang banyak menyumbang kepada masyarakat, sekali gus memberi motivasi kepada semua syarikat yang menjadi pilihan para pengguna di Malaysia.

 

Sebanyak 44 pemenang yang mewakili pelbagai latar belakang syarikat telah dipilih oleh para juri untuk menerima Anugerah Pilihan Pengguna ini.

 

Perasmian majlis disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Perkhidmatan Awam merangkap Penasihat MTPN, Muazam Mokhtar.

 

Turut hadir ialah Presiden Kebangsaan MTPN, Dato’ Paduka Dr Kevy KV Yeo; Naib Presiden Kebangsaan MTPN, Dato’ Dr Gavin Voon Shih Chin; Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia, merangkap Penasihat MTPN, Tuan Abdul Razak Junaidi; dan Timbalan Pengarah, Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor,Mohd Khairi Jamaludin.

 

Selain itu, Naib Presiden Kebangsaan, Yang Dipertua Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Exco Anti Pemalsuan, MTPN, Dr David Ng Kung Wei; Ketua Sektor (Pencegahan), Seksyen Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor, Md Zaki Abd Samad; Ahli Penasihat Kebangsaan, MTPN, Dato’ Seri Dr Bhalraj; Setiausaha Agung MTPN, Masrudi Abdul Rahman; dan Timbalan Yang Dipertua Negeri Selangor & Pengerusi MTPN Hulu Langat, Gilbert Pang Jiun Tatt.

 

‘Orang kuat/penting’ Anugerah Pilihan Pengguna 2022, iaitu Eddy Soo sebagai Penyalaras, sudah tentu hadir sama.

 

Para pemenang Anugerah Pilihan Pengguna 2022/2023 terdiri daripada Agensi Pekerjaan Peakjob Sdn Bhd, Agensi Pekerjaan Super Employment Sdn Bhd, Alfa Ideal Solution, Anc Group Sdn Bhd, Artistic Lighting Gallery Sdn Bhd, Artronix Sdn Bhd, Beauty Pro Academy (M) Sdn Bhd, Blossom Creations Sdn Bhd, Bunny Print (M) Sdn Bhd, Empire Home Furnishing Sdn Bhd, dan Event Plus (M) Sdn Bhd.

 

Selain itu, Everest Corridor Sdn Bhd, Everfresh Premium Sdn Bhd, Flying Colour Education Management Sdn Bhd, Gold Mountain Global Sdn Bhd, Hairmax Plus Malaysia Sdn Bhd, Handyboy Sdn Bhd, I Studio Marketing, Ichiru My Homstyle Sdn Bhd, Insides Coliving Sdn Bhd, Jimeido Sdn Bhd, dan Kennedy Electrical & Electronics Sdn Bhd.

 

Turut terpilih termasuklah Konzept Id Sdn Bhd, La Jolie Enterprise, Lec Home Solution Sdn Bhd, Lee Service Provider Enterprise, Max Sticker Supply Trading Sdn Bhd, Myway Technology (M) Sdn Bhd, NP Natural Pure (M) Sdn Bhd, Oppadak (Malaysia) Sdn Bhd, Pos2u Sdn Bhd, ProTec Wllness Sdn Bhd, dan Rurutiki Sdn Bhd.

 

Juga Sensis Beauty Specialist Sdn Bhd, Skinnergy Resources, Space Ace Elite Sdn Bhd, Specs Crafters Optics Sdn Bhd, Tidor Ori (M) Sdn Bhd, Uncle Rogers Sdn Bhd, Vega Potential Sdn Bhd, Vibrant Interior Design Sdn Bhd, Vivace Dance Academy Sdn Bhd, Yitcha Kawkaw Kopitiam Sdn Bhd, dan Zenon Copier Sdn Bhd.        

 





                                    Persembahan selingan oleh dua artis undangan yang hebat.


Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Perkhidmatan Awam merangkap Penasihat MTPN, Tuan Muazam Mokhtar (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada pemenang, disaksikan juga oleh Dato' Dr Gavin Voon Shih Chin (kanan sekali) dan Dato' Paduka Dr Kevy KV Teo (kiri sekali).








