Pages

Tuesday, 31 October 2023

FILEM

 

Filem Mengangkat Menora Siam Menerusi Kisah Cinta Bahaya

 

FILEM Mar Rakterbitan Pentas Wayang Production Sdn Bhd (Pentas Wayang) khusus untuk memberikan sokongan kepada filem tempatan. Ia diterbitkan oleh pelakon dan pengarah drama televisyen tempatan yang tidak asing lagi, Dato’ TS Jeffry.

 

Berpengalaman selama 33 tahun dalam industri seni tanah air, Dato’ Jeffry antara lain pernah menghasilkan Hantu Bukit CinaDirgahayuHalimah JongangMasak Lomak Cil Api, dan Awe Keno Nikoh.

 

Mar Rak bergenre suspens thriller, memaparkan warisan seni yang semakin dilupai, iaitu menora Siam, menerusi cerita pada sekitar 80-an dan 90-an yang begitu popular di pantai timur Semenanjung, terutama di Kelantan.



Kael (dua dari kanan) sebagai Krasem Pak Sintong. Disebelah kanannya ialah Dato' TS Jeffry. 


Filem Nago Bogho, filem arahan dan lakonan Sabri Yunus pada awal tahun ini, hanya menampilkan sedikit menora menerusi salah seorang wataknya, Jimmy Ang (lakonan Dr Lim Swee Tin).

 

Namun demikian, cerita filem Mar Rak berdasarkan warisan budaya ini. Mar Rak atau bermaksud Cinta Syaitan (Cinta Perlu Pengorbanan Nyawa) berkisar kisah menora Siam tahun 80-an hingga 90-an, yang menggambarkan percintaan antara Krasem Pak Sintong, lakonan Kael), pemuda Siam, dengan Rashidah (Shatirah Amanda) melalui surat sahaja secara rahsia.



Majlis Malam Gala Filem Mar Rak pada 30 Oktober lalu.


Dalam masa yang sama, anak tauke menora yang berketurunan Cina, Chua Ting (Dalip Singh), iaitu Ai Ling (Nina KSC) turut meminati Krasem. Marah akibat cintanya ditolak, Ai Ling mula mendapatkan bantuan bomoh hantu Siam, Mophi (Jeffry) untuk memenuhi hasratnya memiliki Krasem.

 

Kerja jahatnya dilakukan menerusi surat. Demi mendapatkan cintanya, Ai Ling malah sanggup membunuh bagi memastikan impiannya tercapai.

 

Mophi sedia membantu, tetapi menuntut nyawa seseorang untuk mendapatkan minyak dagu sebagai minyak pengasih. Ai Ling yang sudah tidak lagi dapat berfikiran waras, terus bersetuju. Dia sanggup melakukan perbuatan di luar batas kemanusiaan demi memenuhi impiannya.


Kael, bersama-sama Shatirah, Nina, dan Dyvianna menyanyikan Seru Cinta secara langsung.

**********************************************************************************

                    Penolong pengarah filem Mar Rak, Ad Johan yang ramah mesra.


Siapakah yang menjadi mangsa Ai Ling itu? Jawapannya dan juga kesudahan Mar Rak akan diketahui dengan menontonnnya di pawagam berhampiran anda bermula 2 November ini.

 

Turut membintangi Mar Rak termasuklah Dyvianna James sebagai Sally, Aghonderan (Mohan), Erry Putra (bapa Rashidah), Zalfazain (ibu tiri Rashidah), Asri Ismail (Tok Ibrahim), YY Asri (adik Rashidah), Man Khan (Tok Imam), serta penampilan istimewa Yank Kassim sebagai Tauke Panggung Menora.

 

Mengangkat menora dalam sesebuah karya popular seperti filem memang baik, dan wajar dialu-alukan. Namun begitu, mengapa ditampilkan dalam corak seram?



Mengangkat menora dalam sesebuah karya popular seperti filem memang baik, dan wajar dialu-alukan.
 


