PELANCONGAN
Apam Beras Kuala Kegemaran Sultan Perak
PAMERAN Makanan Terkenal Kuale: Himpunan Makanan Tradisi Menarik yang Terdapat di Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan berlangsung di Perpustakaan Awam Cawangan Utama Kuala Kangsar (PACUKK) sejak 1 Ogos lalu.
Pameran anjuran bersama PACUKK dan Kerajaan Negeri Perak ini menampilkan maklumat mengenai makanan-makanan tradisi yang terkenal di kawasan Kuala Kangsar seperti rendang tok, rendang pedas, daging dendeng, gulai tempoyak, ikan pekasam, lemang, laksa, wajik, bahulu, putu Perak, popia, apam, halwa, limas, dan cendol, berserta direktori penjual dan lokasi kedai, atau gerai jualan makanan tersebut yang boleh diimbas.
Rendang tok adalah antara makanan tradisi Perak yang sangat terkenal. Pameran ini memaparkan rendang tok hasil masakan Yeop, yang sering dijadikan antara lauk kegemaran semasa kenduri kendara, atau majlis perkahwinan.
Masyarakat Melayu di Lembah Sungai Perak dari Kuala Kangsar ke Teluk Intan memang menggemarinya. Daging untuk masakan ini dipotong berbentuk kiub sebesar kira-kira 3.3 cm x 3.3 cm. Penyediaannya mengambil masa yang agak lama. Selain dijadikan lauk semasa kenduri, ia turut menjadi juadah Hari Raya yang enak dimakan dengan lemang, dan ketupat.
Rendang pedas yang aromanya menyelerakan dipercayai berasal dari Negeri Sembilan dalam kalangan masyarakat Minangkabau. Oleh kerana setiap daerah di Malaysia ada hidangan rendang yang tersendiri, resepinya di pelbagai agar dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
Pameran tanpa bayaran masuk.
Pameran ini memaparkan Rendang Daging Tok dan Rendang Daging Mak Pah Stesen Keretapi Kuala Kangsar.
Daging dendeng atau rendang dendeng berasal dari Indonesia. Pada zaman dahulu, ia selalu dibawa oleh pengembara atau perajurit semasa peperangan, sebagai bekalan makanan mereka, kerana daging dendeng boleh bertahan lama di luar tanpa perlu dipanaskan.
Pameran ini memaparkan Daging Dendeng Cik daripada Almarhum Raja Intan Suraya Almarhum Sultan Iskandar. Raja Intan Suraya mendapatkan resepinya daripada bonda Almarhumah, iaitu Raja Perempuan Kelsom.
Tempoyak yang memang amat popular di Perak dibuat daripada isi buah durian yang diasingkan daripada bijinya, dan ditambah dengan sedikit garam, serta disimpan selama tiga hingga lima hari dalam suhu bilik untuk proses penapaian. Dalam pameran ini, ditampilkan gulai tempoyak Yeop Helmi Lembah.
Antara cara penyediaan kuih Penganan Pulo.
Pekasam merupakan sejenis makanan peram tradisi yang terkenal, dan tahan lama di Malaysia. Ia merupakan satu cara mengekalkan makanan (lazimnya ikan) menggunakan banyak garam (atau asam), dan mampu untuk menghasilkan pekasam yang mampu bertahan lama (antara lapan bulan hingga setahun).
Makanan ini amat popular di negeri utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia. Negeri Perak terkenal dengan perusahaan pekasam ikan air tawar, terutamanya selepas pembinaan Empangan Tasik Cenderuh, yang membekalkan ikan air tawar bagi penghasilan pekasam.
Ikan pekasam tidak lagi dipandang sebagai menu kampung kerana pasarannya telah menembusi peringkat antarabangsa. Pekasam daerah ini ada keenakan tersendiri kerana kebanyakannya dihasilkan menggunakan ikan lama yang banyak terdapat dalam Sungai Perak.
Pekasam yang dipaparkan dalam pameran ini adalah
Pekasam Tradisi Lenggong yang memang layak kerana pernah dinobatkan sebagai
produk terbaik sejak tahun 2004 sebagai keluaran makanan tradisional masyarakat
Melayu, dan kini telah dikenali hingga ke negara luar.
Lemang memang merupakan makanan tradisional yang
popular. Di Malaysia, ia terkenal sejak tahun 1864, yang juga merupakan makanan
kegemaran bagi penduduk asli dari suku Negrito dan suku Semai. Dipercayai cara
memasak lemang berasal daripada cara memasak nasi oleh orang asli.
Pameran Makanan Terkenal Kuale: Himpunan Makanan
Tradisi Menarik yang Terdapat di Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak Darul
Ridzuan ni menampilkan Lemang Pak Uda, Liman Kati.
Sementara itu, Laksa Sarang, Warung Telaga dan Laksa
Pokok Limau adalah pengusaha laksa yang ditampilkan dalam pameran ini.
Warung Telaga, Kuala Kangsar dimiliki Mohd Azami
Mohd Said yang berniaga sejak sekitar tahun 2016. Selain amat terkenal dalam
kalangan penduduk tempatan, pengunjung luar dan pelancong asing turut berkunjung
ke sini kerana suasananya yang dikelilingi pemandangan sawah padi, dan kelapa
sawit cukup santai dan menyenangkan.
Nama Warung Telaga diinspirasikan daripada telaga berusia
100 tahun milik arwah ibunya yang terletak berdekatan warung tersebut. Warung berkonsepkan
‘retro’ yang dihiasi barang-barang lama, serta antik di dalam dan di luarnya telah
menarik minat pengunjung mengambil gambar, dan lain-lain.