                                Sebahagian daripada tetamu kehormat dan jemputan yang hadir.




                Bergambar ramai sebagai kenang-kenangan seusai majlis penyampaian anugerah.



Tuan Muazam Mokhtar (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada pemenang, disaksikan juga oleh Dato' Dr Gavin Voon Shih Chin (kanan sekali) dan Dato' Paduka Dr Kevy KV Teo (kiri sekali).









Dalam ucapan perasmiannya, Muazam mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para pemenang, dan berharap mereka terus cemerlang dalam perniagaan, serta memberikan perkhidmatan terbaik demi manfaat semua pengguna.

 

Dato’ Dr Gavin dan Eddy pula berharap penganjuran anugerah oleh MTPN ini dapat memberikan motivasi kepada semua pihak untuk kekal cemerlang pasca COVID-19.

 

MTPN, kata mereka, sudah semestinya akan terus bertindak sebagai suara pengguna dalam memperjuang segala isu kepenggunaan di Malaysia.




Monday, 14 November 2022

 

FILEM/DRAMA TELEVISYEN


CANTIK/KACAK DAN BAKAT SAMA PENTING

 

MELIHAT tajuk forum, iaitu ‘Antara Cantik dan Bakat, di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti?’ (sepatutnya ‘Antara Cantik dengan Bakat…’), saya sudah menyangka ia tercetus daripada kenyataan kontroversi salah seorang Ahli Perbadanan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Kolonel Bersekutu (PA) Dato’ A Aida beberapa minggu lalu.

 

Saya turut menjangka penganjurnya, iaitu Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) mahu mencari penyelesaian, dan jawapan tuntas.

 

Justeru, bersama-sama FINAS, WHAM menganjurkan forum berkenaan di Dewan Perdana Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 14 November 2022 lalu.

 

Difahamkan, penganjuran forum tersebut juga bertujuan menyemarakkan Festival Filem Malaysia ke-32 yang bakal berlangsung pada 2 Disember 2022 depan di Melaka.

 

Dimudahcarakan oleh pelakon dan perantara televisyen terkenal tanah air, Fahrin Ahmad, forum berkenaan menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim; pengarah, penerbit dan pelakon veteran, Datuk Yusof Haslam; serta pelakon legenda Noor Kumalasari, bersama-sama pelakon baharu Hariz Hamdan, dan Sharifah Rose sebagai ahli panel.


                           

                                               Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.


                                           

                                        Senator Datuk Seri Hajah Zurainah Musa.



                        
                         Hariz Hamdan lebih percaya pada bakat untuk pergi lebih jauh.


                                                    
                                                        Datuk Yusof Haslam (kiri).



Salah seorang pelajar Kluster Kajian Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia yang turut mengambil bahagian dalam forum.





Fahrin Ahmad (kiri sekali) berjaya mengendalikan forum ‘Antara Cantik dan Bakat, di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti?’ dengan baik.


                                                
                                                   Dr Ammar Redza Ahmad Rizal.   


Sebahagian daripada pelajar Kluster Kajian Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia bersama-sama ahli panel forum dan kepimpinan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia.


                                                    
                                                    Sidang media selepas forum.



Sharifah Rose (kiri) tidak mudah putus asa dengan kritikan hanya bersandarkan kecantikan.


 
Prof Dr Md Nasir Ibrahim (kanan).


  
                          Kemunculan semula Noor Kumalasari (kiri) menarik perhatian.




Forum ‘Antara Cantik dan Bakat, di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti?’ tetap ada manfaatnya.



Ternyata sangkaan saya tepat setelah mendengar ucapan alu-aluan Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin yang tidak mahu persengketaan, seperti saman-menyaman berlaku antara penggiat seni tanah air atas perkara yang boleh diselesaikan dengan baik.

 

Turut hadir dan menyampaikan ucapan ialah Pengerusi FINAS, Senator Datuk Seri Hajah Zurainah Musa; Ketua Kluster Kajian Komunikasi Media (MENTION), FSSK, UKM, Dr Ammar Redza Ahmad Rizal; dan Dato’ A Aida sendiri.