Menjawab pertanyaan tersebut, Jeffry yang turut menghadiri Majlis Malam Gala Filem Mar Rak di Dadi Cinema, Pavilion Bukit Bintang KL pada 30 Oktober lalu, memberitahu, beliau tentulah tidak mahu memaparkan menora secara polos sahaja.

 

“Memang saya mahu mengangkat menora. Tetapi, jika ditampilkan tanpa cerita, serta pelbagai unsur penting dalam filem cereka, Mar Rak akan menjadi filem dokumentari pula,” jelas beliau merangkap penerbit filem ini menerusi syarikatnya, Pentas Wayang.

 

Seperkara lagi yang menarik mengenai filem Mar Rak ini ialah Kael, Shatirah, Nina dan Dyvianna turut menyanyikan lagu runut bunyi/tema (OST), berjudul Seru Cinta, yang berdurasi 2 minit 20 saat.

 

Melodi dan muzik Seru Cinta dihasilkan oleh Kabir Bambu, sementara liriknya karya Jeffry sendiri. Kael, Shatirah, Nina, dan Dyvianna yang turut menghadiri majlis berkenaan, menyanyikan Seru Cinta secara langsung.


                                       

Dato' TS Jeffry mengangkat menora bersama-sama cerita, serta pelbagai unsur penting dalam filem cereka.


Jelas Jeffry, oleh kerana cerita Mar Rak adalah idea beliau, serta turut mengolah lakon layar tulisan Adza Waty dan Adza Emie, tidak menjadi masalah besar baginya untuk menulis lirik Seru Cinta.

 

“Mengenai judul Seru Cinta, itu berdasarkan judul filem dalam bahasa Siam - Mar Rak yang bermaksud seru atau panggil cinta,” katanya yang berdebar-debar menunggu tarikh permulaan tayangan filem ini.

 

Amat jarang atau tidak pernah empat pelakon utama sesebuah filem turut menyanyikan OST-nya. Jika belum pernah, Mar Rak boleh dianggap memulakan perkara tersebut, atau perintis.

 

Lirik lagu Seru Cinta:

 

Utusan demi utusan kuterima

Coretan nukilan tulus dari jiwa

Luahan rasa yang penuh bermadah

Terkulai diri menatapnya

 

Hati yang berdetik madah bagai terkunci

Tak mampu melafazkan yang tersirat di hati

Hidup terkadang indah bagai bulan purnama

Kadang kala menyakitkan bagai tiba gerhana

 

Seandainya kita ditakdirkan bersama

Kuserahkan seluruh jiwa dan raga

Segala rintangan yang menghalangi cinta kita

Terhapuslah kewujudannya dari sealam maya

 

Seandainya aku diberi kesempatan

Kan kucuba melemahkan seru yang bertandang

Warkah yang diutus bersama mentera jiwa

Hanya pada Tuhan tempat ku meminta 

 

OST Seru Cinta akan disiarkan secara rasmi di semua pelantar media sosial Pentas Wayang, dan Metrowealth Pictures (MIG). MIG adalah pengedar Mar Rak.

                                                                                         

Sebahagian daripada tenaga penggerak penting Majlis Malam Gala Mar Rak pada 30 Oktober lalu.


Selain semua pelakon Mar Rak, kecuali Erry, dan Jeffry serta penolong pengarah, Ad Johan, turut menghadiri Majlis Malam Gala Filem Mar Rak ialah Ketua Pegawai Eksekutif  MIG, Mejar (K) David; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia @ FINAS, Datuk Kamil Othman; Yang Mulia Tengku Sri Kelana D’Raja Dato’ Sri Raja Shah Zurin Raja Aman Shah@ Shah Rezza, dan  Presiden Persatuan Seniman Malaysia @ SENIMAN, Rozaidi Abdul Jamil (Zed Zaidi).

                                         

        Majlis dikendalikan oleh Dalip Singh sebagai pengacara.

 

Mar Rak mendapat kerjasama sepenuhnya Kementerian Komunikasi dan Digital, menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia atas Dana Kandungan Digital yang telah dibelanjakan bagi memastikan penghasilannya, dan menemui penonton di pawagam.


- RAJA YUSOFF ARIFFIN

No comments:

Post a Comment