Laksa Pokok Limau antara makanan tradisi yang
terkenal di Perak, terutamanya di daerah Kuala Kangsar. Ia adalah makanan
tempatan Malaysia yang popular, serta unik di daerah berkenaan kerana dibuat
sendiri menggunakan tepung gandum, dan kuahnya sedikit cair berbanding kuah
laksa di negeri-negeri lain.
Laksa ini terletak di Kota Lama Kiri, berhampiran bandar
Kuala Kangsar. Kedainya hanya di pinggir jalan dengan satu papan tanda besar
yang mudah dilihat. Berita mengenainya juga pernah tersiar dalam rancangan Jom
Terokai Perak yang dihoskan oleh Maria Tunku Sabri.
Wajik pula antara manisan tradisional Melayu sejak
beratus tahun dahulu. Sebagaimana lemang, dodol, dan ubi rebus, wajik menjadi
makanan sewaktu zaman perang dulu-dulu, kerana semasa peperangan, makanan yang akan
dibawa, dan disimpan adalah yang tidak mudah basi.
Manisan yang diperbuat daripada beras pulut, santan,
dan dimaniskan dengan gula ini amat popular semasa musim perayaan, atau majlis
perkahwinan kerana rasanya. Ia makanan adat yang perlu ada dalam kalangan
masyarakat Perak. Wajik yang dipaparkan dalam pameran ini adalah Wajik Kak
Long.
Sementara itu, maklumat mengenai Bahulu Warisan Cik
Kiah, Kg Guar Manong dan Bahulu Kak Long dipaparkan dalam pameran ini.
Pembuatan kuih bahulu secara tradisional, iaitu menggnakan
bara api dari dapur kayu, serta sabut kelapa diusahakan oleh Rokiah Kulop
Malodin di Kampung Guar, Manong, Kuala Kangsar.
Lebih mesra disapa sebagai ‘Cik Kiah’, Rokiah
mengakui amat sibuk menghasilkan lebih 1,500 biji bahulu sehari, serta telah
dikomersial dengan jenama ‘Warisan Cik Kiah’ untuk memenuhi permintaan
pelanggan jauh dan dekat.
Cik Kiah turut menghasilkan bahulu kemboja, putu
kacang dan kuih karas menggunakan kaedah serupa sejak lebih 20 tahun lalu,
dengan bantuan ahli keluarga, mengikut tempahan yang biasanya meningkat
menjelang perayaan.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Putu Perak yang berasaskan beras yang telah dikisar
halus, digaul dengan tepung beras,
tepung pulut, air dan gula kastor serta sedikit kelapa parut, dan gula pasir
sebagai intinya ini amat terkenal di Perak.
Ia dikukus di dalam acuan khas mirip bentuk acuan
kuih bahulu, yang boleh didapati di Kuala Kangsar, Taiping, Lenggong, Ipoh dan
daerah-daerah lain. Pameran ini menampilkan Putu Perak Karai.
Popia Stesen Lembah yang dipaparkan dalam pameran
ini diasaskan oleh Allahyarham Puan Norrihan Abdullah pada sekitar 1980.
Dinamakan Popia Stesen kerana gerainya berdekatan dengan Stesen Kereta api
Kuala Kangsar. Sebuah lagi cawangannya terletak di kawasan Lembah, Kuala
Kangsar.
Sementara itu, Popia Omar Orang Lama yang gerainya di
tapak pasar malam Jumaat, Kuala Kangsar mula terkenal sejak tahun 1982. Diwarisi
dua generasi keluarganya, popia yang ada dua jenis, iaitu basah dan kering ini
menjadi antara daya penarik menu warga Kuala Kangsar kerana sangat enak.
Apam Pasang atau Apam Beras Kuala adalah kuih tradisional
yang hanya ada di Kuala Kangsar, hingga digelar ‘apam diraja’ kerana turut
digemari Sultan Perak terdahulu dan sekarang, serta kerabat sebagai hidangan
ringan.
Sebanyak 70 biji apam ini dikukus serentak di dalam
loyang bertingkat-tingkat selama 20 hingga 30 minit. Lapan kilogram tapai nasi
dan tepung beras digunakan setiap hari untuk menyediakan apam pasang.
Apam Pasang Kuala tradisi tidak dicampur ragi. Jadi,
ia boleh disimpan antara dua hingga tiga hari tanpa perubahan warna atau rasa –
tidak basi. Pameran ini menampilkan Apam Beras, Lembah.
Halwa betik adalah antara produk daripada buah betik
(carica papaya) yang merupakan
sejenis produk tradisional sejak dahulu. Semasa perayaan seperti Hari Raya,
gubahan untuk hantaran perkahwinan dan rombongan marhabban dari rumah ke rumah
seluruh kampung, halwa betik adalah antara kuih yang digilai kanak-kanak kerana
lazat, dan sangat manis.
Paling menarik mengenai halwa ialah warna dan
bentuknya yang unik. Halwa betik ini perlu ditempah kerana pembuatannya yang
rumit dan teliti. Ia boleh didapati, terutama di Kampung Sayong Lembah, Kuala
Kangsar seperti yang dipaparkan dalam pameran ini.
Juadah lain yang turut dipaparkan dalam pameran ini
adalah Cendol Mustafa, Medan Lembah; Penganan Pulo, Kampung Bendang Kering; dan
Kopi Mat Rezeki.
Pameran Makanan Terkenal Kuale: Himpunan Makanan
Tradisi Menarik yang Terdapat di Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak Darul
Ridzuan berlangsung setiap hari, kecuali Ahad dan cuti umum dari jam 9.00 pagi
hingga 5.30 petang.
No comments:
Post a Comment