 

Selain Prof Dr Md Nasir yang bercerita mengenai FINAS, dan tajuk yang tertera, jawapan dan/atau pendapat Datuk Yusof, Noor Kumalasari, serta Hariz dan Sharifah terhadap soalan-soalan Fahrin ‘mengambil jalan tengah’, iaitu tidak menyanggah atau menerima sepenuhnya cetusan Aida.

                                                    
                                                    Sidang media selepas forum.



Dr Md Nasir tidak menafikan fitrah manusia sejak dahulu lagi yang suka/mahu pada kecantikan. Demikian juga, tambahnya apabila menonton filem dan drama televisyen.

 

Walau bagaimanapun, bakat dan kebolehan juga perlu di samping sikap yang baik sebagai pelakon,” tegas Nasir yang menyukai Fasha Sandha dalam aspek ini.

 

Yusof menyentuh filem-filem arahannya yang ‘pecah panggung’, iaitu Sembilu pada 1994 (meraih RM4.2 juta), dan Sembilu II (1995/RM6.10 juta), serta sebelum itu, Bayangan Maut (1991/RM1.1 juta).

 

Beliau tidak muktamad membuat pilihan atau mengutamakan sama ada cantik/kacak atau bakat/kebolehan. Baginya, kedua-dua aspek tersebut subjektif.

 

“Saya tidak mengabaikan bakat apabila mengambil Noor Kumalasari yang sedang popular sebagai model, dan juga kerana ketinggiannya untuk Bayangan Maut, filem pertama arahan saya. Saya cenderung memilih pelakon yang tinggi, termasuklah Erra Fazira untuk kedua-dua Sembilu,” jelas Yusof yang melihat pelakon dengan ‘mata kamera’ menerusi bantuan isterinya sebagai ‘penasihat khas’.



 

 

Tambah Yusof, isterinya yang mencadangkan Erra dan seorang lagi penyanyi popular, Ziana Zain untuk mendampingi (Dato’) Awie, antara penyanyi terkenal tanah air ketika itu.

 

“Kawan-kawan saya menggesa saya agar menghasilkan filem yang lari daripada kebiasaan filem Melayu. Tapi, saya tak dapat memenuhi permintaan mereka demi survival sebagai penerbit,” jelasnya lagi yang mendedahkan Sofea Jane pernah menjadi pilihan pertama untuk Sembilu, tetapi pelakon jelita itu menolak kerana mahu terus mencuba watak mencabar selepas Perempuan, Isteri Dan ….? (1993).

 

Tegas Yusof, beliau memandang tinggi bakat apabila menyebut Seniman Agung Alahyarham Tan Sri P Ramlee, dan Allahyarham Azean Irdawaty di Malaysia, serta mendiang Charles Bronson di Hollywood yang menjadi idola walaupun kurang tampan/jelita.

 

Noor Kumalasari menceritakan beliau menjalani uji bakat sebelum berlakon kali pertama, walaupun kenalan baik ibu bapanya, Allahyarham Aimi Jarr mengesyorkan langkahan ke dunia lakonan.

 

“Saya menghadiri sesi itu sambil sedikit-sebanyak meminta tunjuk ajar daripada ibu dan bapa, dan terus berusaha sendiri,” katanya yang tidak mahu naik disebabkan oleh bapa, Allahyarham Dato’ S Roomai Noor, dan ibu, Allahyarham Datin Umi Kalthum.

 

Noor yang juga dikenali sebagai penyanyi menerusi lagu-lagu seperti Usah Tergila Pandang Pertama, Selamat Pagi Sayang, Mata, Hati Seorang Kekasih, Aku Di Sini, dan Lagu Dari Kamar, mengaku berlakon adalah kerja sukar.

 

Mengenai isu yang dibincangkan, Noor berpendapat kecantikan/kekacakan tidak memadai sekadar luaran, tetapi perlu juga dalaman. Kata beliau, jika dalaman cantik, luaran akan kelihatan sedemikian meskipun wajah sebaliknya.

 

Sharifah Rose yang memang cantik jelita pula tahu dirinya dikatakan sebagai ‘pelakon kayu’ pada awal kemunculan dalam drama televisyen.

 

Namun demikian, kritikan pedas itu tidak mematahkan semangatnya kerana sedar dirinya memang tiada ilmu, dan pengalaman berlakon.

 

“Saya menganggap itu sebagai pembakar semangat untuk berjaya. Saya tak peduli, sebaliknya ‘tebalkan muka’ belajar dengan para pelakon lama dan berpengalaman,” jelas Sharifah yang tidak menyangka ditawarkan berlakon, dan setelah menceburinya menganggap ia kerja sukar.

 

Hariz juga tidak pernah terfikir akan muncul sebagai pelakon, walaupun mengakui memang meminati filem, dan kerana itu ‘berani’ menyertai pertandingan Hero Remaja.

 

Saya tak peduli orang kata saya kacak atau sebaliknya. Saya lebih percaya pada bakat, kerana dengannya, seseorang pelakon boleh pergi jauh. Rupa paras tak kekal. Pelakon ialah pelakon. Begitu juga kalau penyanyi,” tegas Hariz.

 

Sementara itu, dalam ucapan beliau, Dr Ammar Redza mengharapkan para pelajarnya dapat memanfaatkan perbincangan dalam forum berkenaan dengan sebaik-baiknya sebagai bekalan setelah tamat pengajian nanti.

 

Datuk Seri Hajah Zurainah pula yang sentiasa tegas dalam ucapan beliau, menyatakan FINAS sentiasa menyokong usaha untuk memajukan perfileman tanah air.

 

Justeru, beliau memuji usaha penganjuran forum ini walaupun tercetus daripada kontroversi, dan juga mahu para pelajar MENTION mengambil seberapa banyak masukan berguna daripadanya.

 


 

.    


Thursday, 10 November 2022

SOSIAL/SENI

 

Untuk Pejuang, Bela Hak Pengguna Malaysia

MAKAN MALAM SEMBOYAN

 

DITUBUHKAN kira-kira 10 tahun lalu, Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) merupakan sebuah organisasi yang dibina atas dasar mahu membantu menegakkan, dan komited dalam memperjuang hak-hak pengguna di Malaysia.

 

‘Jadikan persahabatan ini umpama untaian tasbih, yang ada awal dan tiada penghujung. Dicantum demi cinta-Nya dan diratib demi reda-Nya’ merupakan rangkaikata pegangan PPSM dalam membantu pengguna di Malaysia daripada permasalahan seperti penindasan, kezaliman, penipuan, kemungkiran janji, dan kepenggunaan.

 

Bersempena dengan kewujudan sedekad tersebut, untuk pertama kalinya PPSM akan menganjurkan majlis eksklusif Makan Malam Semboyan (MMS) yang boleh dianggap sebagai pembuka tirai kegiatannya untuk 2023.



                                 Maulana Helmi (berdiri) turut menyampaikan ucapan dan pesanan berguna.





                                            Pengasas Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi.



Dato’ Awie (kanan sekali) berharap majlis Makan Malam Semboyan akan berjalan lancar, dan mencapai matlamat.



Dalam sidang media di sebuah restoran terkemuka di ibu kota pada 10 November 2022 lalu, Pengasas PPSM, Yusuf Azmi mengumumkan MMS akan diadakan di Taman Pameran Pertanian Malaysia @ MAEPS, Serdang pada 14 Januari 2023.

 

Menurut Yusuf, majlis MMS selama kira-kira 12 jam (bermula dari zuhur) itu mahu menghargai, serta meraikan sahabat-sahabat PSSM, dan penyokong setia PPSM.

 

“Saya juga ingin berterima kasih atas sokongan setia sahabat-sahabat Semboyan di sepanjang saya, dan pasukan membawakan perjuangan ini,” jelas Yusuf yang menganggap sahabat dan penyokong setia Semboyan sebagai tunjang utama dalam gerakan pihaknya, sekali gus menjadi asbab perjuangan diteruskan hingga ke hari ini.




Penganjuran Makan Malam Semboyan sudah lama ditunggu-tunggu, dan insya-Allah, penantian tersebut akan berakhir pada 14 Januari 2023 nanti.



Majlis sidang media turut disemarakkan oleh demontrasi silat yang diiringi lagu popular Dato’ M Nasir, Mentera Semerah Padi.


Menariknya, sidang media pengumuman tarikh dan lokasi MMS tersebut turut dihadiri kumpulan Wings yang dibarisi Dato’ Awie, Eddie, Black, dan Edrie Hashim; kumpulan Search dengan Denden Gonjalez, dan Yan, serta Achey Bocey.

 

“Majlis Makan Malam Semboyan juga diadakan sebagai wadah untuk berkumpul, sekali gus menjadi simbolik kepada hasil ikatan, dan penyatuan semangat, kerjasama, serta pemuafakatan dalam gerak perjuangan di bawah Semboyan Malaysia atas nilai kasih sayang,” tambah Yusuf.

 

Katanya lagi, penganjuran MMS sudah lama ditunggu-tunggu. Insya-Allah, tambah beliau, penantian tersebut akan berakhir.

 

“Untuk itu, kami akan menyajikan persembahan menarik buat para penyokong setia perjuangan Semboyan Malaysia,” tambah Yusuf.




Kumpulan Search dengan penyanyinya, Denden Gonjalez (kiri) akan mendendangkan enam lagu.         


Dato’ Awie (kanan sekali) dan Denden Gonjalez (kiri sekali) semasa sidang media pengumuman tarikh dan lokasi Makan Malam Semboyan pada 10 November 2022.

 

Sehubungan itu, jelas beliau, MMS bakal menampilkan konsert khas, maulid akhbar dengan para tetamu sangat istimewa.

 

Penjelasan Yusuf menjawab persoalan mengapa Wings dan Search menghadiri sidang media tersebut.

 

“Dua kumpulan legenda tersebut akan tampil dengan lagu-lagu popular mereka dalam konsert khas secara langsung semasa, dan pada kemuncak Makan Malam Semboyan,” kata beliau.

 

Tidak cukup dengan Wings dan Search, MMS akan turut menampilkan beberapa lagi legenda hidup seperti Ijam Medicine, Iwan Syahman, dan Zul Handy Black, serta Hazama, Black, Tomok, dan Azlan (Typewriter).

 

Maulid akhbar dengan slot khas ‘Perkongsian Mutiara Nasihat’ pula bakal dijayakan oleh para agamawan seperti Habib Ali Zaenal Abidin, Habib Najmuddin, Tuan Guru Sheikh Abu Zaki, Maulana Helmi, Tuan Guru Sheikh Zainul Asri, Ustaz Wadi Anuar, dan kumpulan Qasidah Qomaru.

 

MMS tambah menarik, kata Yusof apabila turut mengundang pengarah filem RM97 juta Syamsul Yusof, serta Nabil Ahmad, Shuib Sepahtu, Azad Jasmin, Fad Bocey, Ali Puteh, serta Sharif, Syaiful dan Danial Zaini (Tiro), Ayahanda Che Ton (ACT), Radin ERA, dan Achey Bocey.

 

Turut berucap ialah Awie dan Maulana Helmi yang berharap program MMS yang dirancang dapat berjalan lancar, serta mencapai matlamat.

 

Majlis sidang media tersebut turut disemarakkan oleh demontrasi silat yang diiringi lagu popular Dato’ M Nasir, Mentera Semerah Padi.

 

Sesuai dengan perjuangan PPSM dan pembabitan para agamawan, Yusof memberitahu lagu-lagu yang akan didendangkan oleh para penyanyi semestinya berunsur ketuhanan. Begitu juga dengan isi kandungan persembahan selebriti terkenal yang lain.

 

Kepada yang berminat, mereka boleh menempah tiket atau kerusi majlis MMS yang telah mula dijual. Pembelian atas talian boleh dibuat menerusi https://id.shabatsemboyan.com/ecommerce dan https://www.ticket2u.com.my/event/28999/.

 

Menurut Yusof lagi, pembelian boleh juga dibuat dengan menghubungi hotline Semboyan Malaysia menerusi talian 019-3363605/019-6669010, sementara untuk pembelian secara fizikal, boleh hadir ke pejabat Semboyan Malaysia di Suite C-3-6, Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.